Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu Blades of Fire – Sebuah Blacksmith Soulslike Yang Cuba ‘Tempa’ Jalan Sendiri

Razin Syafiq by Razin Syafiq
May 21, 2025
in Action, Artikel, Berita, Epic Store, Game Review, PC, PS5, Review, RPG, Soulslike, Steam, Xbox Series X|S
0 0
0
Reviu Blades of Fire – Sebuah Blacksmith Soulslike Yang Cuba ‘Tempa’ Jalan Sendiri
Share on FacebookShare on Twitter

Blades of Fire, tajuk action-adventure terbaharu daripada MercurySteam (studio yang dikenali menerusi Metroid Dread dan Castlevania: Lords of Shadow) tampil dengan pendekatan berani dalam genre fantasi gelap.

Akan dilancarkan pada 22 Mei 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC, judul epik single-player ini menampilkan watak utama seorang warrior-blacksmith yang mengayunkan tukul bagi menempa senjata unik di dunia di mana besi berubah menjadi batu.

Setelah mencuba versi previu game ini, revu ini menyelami bagaimana MercurySteam menggabungkan pertarungan yang ganas, sistem crafting yang mendalam, dan naratif yang padat untuk membentuk sebuah pengalaman dalam genre yang sudah penuh dengan pesaing hebat.

Kisah Seorang Tukang Besi dalam Dunia Sumpahan

Blades of Fire membawakan sebuah naratif fantasi gelap yang diinspirasikan oleh dunia zaman pertengahan, tetapi ia tampil menonjol melalui penekanan unik terhadap seni pertukangan besi.

Pemain mengawal Aran De Lira, seorang pahlawan yang dingin dan menyimpan rahsia masa silam, dalam usahanya untuk menggulingkan Queen Nerea—seorang pemerintah kejam yang telah menyumpah semua keluli menjadi batu.

Dengan senjata tradisional tidak lagi berguna, Aran yang memegang tukul ajaib menjadi antara insan terakhir yang mampu menempa senjata baru demi menentang pemerintahan sang ratu.

Kredit: MercurySteam

Sepanjang pengembaraan ini, Aran ditemani Adzo, seorang sarjana muda yang merakam perjalanan mereka. Perhubungan mereka menjadi antara tarikan utama: watak Aran yang muram memberi kontras kepada semangat Adzo yang optimis, menghasilkan keseimbangan emosi yang menyegarkan dalam genre yang selalunya suram.

Game ini juga tidak segan menyelitkan elemen humor seperti watak tengkorak bayi yang boleh bercakap dan bertindak sebagai pembimbing dalam menara berhantu.

Kredit: MercurySteam

Latar belakang dunia ini turut memperkayakan pengalaman—dahulu kala, ia diperintah oleh bangsa gergasi dikenali sebagai Forgers, makhluk unggul yang memacu kemajuan teknologi. Namun, peperangan besar menghancurkan mereka.

Dalam usaha terakhir, Forgers mencipta manusia dan mewariskan pengetahuan serta rahsia keluli kepada mereka. Keseimbangan itu terpelihara selama berabad-abad, sehinggalah munculnya Queen Nerea, yang memecahkan segala harapan dengan sumpahannya.

Kredit: MercurySteam

Apa yang benar-benar mengangkat naratif Blades of Fire adalah bagaimana kisahnya dirangka seiring dengan gameplay. Sumpahan keluli bukan sekadar latar cerita, ia menjadi tulang belakang kepada mekanik gameplay, di mana setiap senjata perlu ditempa sendiri.

Walaupun premis ini bukan sepenuhnya baru, pelaksanaannya yang teliti serta hubungan erat antara naratif dan sistem gameplay menjadikan keseluruhan pengalaman lebih hidup dan menarik.

Sistem Combat yang Taktikal dan Mencabar

Blades of Fire menawarkan gaya permainan yang benar-benar berbeza daripada RPG tipikal. Jika kebanyakan game berasaskan sistem Soulslike menggunakan serangan ringan dan berat melalui butang trigger, judul ini mengambil pendekatan yang lain dengan sistem input berasaskan arah.

Sebagai contoh, butang Square digunakan untuk serangan dari kiri, Circle untuk serangan dari kanan, Triangle untuk serangan dari atas, dan X untuk tusukan ke depan.

Kredit: MercurySteam

Pendekatan ini memaksa pemain berfikir secara strategik kerana setiap musuh mempunyai titik lemah yang tersendiri. Seorang kesatria berat mungkin hanya terdedah kepada hentakan dari atas, manakala assassin lincah pula memerlukan serangan yang tepat dan cepat.

Walaupun sistem ini mungkin membingungkan pada awalnya, apabila sudah dikuasai, ia memberikan rasa kepuasan yang tinggi. Tidak ada ruang untuk menekan butang secara rawak—setiap serangan perlu dilakukan dengan sengaja.

Kredit: MercurySteam

Setiap senjata juga hadir dengan jenis serangan berbeza seperti slash, pierce, dan blunt, yang boleh ditukar semasa pertempuran. Pedang dan tombak, misalnya, boleh diubah suai antara ayunan luas dan tusukan tepat, manakala tukul bergantung sepenuhnya pada kekuatan pukulan.

Petunjuk visual dalam pertempuran sangat membantu: warna hijau menunjukkan serangan berkesan, oren menandakan damage berkurang, dan merah bermaksud musuh kebal terhadap jenis serangan tersebut.

Kredit: MercurySteam

Tambahan lagi, elemen seperti pengurusan stamina, pertahanan, dan ketahanan senjata menambah lagi lapisan strategi. Senjata akan haus dan rosak selepas digunakan secara berterusan, memaksa anda sama ada membaikinya di anvil (yang juga berfungsi sebagai checkpoint), atau menempa senjata baru.

Jika anda tewas dalam pertempuran, semua kelengkapan yang dibawa akan hilang kecuali anda berjaya mendapatkannya semula—menjadikan setiap pertempuran terasa lebih berisiko.

Kredit: MercurySteam

Pertarungan bos pula tidak kurang menarik, contohnya perlawanan dengan seekor troll yang boleh hidup semula dan hanya dapat ditewaskan dengan memotong anggota badannya terlebih dahulu.

Namun begitu, sistem ini tidak sempurna: kawalan untuk dodging/blocking kadangkala terasa tidak responsif, dan ada titik lemah musuh yang tidak dijelaskan dengan jelas. Mujur, game ini menawarkan tahap kesukaran yang boleh diubah (dinamakan mengikut jenis logam seperti Bronze dan Steel) yang membantu menyeimbangkan cabaran.

Kredit: MercurySteam

Satu kelemahan yang paling ketara? Senjata terlalu cepat rosak. Ketahanannya boleh menurun hanya kerana tersalah hayun ke arah objek seperti pokok atau batu. Menyakitkan hati? Memang. Tapi pada masa yang sama, ia menambahkan unsur realisme yang menjadikan combat lebih mendesak.

Kredit: MercurySteam

Selepas mencuba versi previu dan kini bermain versi penuh, saya boleh katakan: sistem ini memang unik, tetapi mungkin terlalu rumit untuk sesetengah pemain. Ia memerlukan kesabaran, masa, dan perhatian terhadap setiap aspek combat: dari sudut hayunan, jenis serangan, sehinggalah ke tahap ketahanan senjata.

Malah selepas 12 jam permainan, saya masih terasa terbeban. Seronok? Ya, sangat. Tapi ia juga meletihkan.

Penerokaan Dunia yang Menarik Tapi Kurang Panduan

Aspek penerokaan dalam Blades of Fire banyak mengingatkan kepada struktur Soulslike yang biasa. Di sepanjang perjalanan, pemain akan menemui Forger’s Anvils: versi permainan ini bagi bonfire dalam Dark Souls.

Tempat ini bukan sahaja berfungsi sebagai checkpoint, malah membolehkan anda fast-travel antara lokasi anvil lain yang telah ditemui, menempa atau membaiki senjata, mengitar semula bahan, atau sekadar berehat untuk mengisi semula potion anda.

Kredit: MercurySteam

Ketika meneroka dunia game, anda juga boleh menjumpai patung-patung khas yang memberikan bahan crafting berkualiti tinggi seperti Steel dan Timber, penting untuk mencipta senjata serta perisai yang lebih mantap.

Kebanyakan sumber boleh diperoleh dengan mudah, sama ada melalui pertempuran dengan musuh atau dengan menjelajahi kawasan tersembunyi yang mengandungi harta rahsia.

Kredit: MercurySteam

Namun begitu, kekurangan utama dalam aspek ini ialah arah tuju yang terlalu kabur. Game sering kali tidak memberikan petunjuk yang mencukupi, menyebabkan anda tidak pasti ke mana harus dituju seterusnya. Beberapa laluan penting pula disembunyikan dengan terlalu baik, sehingga sukar untuk dikesan tanpa menjelajah secara menyeluruh.

Ada kalanya saya benar-benar terhenti dalam game hanya kerana tidak dapat mengenal pasti langkah seterusnya, dan pengalaman ini boleh menjadi sangat menjengkelkan bagi pemain yang mahukan aliran yang lebih lancar.

Grinding yang Menghargai Usaha Pemain

Seperti yang telah disentuh sebelum ini, pertempuran melawan raksasa bukan sekadar untuk bertahan hidup—ia juga menjadi sumber utama bahan mentah untuk menempa senjata.

Memandangkan anda memerlukan pelbagai jenis senjata untuk menyesuaikan diri dengan musuh dan setiap satu daripadanya menuntut sejumlah bahan yang banyak, anda perlu bersedia untuk melakukan grinding yang agak intensif.

Saya sendiri kerap berehat di Forger’s Anvils semata-mata untuk respawn musuh dan mengumpul lebih banyak sumber.

Kredit: MercurySteam

Namun, inilah keistimewaannya: walaupun proses ini berulang, game menjadikannya terasa berbaloi. Setiap kali anda berjaya mengalahkan sejumlah musuh tertentu, anda akan membuka blueprint untuk senjata mereka.

Sebagai contoh, selepas mengalahkan 60 goblin yang menggunakan greatsword, saya memperoleh blueprint untuk menempa senjata yang sama. Jadi ya, anda perlu melakukan grind, tetapi sekurang-kurangnya ada ganjaran yang jelas dan bermakna di hujungnya.

Kredit: MercurySteam

Dari segi perkembangan watak pula, sistem yang digunakan agak ringkas dan tidak membebankan. Tiada pengurusan statistik seperti dalam RPG tradisional.

Sebaliknya, game menggunakan sistem skill tree yang dikenali sebagai Criptex, di mana anda boleh menaik taraf perkara asas seperti jumlah maksimum nyawa, tahap stamina, bilangan potion yang boleh dibawa, dan keberkesanan penyembuhannya.

Terdapat juga cabang peningkatan untuk kemahiran forging, termasuk menaikkan tahap Forge Stars yang berkait rapat dengan keupayaan crafting anda.

The Forge, Inti Gameplay Utama

The Forge merupakan elemen paling menonjol dalam Blades of Fire, boleh dikatakan sebagai tarikan utama game ini. Proses mencipta senjata di sini bukan sekadar menekan butang dalam menu biasa, tetapi dibentangkan sebagai mini-game yang kompleks dan menarik:

Kredit: MercurySteam
  • Pilih Blueprint – Anda akan bermula dengan memilih reka bentuk asas seperti pedang, kapak, atau tombak. Kemudian, anda akan menetapkan bahan untuk setiap komponen: bilah, pemegang, dan pommel. Panjang dan bentuk setiap bahagian akan mempengaruhi aspek penting seperti penggunaan stamina, tahap damage, dan kelajuan serangan.
  • Pilih Bahan – Setiap bahan memberi kesan tersendiri. Keluli, kayu, atau unsur magik akan mengubah sifat senjata. Bilah yang lebih tahan lama mungkin terasa berat dan perlahan, manakala bahan ringan pula cepat rosak. Bahan yang lebih langka menghasilkan senjata yang lebih hebat. Saya benar-benar kagum dengan ketelitian sistem ini.
  • Mini-Game – Anda akan menempa logam cair menggunakan tukul, dengan masa dan ketepatan menjadi kunci. Semakin hampir anda membentuk bilah mengikut blueprint, semakin banyak Repair Stars yang diperolehiaitu penanda berapa kali senjata boleh dibaiki sebelum ia musnah selama-lamanya.
Kredit: MercurySteam

Sistem ini memberi pengalaman yang benar-benar unik, anda tidak sekadar mencipta pedang biasa. Anda menyesuaikan panjang bilah, keseimbangan, ketajaman, genggaman, dan banyak lagi, dan semuanya memberi impak langsung dalam pertempuran.

Ia sangat memuaskan, membuatkan anda rasa seperti tukang besi sebenar, sesuatu yang jarang dicuba oleh RPG lain.

Kredit: MercurySteam

Namun, ada kelemahannya. Apa yang mula-mula terasa menyeronokkan boleh menjadi agak meletihkan selepas berjam-jam bermain dan mengumpul bahan. Mujurlah game ini menyediakan fungsi Forge Memory, yang menyimpan reka bentuk terbaik anda untuk digunakan semula.

Walaupun anda masih perlu mengumpul bahan, sekurang-kurangnya anda tidak perlu mengulangi proses dari awal setiap kali, sekali gus mengurangkan keletihan akibat rutin crafting.

Gaya Visual Memikat, Namun Terkekang oleh Prestasi dan Animasi

Gaya seni Blades of Fire menampilkan gabungan menarik antara fantasi gelap dan gaya kartun yang ekspresif. Reka bentuk wataknya memang menonjol: rupa Aran yang penuh parut dan ekspresi wajah Adzo yang hidup menjadikan kedua-duanya mudah diingati.

Kepelbagaian musuh juga mengagumkan, daripada troll besar hingga makhluk halus yang menyeramkan. Unsur darah dan keganasan pula dibesar-besarkan dengan gaya yang menghiburkan: anggota badan tercampak ke udara dengan dramatik setiap kali serangan mengena.

Kredit: MercurySteam

Dunia permainan pula direka dengan penuh perincian. Kawasan seperti hutan berkabus dan istana bergaya gothic bukan sahaja kelihatan indah, tetapi terasa benar-benar hidup. Hidupan liar yang lari apabila Aran menghampiri menambah sentuhan realistik.

Pencahayaan dinamik dan kesan partikel, terutamanya semasa sesi forging, memberikan suasana sinematik yang memikat. Runut bunyi pula cukup menonjol, gabungan muzik orkestra dan melodi rakyat melengkapkan visual dengan sempurna.

Kredit: MercurySteam

Namun, dari sudut teknikal, ada beberapa kekurangan yang ketara. Animasi watak kelihatan agak kaku dan kurang responsif, seolah-olah anda sedang bermain RPG lama dari lebih sedekad lalu. Ekspresi wajah kurang lancar, dan pergerakan semasa pertempuran masih kelihatan kasar walaupun sistem kawalannya moden dan berasaskan input arah.

Kredit: MercurySteam

Lebih mengecewakan lagi ialah prestasi teknikal game ini. Meskipun visualnya menarik tetapi bukan luar biasa, ia tetap memerlukan spesifikasi tinggi untuk mencapai prestasi stabil.

Di sistem saya yang menggunakan Ryzen 5 3600 dan Radeon RX 6800 dengan 16GB VRAM, game ini masih tidak mampu mengekalkan 60 FPS pada resolusi 1440p tanpa bantuan AMD FSR. Untuk sebuah game yang tampil dengan gaya animasi yang lebih klasik, ia sepatutnya boleh berjalan dengan lebih lancar tanpa bergantung kepada teknik upscaling.

Pendapat

Blades of Fire menonjol sebagai RPG yang mencabar, dengan sistem combat berasaskan arah serta pengurusan senjata yang mendalam. Setiap hayunan bukan sekadar serangan rawak: anda perlu mempertimbangkan sudut serangan, jenis damage, dan tahap ketahanan senjata.

Apabila anda benar-benar memahami rentaknya, pertempurannya sangat memuaskan. Namun, perlu diingat: keluk pembelajaran game ini agak curam dan boleh memakan masa.

Kredit: MercurySteam

Walau bagaimanapun, kerumitan ini ada harganya. Keperluan untuk mengumpul sumber yang banyak dan ketahanan senjata yang cepat rosak boleh menjadi beban. Mujurlah, sistem forging yang inovatif—di mana anda sendiri menempa senjata dari kosong—berjaya menjadi penyelamat dan antara tarikan utama game ini.

Kredit: MercurySteam

Dari segi visual, game ini berjaya membawakan suasana fantasi gelap yang unik dengan sentuhan gaya kartun. Dunia yang dicipta terasa hidup dan penuh dengan butiran menarik. Sayangnya, kelemahan seperti prestasi teknikal yang kurang stabil dan animasi watak yang kelihatan kaku sedikit menjejaskan pengalaman keseluruhan.

Kredit: MercurySteam

Akhir kata, Blades of Fire adalah pilihan yang wajar dipertimbangkan bagi pemain yang inginkan RPG yang menawarkan pendekatan berbeza daripada kebiasaan. Ia sangat sesuai untuk peminat Soulslike yang menghargai pertempuran taktikal dan keseronokan mencipta senjata sendiri.

Ia mungkin bukan untuk semua, tetapi identiti dan pendekatan uniknya menjadikannya satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Blades of Fire by boleh didapati di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC (Steam, Epic Games). Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

Jangan lupa untuk ikuti kami di TikTok!
@gamersantaimy

The Review

Blades of Fire

7.5 Score

Blades of Fire ialah RPG mencabar dengan sistem combat berasaskan arah dan pengurusan senjata. Pertempuran memuaskan walaupun keluk pembelajaran curam. Sistem forging inovatif menjadi tarikan utama, tetapi keperluan sumber tinggi dan senjata mudah rosak boleh membebankan. Visual bergaya fantasi gelap menarik, namun prestasi teknikal dan animasi kaku sedikit menjejaskan pengalaman. Sesuai untuk peminat Soulslike yang suka taktik dan crafting, ia menawarkan pengalaman unik walaupun tidak untuk semua.

PROS

  • Serangan arah, titik lemah musuh, dan jenis damage menambah lapisan combat—bukan sekadar menekan butang
  • Forging bukan sekadar klik menu—ia adalah mini-game kompleks dan penuh dengan kesan sebenar pada gameplay
  • Visual beratmosfera, watak ekspresif, dan runut bunyi hebat menghidupkan segalanya—malah dengan beberapa momen lucu

CONS

  • Mengalahkan musuh membawa kepada blueprint, jadi grinding benar-benar berbaloi
  • Gabungan input arah, jenis damage, dan ketahanan senjata yang cepat rosak mungkin membebankan sesetengah pemain
  • Terasa seperti RPG lama dari 2013, terutamanya semasa pertempuran atau cutscene
  • Game berat walaupun pada perkakasan yang kukuh—visual tidak cukup baik untuk memuji kecantikannya

Review Breakdown

  • Rating 0
Tags: Blades of Firereviu
ShareTweetSend
Previous Post

Kehidupan Himawari Semasa Timeskip – Ikemoto Ceritakan Kisah Anak Naruto

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Kehidupan Himawari Semasa Timeskip – Ikemoto Ceritakan Kisah Anak Naruto
Anime

Kehidupan Himawari Semasa Timeskip – Ikemoto Ceritakan Kisah Anak Naruto

May 20, 2025
Game Baharu Hideo Kojima, Physint, Hanya Akan Tiba Sekitar 2030-an
Berita

Game Baharu Hideo Kojima, Physint, Hanya Akan Tiba Sekitar 2030-an

May 20, 2025
Overwatch 2 x Street Fighter 6 – Kolaborasi Epik dengan Lapan Skin Ikonik
Berita

Overwatch 2 x Street Fighter 6 – Kolaborasi Epik dengan Lapan Skin Ikonik

May 20, 2025

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

Anime Sakamoto Days Part 2 Akan Ditayangkan Julai 2025, Trailer Baru Diperkenalkan
Anime

Anime Sakamoto Days Part 2 Akan Ditayangkan Julai 2025, Trailer Baru Diperkenalkan

May 14, 2025
Siapakah Ibu Anime Terbaik? Ini Pilihan Peminat Jepun Sempena Hari Ibu!
Anime

Siapakah Ibu Anime Terbaik? Ini Pilihan Peminat Jepun Sempena Hari Ibu!

May 12, 2025
Under 18 x KLEPET – Kolaborasi Komik Terbaru Gempak Starz & Filem Lokal
Tempatan

Under 18 x KLEPET – Kolaborasi Komik Terbaru Gempak Starz & Filem Lokal

May 12, 2025
DAN DA DAN: Evil Eye Akan Tayang di Pawagam Malaysia – Tarikh, Sinopsis & Bonus Eksklusif
Anime

DAN DA DAN: Evil Eye Akan Tayang di Pawagam Malaysia – Tarikh, Sinopsis & Bonus Eksklusif

May 9, 2025
Goblin Slayer Ⅱ & BrownDust2 Bergabung Dalam Kolaborasi Fantasi Anime!
Berita

Goblin Slayer Ⅱ & BrownDust2 Bergabung Dalam Kolaborasi Fantasi Anime!

May 8, 2025
‘Nintama Rantaro: Invincible Master of the Dokutake Ninja’ Tayang di Malaysia 22 Mei Ini!
Anime

‘Nintama Rantaro: Invincible Master of the Dokutake Ninja’ Tayang di Malaysia 22 Mei Ini!

May 8, 2025
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd