Kadang-kadang tanpa sengaja, kita akan terjumpa satu game indie yang tahap kualitinya hampir sama seperti game AAA. OPUS: Echo of Starsong adalah salah satu contoh daripada game indie ini. Secara ringkas, OPUS: Echo of Starsong adalah game “sci-fi story-driven puzzle adventure” yang memerlukan sekitar 11 hingga 13 jam untuk kita tamatkan. Ia dikembangkan dan diterbitkan oleh studio indie SIGONO INC dari Taiwan dan walaupun ini adalah entri ketiga dengan siri OPUS, kita tidak perlu bermain game sebelum untuk menikmati sepenuhnya Echo of Starsong. Setiap game mempunyai naratif tersendiri. Jadi tanpa melengahkan masa lagi, inilah review saya untuk OPUS: Echo of Starsong!
Jalan cerita mantap dan penuh emosi

Kisah Echo of Starsong berlaku di galaksi yang baru saja dilanda oleh peperangan. Kita akan bermain sebagai Jun, seorang bangsawan dari East Ocean yang mencari asteroid untuk menjadi tempat kediaman bagi puaknya. Dia bertemu dengan Eda, seorang perempuan sihir yang memiliki kebolehan untuk mengesan Starsong: sejenis gelombang bunyi yang dihasilkan oleh asteroid. Bersama, mereka mengembara ke seluruh galaksi demi mencari asteroid ini.
Walaupun plot cerita dengar seperti kisah sci-fi tipikal, ia sebenarnya ditulis dengan banyak maksud yang bermakna dan mendalam dan menumpukan sepenuh perhatian pada watak untuk menghasilkan kesan emosi yang kuat. Game ini mempunyai sebanyak 5 bab dan selama saya bermain, kita boleh melihat bagaimana setiap watak berkembang dan berhubung antara satu sama lain.

Peristiwa yang berlaku dalam jalan cerita pun mendorong naratif untuk maju. Memang banyak adegan yang menyentuh hati dan ada juga yang hampir membuat saya menangis. Walaupun saya kata begitu, bukan semuanya tertumpu pada emosi. Echo of Starsong juga menceritakan kisah antara konflik politik dan mitos sci-fi. Apa yang saya mampu kata adalah OPUS: Echo of Starsong merupakan contoh yang bagus di mana permainan video boleh menjadi alat yang berkesan untuk menceritakan sesuatu kisah.
Sesi mengembara di angkasa lepas

Walaupun game ini lebih kepada cerita dan mengandungi banyak teks untuk baca, ia bukan game novel visual. Echo of Starsong adalah campuran antara “pengurusan sumber” dan genre “exploration” dengan sedikit teka-teki. Untuk majoriti gameplay, anda akan menjelajah seluruh galaksi ketika bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain. Di sini, kita perlu menguruskan sumber minyak (fuel) kapal, pertahanan (armor) dan wang.
Korang boleh anggap Armor ni sebagai HP, dan semasa meneroka angkasa lepas, akan ada pelbagai peristiwa yang boleh terjadi, seperti semarak suria atau serangan lanun yang mengurangkan jumlah Armor. Sekiranya Armor mencapai 0, maka GAME OVER. “Fuel” digunakan untuk kapal angkasa di mana lebih banyak Fuel diperlukan untuk pergi ke lokasi lebih jauh demi memajukan jalan cerita, manakala wang penting untuk membeli lebih banyak Fuel dan Armor.

Sepanjang permainan, anda dapat menjelajahi ke pelbagai lokasi seperti stesen angkasa yang ditinggalkan, planet yang terbiar dan tempat menarik lain. Meneroka lokasi-lokasi ini akan menelan kos Exploration Kit, yang memerlukan banyak wang. Nasib baiklah, anda dapat menjana lebih banyak wang dengan menjual barang yang dikutip. Kita juga kadangkala dapat mencari bahan untuk menaik taraf kapal. Secara keseluruhan, anda hanya perlu memastikan bahawa sumber daya cukup atau tidak untuk meneruskan perjalanan. Selagi anda tidak membazir sumber dengan sengaja, semuanya mudah untuk dikawal.
Satu perkara penting yang saya rasa anda semua patut tahu adalah permainan bergantung sedikit pada RNG untuk peristiwa yang terjadi semasa menjelajahi angkasa lepas. Sama ada anda beruntung atau bernasib malang semasa peristiwa ini bergantung pada sebuah balingan dadu. Walaupun ada cara untuk meningkatkan nasib dalam permainan, tidak ada cara untuk mengelak apabila berlakunya peristiwa malang.

Walaupun anda masih boleh maju dalam permainan dengan nasib yang malang, ciri ini agak menjengkelkan bagi mereka yang ingin mendapatkan semua Memories (sejenis collectible yang menunjukkan kisah silam) dalam satu “playthrough”, kerana jika kita gagal dalam balingan dadu, ia akan secara efektif menghalang kita daripada mengutip beberapa Memories.
Teka-teki yang bergantung pada bunyi

Satu lagi aspek penting kepada gameplay adalah bahagian teka-teki, yang biasanya berlaku apabila kita menjelajah gua. Dalam gua, game akan beralih ke perspektif 2.5D, di mana Jun dapat berjalan di sekitar peta. Apa yang saya sangat suka tentang bahagian teka-teki adalah ia bergantung pada bunyi. Majoriti besar teka-teki dalam game ini melibatkan Starsong di mana pemain perlu membetulkan bunyi Starsong bagi menyelesaikan teka-teki.
Ia tidak terlalu rumit atau sukar, dan sangat unik berkat reka bentuk audio. Jika anda jenis suka ASMR, teka-teki ini memang seronok terutamanya jika bermain dengan headset. Selain teka-teki Starsong, ada beberapa jenis teka-teki lain yang bantu memberi kepelbagaian kepada permainan supaya kita tidak rasa seperti terlalu repetitif. Secara keseluruhan, saya menikmati teka-teki dalam permainan dan terasa puas setiap kali menyelesaikannya.
Audio bantu penceritaan

Seperti saya jelaskan di atas, reka bentuk audio dalam permainan ini memang cun. Ini adalah sebab besar mengapa teka-teki sangat memuaskan walaupun tidak susah. Selain itu, muzik dalam game ini berfungsi untuk menyampaikan emosi. Satu benda yang anda mungkin tidak tahu adalah OST semasa cutscene merupakan lagu Starsong tetapi dengan instrumen penuh.
Apabila mendengarkan versi lagu yang lebih “lengkap” berbanding versi teka-teki, ia benar-benar membuatkan suasana lebih imersif untuk jalan cerita. Mungkin ada yang tidak setuju, tetapi saya anggap kualitinya setanding dengan game indie seperti Ori and the Blind Forest dan GRIS. Kumpulan Triodust, yang menghasilkan muzik, berjaya melakukan tugas dengan bagus, jadi saya amat mengesyorkan mana-mana pemain untuk membeli DLC OPUS: Echo of Starsong Original Soundtrack -Best Selection-.
Pendapat

Secara keseluruhan, OPUS: Echo of Starsong adalah game indie yang sangat mantap daripada segi jalan cerita dan muzik. Kali terakhir saya betul-betul sangkut pada jalan cerita adalah semasa bermain Little Nightmare yang menggabungkan naratif dengan suasana sekeliling. Hanya ada satu je yang saya ingin mengadu iaitu apabila memilih satu barang yang untuk dibeli di kedai, kita tidak boleh membatalkan pembelian tersebut dan anda terpaksa membelinya.
Itu sahaja aduan saya! Tidak banyak yang saya boleh cari memandangkan ini pun bukan game AAA. Bagi pendapat saya, OPUS: Echo of Starsong adalah salah satu permainan indie terbaik pada tahun 2021 dan telah menetapkan standard yang tinggi untuk penulisan naratif dan muzik bagi sesebuah permainan bukan AAA. Saya memang mengesyorkan OPUS: Echo of Starsong kepada semua gamer yang suka mencuba sesuatu yang baru dan yakin ini akan menjadi pengalaman yang susah untuk anda lupakan.
Itu sahaja untuk review saya bagi OPUS: Echo of Starsong! Game ini boleh didapati di PC dan Mac melalui Steam pada nilai harga RM 36.00. Jika anda berminat untuk membaca review kami yang lain termasuk Tales of Arise yang baru keluar, pemenang anugerah Hades dan sebagainya, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
OPUS: Echo of Starsong
Bagi pendapat saya, OPUS: Echo of Starsong adalah salah satu permainan indie terbaik pada tahun 2021 dan telah menetapkan standard yang tinggi untuk penulisan naratif dan muzik bagi sesebuah permainan bukan AAA.
Discussion about this post