House of Ashes adalah entri terbaru dan merupakan ansuran ketiga dalam siri permainan seram The Dark Pictures Anthology. Dicipta oleh Supermassive Games, ia memaparkan naratif baru untuk peminat seram dan walaupun saya tidak akan mendedahkan banyak tentang jalan cerita, mungkin ada beberapa spoiler yang tidak dapat dielakkan. Anda juga boleh melihat preview awal kami di SINI untuk rujukan lebih lanjut. Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah review saya untuk House of Ashes!
Anda boleh memilih antara tahap kesukaran bermula dengan Forgiving, Challenging dan Lethal, di mana ulasan ini berdasarkan tahap paling mudah. Maafkan kami. Kami pengecut kalau game seram.
Aspek visual

Bermain di PS5, saya memang kagum dengan tahap butiran dan pencahayaan yang ditawarkan dalam mod Quality. Segala-gala perincian kecil seperti urat mata, cahaya matahari dari atas, dan kesan kebakaran boleh dilihat, dan untuk itu, saya salut kepada pasukan pembangunan! Di sini, saya ingin membuatkan watak Rachel King yang dilakonkan oleh Ashley Tisdale sebagai contoh kerana tahap visual memang “detail” sehingga solekan di muka pun kita boleh nampak. Tetapi, syaratnya adalah kita harus bermain game ini di tetapan grafik tertinggi pada paparan yang bagus untuk benar-benar mengalami keindahan visual grafik.

Seperti yang dijanjikan, kamera kini bebas untuk dikawal. Malangnya, ia juga mempunyai beberapa masalah. Kamera kadangkala akan mengalami isu di kawasan yang sempit, di mana beberapa persekitaran sekeliling atau model watak akan hilang semasa kita cuba membetulkan kamera. Kelajuan kamera pun tidak dapat diubah suai, di mana kelajuan agak perlahan untuk memberi nuansa “sinematik”. Andai kata anda sedang sibuk mencari klu atau jalan keluar, kelajuan kamera memang akan tidak membantu. Saya juga menemui bug di mana model watak boleh hilang dari cutscene, atau mulutnya bergerak tetapi tiada suara yang keluar. Untuk bug ini, jangan risau. Pihak pemaju pasti akan membetulkan isu dengan cepat. Harap maklum, saya pun bermain di versi awal yang tujuannya untuk ulasan.
Gameplay asas

Dari segi gameplay, mekanik sebenar tidak terlalu rumit, dan jika anda pernah bermain entri lama atau Until Dawn, gameplay masih menerapkan sistem yang sama. Sekiranya anda memang tidak pernah cuba, anggaplah game ini sebagai filem interaktif, di mana anda akan membuat pilihan atau aksi yang dapat mengubah bagaimana watak tertentu bertindak semasa jalan cerita, lantas mempengaruhi keseluruhan naratif. Kita juga akan sering bertukar pandangan kepada setiap watak untuk mengalami situasi mereka dengan mata sendiri, manakala Curator’s Cut menawarkan lebih banyak kisah bercabang. Sekiranya salah seorang terbunuh atau mati, maka anda tidak lagi dapat melihat POV mereka.
Mekanik Quick Time Event (QTE) masih lagi ada dalam permainan dan merupakan ciri konsisten di semua permainan SuperMassive Games. Sekali-sekala, anda perlu menekan butang yang keluar di skrin, atau membidik dan menembak sasaran menggunakan senapang. Tetapi jangan anggap House of Ashes tiba-tiba menjadi game shooter. Penggunaan senjata hanya terhad kepada QTE sahaja. Cabaran sebenar masih tentang membuat pilihan yang anda anggap “rasional” dan bakal menguji bagaimana kita bertindak balas dalam keadaan terdesak. Penggunaan cahaya juga membantu menambahkan ketegangan dalam permainan. Anda akan mengawal cahaya dari pistol atau topi keledar semasa bergerak, jadi kita bukan sahaja perlu mengawal ke mana hendak pergi, malah mengawal di mana untuk melihat.

Kerana naratif terserah kepada pemain, anda akan menemui “premonition”, yang muncul sebagai tablet batu dalam permainan. Ini akan memberi gambaran sekilas mengenai “masa depan” yang mungkin akan terjadi, lantas mempengaruhi tindakan anda yang seterusnya. Dalam game seperti ini, anda perlu ingat bahawa kadangkala “tidak melakukan apa-apa” juga merupakan pilihan yang paling bagus. Selebihnya bergantung kepada cara kita ingin bermain. Jika masih keliru, anda dapat melihat sistem kawalan dalam tutorial prolog.
Jalan cerita

Sekali lagi, saya ingin katakan bahawa mungkin ada spoiler bagi mereka yang tidak ingin tahu jalan cerita. Walaupun begitu, tidak banyak yang saya akan ceritakan memandangkan game ini pun akan dilancarkan tidak lama lagi. Sekiranya anda jenis ingin tahu tentang jalan cerita, teruskan membaca.
Seperti yang telah kita pelajari dari preview, prolog memperkenalkan kita kepada sejenis “sumpahan” yang berasal dari tanah kuno Akkad. Raja Naram-Sin telah mengadakan upacara korban di kuilnya untuk mendapatkan bantuan para dewa setelah menggeledah kuil mereka. Pada ketika ini, apa yang kita buat tidak penting kerana semua orang ditakdirkan untuk mati, tidak kira disumpah atau tidak. Kita juga dapat melihat sejenis raksasa secara sekilas pandang sebelum adegan berubah ke negara Iraq pada tahun 2003.

Sesuatu sedang berlaku ketika pasukan tentera Amerika Syarikat bersiap sedia untuk operasi mereka di Iraq. Di sini, kami bertemu Rachel King, Jason Kolchek, Nick Kay, dan Eric King yang merupakan sebahagian daripada askar yang sedang berkhemah di “Camp Slayer”. Misi mereka adalah untuk mengumpulkan senjata “weapons of mass destruction” (WMD), lalu segera memulakan misi untuk memperolehnya.
Di adegan seterusnya, kita bertemu Salim Othman, seorang ayah tunggal dan tentera Iraq. Anaknya, Zain, mempunyai masa depan yang cerah tetapi kehidupan tidak selalunya indah. Walaupun Salim ingin meluangkan masa dengan Zain, dia diseru dan terpaksa bertugas sekali lagi. Dengan hasil penyelidikan yang teliti oleh Supermassive, saya kagum dengan usaha mereka apabila warga Iraq di bertutur dalam bahasa Arab, untuk memberi pengalaman yang lebih autentik kepada pemain.

Selepas seluruh operasi WMD nampaknya gagal, segalanya menjadi huru hara apabila sebuah gempa bumi menyebabkan semua orang terjatuh dalam gaung dan tepat ke kuil dan tapak kuno yang ditinggalkan oleh Naram-Sin. Disebabkan kuil ini terkubur di bawah tanah, persekitaran sekeliling lebih menyerupai labiran dan dipenuhi terowong-terowong gelap, di mana sesuatu entiti sedang menunggu dari bayang-bayangan.
Raksasa itu masih tidak dapat dilihat tetapi kita dapat mendengar dan melihat bayangannya. Ini menambahkan sedikit perasaan “berdebar” ketika kita berhati-hati meneroka lokasi yang tidak diketahui. Mungkin ada yang menjangkakan NPC akan dibunuh dengan segera, tetapi apa yang saya suka ialah NPC diberi masa yang cukup, dan sempat menunjukkan personaliti masing-masing supaya kita tidak melupakan kehadiran mereka. Saya percaya bahawa perkara ini membuatkan permainan lebih baik dan membuatkan kita berfikir; “bukan hantu je kita perlu risau, manusia pun sama bahaya.”

Selain NPC, kita mendapat gambaran yang lebih mendalam tentang watak-watak utama. Rachel sedang menghadapi dilema tentang hubungannya dengan Eric, yang terlalu obses dengan bekasnya manakala Nick dan Jason adalah askar anda yang tipikal. Jason boleh dianggap sebagai jenis yang suka selesaikan semua perkara tanpa berfikir tetapi Nick adalah jenis yang lebih sensitif dan bersifat kemanusiaan.
Yang paling menarik bagi saya adalah Salim. Supermassive melakukan kerja yang sangat baik apabila mencipta watak ini, dan bukan semata-mata menggambarkan watak ini sebagai penjahat sedangkan dia bertugas di pihak yang bertentangan. Seperti kebanyakan askar, dia terlibat dalam konflik yang dia sendiri pun tidak mahu, dan hanya ingin kembali kepada pangkuan anaknya.

Man of Medan dan Little Hope tidak memberi latar belakang yang menyeluruh tentang watak-watak mereka kerana dalam permainan itu, sesetengah watak akan bertemu satu sama lain buat pertama kalinya pada permulaan cerita. House of Ashes pula lebih menyerupai Until Dawn dan mengutamakan latar belakang dan sejarah yang lebih mendalam tentang hubungan watak dan masa lalu untuk membina jalan cerita. Dari segi itu, ia memberi naratif yang lebih kukuh dan pasti akan mengelirukan pilihan pemain kerana mereka tahu kepentingan setiap watak. Adakah saya perlu selamatkan dia atau korbankan dia? Begitulah al kisahnya.
Dari segi seram, House of Ashes memberi “jump scare” yang saya rasa tepat pada waktunya, tetapi itu bukan gimik semata-mata. Mereka lebih handal kerana membangkitkan rasa takut di mana “kita tidak tahu apa yang sedang menyorok di lorong seterusnya”. Permainan ini banyak berlaku di terowong yang sempit, dan sengaja menyekat pergerakan atau pandangan kita untuk menimbulkan rasa klaustrofobia yang berterusan. Terperangkap dalam labirin yang tinggi juga membuat kita merasa seolah-olah putus asa kerana tiada jalan keluar yang jelas dan yang menanti, hanyalah raksasa yang menunggu untuk membunuh kita.

Pengalaman yang diberi sudah tentu adalah berbeza mengikut pandangan pemain, tetapi apa yang dapat saya katakan adalah House of Ashes merupakan entri yang terbaik dalam antologi. Bagi sesiapa yang beli, teruskan bermain hingga ke kesimpulan. Saya sangat berharap agar anda semua pun menikmati cerita sama banyak seperti saya.
Pendapat

Saya benar-benar ingin menekankan betapa cantiknya House of Ashes dalam review ini dan dapat merasakan rasa skala yang diterapkan oleh Supermassive, dengan naratif yang secara beransur-ansur membuat saya tidak sabar untuk tahu apa yang berlaku selepas itu. Sejujurnya, kisah naratifnya memang antara yang terbaik oleh studio, dan berjaya membuatkan saya tertarik hingga ke akhir.
Walaupun pengalaman saya di Little Hope pun sama menyeronokkan, perubahan yang dilalui watak terasa jauh lebih berkesan dan bermakna di House of Ashes. Disebabkan itu, saya menjadi tidak sabar untuk belajar apa yang berlaku kemudian dalam tajuk seterusnya dalam antologi. Bagi sesiapa yang sudah lama mengikut francais ini: YA, kita akan mendapat klu atau petunjuk untuk permainan seterusnya. Itu saya tidak akan beri spoiler.

Masalah teknikal mungkin akan mengurangkan pengalaman gameplay , tetapi tidaklah teruk sangat sehingga merosakkan pengalaman keseluruhan. Dengan sifat antologi yang bermaksud kita tidak perlu bermain entri sebelum, House of Ashes adsalah satu game yang semua peminat seram patut cuba.
Kod ulasan diberikan oleh Bandai Namco Entertainment dan dimainkan di kedua-dua PS4 dan PS5.
@gamersantaimy
Discussion about this post