Two Point Studios membuat Two Point Hospital pada tahun 2018, yang membolehkan pemain menguruskan sebuah hospital/ insitut kesihatan tetapi dengan kemunculan Two Point Campus, ia sepatutnya akan menjadi pengganti yang ideal dengan nada dan konsep yang sama menyeronokkan.
Di dalam game ini, kita akan menjadi pentadbir kepada salah satu universiti/kolej paling pelik di dunia, dan mengawasi serta membimbing para pelajar dalam kursus pilihan mereka. Diberi peluang untuk mencuba Two Point Campus oleh Sega Asia, kami telah mencuba game ini selama beberapa hari dan berikut adalah review saya!
Maka, mulalah kelas

Secara sekilas pandang, kita boleh melihat bahawa pihak studio mempunyai banyak idea, tetapi mahu melakukan sesuatu yang berbeza. Daripada banyak-banyak idea yang mereka kumpulkan, ia berjaya menghasilkan gameplay asas yang lebih kurang sama dengan Two Point Hospital, cuma dengan beberapa tambahan menarik.
Satu perkara besar yang membezakan kedua-dua game adalah matlamat kita sekarang berlainan. Daripada menyembuhkan orang secekap mungkin, tumpuan kita adalah untuk membolehkan pelajar berkembang maju dalam usaha akademik dan sosial. Sama seperti Two Point Hospital, fokus utama kita masih adalah keuntungan. Lebih cepat dan lebih baik kita mendidik pelajar, lebih banyak lah keuntungan kita.

Jadi apa yang universiti kita tawarkan? Pertama sekali, Two Point Campus mempunyai cara pelik untuk menyampaikan topik normal. Kursus gastronomi mengharuskan pelajar mencipta hidangan gergasi dan ini pun salah satu kursus yang paling normal. Antara contoh pelik saya boleh beri adalah kursus kesatria dan magic yang bagi saya seperti kita duduk di dunia Harry Potter.
Dari situ, kita boleh mula mengembangkan kursus tersebut atau menambah yang lain-lain. Menaik taraf sesebuah kursus akan meningkatkan jumlah pelajar yang boleh anda bawa masuk, yang juga memerlukan anda membina lebih banyak kemudahan/fasiliti dan mengupah lebih ramai guru. Malangnya, anda tidak boleh mengumpulkan semua pelajar ke dalam bilik yang sama, yang secara tidak langsung lebih menjimatkan kos.
Kampus pun perlu dijaga

Salah satu perubahan yang ketara dalam Two Point Campus ialah keupayaan untuk membina bangunan dalam apa jua cara yang anda mahukan. Di Two Point Hospital, kita hanya boleh membeli bangunan yang sudah siap dan menambah bilik mengikut susun atur bangunan itu. Dalam konteks ini, ia memerlukan kita untuk menjadi kreatif dengan susun atur, kerana kita perlu memaksimumkan ruang yang digunakan.
Apabila mengembangkan kampus anda dengan membeli plot tanah, anda boleh memilih antara “With Buildings” atau “Without Buildings”. Plot tanah dengan bangunan berharga lebih mahal manakala plot tanah tanpa bangunan lebih murah, tetapi itu pun boleh menjadi mahal kerana anda perlu membayar banyak duit untuk menambah fasiliti penting.

Di penghujung hari, saya rasa anggaran harga anda kedua-dua pilihan lebih kurang sama bergantung kepada susun atur kampus anda. Cuma kelebihannya tanah tanpa bangunan adalah kita mendapat kebebasan kreatif untuk melakukan apa saja yang kita mahu.
Bagi mereka yang malas, ia lebih senang untuk membuat bangunan empat segi supaya tempat letak lebih mudah dan boleh ditukar ganti. Ciri ini lebih kepada mereka yang letakkan banyak usaha dalam estetika kampus. Satu lagi ciri yang pasti menyenangkan hidup kita adalah keupayaan untuk copy paste susunan bilik atau menyimpannya sebagai templat. Jika anda ingin membuat bilik asrama, ini pasti boleh menjimatkan banyak kerja.

Sekiranya anda memerlukan lebih banyak wang, kita boleh meminta loan/pinjaman duit. Terdapat tiga loan berbeza yang boleh anda ambil, cuma satu sahaja saranan saya, jangan ambil semuanya sekaligus.
Bantu mendidik generasi baru

Satu lagi poin yang membuatkan Two Point Campus sangat unik adalah kita boleh memupuk hubungan bersama pelajar. Setiap pelajar akan bekerja secara autonomi, dan tugas anda hanyalah untuk menyediakan acara untuk mereka sertai dan fasiliti untuk berkumpul. Jika anda mahu mereka bercinta, lebih baik anda membina beberapa tempat yang bagus untuk mereka pergi dating.
Jika ada pelajar kegemaran, anda boleh mengikuti perjalanan pendidikan dan hubungan mereka, Jangan sesekali mengabaikan pelajar dan fokus kepada keuntungan kerana kebahagiaan mereka adalah kunci untuk maju dalam game ini.

Jadi apa yang perlu kita buat supaya mereka sentiasa gembira? Anda perlu membina asrama, bilik mandi, ruang istirahat dan lain-lain untuk memenuhi keperluan mereka. Sementara itu, anda perlu menghiasi sekolah untuk menjadikannya lebih menarik, kerana daya tarikan sekolah berkait rapat dengan kebahagiaan pelajar dan jika tidak cukup gembira, mereka tidak akan mencapai prestasi akademik. Keadaan boleh bertambah teruk hingga mereka enggan membayar yuran sekolah.
Setiap pelajar mempunyai keperluan sendiri dan mereka semua mempunyai tahap pemahaman yang berbeza tentang subjek tertentu, sama seperti kehidupan sebenar. Ada yang boleh mendapat markah baik dengan mudah, manakala ada yang memerlukan banyak bantuan. Jika anda membuka profil pelajar dan melihat mengapa mereka mempunyai gred yang rendah, anda boleh menghantar mereka ke tuisyen untuk meningkatkan prestasi akademik.

Daripada segi itu, game ini mungkin lebih sukar daripada Hospital kerana kita perlu menguruskan lebih banyak perkara.
Pendapat

Secara keseluruhan, Two Point Campus ialah game “managing sim” yang sangat solid dan kelakar. Bagi mereka yang suka game jenis managing sim, game ini boleh diakui sebagai salah satu game terbaik di pasaran. Banyak mekanik yang ditambah baik, dan walaupun saya pun hanyalah beginner dalam genre ini, saya tetap boleh memahami asas-asa gameplay dengan cepat.
Ia kelakar, ia menyeronokkan, dan ia mempunyai konsep yang berbeza daripada entri sebelum. Walaupun Two Point Campus dan Two Point Hospital dibuat oleh studio yang sama, tetapi kedua-duanya jelas mempunyai tema yang sangat berbeza.
Dalam Campus, anda perlu memikirkan secara mendalam tentang cara-cara untuk menggembirakan semua pelajar supaya universiti dapat berkembang, manakala di Hospital, anda boleh sahaja mengabaikan pesakit dan masih boleh mendapat banyak wang.
Bagi sesiapa yang berminat, Two Point Campus akan keluar untuk PlayStation 5, Xbox Series, PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC melalui Steam pada 9 Ogos serta akan tersedia melalui Xbox Game Pass.
@gamersantaimy
The Review
PROS
- Tema universiti yang lucu
- Gameplay mudah untuk faham
- Animasi sangat bagus dan unik
CONS
- Cara kawalan mungkin agak kekok
- Boleh menjadi susah jika tidak faham konsep managing sim
Discussion about this post