Tiada nama studio atau apa-apa. Midnight Fight Express telah dibangunkan oleh seorang developer yang bernama Jacob Dzwinel. Ya, seorang diri bangunkan game. Mujur ada penerbit yang baik hati seperti Humble Games yang membantu seorang indie yang membangunkan game.
Game ini menceritakan perjalanan seorang penjenayah yang sangat berkuasa kembali ke pangkal jalan. Tanpa melengahkan masa lagi, jom teruskan dengan review Midnight Fight Express daripada kami.
Jalan cerita

Korang akan bermain sebagai watak utama yang bernama Babyface. Dia merupakan salah seorang bekas penjenayah Underworld. Kenapa bekas penjenayah? Jom saya ceritakan bagaimana seorang penjenayah kembali ke pangkal jalan.
Pada suatu hari, terdapat satu drone AI yang misteri yang hadir ke dalah hidupnya dan secara tidak langsung menghentikan Babyface daripada mengambil alih jenayah terbesar di seluruh bandar. Secara asasnya, itulah perjalanannya.

Tetapi ia masih tidak bermula sehingga Babyface ditangkap oleh polis kerana dia telah bertempur di seluruh bandar tetapi dia tidak dapat bercakap dengan lebih lanjut. Tidak lama kemudian, Babyface akhirnya membuka mulutnya dan menceritakan segalanya kenapa dia buat sedemikian. Rupa-rupanya, drone misteri itu memberitahunya untuk bertempur dan menyelamatkan seluruh bandar.
Dengan pembongkaran rahsia itu tadi, bermulalah gameplay di sini.
Gameplay

Bercakap tentang gameplay, game ini mempunyai level yang sangat unik. Setiap daripada level mereka akan mempunyai musuh dan cabaran yang tersendiri. Jadi, matlamat korang adalah mendapatkan skor yang lebih tinggi dan membuka level “perk” yang eksklusif.
Untuk bermain Midnight Fight Express, saya cadangkan untuk korang bermain level yang sama sebanyak dua hingga ke tiga kali. Hal ini kerana, cabaran bagi setiap level akan ditunjukkan selepas korang menamatkan level tersebut. Dengan menyelesaikan kesemua cabaran yang diberikan, korang boleh membuka kesemua perk yang ada.

Selepas selesai menghabiskan level, korang akan kembali ke “Hideout”. Di sini, korang boleh meningkatkan skill, ubah suai penampilan, menyemak progress dan banyak lagi. Ini juga termasuk kepada mode practice atau dikenali sebagai “Playground” yang membenarkan korang berlatih skill atau gerakan yang boleh dibuat semasa bertarung.

Dia punya “Playground” bukan biasa-biasa tau, korang sendiri boleh ubah suai mode seperti musuh, senjata dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, persekitaran “Playground” pun korang boleh ubah suai. Memang seronok kalau korang nak berlatih skill atau serangan dengan persekitaran yang diri sendiri buat. Bagi saya, ianya sangat memuaskan hati walaupun pada setiap level mempunyai musuh yang berbeza tapi korang sendiri boleh memilih dan berlatih bersama mereka.
Apa yang menarik pada saya adalah HP dalam game ini kerana ia akan bertambah semasa pemain sedang bertarung. Jika pertarungan tidak habis, selagi itulah HP akan naik. Tetapi ia akan menjejaskan kepada masa selesai pada setiap level.
Pertempuran

Bahagian gameplay yang paling penting adalah pertempurannya. Senang cerita pertempurannya sama seperti dalam siri Batman Arkham di mana ia berkaitan dengan “Freeflow Combat”..
Contoh yang saya boleh berikan di sini adalah apabila korang terus menekan butang “strike”, watak yang korang kawal akan terus bertarung sehingga musuh mati dan secara tidak langsung mencari musuh yang masih hidup di kawasan terdekat. Tambah pula dengan pertempuran yang sangat lancar, korang dah boleh jadi macam Jackie Chan atau Bruce Lee dalam game ini. Jangan lupa untuk mengelak daripada segala serangan daripada musuh.

Setakat tumbuk dan mengelak, itu baru perkara asas pertempuran dalam game ini. Kalau nak lebih banyak aksi, korang boleh cuba gunakan senjata yang ditinggalkan oleh musuh yang telah mati. Walau bagaimanapun, senjata itu tidak mempunyai hayat yang panjang. Ia akan patah apabila membuat serangan sebanyak 7 hingga 8 kali sahaja.
Sekurang-kurangnya senjata itu membuat lebih banyak damage daripada tumbukan. Di sini saya ingin mengingatkan korang yang musuh pun boleh gunakan senjata yang dijatuhkan tadi. Jadi, tunjukkan kepantasan korang untuk mengambil senjata dengan lebih pantas.

Kalau korang rasa serangan dengan menggunakan penumbuk dan senjata masih tak cukup, korang gunakan item-item yang ada pada persekitaran bandar. Dengan melempar item-item pada musuh, ia akan membatalkan serangannya dan membuka peluang untuk menyerang pula.
Tidak semua item yang ada di persekitaran boleh digunakan. Jadi, korang boleh “scan” terlebih dahulu untuk mengenal pasti item-item yang boleh berinteraksi sebelum melakukan serangan.

Sudah alang-alang cerita mengenai musuh, jom saya ceritakan serba sedikit tentang mereka supaya dapat membantu korang untuk menyelamatkan dunia. Semasa musuh sedang bersedia untuk menyerang, korang akan melihat garis merah pada watak mereka. Jadi, korang boleh bersedia dengan mengelak atau membalas serangan dengan cepat.
Korang juga boleh gunakan skill untuk menyerang musuh tetapi ia perlu dibuka dengan menggunakan “skill point” yang diperolehi pada setiap level. Dengan menggunakan skill, korang boleh lakukan pelbagai kombo serangan di mana ia mempunyai kadar yang lebih tinggi untuk menjatuhkan musuh.
Jadi, dengan adanya serangan asas, serangan yang menggunakan item, senjata dan skill, korang boleh ubah suai mengikut gaya pertarungan sendiri. Jika tidak suka pada beberapa skill yang dipakai, korang boleh sahaja tukar dengan skill yang lain.
Muzik

Setiap level mempunyai muzik yang berlainan dan jenis muziknya pula adalah “pun-type”. Saya boleh katakan yang muzik latar pada setiap level akan memberikan semangat kepada pemain untuk mengalahkan musuh. Sebenarnya, saya agak terkejut kerana game indie seperti ini telah meletakkan usaha yang sangat banyak pada muzik latar.
Secara Keseluruhan

Gabungan pertempuran yang hebat dan muzik yang meningkatkan semangat adalah satu gabungan yang cukup baik dan sekali gus memberikan game ini kelebihan yang tiada pada game lain. Dengan pertempuran yang sangat unik, ini dapat memberikan pengalaman yang sangat lancar kepada korang.
Semasa saya bertarung bersama musuh yang tidak kuat, saya rasa sedang bermain Batman Arkham. Lain pula yang terjadi semasa saya berlawan dengan bos. Semasa pertarungan bersama bos, saya rasa sedang bermain Elden Ring. Asyik mati sahaja. Tetapi mati bukanlah pengakhiran kepada saya untuk berputus asa. Sebaliknya, saya mencuba banyak kali sehingga saya dapat kalahkan bos.

Kalau korang rasa skill yang dipakai tidak dapat mengalahkan bos, boleh cuba gunakan skill lain. Mana tahu dapat kalahkan bos. Jadi, jangan putus asa dan cuba cari jalan lain untuk mengalahkan bos yang sama. Di sini, anda boleh pergi ke Hideout dan buka “perk” atau skill dan cuba lagi sekali.
Pada pendapat saya, gameplay dengan menggunakan senjata mungkin boleh ditambahbaik pada masa akan datang. Saya rasa ia lebih sesuai dimainkan jika fokus kepada serangan jarak dekat sahaja. Pada masa yang sama, musuh yang menggunakan senjata terlampau banyak sehingga ia sukar dielak oleh pemain.

Secara keseluruhan, pengalaman semasa bermain Midnight Fight Express agak memuaskan terutama sekali gabungan muzik dan pertempurannya. Kalau korang berminat untuk dapatkan game ini, ia akan dilancarkan pada 23 Ogos 2022 di PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X|S, Nintendo Switch dan PC melalui Steam.
Ikuti Gamer Santai untuk mendapatkan lebih banyak review menarik mengenai game dan teknologi daripada kami.

@gamersantaimy
The Review
Midnight Fight Express
PROS
- Aksi yang sangat lancar
- Persekitaran yang cantik
- Muzik yang bagus
CONS
- Senjata jarak jauh boleh diperbaiki
Discussion about this post