Razer telah mengumumkan kerjasama mereka dengan syarikat jam tangan terkemuka, Fossil, untuk melancarkan jam pintar edisi terhad iaitu Razer X Fossil Gen 6. Dianggap sebagai jam tangan pintar oleh Fossil yang paling inovatif setakat ini, Razer X Fossil Gen 6 akan dilancarkan secara global pada nilai harga $329 USD (anggaran RM1,379.66) dalam kuantiti terhad hanya 1,337 unit. Kami dapat peluang awal untuk melihat produk ini, jadi berikut adalah review saya untuk Razer X Fossil Gen 6!

Reka bentuk


Disimpan dalam kotak hitam berukuran 44mm, Razer X Fossil Gen 6 mempunyai dua tali silikon 22mm boleh ditukar ganti yang datang dalam warna ikonik hitam dan hijau Razer atau warna hitam premium. Secara sekilas pandang, ia tidaklah nampak begitu “gamer” dan sesuai dipakai oleh lelaki mahupun wanita. Apabila dihidupkan, kita dapat terus pakai jam tangan ini dan pilih antara tiga efek UI eksklusif yang terdiri daripada Analog, Text dan Chroma.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan istilah Chroma, ini adalah teknologi RGB yang membolehkan kita menukar efek pencahayaan RGB. Untuk jam tangan pintar ini, hanya “Breathing, Spectrum Cycling, Static, dan Wave” sahaja yang ada. Semua fungsi akan dilakukan melalui paparan skrin sentuh 1.28’’. Selain paparan ini, Gen 6 mempunyai 3 butang di sisi kanan, butang “main menu” dan dua butang “shortcut”.

Satu-satunya perkara yang saya ingin mengadu adalah tentang reka bentuk butang di jam tangan kerana ia agak sensitif dan kadangkala akan tertekan secara sengaja. Mungkin ini tidak jadi isu bagi mereka yang berhati-hati, tetapi untuk pengguna yang lasak, saya sarankan anda untuk berhati-hati memandangkan produk ini pun khususnya direka untuk aktiviti lasak.
Prestasi dan perisian

Dengan storan sebanyak 8GB, memori 1GB, dan kalis air hingga 3 ATM (atmosphere), Gen 6 ialah jam tangan pintar pertama yang dikuasakan oleh Snapdragon Wear 4100+ untuk memberikan peningkatan dalam aspek kelajuan dan prestasi, termasuk memuatkan aplikasi dengan lebih pantas, pengalaman UX yang lebih responsif, dan penggunaan kuasa yang lebih cekap.
Menurut Razer, ia mempunyai peningkatan prestasi sebanyak 30% berbanding unit Fossil Gen 5 dan bersama Wear OS oleh Google, jam tangan pintar ini sepatutnya dapat melakukan lebih banyak secara lebih pantas untuk memberikan pengalaman yang lancar.

Apa-apa hal pun, kita perlu memuat turun OS Wear dahulu dan menggunakan Bluetooth untuk bersambung telefon pintar ke jam tangan. Dengan teknologi Bluetooth 5.0, kepantasan pemindahan data digandakan lagi sehingga 4x. Selesai sahaja itu, kita kemudian boleh menyusun menu shortcut, membenarkan notifikasi untuk aplikasi, menetapkan kiraan data untuk urusan seharian dan juga mengambil tangkapan skrin di jam tangan.

Apabila menerima notifikasi daripada aplikasi komunikasi seperti Whatsapp, Facebook, dan sebagainya, kita boleh terus membalas terus dari jam tangan menggunakan fungsi voice record melalui mikrofon atau membalas menggunakan papan kekunci tersuai dalam jam tangan. Tanpa perlu mengganggu rutin harian atau sesi gaming, ciri-ciri ini memang sedia ada dalam kebanyakan “smartwatch”, cuma saya yakin beritahu bahawa Fossil Gen 6 terasa lebih mudah untuk digunakan berbanding jenama lain.
Jika rasa tidak lengkap dengan aplikasi sedia ada, anda boleh memuat turun aplikasi tambahan seperti Youtube Music atau Spotify untuk mendengar lagu-lagu kegemaran. Jam tangan pun mempunyai pembesar suara tetapi lebih sedap kalau menggunakan headset sendiri. Bateri? Tidak perlu kata, memang cepat telan. Tetapi itu saya akan jelaskan lebih lanjut di bawah.

Bateri dan pengecasan

Mengutamakan “kelajuan”, Fossil Gen 6 mempunyai tempoh pengecasan yang lebih singkat dan hayat bateri yang dilanjutkan berkat ” 4 pin USB fast charging” untuk memaksimumkan aktiviti harian.
Jam tangan ini dapat mengecas sebanyak 80% dalam masa lebih kurang 30 minit dan jika menggunakan mode “Smart Battery” khusus, saya boleh terus sambung pakai tanpa menunggu terlalu lama.
Mode Smart Battery dibahagikan kepada berikut:
- Daily: kebanyakan ciri diaktifkan, dan ditujukan untuk pengguna yang kerap mengecas setiap hari
- Extended: hanya aktifkan ciri-ciri penting apabila kita memerlukannya dan ditujukan untuk pengguna yang ingin mengecas selang beberapa hari. Hanya dapat tahan selama 2 hari semasa ujian saya.
- Time only: Hanya menunjukkan masa sahaja dan boleh tahan selama beberapa hari (lebih 2 hari) jika dicas penuh. Mode ini akan dipakai secara automatik apabila bateri cecah 3%
Ciri-ciri kesihatan

Fossil Gen 6 mempunyai sensor kadar denyutan jantung canggih untuk proses “tracking” berterusan dan isyarat yang lebih tepat. Kita juga akan mendapat manfaat daripada sensor SpO2 baharu, yang menganggarkan kandungan oksigen darah si pemakai untuk melihat jika tubuh mengedarkan oksigen dalam kuantiti yang sihat.
Selain itu, kita juga dapat memanfaatkan teknologi kesihatan lain oleh Fossil Group, termasuk penjejakan “Cardio Fitness Level”, yang menunjukkan anggaran VO2 max dengan menggunakan kadar denyutan jantung semasa berehat dan biometrik pengguna untuk menunjukkan kesihatan kardiorespiratori.


Bagi para gamer yang ingin kekalkan gaya hidup sihat, mereka dapat memantau kadar denyutan jantung sepanjang hari atau menjadualkan sesi rehat dan senaman mengikut jadual.
Pendapat

Sama seperti produk lain dalam kategori ini, jam tangan pintar Razer X Fossil Gen 6 memberi tumpuan kepada kecergasan, dan kesihatan pengguna. Fungsinya masih sama seperti smartwatch lain, namun ia menawarkan tahap prestasi dan kadar respons yang sangat pantas kerana perisiannya yang canggih. Boleh muatkan lebih banyak aplikasi, boleh dicaskan tanpa menunggu berjam-jam, Gen 6 bukan semata-mata untuk komuniti gamer dan sebenarnya sesuai untuk sesiapa sahaja yang inginkan gaya hidup yang sihat tanpa membiarkan teknologi menjadi penghalang.

Andai kata anda seorang gamer dan juga seseorang yang suka bersenam menggunakan jam tangan pintar, Razer X Fossil Gen 6 ternyata adalah pilihan yang bagus. Cuma anda perlu ingat; hanya 1,337 unit sahaja yang tersedia di seluruh dunia – jadi siapa cepat, dia dapat.
Akan tersedia pada nilai harga $329 USD (anggaran RM1,379.66) pada bulan ini, mereka yang berminat boleh mendapatkannya di di www.fossil.com, www.razer.com, dan pengedar terpilih.
Untuk maklumat lanjut tentang produk, sila tekan pautan INI.
@gamersantaimy
Discussion about this post