NBA 2K23 Arcade Edition ialah game bola keranjang sama seperti NBA 2K23 standard yang tersedia pada konsol dan PC. Arcade Edition merupakan versi eksklusif hanya untuk pengguna Apple, versi ini walau bagaimanapun, didatangkan dengan mode gamenya sendiri iaitu “The Greatest”. Mode ini membolehkan kita mencabar diri kita dengan bintang-bintang sukan NBA seperti Michael Jordan dan Kevin Garnett. Kalau ingin tahu lebih lanjut tentang NBA 2K23 Arcade Edition, ini kami sediakan review untuknya.
Mode Game

Pertama sekali saya ingin review ialah tentang game mode yang terdapat dalam NBA 2K23 Arcade Edition ini. Game ini mempunyai empat mode berbeza yang boleh anda mainkan. Tiga daripada mode tersebut sama seperti versi standard di PC dan konsol manakala terdapat mode eksklusif untuk edisi ini iaitu “The Greatest”.

“Play Now” ialah mode pilihan untuk anda jika terasa seperti ingin mengadakan perlawanan menentang sama ada komputer atau pemain lain. Anda juga boleh memilih mode 2KU, iaitu mode tutorial yang mengajar anda melalui permainan asas. Terdapat juga mode Backtop di mana mode ini sama seperti Volta Football di FIFA, bermaksud kita akan bermain permainan bola keranjang versi street style.

“MyCareer”, seperti namanya, akan meminta kita untuk mencipta avatar sendiri dan merasai pengalaman untuk menjadi pemain NBA terbaik. “The Association” pula ialah mode simulasi di mana kita akan melalui musim NBA dengan pasukan yang kita pilih. Mode ini juga mempunyai kem latihan untuk meningkatkan prestasi pasukan amnda supaya boleh bermain di playoff dan mungkin akan melayakkan pasukan anda ke Pusingan Akhir.

Dan mode terakhir pula ialah “The Greatest” di mana anda boleh bermain seperti perlawanan biasa. Namun kali ini, anda boleh memilih salah seorang pemain terbaik dalam NBA dan bersaing dengan mereka untuk menjadi yang terbaik daripada yang terbaik.
Gameplay

Game ini dimainkan seperti setiap permainan bola keranjang biasa, jadi anda mempunyai 5 pemain anda sendiri menentang 5 pemain dari pasukan lawan. Objektif adalah untuk menjaringkan lebih banyak point daripada pasukan lawan dalam masa yang ditetapkan perlawanan. Satu perlawanan bola keranjang berlangsung selama empat minit 15 saat dan panjang suku boleh diubah mengikut pilihan anda.

Game ini mempunyai dua jenis tetapan untuk bergerak iaitu Casual dan Pro. Casual menunjuk kawalan ringkas dan hanya mempunyai butang dengan arahan mudah seperti Shoot, Pass dan Defend. Manakala Pro pula mempunyai kawalan yang lebih terperinci untuk pemain veteran seperti Set Pick, Lob Pass dan Box Out. Tetapan Casual juga dilengkapi dengan butang bantuan AI yang membolehkan AI mengawal anda apabila anda memegang butang itu.
Butang untuk kedua-dua tetapan adalah sama seperti game sukan pada peranti mobile yang lain iaitu dengan butang bergerak berada di bahagian bawah kiri dan butang aksi di bahagian bawah sebelah kanan.
Bagi saya, saya lebih suka tetapan Casual kerana ia lebih mudah untuk menghantar bola, mendapatkan bola dan menembak ke dalam bakul. Saya ada juga mencuba pengawal Pro tetapi apabila saya cuba melakukan Lob Pass, ia membawa kepada detik pelik dimana saya tiba-tiba melakukan kekasaran dan memberikan pasukan lawan balingan percuma.

Dalam “MyCareer”, selain daripada bermain perlawanan bola keranjang, ia juga mempunyai grading system yang akan menilai prestasi kita dalam perlawanan. Kita akan mendapat kredit yang boleh digunakan untuk meningkatkan statistik atau membeli kosmetik watak kita. Jika dapat gred yang lebih baik, lebih banyak kredit yang akan kita perolehi.

“The Association” adalah mode simulasi di mana kita akan mensimulasikan pasukan yang kita pilih untuk mengharungi di musim NBA. Sudah tentu akan ada pilihan untuk kita memainkan perlawanan secara manual tetapi mode ini lebih menekankan tentang cara untuk menguruskan pasukan.
Kita boleh membuat keputusan pemain mana yang ingin ditukar atau membawa masuk ke draf pasukan. Kita juga boleh pilih jenis latihan yang kita mahu untuk jadikan pasukan kita antara pasukan yang terbaik dalam NBA.

Secara keseluruhannya, game ini memberikan pengalaman yang sama seperti yang akan kita dapat dalam versi konsol. Cuma edisi ini terasa lebih mudah untuk difahami, mungkin kerana rekaan game yang dicipta untuk Arcade Edition amat ringkas.
Grafik

Jika saya dapat ringkaskan menjadi satu perkataan, saya boleh kata grafik untuk NBA 2K23 Arcade Edition ialah ‘Cantik’. Kualitinya tidak seperti grafik yang disediakan untuk versi konsol, tetapi apa saya boleh katakan ialah grafik Arcade Edition lebih bagus jika ingin dibandingkan dengan game mobile yang lain. Walaupun ekspresi muka pemain kelihatan agak pelik apabila dizoom.

Model 3D game ini tidak nampak terlalu bergerigi dan semua warnanya bercantum dengan baik, menjadikan pemandangan game seperti berada di perlawanan NBA. Itu adalah review saya untuk bahagian grafik dalam NBA 2K23 Arcade Edition ini.
Untuk User Interface pula kelihatan sangat kemas dan berjalan dengan lancar. Semasa saya bermain game ini, saya tidak perlu mengambil terlalu banyak ruang untuk menekan butang dan kesemua butang diletakkan dengan baik supaya saya nampak apa yang patut saya tekan.
Arcade Edition

Untuk Arcade Edition ini, akan terdapat mode yang dibuat eksklusif untuk Apple iaitu Greatest Edition di mana anda boleh memilih salah satu pemain terbaik dalam NBA dan bersaing dengan pemain terkenal yang lain. Ia juga mempunyai elemen roguelike di mana anda akan mendapat buff secara random setiap kali anda memenangi perlawanan. Anda boleh meningkatkan ketahanan anda sehingga meningkatkan kekuatan pegangan bola anda.

Anda juga boleh melaraskan kesukaran perlawanan anda mengikut pilihan. Jika anda cabar diri dengan tahap yang lebih susah, lebih banyak bonus yang anda akan dapat.
Kesimpulan

Pada pendapat saya game ini pasti akan menjadi sangat menyeronokkan cuma saya tiada pengalaman yang banyak tentang permainan bola keranjang, terutama sekali peraturan asas kerana game ini hanya mengajar saya perkara asas seperti cara membaling dan menghalang. Tetapi ia tidak memberitahu perkara yang lebih teknikal seperti perbuatan yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam permainan bola keranjang.
Sebagai contoh, saya tahu peraturan dalam bola keranjang ialah kita tidak boleh memegang bola terlalu lama jadi apabila saya mendapat bola, saya akan tunggu pemain mana yang tidak dikawal kemudian baru saya menghantar bola kepadanya.

Walau bagaimanapun, saya menikmati aspek pembinaan watak dalam mode MyCareer. Saya boleh pilih statistik mana yang ingin dinaikkan dan ini memberi kebebasan kepada saya untuk membina watak sendiri. Jika anda pening nak agihkan point, saya boleh syorkan kepada anda untuk agihkan secara seimbang supaya watak anda tidak mempunyai kelemahan yang besar.
Sebelum saya terlupa, saya memainkan game NBA 2K23 Arcade Edition pada iPhone 14 Pro Max. Saya dapat merasakan bahawa game ini berjalan dengan lancar dan tiada frame drop sepanjang saya bermain menggunakan peranti tersebut.

Jika anda tidak berminat untuk memainkan watak, anda boleh bermain dalam mode The Association. Mode ini memberi pengalaman seperti sedang menguruskan pasukan bola keranjang anda sendiri dengan melihat statistik pasukan dan sebagainya. Pada saya yang tidak pandai untuk melihat skor statistik lebih suka untuk memainkan watak.
Jadi inilah review saya untuk NBA2K23 Arcade Edition. Jika anda berminat untuk bermain game ini, ianya tersedia untuk kesemua produk Apple seperti iOS, iPadOS, macOS dan tvOS di App Store.
Apa pendapat korang, boleh bincang dekat ruangan komen di bawah. Untuk banyak lagi review game daripada kami, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
NBA2K23 Arcade Edition
PROS
- Penyesuaian watak yang teliti dalam MyCareer.
- Unsur-unsur roguelike dalam mode The Greatest amat menyeronokkan.
CONS
- Tidak mesra pengguna pada orang baru yang ingin mencuba bola keranjang.
Discussion about this post