Bagi penggemar kucing di seluruh dunia, rasanya korang wajib cuba ‘Stray‘ – sebuah game indie berkisarkan seekor kucing oren yang genre-nya separuh platformer, separuh puzzle. Dibangunkan selama tujuh tahun, ia telah menjadi antara game paling dinanti-nantikan pada tahun 2022 sehingga menjadi game paling “wishlist” di Steam kerana watak utamanya yang comel.
Jadi adakah ia best seperti yang disangkakan? Saya berpeluang mencuba game ini di PS5, jadi berikut adalah segala-galanya yang korang perlu tahu tentang jalan cerita, gameplay dan apa si kucing comel ini boleh buat.
Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah review saya untuk Stray!
Jalan cerita dan visual protagonis

Di dalam Stray, kita bermain sebagai seekor kucing oren yang telah dipisahkan daripada keluarganya dan entah bagaimana tersesat di bandar futuristik yang suram. Memandangkan game ini baru sahaja keluar, saya tidak akan memberitahu apa-apa tentang jalan cerita sebenar, jadi korang tidak perlu risau – review ini tiada spoiler!
Korang cuma perlu tahu bahawa protagonis kini terperangkap di “dunia” asing dan harus melaluinya supaya dapat bersatu semula dengan ahli keluarga yang lain dengan bantuan dron bernama B12. Dunia futuristik itu sendiri tidak dihuni oleh manusia, sebaliknya dihuni oleh robot yang boleh berinteraksi bersama kita.

Terdapat beberapa level yang akan dilalui oleh pemain, dan walaupun jalan cerita Stray adalah linear, ia masih membenarkan kita untuk meneroka dan menjelajah. Game ini akan mengambil masa kira-kira 7 hingga 8 jam untuk tamat jika korang bermain hanya untuk tahu kisah sahaja manakala dan pemain yang bersifat “perfectionist” akan mengambil masa 9 hingga 10 jam untuk temui semua rahsia yang ditawarkan di dalam game.

Daripada segi visual, protagonis kita (iaitu si oyen) dianimasikan dengan sangat cantik di mana pihak studio telah menggunakan kucing milik developer sebagai titik rujukan. Korang pun tahu kan bahawa haiwan di dalam game jarang dianimasikan dengan baik (melainkan kalau ia adalah game simulator seperti Planet Zoo), jadi saya agak terpesona melihat gerak gerinya yang lancar.
Gameplay umum

Setiap mekanik gameplay dan keputusan reka bentuk dalam Stray didorong oleh satu idea sahaja: Kita Bermain Sebagai Seekor Kucing di mana permainan seolah-olah berfungsi sebagai taman permainan.
Jadi ini adalah apa yang saya tahu. Stray terasa seperti game platformer yang menggabungkan antara gameplay open world dan linear. Walaupun game ini menggalakkan penerokaan, jalan untuk memajukan jalan cerita biasanya amat jelas, di mana dinding, grafiti dan objek-objek lain dipenuhi dengan anak panah atau petunjuk arah lain.

Satu lagi perkara korang perlu tahu adalah game ini tiada adegan berlawan, dan sebaliknya menggantikan dengan adegan di mana kita mesti pancing musuh untuk mengejar kita supaya laluan baru boleh dibuka. Walaupun ini bukan kali pertama mekanik tersebut diterapkan dalam game, ia memberi nafas baru kerana kita melihat dunia daripada perspektif kucing.
Sebagai contoh, kita sebagai kucing boleh mengangkat objek-objek tertentu seperti baldi di mulut dan menjatuhkannya ke dalam kipas lalu menyekat bilah dan membuka laluan baru. Bukan itu sahaja, mencakar pintu pun boleh membuka kawasan baru untuk diterokai. Bagaimana jika kita di tempat yang tinggi? Menggunakan berat badan dan momentum, kucing itu boleh menggerakkan beberapa platform supaya kita dapat memanjat ke tempat berbeza.


Banyak cara untuk meneroka dunia dalam game ini, dan korang hanya perlu menggunakan akal sahaja untuk maju ke depan.
Satu lagi perkara menarik adalan para robot yang hidup di sekitar bandar. Andai kata protagonis kita sesat, kita boleh mengumpul maklumat daripada mereka untuk mempelajari lebih lagi tentang sebuah misi atau latar belakang lokasi/watak itu.

Selain daripada memanjat sini sana, game ini juga reka butang spesifik untuk kita meow. Apakah fungsinya? Secara amnya, butang “meow” digunakan untuk mengganggu orang terutamanya robot atau mencuri perhatian musuh. Satu contoh saya boleh beri adalah “terdapat sepasang robot yang cuba memindahkan cat putih di atas bumbung. Semasa proses memindah, kita boleh “meow” lalu robot itu akan menjatuhkan satu baldi penuh cat kerana terkejut.

Pemilik bangunan itu kemudian akan keluar dalam keadaan marah lalu cuba untuk membersihkan lantai. Jadi inilah masanya untuk kita menggeledah rumahnya. Itu antara contoh saya boleh beri.
Apa lagi kita boleh buat sebagai kucing? Jawapannya adalah tidur! Beberapa tempat mempunyai lokasi khusus untuk tidur seperti sofa, tilam, di dalam rak, dan lain-lain. Perbuatan ini tidak mempunyai kelebihan dan hanyalah salah satu interaksi kita boleh buat di dalam game.

Secara keseluruhan, ini sangat sesuai dengan struktur keseluruhan gameplay,kerana walaupun jalan cerita dipersembahkan secara linear dan boleh disiapkan dalam tempoh masa sehari, pemain masih boleh menghabiskan banyak masa meneroka dunia permainan sesuka hati, tanpa perlu terburu-buru.
Fungsi teman robot B-12

Pertama sekali, kita boleh membawa lampu suluh dan alatan lain dalam inventori kecil yang diuruskan oleh B-12, sebuah dron comel yang tinggal dalam beg galas milik si oyen.
Selain daripada memegang peralatan, B-12 boleh menterjemah bahasa robot ke bahasa yang boleh difahami oleh kucing. Setiap simbol di dalam game mempunyai maksud tertentu yang bermakna robot mini ini dapat menguraikan mesej tersembunyi dalam setiap papan tanda, grafiti dan persekitaran sekeliling. Akhir sekali, ia juga dapat memaparkan objektif semasa.


Semasa meneroka bersama, kita akan mengumpul ‘Memories’, iaitu serpihan data milik B12 yang mengajar pemain tentang keadaan dunia sebelum malapetaka berlaku. Dilabel sebagai collectible, kita tidak perlu kumpul setiap satu tetapi ia penting untuk memahami lebih lagi tentang jalan cerita.
Tidak mampu berlawan, hanya mampu berlari

Walaupun Stray memberi gambaran sebagai game yang santai, kita masih akan menghadapi beberapa musuh berbahaya termasuk dikejar oleh makhluk ala-ala jeli bernama ‘Zurks’. Andai kata ditangkap, kita boleh mati. Jangan risau kerana apabila mati, kita akan spawn semula di checkpoint berdekatan.
Ini menyokong poin saya di atas di mana tumpuan utama adalah pada “penerokaan” dan bukannya menewaskan musuh dalam cara tradisional. Setiap orang (walaupun mereka yang tidak pernah bermain game) boleh maju dalam game dengan lancar tanpa apa-apa halangan. Stray masih ada beberapa cabaran, tetapi bukanlah satu pengalaman yang sukar secara keseluruhan.


Jika terjatuh, korang pun tidak perlu risau kerana Stray tidak mengaplikasikan mekanik “fall damage”. Ada kemungkinan besar korang akan dibunuh banyak kali oleh Zurks tetapi selain itu, tiada cara lain untuk mati.
Ciri-ciri eksklusif PS5

Setiap perbuatan di dalam Stray dihidupkan oleh controller PlayStation DualSense melalui haptic feedback, adaptive trigger dan speaker, yang cuba untuk mereplikasikan perasaan seolah-olah kita sedang memegang kucing sebenar di dalam tangan.
Aktiviti yang saya paling kerap buat di dalam game adalah mencakar. Tidak kira di dinding, di sofa, di pokok dan lain-lain, Si Oyen akan mencakar segala benda dia suka. Saya boleh merasa “tension” di setiap cakaran bergantung pada permukaan (mencakar pokok lebih susah daripada karpet).

Satu lagi ciri canggih apabila bermain di PS5 adalah apabila kucing membuat suara atau berdengkur, bunyi itu akan keluar daripada speaker DualSense, serta akan vibrate perlahan-lahan untuk menghasilkan perasaan “kucing di dalam pelukan anda.”
Pendapat

Bagi pendapat saya, Stray ialah surat cinta kepada penggemar kucing, dan adalah satu game yang semua cat-lover patut cuba. Dari segi kekurangan, saya boleh kata bahawa ia hanya akan menarik perhatian segelintir gamer sahaja. Sebagai contoh, mereka yang sukakan game 100% aksi, pasti tidak akan menyukai game ini kerana cabarannya yang mudah.
Pada masa yang sama, aksinya pun tidak begitu “bombastik”. Si Oyen hanya akan cakar objek, memanjat bangunan, dan mengacau penduduk robot – hingga mungkin ada yang panggil “cat simulator”. Namun, itulah keindahan Stray. Ia tidak dicipta untuk aksi, dan sebaliknya ingin mengajar kita bagaimana seekor kucing menjalankan kehidupan bersama dengan sedikit unsur fiksyen.

Stray mempunyai banyak potensi – ia adalah game platformer yang “family friendly” dan mempunyai tempo yang baik untuk jalan cerita serta memiliki banyak unsur pengembaraan, penyiasatan dan penerokaan. Memang seronok untuk cuba dan bagi sesiapa yang tidak membela kucing, korang mungkin berminat untuk membela seekor selepas menghabiskan Stray.
Stray akan dilancarkan untuk PS5 dan PS4 pada 19 Julai dan PC melalui Steam pada 20 Julai.
@gamersantaimy
The Review
Stray
PROS
- Game terbaik untuk pencinta kucing
- Perspektif menarik untuk platformer
- Kisah cliche tapi masih menarik
CONS
- Bukan untuk mereka yang mahu game 100% aksi
- Agak membosankan jika anda tidak menghargai kucing
Discussion about this post