Untuk mereka yang pernah cuba mana-mana game dalam francais OlliOlli, korang pasti tahu bahawa mekaniknya amat rumit dan memerlukan ketepatan tinggi pada setiap masa semasa melakukan trik. Game terbarunya, OlliOlli World akan keluar 9 Februari ini dan selepas “preview” game ini sebanyak dua kali, saya mengesyorkan bahawa OlliOlli World telah banyak mengubah formula lama. Dengan mengekalkan elemen skating ikonik, pihak developer menjadikannya lebih mudah untuk diakses oleh pemain. Jadi tanpa melengahkan masa lagi, inilah review saya untuk OlliOlli World dan mengapa ia sesuai untuk semua jenis gamer!
Untuk segala info tentang jalan cerita, gameplay, mekanik, mode yang ditawarkan dan lain-lain, sila baca di SINI. Review ini hanya tentang pengalaman saya semasa mencuba OlliOlli World.
Aksi skating dalam dunia kartun

OlliOlli World, seperti pendahulunya, ialah game “side-scrolling skater” di mana kita akan melalui dunia kartun berwarna warni seperti bandar, hutan, gurun dan sebagainya. Kerja kita bukan sahaja untuk bertahan hidup melalui setiap cabaran, malah perlu “survive” dalam cara yang paling bergaya.
Untuk mereka yang tidak tahu, dua game pertama OlliOlli cuba mereplikasikan suasana skating realistik dengan konsep kehidupan sebenar. OlliOlli World pula amat berbeza kerana mencampak kita ke dunia kayangan yang tidak dikenali. Dengan itu, saya ucapkan selamat datang ke Radlandia, sebuah syurga untuk para “skater” di mana kita boleh boleh meneroka pantai luas yang diperbuat daripada ais krim, dan bertemu dengan pokok bercakap.

Ini adalah perubahan estetik yang drastik untuk francais keseluruhan tetapi bagi saya, ia amat masuk akal untuk menyesuaikan diri dengan tema kartun umum. Jelas sekali, kita boleh melihat usaha developer yang memfokuskan budaya skating dalam OlliOlli World sambil mengurangkan unsur realisme dengan membina dunia “magical” yang dipenuhi oleh watak-watak menarik dan lucu.
Gaya adalah segalanya

Walaupun masih mengekalkan konsep “side-scrolling skater”, latar belakang OlliOlli bukan lagi imej 2D statik tetapi dunia 3D. Laluan yang kita bakal meluncur kini akan tembus melalui bangunan, tebing, hutan dan banyak lagi. Semuanya pun diwarnakan dengan jelas untuk membantu kita melihat litar dengan lebih senang.
Implementasi dunia 3D juga membolehkan kita bermain dalam cara yang sebelum ini tidak wujud dalam entri lama. Beberapa level akan dibahagi kepada dua; satu adalah laluan biasa manakala satu lagi adalah “Gnarly Route” yang membawa kita ke laluan yang lebih berbahaya tetapi menawarkan lebih banyak ganjaran. Mengapa laluan ini lebih susah? Itu kerana beberapa “obstacle” akan membuat kita berpatah balik, ada obstacle yang akan runtuh sebaik sahaja kita mendarat, dan sebagainya. Andai kata mencuba level yang sama, korang ada pilihan untuk mencuba laluan baru.

Pada masa yang sama, kita akan dapatkan gear hebat selepas menyelesaikan objektif sampingan dalam setiap litar. Antara objektifnya termasuk mencecah jumlah kombo tertentu, mencari watak yang tersembunyi atau mengejar lebah gergasi yang hanya akan muncul setelah dihalau dari sarangnya. Bukan itu sahaja, dengan mengambil “Gnarly Route”, kita kadangkala akan menemui NPC yang boleh membuka level baru. Level seperti ini selalunya mempunyai syarat kemenangan yang sangat khusus tetapi ganjarannya memang berbaloi.

Dari penjelasan ini, saya harap korang faham bahawa OlliOlli World ialah game yang mengharuskan kita untuk meneroka selagi boleh untuk menikmati pengalaman dunia sepenuhnya. Oleh itu, ia menerapkan konsep “lebih mudah” berbanding game sebelum, yang dulu mewajibkan pemain untuk serta merta menjadi “expert” sedangkan kita masih beginner.
Menang dengan bergaya tanpa perlu risau hukuman

Kenapa saya kita ia lebih mudah berbanding pendahulunya? OlliOlli World tidak menghukum pemain dengan ketara walaupun kita buat banyak silap. Saya sendiri dapat melepasi beberapa level walaupun trik yang dilakukan agak berterabur. Sebaliknya, OlliOlli World memberi ganjaran untuk mereka yang berusaha dapatkan skor tertinggi. Pendek kata, tiada masalah untuk bermain santai bersama keluarga, tetapi untuk melihat setiap content yang game ini tawarkan, lebih elok kita cantikkan gameplay sedikit demi sedikit.
Korang tidak perlu menguasai setiap level untuk bermain Olli Olli World. Tetapi semakin jauh korang maju dalam game, semakin banyak kita digalakkan untuk kembali dan cuba menyelesaikan 100% level lama.
Di penghujung setiap wilayah (setiap level dibahagikan kepada wilayah masing-masing), korang juga akan unlock lebih banyak kandungan di “Gnarvana”, yang menampilkan cabaran harian serta mode untuk kita mencipta litar sendiri dengan apa-apa gaya visual dan tahap kesukaran yang diingini.

Saya sebenarnya agak minat dengan game skating sejak bermain Tony Hawk semasa zaman PS2 dulu, tetapi baru sahaja tahu tentang kewujudan OlliOlli pada beberapa bulan lepas, sedangkan ramai di internet kata game ini seronok. Mungkin sebab dahulu sukar, itu yang tidak ramai “recommend” OlliOlli. Oleh itu, saya suka dengan pendekatan OlliOlli World yang mengekalkan ciri-ciri ikonik daripada dua game pertama, tetapi membayangkannya semula dalam gaya tersendiri supaya lebih kasual dan santai untuk pemain baru.

Maka, tamat lah review saya untuk OlliOlli World yang bakal dilancarkan di Nintendo Switch, PlayStation 4, Xbox One, Microsoft Windows, PlayStation 5, Xbox Series X dan Series S pada 9 Februari. Untuk segala liputan kami tentang game ini termasuk temu ramah eksklusif bersama developer, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post