Satria Dewa: Gatotkaca merupakan sebuah filem superhero Indonesia yang diarahkan oleh Hanung Bramantyo. Kalau anda ingin tahu, ia merupakan entri pertama untuk Satria Dewa Universe, senang cerita seperti Marvel Cinematic Universe tetapi dengan watak hero Nusantara. Ianya telah dilepaskan pertama kali di Indonesia pada bulan Jun yang lalu dan kini hadir ke pawagam Malaysia pada 18 Ogos ini. Terima kasih kepada TGV Cinemas dan Horizon Filem Entertainment kerana menjemput kami ke tayangan perdana Satria Dewa: Gatotkaca pada 15 Ogos yang lalu.
Anda juga mesti tertanya-tanya tentang filem Gatotkaca ini kan? Jadi tanpa membuang masa jom kita teruskan review filem Satria Dewa: Gatotkaca.
Penceritaan yang laju dan padat
“Selepas menyedari bahawa dia adalah keturunan Gatotkaca daripada keluarga Pandawa, Satrio harus berjuang untuk mahir dalam menggunakan kekuatan yang ada dalam dirinya dan menghadapi Aswatama, pahlawan Kurawa yang ingin menghancurkan dunia dengna mengubah sejarah Bharatayudha. “
Jika anda membaca sinopsisnya, bunyi seperti cerita superhero biasa sahaja kan? Tetapi ia tidaklah biasa sangat. Anda akan diperkenalkan dengan Yuda, protagonis utama kita yang baru sahaja kehilangan kerja. Kita juga akan melihat betapa susah hidupnya yang menjaga ibunya yang saban hari kehilangan memorinya. Yang sering membantu Yuda waktu-waktu sebegini ialah kawan baiknya, Erlangga.

Pada waktu yang sama, pelbagai kejadian misteri telah berlaku di seluruh negara. Kejadian itu telah meragut nyawa ramai mangsa yang tergolong dalam kalangan orang bijaksana. Pada suatu hari, Erlangga pula telah menjadi mangsa terbaru. Yuda selepas itu berjanji untuk mencari pelakunya dan mula menyiasat. Pelbagai perkara yang berlaku sepanjang cerita sehinggalah dia mendapat tahu bahawa dia merupakan keturunan Gatotkaca.
Kalau anda ingin tahu, Gatotkaca merupakan watak adiwira yang diilhamkan daripada kisah legenda Mahabrata yang terkenal dengan sedikit gabungan unik dunia moden. Konflik utama dalam filem Gatotkaca ini berpusat antara golongan Pandawa dan Kurawa. Dengan keturunan Kurawa semakin berleluasa untuk menghapuskan Pandawa dan mengembalikan Aswatama ke dunia, kini Gatotkaca perlu menguasai kuasa yang dimilikinya untuk melindungi orang tersayang.

Saya tidak mahu cerita lebih, nanti tiada kejutan pula untuk anda. Tetapi sejujurnya saya rasa penceritaannya sangat laju. Banyak betul perkara yang diceritakan sepanjang filem, sampai saya sendiri susah untuk ingatinya. Kalau anda seorang yang sukakan lore disebalik filem ini, mungkin juga perlu menontonnya untuk kali kedua.
Premis filem pada mulanya memang menarik tetapi apabila banyak sangat perkara yang disumbatkan untuk sebuah filem yang berdurasi 2 jam, boleh overload jadinya. Bayangkan anda diceritakan tentang genetik Pandawa dan Kurawa. Selepas itu didedahkan pula dengan latar belakang Aswatama serta impiannya untuk menghancurkan dunia. Belum cerita lagi tentang projek Satria Dewa yang telah dirancang untuk melindungi keturunan Pandawa yang lain. Projek itupun tidak didedahkan dengan lebih lanjut.
Mungkin kalau penyampaiannya dilambatkan sedikit, mungkin lebih mudah untuk penonton mengikuti lore yang telah diceritakan. Ia juga boleh dikembangkan dengan baik jika filem itu membuang beberapa adegan yang tidak begitu penting.

Bukan setakat itu sahaja, mungkin penonton juga boleh mengenali watak dengan lebih baik. Mana tidaknya, terkejut juga saya semasa menonton apabila watak yang kelihatan lemah rupa-rupanya pandai dalam seni mempertahankan diri. Tiada petunjuk langsung yang menunjukkan watak itu pandai pertahankan dirinya. Belum lagi cerita tentang hubungan yang muncul entah dari mana.
Persembahan pelakon
Setiap pelakon memang hebat dalam membawa watak masing-masing. Lebih-lebih lagi kepada watak sampingan yang berada di samping Yuda (Rizky Nazar) iaitu Danan (Omar Daniel) dan Gege (Ali Fikry). Kadang-kadang ada sahaja perkara lucu yang berlaku antara mereka. Kudos juga kepada Rizky dengan aksi yang dipamerkan. Kalau anda ingin tahu, ini kali pertama dia berlakon untuk genre aksi. Yuda juga dibantu oleh Danan yang menggunakan busur sebagai senjata utama, dan merupakan watak utama dalam filem seterusnya. Saya ingatkan salah tonton filem lain sewaktu Danan muncul kerana imejnya sangat mirip dengan Green Arrow daripada komik DC.

Penyampaian filem
Kalau ada sesuatu yang menarik tentang filem Gatotkaca, sudah tentu tentang aksinya. Boleh dikatakan filem ini mempunyai banyak adegan aksi. Terima kasih kepada lakonan hebat Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman. Memang anda akan fokus sahaja pada pertarungan yang berlaku. Tetapi sedikit masalah sahaja yang membuatkan ia kurang memuaskan. Kebanyakan adegan ini berlaku di kawasan yang gelap, seperti filem Batman pula. Jadi agak susah untuk lihat dengan jelas setiap pergerakan yang dilakukan semasa watak-watak ini bertarung, lebih-lebih lagi pada bahagian terakhir untuk filem.
Benda lain yang saya suka mengenai filem ini, ia menunjukkan suasana bandar Indonesia yang sibuk di bandar dan apabila penonton dibawa masuk ke kawasan penggiran, boleh nampak perbezaan yang ketara padanya. Pada waktu malam, lampu-lampu neon yang dipasang membuatkan kawasan tempat itu kelihatan agak retro walaupun berada pada tahun 2021.

Penyampaian filem ini bagi saya agak tidak konsisten. Memang tidak pelik kalau kadang-kadang ada adegan komedi yang keluar, tetapi kalau sudah potong mood, masalah juga. Bayangkan elok tengah serius tiba-tiba melompat ke adegan yang biasa-biasa. Bukan setakat itu sahaja, ada pula rehat di tengah-tengah filem. Kalau jenakanya biasa-biasa tiada masalah, boleh pula buat jenaka seks. Tidak cukup dengan jenaka itu, banyak pula produk yang dipromosikan dalam filem. Sabar sahajalah.
CGI yang digunakan dalam filem boleh tahan juga. Ia tidaklah segempak filem superhero lain seperti Marvel, tetapi sedaplah mata memandang. Malah ia juga lebih bagus berbanding filem hero lain yang dikeluarkan di Asia Tenggara. Harap-harap Satria Dewa Studio akan membawa pasukan mereka dengan lebih jauh untuk entri seterusnya pula.

Kesimpulan
Walaupun penceritaan agak pantas dan tidak konsisten, Satria Dewa: Gatotkaca tetap mampu memberikan adrenalin sebuah filem adiwira. Lebih-lebih lagi aksi pertarungan yang telah ditayangkan sepanjang filem ini. Ia juga merupakan filem yang bagus oleh Satria Dewa Studio, memandangkan ia adalah filem pertama mereka untuk siri itu.
Kostum Gatotkaca memang hebat tetapi anda tidak akan melihatnya di skrin besar sehingga arc terakhir filem itu. Dengan pengakhiran filem yang agak cliffhanger, nampaknya kita kena nantikan pula Satria Dewa: Arjuna. Mungkin kita juga akan berjumpa dengan Gatotkaca sekali lagi bersama Pandawa lain.
Untuk membaca review lain daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post