Genre monster hunting adalah satu genre yang susah untuk dipertahankan dan terdapat pelbagai developer yang telah mencuba membawa genre ini tetapi tidak bertahan dengan lama. Kini terdapat pencabar baharu di mana Koei Tecmo Games dan Electronic Arts (EA) telah melancarkan game baharu mereka iaitu Wild Hearts.
Wild Hearts kini boleh didapatkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam dan Epic Games Store. Tetapi kalau anda nak tahu sama ada game ini sesuai untuk anda atau tidak, teruskan membaca review daripada kami ini.
Jalan Cerita

Ramai pemain mungkin tidak kisah tentang penceritaan apabila bermain game yang bergenre Hunting seperti ini, tetapi Wild Hearts memberikan tumpuan yang agak besar pada perkara ini. Sebelum membuat watak anda sendiri, mereka akan memperkenalkan watak-watak penting di mana mereka akan menemani sepanjang perjalanan dan memberikan pengalaman yang agak perlahan.
Anda akan bermain sebagai Hunter yang mengembara dalam dunia fantasi Jepun feudal, di mana suatu hari anda bertemu dengan seorang pemuzik misteri yang memberikan kuasa Karakuri. Dengan teknologi purba ini, anda akan dapat membina semula bandar Minato dan menyelamatkannya daripada terus diancam oleh Kemono.
Di bandar ini, anda akan bertemu pelbagai orang termasuk tukang besi Natsume yang ceria, veteran samurai malas Ujisihige, cendekiawan Suzuran yang bersemangat, dan lebih banyak watak yang anda akan jumpa untuk membuatkan anda berasa seperti sebahagian daripada keluarga besar ini.

Selain daripada hanya mendapat beberapa cutscene di beberapa tempat, setiap misi utama dalam game ini distrukturkan seperti RPG single player di mana anda mempunyai perbualan penuh dan juga pilihan dialog.
Ini sememangnya kes yang jarang berlaku dalam game “monster hunting”, tetapi perubahan sikit demi sedikit akan berlaku di mana saya suka berehat dan menikmati beberapa jalan cerita yang dipaparkan diantara aksi.
Ia membuatkan saya lebih bermotivasi untuk membuat progress semasa bermain kerana ia rasa lebih bermanfaat kerana anda sebenarnya dapat melihat perkembangan cerita yang lebih berkesan dan bukan hanya sekadar untuk memburu raksasa baharu.

Jalan cerita yang disediakan turut bersambung kepada misi sampingan yang diberikan oleh watak NPC penting di mana mereka juga mempunyai “background story”.
Memandangkan game ini memfokuskan kepada genre “hunting monster”, cerita yang disediakan tidak berat tetapi ia masih seronok untuk diikuti. Walau bagaimanapun, terdapat satu bug yang benar-benar mematahkan minat saya selepas Chapter 2, di mana setiap dialog yang tertentu akan di”skip” secara automatik seperti anda hanya menekan butang ke hadapan dan suara watak itu bertindih antara satu sama lain.
Terdapat juga suara yang hilang apabila bug ini berlaku di mana anda tidak dapat mendengar separuh daripada “sfx” yang sepatutnya dimainkan di dalam game. Saya boleh membetulkannya buat sementara dengan memuat semula fail simpan, tetapi ia terus berlaku tidak lama selepas itu. Jadi terdapat banyak dialog cerita yang akhirnya dilangkau.
Karakuri

Sebelum masuk ke dalam gameplay, saya rasa Karakuri adalah bahagian yang sangat penting untuk dibincangkan. Secara asasnya, perkara ini akan membina pengalaman teras Wild Hearts di mana anda perlu menggunakannya bagi membantu anda dalam segala jenis aktiviti memburu.
Ini boleh terdiri daripada Karakuri sebenar yang anda akan gunakan dalam pertempuran untuk melakukan pelbagai manuever atau serangan balas, membina kemudahan kem, atau hanya sebagai peningkatan kepada “loadout” watak anda.

Terdapat pelbagai perkara untuk dicuba, tetapi mari kita mulakan dengan Karakuri yang anda gunakan dalam pertempuran. Yang pertama, anda boleh membawa empat Basic Karakuri berbeza daripada Crate yang boleh mencampak watak anda untuk mencapai tempat yang lebih tinggi atau melakukan serangan “plunging attack”.
Spring yang boleh membantu anda untuk mengelak serangan musuh atau mendekati mereka. Torch yang boleh memberikan api kepada senjata dan banyak lagi. Ia agak mudah pada mulanya, tetapi kemudian game akan memperkenalkan anda dengan Karakuri baharu perlahan-lahan di mana ia boleh dibuat daripada gabungan Basic Karakuri selepas mengalahkan Kemono tertentu.
Contohnya Kingtusk mempunyai “charging attack” yang kuat tetapi ia boleh disekat oleh Bulwark. jadi, anda boleh menggabungkan enam Crate untuk menghasilkan Karakuri baharu. Tetapi nanti, terdapat satu misi yang memerlukan anda menggabungkan dua Karakuri yang berbeza dalam susunan tertentu dan sudah pasti ia sangat sukar untuk dikuasai. Lagi-lagi dalam pertempuran sengit.

Anda juga akan memerlukan “Karakuri Thread” yang mencukupi sebagai bahan untuk membuatnya, tetapi sekurang-kurangnya ia mudah untuk didapatkan dengan hanya mengimbas kawasan sekitar dengan Hunter Vision atau menghasilkan damage yang mencukupi pada Kemono, atau diberikan oleh Tsukumo (rakan pemburu ini game).
Selain itu, terdapat juga Dragon Karakuri yang bertindak sebagai kemudahan atau alatan untuk membantu anda mendapatkan pengalaman yang lebih baik semasa memburu. Terdapat banyak perkara di sini, bermula dari Hunter Tent yang ringkas untuk menyediakan titik fast travel, Field Forge untuk membuat senjata dan armor, Hunter Tower untuk mengimbas sasaran Kemono dalam setiap peta, dan banyak lagi.
Biasanya ini adalah jenis Karakuri yang anda akan bina di setiap kem, tetapi ia juga boleh digunakan hampir di mana-mana, termasuk di dalam Minato. Kadang-kadang anda perlu sampai ke tempat yang jauh yang mengambil masa tetapi ia lebih cepat dengan hanya meletakkan Flying Vine. Mereka juga mempunyai skill tree yang sangat luas khusus untuk Karakuri dan banyak perkara yang boleh anda buka.

Bahagian terbaik dam bahagian Karakuri adalah setiap daripadanya akan kekal dan boleh digunakan selagi tidak dihancurkan oleh Kemono atau anda sendiri. Ia sangat rapuh semasa dalam pertempuran, tetapi ia mudah untuk dibuat dan ia tidak akan pernah pecah apabila anda bangunkan Karakuri di kawasan selamat melainkan anda mahu melakukan beberapa pelarasan.
Ini menjadikan pengalaman yang sangat menarik di mana anda mempunyai ruang yang besar untuk bermain-main, terutamanya apabila cuba membuat laluan yang lebih cekap untuk sampai ke tempat tertentu yang juga boleh membantu semasa mengejar Kemono.
Senjata

Variasi senjata adalah agak asas, di mana senjata permulaan anda terdiri daripada Karakuri Katana, Nodachi, Bow, Maul, dan Bladed Wagasa. Kemudian dalam cerita ini anda akan mendapat akses kepada senjata yang lain seperti Hand Cannon, Claw Blade dan Karakuri Staff.
Saya katakan asas kerana kebanyakan senjata ini adalah sesuatu yang anda boleh cari dengan mudah dalam game memburu raksasa yang lain. Tetapi mereka mempunyai mekanik yang berbeza tentang cara anda melakukan kombo, tetapi akhirnya ia masih memberikan anda perasaan biasa yang sama, yang mungkin tidak terlalu teruk untuk sesetengah orang tetapi saya mahu melihat sesuatu yang baharu.
Akhirnya keinginan saya terkabul dengan Karakuri Staff, di mana ia merupakan satu mekanik baharu yang jauh lebih unik dan kompleks jika nak dibandingkan dengan semua senjata lain.

Ia adalah senjata universal yang boleh mengubah antara lima bentuk berbeza, yang menjadikannya pilihan yang paling serba boleh untuk memburu Kemono, tetapi ia memerlukan banyak latihan sehingga anda akhirnya boleh mendapatkan corak dan bila masa yang sesuai untuk menggunakan setiap bentuk.
Saya dapati berlatih dengan Training Bear tidak mencukupi kerana bagaimana anda tidak boleh mengunci sasaran itu. Jadi, jalan yang terbaik untuk melakukan pemburuan adalah terhadap Kemono yang lebih lemah dan mengumpul bahan semasa anda melakukannya.
Selain Staff, terdapat juga Karakuri Katana yang merupakan senjata kegemaran saya dan yang paling saya gunakan kerana keberkesanannya. Ia pantas, ia mempunyai kuasa tinggi yang boleh meruntuhkan bahagian Kemono dengan mudah, dan anda juga boleh mengumpul bar senjata untuk menguatkan atribut Katana sambil memanjangkan jarak serangan.

Terdapat juga Bladed Wagase, senjata payung yang kelihatan hebat yang menawarkan serangan yang sangat pantas dan beberapa gabungan udara, tetapi gimik utamanya ialah ia satu-satunya senjata dengan gerakan menangkis yang boleh diikuti dengan serangan balas yang hebat. Ia adalah senjata yang menyeronokkan untuk digunakan, tetapi malangnya saya malas dengan masa menangkis dan nampaknya tidak dapat melakukannya dengan betul.
Bagi saya ia bukan tentang kuantiti, tetapi saya suka jika game ini boleh menawarkan senjata yang lebih unik seperti Karakuri Staff. Kegembiraan game Monster Hunting terutamanya bergantung pada percubaan dengan senjata yang berbeza. Jadi ia boleh menambah banyak “replayability” semula sama ada ingin menguasai senjata terbaik yang boleh menjadi proses yang panjang.
Jika senjata itu menyeronokkan untuk digunakan maka ia adalah satu kelebihan yang besar, tetapi ini adalah sesuatu yang saya hanya boleh lihat apabila menggunakan Karakuri Katana dan Staff.
Jom mengembara dan memburu

Peta dunia Wild Hearts terdiri daripada beberapa kawasan besar dengan habitat unik dan Kemono untuk diburu. Anda benar-benar boleh menghabiskan berjam-jam hanya meneroka setiap kawasan, mengumpul material, melakukan pemburuan atau membina kem dan kemudahan pada bila-bila masa.
Tiada sekatan masa selagi anda tidak berlepas untuk “quest” sampingan yang boleh diakses daripada ikon pada peta utama. Ini jauh lebih baik berbanding dengan game monster hunting yang lain, di mana mereka memfokuskan untuk mengikat anda kepada quest tertentu sebelum anda boleh meneroka kawasan tertentu, apatah lagi mempunyai kebebasan sebanyak ini sehingga dapat mengubah dunia dalam beberapa cara dengan Karakuri.

Seperti yang saya jelaskan sebelum ini mengenai Karakuri, anda boleh membina kem dengan semua jenis kemudahan di sekeliling peta di kawasan selamat. Tetapi sebelum itu anda perlu “unblock dragon pits” untuk meningkatkan kapasiti elemen yang diperlukan untuk membina Karakuri Dragon tertentu.
Sememangnya ini adalah tempat yang paling sesuai untuk membina kem anda, tetapi setiap Dragon Pit akan mempunyai kapasiti yang berbeza-beza. Jadi anda tidak boleh sentiasa membina segala-galanya tanpa menaik taraf “pit” yang memerlukan banyak bahan. Selepas membuat pelbagai perkara, saya yakin anda akan faham sistem mekanik dan peta serta memudahkan perjalanan anda semasa memburu.
Apabila semua persiapan telah selesai dilakukan, tiba masanya untuk memburu Kemono dan anda boleh mencarinya dengan menggunakan Hunter Tower. Secara keseluruhannya terdapat lebih daripada 20 spesies Kemono, di mana ia merupakan satu jumlah yang cukup bagus untuk game baharu dan akan dikembangkan lebih jauh pada masa hadapan.

Kemono itu sendiri pada asasnya adalah haiwan mutasi yang mengalami evolusi drastik menjadi raksasa gergasi dengan menggabungkan alam semula jadi. Seperti Earthbreaker yang pada asasnya seperti gunung berjalan dalam bentuk beruang batu gergasi.
Mereka cukup menyeronokkan dan mencabar untuk berlawan, tetapi ia tidak akan menjadi raksasa yang tidak dapat dilupakan. Bagi saya, Kemono yang ditampilkan sangat membosankan kerana sifat raksasa adalah haiwan yang sama cuma “skin” yang berlainan atau lebih “cool”. Malah nama mereka juga tidak mengagumkan dengan tiada personaliti. Ia tidak setanding dengan raksasa daripada beberapa game popular lain dalam genre yang lebih ikonik.

Dari segi gameplay, ia sangat mudah untuk dijangkakan daripada game monster hunting kecuali Wild Hearts adalah lebih mesra kepada pemain baru dan pertempuran yang ditawarkan sangat penuh dengan aksi. Anda tidak perlu risau tentang mengasah senjata, tidak perlu membawa peluru apabila menggunakan senjata jarak jauh, dan penggunaan stamina juga lebih terurus.
Jika itu sudah cukup, game ini juga memberi anda banyak makanan semula jadi untuk dimakan untuk menaikkan “buff”. Dengan adanya makanan semula jadi, anda tidak perlu memasak dan mencari sumber utama untuk “heal”. Anda hanya perlu menggunakan “Healing Water” yang boleh dikumpulkan dengan mudah di sekitar persekitaran.

Ia adalah pengalaman yang lebih menyenangkan, tetapi mungkin itulah sebabnya saya sangat menyukainya kerana ia lebih tertumpu kepada bahagian yang menyeronokkan daripada cuba menjadi bijak sepanjang masa.
Anda boleh berpegang pada cara memburu yang lebih tradisional dengan bergantung pada skill senjata sahaja, tetapi itu pasti menghilangkan keseronokan kerana sistem mekanik Karakuri adalah apa yang menjadikan pertempuran dalam Wild Heart betul-betul bersinar. Perasaan menunggang Kemono dengan Pounder tidak pernah menjadi tua, begitu juga apabila berjaya menyerang balas mereka dengan gabungan Karakuri yang lebih rumit.
Walaupun seronok bermain secara solo, anda masih boleh menggunakan bantuan daripada pemain lain pada bila-bila masa sahaja. Selain menggunakan rakan AI kecil yang dipanggil Tsukumo yang boleh anda upgrade, anda juga boleh meminta bantuan daripada pemain lain semasa memburu Kemono atau masa lakukan quest sampingan dengan masa yang terhad.
Kelengkapan

Walaupun pertempuran kurang mencabar, kekuatan senjata dan armor yang lebih baik masih ditawarkan. Memang ia masih mudah, tetapi anda perlu memburu Kemono tertentu lebih daripada sekali hanya untuk mendapatkan satu armor atau laluan upgrade untuk senjata anda.
Anda perlu melakukan banyak pilihan pemburuan untuk mendapatkan gear yang lebih baik, begitulah keadaannya dengan jenis game ini kerana di situ juga terletaknya keseronokan. Game ini mempunyai sistem “Armor Modification” di mana anda boleh mengubah set yang sama ada boleh mengikut laluan Manusia atau Kemono.

Ia bukan sahaja mengenai fesyen dan statistik, tetapi juga skill tertentu yang boleh anda warisi. Selain itu anda boleh memakai pelbagai Talisman untuk dapatkan “buff” tambahan di mana anda boleh mendapatkannya selepas mengalahkan Kemono.
Kesimpulan

Bagi seseorang yang jarang bermain game Monster Hunting, sebenarnya Wild Hearts dapat menarik perhatian saya kerana pengalaman bermain game secara solo yang sangat seronok. Memandangkan game ini masih baru, sudah pasti ia ketinggalan jauh di belakang jika nak dibandingkan dengan game lain tetapi saya sangat menghargai bagaimana mereka mengekalkan bahagian yang menyeronokkan.
Tanpa menggunakan kebijaksanaan sepanjang masa, pemain baharu sudah pasti akan dapat pengalaman yang lebih menyeronokkan dan mudah untuk mengalahkan Kemono. Dengan adanya sistem Karakuri, ia sangat memudahkan dan menjimatkan masa untuk mencari dan memburu Kemono.

Saya tidak boleh menyangkal yang Karakuri adalah satu sistem yang menakjubkan kerana ia dapat memberikan pengalaman baru dalam memburu raksasa. Tambah pula dengan tidak terikat dengan mana-mana reka bentuk, anda boleh menjadi sangat kreatif untuk membuat pelbagai gabungan Karakuri.
Selain itu, mereka memperkenalkan banyak spesies Kemono tetapi kebanyakannya hanya menukar warna dan elemen sahaja (reskin) tetapi saya yakin yang mereka akan membawa lebih banyak Kemono dalam update masa akan datang. Variasi yang disediakan untuk senjata juga tidak banyak dan saya mengharapkan yang mereka akan memperkenalkan banyak senjata nanti.
Secara keseluruhan, Wild Hearts adalah game monster hunting yang sangat berbeza dari segi konsep dan gameplaynya juga. Jadi, kepada penggemar game yang bergenre monster hunting atau ada yang ingin mencuba genre seperti ini, saya yakin anda akan tertarik dengannya.
Wild Hearts kini tersedia di PlayStation 5, Xbox Series X|S dan Pc melalui Steam dan Epic Games Store. Untuk mendapatkan lebih banyak review mengenai game, teknologi dan filem, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Wild Hearts
PROS
- Sistem Karakuri yang sangat bagus
- Kandungan penceritaan sangat menarik perhatian
- Pengalaman pertarungan yang tidak mengecawakan
CONS
- Kemono yang membosankan
Review Breakdown
-
Jadi, kepada penggemar game yang bergenre monster hunting atau ada yang ingin mencuba genre seperti ini, saya yakin anda akan tertarik dengannya.
Discussion about this post