Diperkenalkan sejak beberapa dekad lalu, Pac-Man telah muncul sebagai salah satu maskot gaming paling terkenal di dunia. Walaupun namanya sangat ikonik, mungkin beberapa pemain hanya sekadar tahu tentang nama sahaja, dan tidak pernah mencuba gamenya. Oleh itu, Bandai Namco telah mengeluarkan Pac-Man Museum+ yang mengandungi pelbagai game klasiknya di dalam satu koleksi.
Pac-Man Museum+ bukan sahaja mengandungi pelbagai jenis game, tetapi korang juga dapat menikmati bersama rakan-rakan atau ahli keluarga. Bandai Namco telah memberi kami peluang untuk mencuba game ini dan berikut adalah review lengkap saya. Tanpa melengahkan masa lagi, jom kita mulakan.
Apa yang baru dalam Museum+?
Ini bukan game pertama dalam siri Pac-Man Museum tetapi apa yang membezakannya dengan yang lain? Selain daripada penambahan “+” di nama, entri kali ini dipersembahkan dalam gaya Arked secara visual 3D. Kita akan menjadi Pac-Man dan meneroka sebuah arked yang mengandungi pelbagai game klasik. Selain Pac-Man, banyak lagi watak akan muncul sebagai pengunjung/pelanggan seperti watak Ghost.
Terdapat total 7 game pada setiap mesin arked yang memerlukan Coin untuk dimainkan. Terdapat juga 7 game lain dalam Free Cabinet yang boleh dimainkan secara percuma tanpa menggunakan Coin. Secara keseluruhannya, terdapat 14 jenis game yang boleh dimainkan.

Kehadiran arked ini pun bukan sahaja untuk bermain game; kita juga boleh menghiasinya dengan pelbagai barang seperti figura gergasi, bangku, periuk, bendera dan lain-lain. Latar belakang dinding juga boleh diubah dan jubin lantai juga boleh diubahsuai mengikut citarasa anda.
Korang boleh membeli pelbagai barang-barang hiasan melalui mesin layan diri, figura melalui mesin gashapon, atau menjalankan misi di pelbagai permainan yang menyediakan hadiah untuk menghias arked anda.

Namun, pada pendapat saya, visual atau rupa Arked masih terasa kurang lengkap. Sebagai contoh, kita tidak boleh mengubahsuai watak/Pac-Man dan tidak boleh melawat arked pemain lain sedangkan banyak game lain telah mengimplementasikan ciri ini.
Gameplay kekal klasik sambil menambah content baru
Untuk bermain, caranya mudah. Korang hanya perlu pergi ke kabinet atau mesin arked dan pilih game yang korang ingin mainkan. Tetapi seperti saya kata di atas, ia memerlukan Coin untuk setiap game. Jika tiada Coin, korang tidak boleh bermain.
Untuk mendapatkan Coin pun sangat mudah, korang hanya perlu bermain game yang tersedia dan menyelesaikan pelbagai misi. Sebagai info tambahan, kita akan diberi 500 Coin semasa mula-mula bermain Pac-Man Museum+.

Jumlah total game dalam Pac-Man Museum+ adalah 14 game berbeza yang boleh dimainkan. Berikut adalah antara kita boleh cuba:
- Pac-Man (1980)
- Super Pac-Man (1982)
- Pac & Pal (1983)
- Pac-Land (1984)
- Pac-Mania (1987)
- Pac-Attack (1993)
- Pac-In-Time (1995)
- Pac-Man Arrangement (1996)
- Pac-Man Arrangement (2005)
- Pac-Man Championship Edition (2007)
- Pac ‘n Roll Remix (2007)
- Pac-Motos (2007)
- Pac-Man Battle Royale (2010)
- Pac-Man 256 (2015)
Kebanyakan game di atas adalah sama dengan game klasik Pac-Man tetapi dengan peraturan atau visual yang berbeza. Sebagai contoh di Pac-Man Championship Edition, kita bukan sahaja perlu bertahan dalam setiap stage, malah kita perlu mendapatkan sebanyak mungkin markah dengan memakan Ghost, selain daripada makan Pac-Dots dan Fruit.

Contoh lain yang saya boleh beri adalah seperti Pac-Mania yang sebenarnya adalah game yang sama dengan Pac-Man klasik, cuma kita boleh melompat dan ia mempunyai grafik 3D yang lebih lawa. Beberapa game ini juga menawarkan genre yang berbeza seperti Pac-In-Time dan Pac ‘n Roll Remix.
Antara game klasik yang menarik perhatian saya ialah Pac-In-Time yang menawarkan konsep side-scrolling retro seperti game lama Sonic. Di sini, kita boleh melakukan pelbagai perkara seperti melompat, berenang, menggunakan kuasa super dan peralatan. Terdapat banyak stage daripada gunung, hutan, hingga ke kuil. Sama seperti game original, matlamat utama hanyalah untuk mengumpul Pac-Dots.

Pac ‘n Roll Remix juga agak menyeronokkan dengan menawarkan konsep adventure dengan grafik 3D berkualiti bersama gameplay ala Super Monkey Ball. Kita hanya dikehendaki mengumpul seberapa banyak Pac-Dots yang mungkin tetapi jangan salah sangka, gameplay-nya cukup sukar dan mencabar.
Pac-Man 256 adalah game terbaru untuk menyertai siri Museum. Mengekalkan konsep yang sama seperti versi klasik, bezanya adalah kita harus melarikan diri/ bertahan hidup sambil dikejar oleh piksel dan Ghost. Terdapat juga unsur lain seperti kuasa super yang mengeluarkan tornado atau laser.

Lebih best secara multiplayer
Hampir semua game yang ada boleh dimainkan secara multiplayer. Tetapi ada juga yang tidak boleh dimainkan secara multiplayer kerana ia menawarkan konsep adventure seperti Pac ‘n Roll Remix dan Pac-In-Time, kerana ianya lebih kepada game arked berbanding game klasik yang lain.
Walaupun begitu, mode multiplayer online cuma tersedia dalam Leaderboard. Jadi, kalau anda main bersama-sama dalam multiplayer, ia hanya tersedia secara local. Beberapa game ada yang boleh dimainkan secara bergilir-gilir untuk mendapatkan skor paling tinggi seperti Pac-Land dan ada juga yang main secara berterusan seperti Pac-Man Battler Royale dan Pac-Man 256.

Visual & Prestasi
Setahu kami, semua game klasik yang ada dalam koleksi ini boleh dimainkan melalui emulator yang sudah diubahsuai dan ada beberapa game moden yang dilancarkan selepas 2010 adalah port daripada konsol lain. Saya bermainnya pada PS5 dan tiada menjumpai sebarang masalah. Grafiknya bagus dan saya berasa selesa ketika bermain menggunakan paparan besar TV.
Tetapi ada satu sahaja masalah. Controller kadang-kadang susah untuk memberikan respons. Contohnya, apabila anda mahu belok, anda betul-betul perlukan masa yang tepat. Kalau tidak, memang watak akan jalan lurus sahaja. Jadi saya syorkan anda bermain menggunakan D-pad daripada analog ketika bermain nanti.

Kesimpulan
Pac-Man Museum+ sebenarnya adalah sebuah game yang bagus malah menawarkan pelbagai game Pac-Man dalam satu game sahaja. Walaupun grafiknya tidaklah begitu berbeza dengan game terdahulu, penyampaian dan gaya arked yang dipakai sememangnya membawa pemain ke dunia klasik game itu. Walaupun anda bukan peminat Pac-Man, anda juga boleh berseronok bermainnya.
Walaupun arked itu bagus, rasanya lebih baik kalau ada ciri tambahan lain seperti penyesuaian Pac-Man atau pemain yang boleh singgah ke dunia arked pemain lain. Walaupun begitu, saya masih sukakan gimik yang digunakan kerana ia sangat berbeza daripada game sebelumnya.
Pac-Man Museum+ sudah lama dilancarkan dan tersedia untuk PS4, Xbox One, Switch dan PC melalui Steam. Anda juga boleh membaca review lain kami melalui pautan ini.

@gamersantaimy
The Review
Pac-Man Museum+
PROS
- Pelbagai game yang boleh dimainkan
- Terdapat misi yang boleh diselesaikan
- Tidak mempunyai masalah besar yang timbul semasa bermain
CONS
- Controller kadang-kadang tidak respons untuk game klasik Pac-Man
- Tidak begitu berbeza daripada Museum game yang dahulu
Discussion about this post