Kebiasaannya kita selalu dengar perlumbaan kereta yang melibatkan super car seperti dalam game Need for Speed, Gran Turismo dan Forza Horizon. Memang jarang sekali kalau nak dengar perlumbaan yang melibatkan kenderaan off-road seperti ATV dan motocross. Kali ini, kami akan memperkenalkan anda dengan game racing off-road iaitu MX vs ATV Legends. Tanpa melengahkan masa lagi, mari kami memperkenalkan dengan review MX vs ATV Legends.
Pengalaman kali pertama

Semasa bermain game ini buat kali pertama, anda tidak akan nampak menu seperti game-game lain yang biasa di mainkan. Mereka menggunakan pendekatan yang berbeza dengan memberikan mode freeride dengan beberapa checkpoint. Pada setiap checkpoint, mereka menyediakan tutorial cara bermain MX vs ATV Legends. Selepas habisnya tutorial, anda boleh akses menu dengan menggunakan butang start/option.
Tutorial yang diberikan adalah sangat mudah dan mendalam untuk pemain baru yang tidak pernah menyentuh genre motocross sebelum ini. Hal ini kerana cara pemanduan motocross adalah sangat berbeza jika nak dibandingkan dengan pemanduan motor dan kereta secara general.

Dengan memberikan mode Freeride pada awal game, anda boleh menjumpai pelbagai acara, “collectible” dan bercakap bersama NPC di sekitar kawasan terbuka. Yang peliknya dengan game ini, anda perlu pergi ke bahagian menu untuk bermain mode lain seperti mode career, race ataupun ubah suai motor. Bagi saya, dah alang-alang bagi mode Freeride pada awal game, mereka sepatutnya menyediakan checkpoint di mana anda boleh pergi dan masuk ke mode-mode yang saya sebutkan tadi.
Mode
Career

Dalam mode ini, anda boleh bermain 3 jenis perlumbaan yang berbeza dengan memandu kenderaan yang berbeza iaitu MX, ATV dan UTV. Tetapi, anda perlu menghabiskan beberapa misi dalam perlumbaan MX untuk membuka dua perlumbaan yang lain.
Matlamat dalam mode Career sangat mudah sebenarnya. Anda perlu menjadi penunggang profesional dan raih kemenangan dalam setiap perlumbaan yang anda sertai untuk mendapatkan peminat sebanyak yang mungkin. Saya cuma nak mengingatkan anda bahawa dalam mode ini semuanya perlumbaan dan tiada dialog bercakap dengan NPC atau sebagainya. Jika ada pun, ianya tidak membantu dalam pembentukan karakter pemain.

Apabila setiap perlumbaan tamat, anda akan menerima ganjaran seperti motor, alat ganti dan trek baru. Kadang-kadang, ganjaran akan diberi dalam bentuk lain di mana anda akan mendapat jemputan untuk acara perlumbaan tertentu dengan hadiah menarik seperti wang in-game atau alat ganti. Untuk game racing seperti ini, sudah pasti anda dibenarkan untuk mengulangi perlumbaan untuk menaikkan kedudukan dan mengumpul wang in-game.
Pada pendapat saya, mode career dalam game ini sangat membosankan. Tidak seperti game sukan lain seperti WWE, NBA dan FIFA di mana mereka akan memberikan perjalanan seorang pemain yang akan terkenal pada masa akan datang tetapi apa yang anda dapat dalam mode career game ini hanyalah perlumbaan motocross sepenuhnya dan tiada elemen yang unik.
Exhibition

Untuk mode Exhibition, ia akan terbahagi kepada dua bahagian iaitu Quickplay dan Time Trial.
Dalam mode Quickplay, banyak acara yang berlainan seperti Supercross, National, Rhythm, Trails, Invitational dan Freeride. Namun, tidak banyak perbezaan diantara setiap acara tersebut. Contohnya, Supercross yang menggunakan trek indoor yang mempunyai lebih banyak lompatan dan ramp. Manakala National dan Invitational menggunakan trek outdoor.
Gameplay

Sebagai seorang beginner yang baru mencuba genre motocross seperti saya, ianya agak susah untuk dimainkan kerana anda bukan sahaja mengawal pergerakan motor dengan menekan accelerate dan brake tetapi anda juga perlu memahami cara pergerakan mekanik dan fizik game.
Semasa berlumba dengan menggunakan motocross, anda boleh menggerakkan badan. Dengan mencondongkan badan anda semasa membelok, ia akan mempengaruhi kelajuan di selekoh. Contoh yang lain adalah semasa sebelum dan selepas melompat. Anda perlu memainkan suspension dengan banda anda untuk membuatkan motor berjalan dengan lebih laju. Handling motocross kadang-kadang boleh jadi pelik. Ada masa motor akan terasa lebih berat dan ada masa akan terasa ringan pula.

Kenderaan yang paling saya tidak gemari adalah UTV kerana cara pemanduannya agak pelik. Cuba bayangkan anda sedang memandu kereta tetapi mempunyai jenis handling seperti motor. Tak ke rasa pelik tu. Lagi-lagi semasa mengambil selekoh, mesti asyik terlanggar je pengadang jalan. Walaupun kenderaan ini dipandu pada kelajuan paling rendah, saya dapat rasakan yang tayar UTV sangat licin pada jalan yang tegak.
Berlumba dengan menggunakan UTV dan MX sememangnya sangat mencabar dan menyakitkan hati pada masa yang sama. Anda akan mudah terjatuh apabila menyentuh objek tertentu. Lebih-lebih lagi, semasa mendarat selepas melompat yang memberikan ketidakseimbangan pada motor yang menyebabkan anda mudah jatuh atau sekurang-kurangnya hilang kawalan.

Pada pendapat saya, berlumba dengan menunggang ATV adalah lebih baik dengan pengendalian yang lebih mudah. Hal ini kerana cara pemanduannya seakan sama dengan memandu kereta. Jadi, anda tidak perlu memikirkan tentang fizik, handling dan suspension kerana ianya sudah cukup untuk mengawal kenderaan ini dengan menekan butang “accelerate dan brake”. Ia sememangnya lebih mudah berbanding dengan dua kenderaan lain yang disediakan.
Seperti game NFS, butang Reset telah disediakan untuk digunakan sekiranya anda terjatuh dari motor atau tersalah jalan. Saya boleh katakan yang butang reset tidak begitu responsif kerana ianya ambil masa sangat lama untuk reset. Ia sepatutnya reset dengan serta merta tanpa mengambil masa yang lama kerana setiap saat adalah sangat penting dalam perlumbaan. Jika mengambil masa dengan sangat lama, anda akan rasa sakit hati dan akan ketinggalan dengan pemain lain.
Customization

MX vs ATV Legends menyediakan 3 bahagian pengubahsuaian termasuk Part, Tuning dan Locker. Pada bahagian Part, anda boleh dapatkan pelbagai alat ganti seperti suspension, brakes, tires, wheels, handlebars, seats, grips, exhaust, dan sprockets. Tetapi alat ganti yang anda tukar hanyalah sekadar visual dan bukan meningkatkan prestasi motocross anda.

Untuk meningkatkan prestasi secara mendalam, anda perlu pergi ke bahagian Tuning. Dalam bahagian ini, anda boleh tingkatkan prestasi motocross anda dengan membuat pengubahsuaian pada bahagian engine, clutch, chassis, suspension, traction, and brake.
Dalam masa yang sama, anda juga akan menjumpai peningkatan prestasi dengan mengikut statistik yang diberikan seperti Power, Traction, Suspension, Handling, Brake, dan Stunt. Macam biasalah, setiap peningkatan prestasi akan memberikan kelebihan dan kekurangan. Contohnya, anda membuat peningkatan pada bahagian power tetapi bahagian handling akan dikurangkan.

Walaupun tidak begitu terperinci seperti game racing lain, ia masih memberikan peranan yang penting dalam game racing ini. Saya adalah cuba gunakan tetapan default pada pertengahan mode career tetapi keputusan yang diberikan adalah sangat teruk dan ketinggalan dengan pemain lain. Jadi, dengan menggunakan Tuning, anda boleh gunakannya untuk meningkatkan prestasi yang lebih baik yang seperti anda mahukan.

Bukan setakat motor saja yang boleh diubah suai, karakter pun boleh diubah suai mengikut cita rasa di bahagian Locker. Anda boleh tukar helmet, googles dan set pakaian lengkap karakter. Anda juga dibenarkan untuk menukar jantina, nama dan nombor karakter. Malangnya, anda tidak boleh menukar warna pakaian ataupun rupa bentuk badan karakter yang membuatkan saya tidak tertarik pada bahagian ini.
Multiplayer

Dalam mode Multiplayer, anda diberikan dua pilihan sama ada ingin bermain secara online ataupun offline. Untuk mode online, anda boleh buka menu online dan pilih race online. Pelbagai acara yang disediakan dan salah satunya adalah Quick Match. Terdapat juga mode Squad Compound di mana ia seperti lobi custom yang membolehkan anda mengajak rakan sehingga 16 orang untuk bermain sekali.

Seperkara lagi adalah mode offline di mana anda akan bermain dengan menggunakan ciri-ciri split screen. Maksimum pemain yang boleh bermain adalah 2 orang sahaja. Semasa saya ingin mencuba mode ini, ia memerlukan dua controller dan tidak boleh menggunakan gabungan mouse dan keyboard walaupun ianya versi PC. Sama seperti mode online, ia juga tersedia dengan pelbagai acara.
Prestasi grafik dan audio

Bercakap tentang kualiti grafik, saya amat menyukai persekitarannya yang nampak sangat kemas dan cantik. Tambah pula dengan pelbagai objek dan aset yang muncul dalam kualiti yang tinggi, ianya cukup untuk saya tertarik kepada game ini. Setiap trek dan acara mempunyai persekitaran yang berbeza. Saya boleh katakan yang pencahayaan game ini sangat baik tidak kira sama ada ianya trek outdoor ataupun indoor.
Malangnya model watak tidak begitu baik dari segi grafik. Apatah lagi apabila karakter jatuh dari motor, penampilannya nampak sangat pelik dan kualiti grafiknya jauh lebih teruk berbanding kualiti persekitarannya. Kadang-kadang model karakter dan objek tertentu akan kelihatan kabur kerana mempunyai tekstur yang tinggi dan menjadikan ia lambat untuk di-render.

Semasa saya bermain, saya menjumpai beberapa visual bug di mana terdapat objek hitam yang tidak jelas seperti bayang-bayang muncul di atas trek. yang kedua adalah semasa saya menggunakan butang reset selepas jatuh daripada motor, entah bagaimana karakter tidak muncul dan hanya motor sahaja yang muncul. Jadi, saya menunggang motor tanpa penunggang.

Selain itu, saya cukup gembira dengan bunyi yang dapat dihasilkan. Saya boleh mendengar bunyi enjin, sentuhan antara objek dan sorakan daripada penonton. Pada bahagian audio, saya sarankan untuk anda menurunkan volume lagu kerana ianya sangat kuat secara default sehinggakan anda tidak dapat mendengar bunyi-bunyi lain.
Pendapat saya

MX vs ATV Legends memberikan kesan yang positif kepada saya sebagai beginner kepada perlumbaan motocross. Bagi saya, mode Freeride sangat menarik di mana ia membenarkan anda berkunjung dari satu checkpoint ke checkpoint yang lain sebagai menu utama game dan menjadikan game ini lebih kepada “open world”. Malangnya, tidak semua mode disediakan dan terpaksa menggunakan menu yang membosankan.
Saya rasa banyak lagi yang perlu ditambah baik. Lagi-lagi bahagian fizik yang tidak terlalu dipermudahkan supaya beginner lebih berminat untuk bermain game ini dalam jangka masa yang lama dan jatuh cinta kepada genre seperti ini. Walaupun sudah dimainkan pada tahap kesukaran yang paling rendah, saya rasa ianya masih susah untuk menang kerana gameplay-nya sangat menyakitkan hati.

Walau apa pun, saya tetap akan mengatakan yang game ini telah dihasilkan dengan baik cuma perlu membuat penambah baikkan pada masa akan datang. Kepada yang ingin mencuba game racing lain daripada yang lain, saya memang sarankan MX vs ATV Legends kepada anda. Ia boleh didapatkan di PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam.
Untuk mendapatkan lebih banyak review yang terkini mengenai game dan teknologi termasuk The Quarry, sila klik pautan di sini.
@gamersantaimy
The Review
MX vs ATV Legends
PROS
- Mode Freeride
- Kualiti grafik persekitaraan yang cantik
- Pelbagai trek yang boleh dipilih
CONS
- Menu UI yang membosankan
- Model karakter yang menyedihkan
- Gameplay yang susah untuk beginner
Discussion about this post