Jika korang mahukan monitor besar yang cemerlang dalam gaming dan urusan, Acer Predator CG437K S adalah satu contoh yang bagus. Dengan paparan yang cantik dan saiz besar 43, setup monitor ini boleh dianggap sebagai “gergasi di ruang bilik anda. Bukan setakat itu sahaja, ia menyokong banyak ciri-ciri canggih yang para gamer idamkan seperti G-Sync/VRR, 4K 120Hz dan pencahayaan RGB.
Walaupun begitu, adakah monitor ini hebat seperti yang diiklankan? Acer memberi kami peluang untuk review monitor gaming Predator CG437K S 43″, jadi berikut adalah hasil kajian saya. Bagus atau tidak? Jom kita usya sama-sama!
Saiz memang kaw-kaw besar
Pertama kali saya melihat Predator CG437K S, saya terus fikir – “besar gila monitor ini”. Saiznya memang besar hingga otak saya pun susah untuk proses kerana tidak tahu kalau meja saya larat atau tidak untuk meletakkannya. Bukan setakat itu sahaja, saya nasihat awal-awal untuk bawa sekali rakan-rakan kerana korang pasti perlukan bantuan orang lain untuk mengeluarkannya dari kotak. Mengikut spec sheet, beratnya adalah sebanyak 18.65kg, jadi faham-fahamlah kenapa perlukan orang untuk bantu.


Nasib baik, kita tidak perlu buat apa-apa selepas itu kerana monitor ini sudah dipasangkan dengan stand sendiri. Apa yang kita perlu lakukan hanyalah mengeluarkannya dari kotak lalu meletakkannya di atas meja.
Memandangkan monitor sangat besar, adakah stand larat untuk mendirikannya? Walaupun bahan diperbuat daripada plastik tetapi jangan risau, ia benar-benar kukuh. Tapak stand ini cukup luas dan terdapat dua ikon untuk controller/gamepad di atasnya, jadi ini mungkin boleh jadi tempat untuk para gamer meletakkan controller mereka di sana.

Supaya tiada yang tersilap, ini bukan monitor yang melengkung/curved, dan bezelnya agak tebal. Itu pun tidak memberi beza yang banyak memandangkan saiz skrinya cukup besar. Bahagian bawah pula terter logo jenama Predator dan di bawahnya mempunyai cahaya lampu dan sensor jarak, serta butang untuk mengawal tetapan monitor.
Monitor ini juga datang dengan alat kawalan jauh, yang membuatkannya lebih menyerupai sebuah TV. Satu-satu perkara yang membezakan monitor ini dengan sebuah TV adalah butang kawalan di remote tidak mempunyai nombor dan kekurangan beberapa fungsi. Walaupun begitu, sejujurnya ia lebih mudah untuk menukar tetapan menggunakan alat kawalan jauh berbanding dengan butang di bawah monitor, yang serta merta memudahkan hidup bagi sesiapa yang membeli.

Selain saiznya, satu lagi bahagian menarik adalah jalur cahaya RGB! Benar geng, monitor ini datang dengan empat jalur LED; dua jalur panjang untuk atas dan bawah, dan dua jalur pendek untuk kiri dan kanan. Korang melekatnya di belakang monitor, atau melakukan apa saja yang anda mahu mengikut citarasa. Untuk RGB, ia mempunyai 9 efek berbeza, 4 warna berbeza dan 10 tahap kecerahan berbeza. Cuma satu perkara yang saya perlu pesan adalah jalur ini memakai “double sided tape”, jadi agak susah untuk menanggalnya jika korang ingin membuat perubahan.

Tidak boleh dilaras

Malangnya, korang tidak boleh membuat apa-apa jenis pelarasan dengan monitor ini. Predator CG437K S terlalu besar dan terlalu berat untuk diletakkan pada mana-mana ‘adjustable stand’. Tetapi memandangkan tujuannya adalah untuk digunakan seperti TV, ini bukan masalah besar. Walaupun terdapat sokongan VESA mount, saya tidak akan mengesyorkan korang untuk memasangnya pada desktop mount. Halaman spesifikasi pun sebut secara khusus bahawa ini adalah VESA wall mount berukuran 200x100mm.
Sambungan port I/O
Bab port I/O, monitor ini memang terlebih lengkap. Dengan 2x HDMI 2.1, 1x DisplayPort 1.4, 1x USB Type-C dengan penghantaran kuasa 30W di man korng boleh mengecas apa-apa peranti walaupun monitor dimatikan, 2x USB Type-A 2.0, 3x USB Type-A 3.0, 1x USB Type- B, 1x port audio 3.5mm dan 4x penyambung 3-pin untuk jalur LED RGB.


Saya paling suka kerana Acer menggunakan HDMI 2.1! Ini adalah spesifikasi rasmi yang menyokong tetapan melebihi 4K 120Hz tetapi untuk monitor ini, ia mampu menyokong 4K 144Hz. Ini bermakna saya boleh menyambungkannya dengan PS5 dan buat apa-apa game yang sokong resolusi ini, ia mampu menjalankan gameplay 4K 120Hz.
Prestasi paparan & audio

Predator CG437K S menggunakan panel VA dan bukannya panel IPS, tetapi menyokong sehingga resolusi 4K dan kadar penyegaran 144Hz, serta diiktirafkan VESA dengan DisplayHDR 1000 bersama gamut warna 90% DCI-P3 dan Delta E<2. Walaupun menggunakan panel VA, sudut tontonan masih cantik dan warna tidak berubah dengan begitu banyak.
Jika dilihat pada sudut tontonan normal, warna yang dipaparkan pada skrin benar-benar menonjol. Saya cuba bermain Ghostwire: Tokyo, yang merupakan game berlatarkan bandar Shibuya yang berwarna-warni, dan ternyata pengalaman saya sangat seronok. Setiap warna muncul jelas dan tahap butiran kecil pun boleh dilihat tanpa apa-apa efek zum.
Saya juga cuba bermain Apex Legends dengan monitor ini tetapi nampaknya ada beberapa masalah. Disebabkan monitor agak besar, jika mahu melihat peta saya perlu menoleh kepala. Hati-hati kalau bermain sebab takut nanti lenguh pula leher. Selain itu, pengalaman gaming saya memang hebat di mana semuanya baik dan lancar.

Satu lagi perkara yang saya sedar adalah skrin yang lebih besar bermakna kita melihat musuh dengan lebih mudah, jadi itu adalah kelebihan besar. Bak kata slogan Acer, “The Bigger The Better”. Cuma, korang tidak mahu meletakkan monitor ini terlalu dekat kepada muka dan memposisinya pada jarak yang mata anda boleh melihat kesemua skrin.
Di samping itu, monitor ini memiliki ciri ‘built-in crosshair’, tetapi pilihannya sangat terhad, dan hanya terdapat 3 bentuk dan tiada variasi warna. Adakah itu sahaja ciri yang ia ada? Tidak. Monitor ini menyokong Adaptive Sync dengan NVIDIA G-sync, jadi korang tidak perlu menghidupkan tetapan Vsync yang kerap bikin masalah. Gunakan G-sync atau Adaptive Sync sahaja untuk menghilangkan isu screen tear tanpa mengalami masalah lain.

Akhir sekali monitor ini juga mempunyai teknologi LightSense, yang mengesan kecerahan di kawasan sekitar seperti bilik anda, dan melaraskan kecerahan monitor mengikut keadaan sewajarnya.
Bab audio, tidak banyak yang boleh saya kata selain daripada bunyinya yang kuat. Lebih kurang seperti TV di rumah, cuma dari segi kejelasan, kualitinya biasa-biasa sahaja. Stereo tidaklah bagus, jadi jangan bergantung pada pembesar suara untuk mengesan isyarat audio seperti bunyi tapak kaki atau tembakan di dalam game.
Pendapat

Fokus utama adalah saiznya yang besar, tetapi dari segi prestasi, Predator CG437K S adalah monitor gaming bagus yang cekap dalam tugasnya. Bersama resolusi 4K yang menyerlahkan lagi ketepatan warna dan butiran di skrin, ia benar-benar membuat mana-mana game game atau video lebih menonjol. Mengikut saiznya, saya pun anggap resolusi 4K adalah pilihan terbaik untuk menikmati monitor ini.
Refresh rate yang tinggi juga membuatkan mana-mana game, terutamanya FPS, lebih menyeronokkan, dan dengan response time VRB 1ms dan ciri Adaptive Sync/G-sync, kebanyakan game akan terasa lancar.

Di situ, saya juga berpendapat bahawa monitor ini lebih untuk pemain konsol, di mana mana mereka boleh meletakkannya lebih jauh, dan kemudian duduk dengan selesa di atas sofa sambil bermain. Ini hanya pendapat peribadi, tetapi saya kurang gemar monitor yang saiznya lebih 38″. Untuk seorang pengguna PC, majoriti akan duduk agak dekat ke skrin, dan mempunyai monitor sebesar 43″ bukanlah sesuatu yang ideal.
Walau bagaimanapun, saiz adalah perkara subjektif dan setiap orang mempunyai citarasa berbeza. Jika korang sedang mencari monitor gaming yang saiznya gergasi, ini pasti akan menjadi pilihan yang baik. Korang bukan sahaja akan dapat pengalaman gaming yang hebat malah ia juga cantik dari segi estetika kerana tambahan efek RGB.
Korang yang berminat untuk membeli Predator CG437K S, ia akan dijual pada tanda harga RM 4699. Tetapi anda boleh dapatkannya dengan harga promosi, RM 4499 bermula 29 Jun sehingga 3 Julai 2022.
Untuk maklumat lanjut tentang monitor ini, sila layari laman web rasmi Acer. Untuk segala liputan kami tentang produk Acer, korang boleh tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post