Clair Obscur: Expedition 33 merupakan permulaan yang cukup mengagumkan bagi Sandfall Interactive, sebuah studio dari Perancis yang terus melangkah berani dengan judul sulung mereka — dan mereka jelas tidak bermain-main.
RPG turn-based ini segera mencuri tumpuan dengan kualiti produksi setaraf AAA, menampilkan gaya visual seakan lukisan yang digabungkan dengan sistem combat pantas dan penuh taktikal.
Dalam dunia RPG yang semakin berkembang, Expedition 33 tampil menyerlah bukan hanya kerana estetikanya yang memukau, tetapi juga jalan ceritanya yang berani serta sistem gameplay yang segar — menjadikannya antara calon kegemaran baru buat peminat RPG sinematik berasaskan watak.
Dengan pendekatan unik terhadap sistem combat turn-based dan naratif yang sarat misteri dan emosi, Clair Obscur: Expedition 33 menetapkan standard tinggi, mengajak pemain memulakan satu pengembaraan yang pasti sukar dilupakan.
Premis Cerita yang Penuh Emosi
Berinspirasikan struktur klasik JRPG, Clair Obscur: Expedition 33 menampilkan penceritaan sebagai tunjang utama daya tarikannya. Kisahnya berpusat di kota Lumière, yang kini berada di ambang kehancuran akibat ancaman dari satu sosok misteri dikenali sebagai Paintress.
Watak ini perlahan-lahan memadam nombor yang terukir pada sebuah monumen batu, satu simbol kepada tamatnya “kitaran” hidup — dan apabila nombor 34 hampir lenyap, penduduk yang berusia 34 tahun tahu ajal mereka sudah dekat.

Di sinilah bermulanya perjalanan protagonis, Gustave, bersama pasukannya, yang perlu mengembara ke wilayah Paintress dengan harapan dapat menamatkan kitaran kejam ini. Ini bukan ekspedisi pertama — malah, setiap kitaran sebelumnya menyaksikan lebih ramai gugur, dan beban ke atas krew ekspedisi yang seterusnya menjadi semakin berat.
Mereka berlumba dengan masa, dengan nyawa sendiri menjadi taruhan, sambil membawa harapan seluruh penduduk Lumière.

Namun, bermain versi penuh permainan mendedahkan lebih banyak konteks sejak awal lagi. Dunia ini pernah mengalami fenomena dahsyat yang dikenali sebagai “Fracture,” mengakibatkan Lumière terpisah dan terdampar di tengah lautan. Tragedi ini berlaku lebih enam dekad lalu, dan sejak itu, penduduknya terus berjuang demi kelangsungan hidup.
Pasukan ekspedisi dihantar satu demi satu, tetapi tempoh jangka hayat yang semakin singkat menjadikan masa depan kian suram — bayangkan jika semua orang dewasa lenyap, hanya kanak-kanak yang tinggal, maka tamatlah umat manusia.

Apa yang membuat naratif Expedition 33 benar-benar menonjol adalah betapa dalam dan emosinya ia menyelami jiwa watak. Ada yang redha dengan nasib hidup yang singkat, ada yang takut untuk membina keluarga, dan ada pula yang nekad menghadapi maut dengan berani.
Pembukaan game ini menggambarkan semua konflik ini dengan penuh perasaan, meninggalkan kesan yang kuat kepada pemain.

Menariknya, pasukan ekspedisi tidak dilihat sebagai wira oleh penduduk Lumière. Sebaliknya, mereka dianggap beban yang membazirkan sumber demi misi yang hampir pasti gagal. Ini menambah satu lagi lapisan konflik emosi dan tekanan kepada pasukan yang sedia terbeban.

Penceritaan permainan ini sememangnya memuaskan, meskipun ada masa terasa mengelirukan. Terdapat bahagian yang kurang penjelasan, seperti kemunculan alat baru yang tiba-tiba digunakan Gustave, atau bagaimana misi penyusupan awal berjalan terlalu lancar seolah-olah sudah dirancang sepenuhnya oleh Lune.
Game ini jelas cuba mengelakkan pendedahan berlebihan, dan lebih suka menyampaikan naratif melalui persekitaran dan dialog. Namun begitu, ketiadaan Glosarry atau sistem nota penting menjadikan rujukan semula agak sukar, terutamanya apabila watak dan plot mula berkembang dengan lebih kompleks.

Walaupun begitu, kekuatan cerita tetap bersinar — sebahagiannya kerana pembangunan watak yang konsisten dan interaksi yang terasa hidup. Menjelang bahagian akhir, saya benar-benar terpukau. Persembahan suara dan emosi watak terasa sangat realistik, seakan menonton lakonan manusia sebenar, bukan sekadar animasi dalam game.
Pertempuran Dinamik yang Memerlukan Strategi dan Ketepatan
Seperti yang saya kongsikan dalam previu sebelum ini, Clair Obscur: Expedition 33 menawarkan sistem combat yang benar-benar mengagumkan. Pada asasnya, ia masih mengekalkan formula klasik JRPG — pemain memilih aksi seperti basic attack, special skill, penggunaan item dan sebagainya.
Di sebelah kiri skrin, terdapat penunjuk giliran berbentuk potret watak, satu elemen biasa dalam tajuk turn-based. Namun, apa yang menjadikan pertempuran Expedition 33 begitu menonjol ialah cara ia menggabungkan elemen real-time secara narutal dalam setiap aspek permainan.

Meskipun integrasi elemen real-time dalam RPG turn-based bukan sesuatu yang baru, Expedition 33 berjaya menjadikannya teras utama pengalaman combat, bukan sekadar tambahan kosmetik atau gimik. Kejayaan dalam setiap pertarungan tidak hanya bergantung pada strategi perintah, tetapi juga sejauh mana anda menguasai aksi real-time.
Sebagai contoh, walaupun bukan giliran anda, anda masih boleh bertindak balas terhadap serangan musuh dengan Dodge atau Parry — kedua-duanya memerlukan masa yang tepat. Dodge membolehkan anda mengelak sepenuhnya serangan, manakala Parry membuka peluang untuk membalas dengan serangan yang kuat.

Parry memberi ganjaran lebih besar tetapi memerlukan ketepatan masa yang lebih ketat. Anda perlu mengenali corak serangan musuh dan memilih antara Dodge, Parry atau Jump — satu lagi mekanik yang membolehkan anda mengelak serangan tidak dapat ditangkis sambil melakukan serangan balas jika waktu anda tepat.
Unsur real-time ini juga diterapkan dalam pelaksanaan special skill. Biasanya, ia melibatkan animasi interaktif berasaskan rentak — dan jika anda menyelaraskan input dengan sempurna, anda akan mendapat bonus damage atau efek penyembuhan maksimum.

Kecekapan dalam pertempuran bergantung pada penguasaan masa “Perfect”, menjadikannya aspek penting untuk hasil terbaik. Tambahan pula, setiap watak mempunyai senjata jarak jauh seperti senapang atau peluru sihir, yang memerlukan anda menyasarkan titik lemah musuh secara manual.
Musuh-musuh yang dikenali sebagai Nevrons sering kali mempunyai titik kritikal, dan satu tembakan tepat boleh mengurangkan separuh HP mereka — memberi kelebihan besar dalam pertempuran.

Saya juga sangat menyukai sistem AP (Action Point) yang menggantikan mana tradisional. Anda perlu menjana AP melalui serangan biasa, Dodge, dan Parry, menjadikan strategi pengumpulan sumber lebih organik. Ini bermaksud anda tidak boleh melancarkan serangan terkuat sejak awal — anda perlu membinanya terlebih dahulu.
Dalam banyak situasi, saya gunakan giliran awal untuk memecah pertahanan musuh, mengumpul AP, dan kemudian melancarkan serangan besar apabila tiba masa yang sesuai. Setiap watak juga mempunyai pendekatan tersendiri terhadap pengurusan AP.
Sebagai contoh, Gustave mempunyai lengan prostetik yang boleh dicas sepanjang pertarungan, dan bila digunakan dengan AP penuh, kemahiran Overcharge miliknya boleh memberi damage yang sangat besar.

Secara keseluruhan, sistem combat dalam Clair Obscur: Expedition 33 sangat responsif, mendebarkan, dan menuntut ketepatan. Ia bukan hanya soal memilih serangan, tetapi bagaimana anda membaca pergerakan lawan dan bertindak balas dengan pantas. Pertempuran terasa sentiasa hidup — walaupun di luar giliran anda, anda tidak boleh leka.
Satu kesilapan kecil dalam Dodge atau Parry boleh membawa padah, kerana musuh di sini benar-benar mampu membunuh jika anda cuai. Mujurlah, game ini cukup seimbang dari segi sumber dan penyembuhan, dengan beberapa watak dilengkapi abiliti penyembuhan yang mantap untuk memastikan anda terus bertahan.
Sistem Kemajuan Fleksibel dan Kaya Strategi
Rentak permainan Clair Obscur: Expedition 33 terasa sempoi tanpa gangguan. Setiap pertemuan terasa berbaloi dan tidak pernah memperlahankan perkembangan anda.
Kadar naik level sangat memuaskan — walaupun pada awalnya saya menjangkakan tempo game akan melambat apabila semakin jauh ke hadapan, sistem penskalaan EXP yang seimbang memastikan anda sentiasa mendapat ganjaran yang bermakna. Namun, jangan tertipu dengan tempo lembut ini — pertempuran tetap mencabar, kerana sistemnya yang sangat bergantung pada reaksi.
Jika anda kekurangan item penyembuhan atau belum menguasai Dodge dan Parry, pertarungan awal boleh menjadi sangat mencabar, terutamanya dengan skil penyembuhan lemah, yang memudahkan musuh untuk menghapuskan parti anda.

Setiap kali naik level, anda boleh menuju ke Rest Point untuk mengagihkan mata ke dalam Attribute watak, seperti Vitality, Might, Agility, Defense dan Luck. Peningkatan ini memberi kesan ketara terhadap prestasi watak dalam pertempuran.
Selain itu, anda boleh memperkuat lagi statistik menggunakan Pictos, iaitu peralatan khas yang dimuatkan dalam tiga slot utama. Pictos memberi pelbagai bonus unik, dan penggunaannya menambah satu lagi lapisan taktikal dalam pembentukan pasukan.

Satu lagi sistem menarik ialah Lumina, yang berfungsi seperti Pictos tetapi memberi kesan kepada seluruh pasukan, bukan sekadar satu watak. Kedua-dua sistem ini saling berkait — apabila anda meningkatkan tahap Pictos tertentu, buff daripadanya boleh ditukar menjadi kesan Lumina.
Pemain boleh mengaktifkan pelbagai kesan Lumina mengikut bilangan mata yang dimiliki, di mana buff yang lebih kuat memerlukan lebih banyak mata. Ini menambah elemen strategi dalam pengurusan pasukan dan cara anda memilih sinergi terbaik antara watak.

Setiap watak juga dilengkapi dengan Skill Tree yang tersendiri, dan secara mengejutkan, ia cukup luas dan terbuka sejak awal permainan.
Anda diberikan Skill Point yang mencukupi untuk mencuba pelbagai abiliti seawal bab permulaan, berbeza daripada RPG turn-based biasa yang selalunya mengunci kemajuan kemahiran di sebalik syarat level atau kemajuan cerita.
Ini menjadikan sistem kemajuan dalam Expedition 33 bukan sahaja mesra pemain, tetapi juga memberi kebebasan untuk bereksperimen dan membina gaya permainan tersendiri sejak dari awal.
Penerokaan Yang Cantik Tapi Kurang Bermakna
Bila bercakap tentang aspek penerokaan dalam Clair Obscur: Expedition 33, saya harus akui bahawa ini antara elemen paling lemah dalam keseluruhan pengalaman. Ironinya, walaupun tema utama game berpusat pada ekspedisi, rasa sebenar “meneroka” dunia permainan ini agak cetek.
Pemandangan memang menawan dan rekaan persekitaran sangat cantik — namun pengalaman penerokaan itu sendiri terasa kosong dan tidak begitu memberi kepuasan. Struktur peta sangat linear dan jarang menawarkan jalan alternatif atau kejutan yang membuatkan pemain mahu tersasar dari laluan utama.

Disebabkan kebanyakan game berlangsung di kawasan berisiko tinggi, adalah logik kalau interaksi sosial atau lawatan ke bandar-bandar besar agak terhad, terutamanya selepas bab pembukaan. Namun, ini juga menyebabkan dunia permainan terasa agak sunyi dan tidak begitu hidup.
Kepelbagaian dalam kawasan yang boleh diterokai juga tidak banyak, menjadikan sesi berjalan kaki anda lebih kepada menikmati latar visual daripada menemui sesuatu yang benar-benar menarik.

Game turut cuba membawa elemen klasik JRPG dengan memperkenalkan segmen overworld — ia kelihatan cantik dan membolehkan anda mendirikan Camp bila-bila masa.
Camp ini berguna untuk memulihkan tenaga, berbual dengan ahli parti, dan mengakses beberapa fungsi tambahan, tetapi ia lebih kepada ciri sokongan daripada sesuatu yang benar-benar memperkaya aspek penerokaan.

Namun begitu, kekurangan paling ketara ialah tiadanya Minimap atau sistem Fast Travel antara Checkpoint yang telah dilawati. Jika anda mahu kembali ke kawasan lama, anda terpaksa berjalan kaki semula secara manual — sesuatu yang menjengkelkan, terutama apabila rentak permainan terganggu oleh ulang-alik yang tidak perlu.
Dalam dunia yang sepatutnya mendorong rasa ingin tahu dan pengembaraan, ini adalah keputusan reka bentuk yang cukup mengecewakan.

Pun begitu, ada berita baik untuk pemain yang suka cabaran dan kandungan endgame. Clair Obscur: Expedition 33 menyediakan banyak aktiviti tambahan selepas tamat cerita utama, termasuk peluang untuk benar-benar menguji strategi dan susunan parti anda.
Bagi completionist atau pemain yang suka memaksimumkan potensi watak, anda digalakkan untuk tidak tergesa-gesa menamatkan cerita utama. Jika anda meluangkan masa dan meneroka setiap sudut dengan teliti, game ini masih punya banyak ganjaran tersembunyi yang menanti untuk ditemui.
Visual Yang Menyentuh Emosi
Sepanjang waktu bermain Clair Obscur: Expedition 33, saya berulang kali terpesona dengan kualitinya. Dari segi visual, gameini benar-benar memukau — bukan sekadar kerana grafiknya yang tajam dan efek pencahayaan seperti bloom yang menonjol, tetapi lebih penting, kerana gaya seninya yang unik dan membangkitkan emosi.
Dunia yang dibina mempunyai suasana yang sukar digambarkan — ada ketenangan dan keindahan, tetapi diselubungi kemurungan dan ketakutan. Gabungan kontras ini menjadikan pengalaman visualnya sesuatu yang sukar dilupakan.

Keasyikan ini ditingkatkan oleh runut bunyi yang luar biasa. Dari saat-saat dramatik ketika pertempuran, sehinggalah momen penerokaan yang lebih senyap, muziknya sentiasa melengkapkan suasana. Setiap lagu seolah-olah memahami emosi pemain, menjadikan setiap detik terasa lebih bermakna.

Sebagai game sulung daripada Sandfall Interactive, pencapaian ini sangat mengagumkan. Nilai produksinya boleh dikatakan setanding dengan studio besar yang sudah lama bertapak. Kualiti itu jelas dalam babak sinematik dan penggunaan motion capture yang menangkap gerakan watak dengan realisme yang kuat.
Walaupun tidak semua adegan mencapai tahap sempurna, kebanyakan babak penting dipersembahkan dengan penuh ketelitian dan kesungguhan, sehingga meninggalkan kesan yang benar-benar mendalam.
Pendapat
Ini adalah salah satu detik luar biasa di mana sesuatu yang tampak terlalu indah untuk menjadi kenyataan akhirnya benar-benar menjadi kenyataan. Clair Obscur: Expedition 33 bukan sahaja memenuhi jangkaan tinggi yang mengelilinginya, malah dalam banyak aspek, ia berjaya melangkaui apa yang saya harapkan.
Segala keraguan yang saya rasakan sewaktu bermain versi previu terdahulu hampir sepenuhnya terhapus — kecuali aspek penerokaan yang masih kurang menyerlah.
Kekurangan seperti ketiadaan ciri Glossary untuk membantu pemain mengikuti plot juga sedikit mencacatkan pengalaman, tetapi itulah antara kelemahan kecil dalam pakej yang hampir sempurna ini.

Segalanya daripada penceritaan utama yang penuh emosi dan tersusun rapi, watak-watak yang berkesan dan berinteraksi secara natural, hinggalah ke sistem combat yang bijak menggabungkan strategi dengan aksi real-time — semuanya membentuk satu pengalaman RPG yang mengasyikkan.
Dilengkapi pula dengan runut bunyi berkualiti tinggi dan rekaan dunia yang memukau, Expedition 33 benar-benar rasa seperti sebuah produk premium yang menaikkan penanda aras untuk genre ini. Ia adalah sebuah RPG turn-based yang bukan sekadar mengikut piawaian industri, tetapi menetapkan satu tahap baru yang sukar ditandingi.

Game ini akan dikeluarkan pada 24 April 2025 untuk PS5, Xbox Series X|S, dan PC (melalui Steam dan Epic Games Store). Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
The Review
Clair Obscur: Expedition 33
Dari penceritaan emosi yang tersusun, watak-watak yang hidup, hingga sistem combat yang menggabungkan strategi dan aksi real-time, Expedition 33 menawarkan pengalaman RPG yang mengasyikkan. Diperkukuh dengan runut bunyi berkualiti dan rekaan dunia yang memukau, ia bukan sekadar memenuhi piawaian industri — ia menetapkan tahap baru bagi genre RPG turn-based.
PROS
- Cerita yang menarik untuk diterokai dengan penceritaan dan world-building yang luar biasa
- Barisan watak yang mudah diingati dengan persembahan yang memukau
- Sistem combat yang kukuh dengan keseimbangan sempurna antara strategi dan tindakan
- Sistem kemajuan yang kemas dengan rentak yang sama baik
- Dunia yang cantik untuk diterokai dari mula hingga akhir
- Pemilihan runut bunyi yang hebat untuk menghidupkan suasana
CONS
- Kekurangan ciri tertentu untuk penerokaan cerita seperti Glossary
- Backtracking boleh menjadi sangat membosankan dan tiada peta kecil untuk membantu navigasi
Discussion about this post