Semua orang boleh setuju bahawa bunyi adalah salah satu bahagian terpenting semasa gaming. Oleh itu, produk yang saya akan review kali ini merupakan wakil Razer sebagai peranti audio terbaik di pasaran. Walaupun ada di antara kalian yang lebih memilih headphone, ada juga pengguna yang lebih suka sistem audio seperti pembesar suara (speaker). Beberapa minggu lepas, Razer memberi peluang kepada kami untuk mencuba dua pembesar suara iaitu Razer Nommo Pro dan Nommo Chroma. Bagaimana prestasi untuk kedua-dua peranti ini? Teruskan membaca review saya untuk Razer Nommo Pro dan Nommo Chroma.
Razer Nommo Pro

Bagi pendapat saya, Razer Nommo Pro lebih kepada sistem hiburan rumah (home theater). Ia merupakan sistem pembesar suara 2.1 premium dan mempunyai pengesahan THX bagi menyampaikan audio sinematik terbaik pernah kita dengar. Bersamanya, ia memiliki teknologi Dolby Virtual Speaker untuk menambah pengalaman “5.1 surround sound.” Selain itu, Razer Nommo Pro mempunyai port USB, Optic, Bluetooth dan bicu 3.5 mm serta butang kawalan untuk mengubah kelantangan. Agak standard.

Memandangkan ia adalah pembesar suara yang kompleks dengan subwoofer yang “agak” besar, Razer Nommo Pro memang tidak sesuai untuk digunakan dalam bilik yang kecil. Sekiranya anda menggunakan pembesar suara ini di TV atau monitor di bilik yang luas seperti ruang tamu, saya yakin ia akan memberikan pengalaman setaraf bangsawan kepada pengguna.
Pada masa yang sama, kita boleh memuat turun aplikasi Nommo Pro di telefon pintar untuk kawalan lagi mudah. Tersedia di Android dan iOS, kita dapat membuka Spotify, Youtube, dan aplikasi lain di telefon pintar untuk mendengar melalui Bluetooth. Anda kini tidak perlu berjalan lagi untuk mengubah tetapan audio kerana aplikasi ini memudahkan kerja kita dengan hanya beberapa sentuhan di telefon.

Jika anda memasangkannya ke komputer, tetapan EQ (equalizer) dan tahap kelantangan bass dapat diubah suai dengan aplikasi Razer Synapse 3. Jangan lupa juga tentang Razer Chroma yang memberikan pilihan palet warna sebanyak 16.8 juta untuk lampu RGB.

Sesi gaming

Di bahagian gaming pula, Razer Nommo Pro sangat sesuai dengan permainan yang bertema “sinematik”. Apa maksud saya? Permainan seperti Ghost of Tsushima, dan The Last of Us adalah contoh bagus di mana audio datang dari seluruh persekitaran untuk mewujudkan adegan seolah-oleh filem.
Di sini, kami mencuba Red Dead Redemption 2, dan terbukti keseluruhan pengalaman benar-benar menakjubkan. Soundtrack RDR2 memang dah gempak tapi bila kita dengar sekali bunyi-bunyi kecil seperti suara NPC di latar belakang, air sungai yang mengalir, atau daun-daun yang ditiup angin, ia meningkatkan lagi tahap “immersive” pengguna.

Harap maklum ya, kita dapat memanfaatkan pembesar suara ini jika ia digandingkan dengan permainan yang memiliki ciri-ciri atau sifat seperti yang saya jelaskan di atas. Permainan seperti Guilty Gear Strive tidak mempunyai audio yang dinamik kerana ia tidak direka untuk memanfaatkan sistem pembesar suara seperti ini. Jadi, ia agak membazir lah kalau kita hanya main game fighting sahaja.
Sekiranya anda seorang gamer yang malas pakai earphone/headset tapi memerlukan audio yang lebih imersif, Nommo Pro adalah pilihan yang bagus. Cuma, jangan lupa untuk mengubah kelantangan bunyi jika anda bermain pada waktu malam. Risau terlalu bising sehingga semua orang terjaga nanti.
Razer Nommo Chroma

Jika Nommo Pro lebih kepada sistem hiburan rumah, Nommo Chroma merupakan pembesar suara yang sesuai untuk bilik. Ia adalah sistem pembesar suara 2.0 dengan teknologi yang hampir sama seperti Nommo Pro. Disebabkan tiada aplikasi khusus, Razer Nommo menampilkan kawalan butang standard dengan Automatic Gain Control untuk membantu menyeimbangkan kejelasan bass. Tanpa tambahan subwoofer dan bass yang diletakkan di bahagian belakang, bunyinya tidaklah terlalu kuat dan sesuai untuk pendengaran jarak dekat.
Sebagai perbandingan, Nommo Chroma adalah versi “lite” kepada Nommo Pro dengan ciri “plug-and-play”. Cara memakainya tidak rumit, dan hanya memerlukan saya untuk memasang pembesar menyokong port USB dan bicu 3.5mm. Jangan terus negatif pula bila baca kekurangannya. Tujuan utama adalah audio, dan itu Razer Nommo Chroma tidak gagal.
Prestasi

Walaupun tidak mempunyai reka bentuk yang menyerlah, Raze Nommo Chroma memberikan kualiti bunyi yang bagus (dengan syarat kita memasang pembesar suara dalam bilik, bukan ruang tamu). Setiap video yang ditonton terasa memuaskan dan saya pun boleh menikmati suasana ala-ala 3 dimensi.
Dari segi gaming, saya berpendapat Nommo Chroma sama hebat dengan Nommo Pro. Cuma ia kurang dari segi bass, dan surround sound. Sekiranya anda bermain permainan seperti Guilty Gear, memang tidak ada perbezaan kualiti antara Chroma dan Pro. Perbezaannya hanya ketara jika kita bermain permainan dengan sistem audio yang lebih rumit seperti saya jelaskan di atas.

Oleh itu, jika anda mencari bunyi definisi tinggi untuk pengalaman audio paling imersif, ia lebih bagus untuk mendapatkan Nommo Pro.
Pendapat
Secara keseluruhan, Razer Nommo Pro adalah pengalaman audio yang setiap bangsawan inginkan. Adakah ia berbaloi untuk beli memandangkan banyak lagi jenama mencipta pembesar suara seperti ini? Dalam review Razer Nommo ini, saya akan jawab ya. Nommo Pro sesuai untuk golongan spesifik sahaja, dan itu mungkin terdiri dari pengguna yang mahu sistem audio rumah yang bagus dan memiliki reka bentuk canggih seperti gamer. Peranti ini pasti memuaskan citarasa orang seperti itu. Tetapi jika anda hanya perlu memakai pembesar suara dalam bilik kecil, saya lebih sarankan anda memilih sesuatu yang lebih sesuai.
Seterusnya, Razer Nommo Chroma lebih sesuai untuk bilik kecil, tetapi jangan terkejut dengan kualiti audio nya yang bagus. Jika anda memerlukan pembesar suara untuk sesi gaming yang tipikal anda atau mendengar lagu santai sambil membuat kerja, saya sarankan anda dapatkan Nommo Chroma.
Itu sahaja untuk review ini bagi kedua-dua peranti Razer Nommo! Razer Nommo Pro tersedia di laman web Razer pada nilai harga USD499.99 (anggaran RM2,119.21), manakala Razer Nommo Chroma rasmi tersedia di Malaysia pada nilai harga RM799.00.
[wpdatatable id=3]@gamersantaimy
Discussion about this post