Marvel’s Guardians of the Galaxy, satu lagi permainan berlesen IP Marvel oleh Square Enix, tetapi tidak seperti Marvel’s Avengers, ia telah dibangunkan oleh Eidos Montreal yang merupakan pembangun permainan Deus Ex Modern dan mempunyai rekod prestasi yang cukup kukuh. Jadi, saya agak optimis terhadap permainan ini. Permainan ini akan dilancarkan untuk PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Xbox One dan PC pada 26 Oktober 2021. Jadi tanpa melengahkan masa, ini adalah review jujur daripada saya untuk permainan Marvel’s Guardians of the Galaxy.
Kisah
Permainan ini bermula di sebuah kawasan yang aman di mana anda berada di masa lalu, berjumpa dengan kawan watak utama, Peter Quill atau dikenali sebagai Star-Lord, sebelum kembali ke masa sekarang di mana dia bekerja sebagai ketua Guardians of the Galaxy. Kisah ini berlaku selepas peperangan besar interstellar yang masih meninggalkan kesan pada galaksi, yang memberikan Star-Lord peluang untuk membuat sekumpulan “hero untuk disewa” untuk mencari duit.

Selain Star-Lord, terdapat empat ahli lain iaitu Rocket the Racoon, Groot, Drax the Destroyer, dan Gamora. Misi pertama mereka adalah untuk memburu raksasa yang tinggal di Quarantine Zone, tetapi misi mereka tidak berjalan dengan baik sehingga kumpulan itu hanya berjaya membawa pulang llama angkasa dan akhirnya ditangkap oleh Nova Corps. Sudahnya mereka terpaksa memberi sejumlah wang yang besar untuk menghapuskan jenayah mereka yang menceroboh Quarantine Zone.
Selepas itu, permainan ini pada asasnya akan membawa anda ke satu siri acara di mana Star-Lord dan rakan-rakannya perlu menyelesaikan masalah mereka untuk kembali ke landasan yang betul dan membuat impian mereka menjadi kenyataan, iaitu untuk membuat Guardians of the Galaxy dikenali. Bermula sebagai kumpulan yang kelihatan seperti tiada harapan, anda akan dapat melihat bagaimana mereka menjadi hero. Walaupun ceritanya tidaklah istimewa tetapi perwatakan dari watak itu sendiri yang menghiburkan.

Saya merasakan Eidos melakukan kerja yang lebih hebat dengan gambaran setiap ahli Guardians of the Galaxy berbanding MCU. Ia bukan mengenai reka bentuk watak tetapi personaliti yang digambarkan sama seperti yang saya bayangkan sebelum ini. Setiap interaksi dari watak membuatkan perjalanan anda lebih menarik. Walaupun mereka selalu bersembang kosong tetapi banyak perkara lucu yang tidak pernah gagal membuatkan saya tertawa.
Bukan semua situasi gembira sepanjang masa, ceritanya boleh menjadi sangat serius dan membawa anda melihat flashback masa lalu Star-Lord dari kecil sehingga menjadikan dirinya seperti sekarang. Satu lagi benda yang menarik tentang kisah permainan ini ialah penggunaan Dialogue Tree. Is bukan sahaja kerap tetapi juga boleh berlaku semasa melakukan eksplorasi ketika watak-watak bercakap antara satu sama lain. Terdapat juga adegan di mana pilihan anda akan mempengaruhi misi tertentu yang berlaku.
Contohnya ada satu misi di mana anda perlu mendapatkan wang dengan menjual raksasa untuk Lady Hellbender, anda boleh memilih antara Groot atau Rocket. Pilihan yang anda pilih akan memberikan pengalaman yang berbeza. Dengan pilihan dialog yang diberi membuatkan ceritanya lebih menarik sebab ia memberikan impak kepada kempen tetapi bukan jalan cerita utama permainan dan hanya mempunyai satu pengakiran. Walaupun begitu, ia membolehkan permainan ini untuk dimainkan semula.

Eksplorasi
Eksplorasi dalam permainan ini berbeza dari apa yang saya fikirkan. Pertama sekali, reka bentuk persekitarannya sangat hebat di mana setiap planet yang dilawati mempunyai suasana yang unik menjadikan eksplorasi terasa hebat. Saya sangat menyukai Quarantine Zone di mana ia merupakan sebuah tempat yang penuh dengan cecair merah jambu yang kelihatan seperti karang laut. Seluruh tempat itu sangat menakjubkan di mana sahaja anda melihatnya, sama ada dari luar angkasa atau bahagian yang anda jelajahi.
Dari segi penerokaan, permainan ini sangat linear. Anda tidak mempunyai peta mini untuk terus maju jadi anda tidak perlu bimbang untuk meneroka ke kawasan lain yang boleh diteroka. Apabila meneroka di sesuatu kawasan, anda akan menemui segmen tertentu yang memerlukan kebolehan Guardian untuk meneruskan perjalanan.

Contohnya, anda boleh memberi arahan kepada Rocket untuk masuk ke ruang kecil untuk mengaktifkan mekanik elektrik, Groot untuk membuat jambatan kayu untuk dilintas dan juga kebolehan watak lain. Watak Utama, Star-Lord dengan kuasa visornya mampu memberi petunjuk untuk item dan barang yang boleh berinteraksi. Anda juga akan mendapat akses kepada serangan elemen di mana anda boleh membekukan air untuk menjadi tiang ais yang besar.
Terdapat juga beberapa barang yang anda boleh dapati seperti Guardians Collection yang merupakan item khas untuk interaksi khas dengan Guardian tertentu dalam parti anda. Terdapat juga komponen mekanik untuk dikumpul yang merupakan mata wang utama dalam permainan ini. Ia boleh digunakan untuk membuka perk istimewa untuk watak anda iaitu Star-Lord. Eksplorasi permainan ini mengingatkan saya pada permainan Star Wars Jedi: Fallen Order dengan persekitarannya yang sangat sesuai dengan suasananya. Ianya sebuah penerokaan yang berskala kecil dan mempunyai rentak yang baik, jadi saya tidak begitu kisah mengenainya. Penerokaannya juga tidak mempunyai teka teki, jika ada pun ia sangat senang untuk diselesaikan,

Gaya pertempuran
Untuk pertempuran pula, bagi saya ia merupakan aspek yang lemah untuk permainan ini. Biar saya ceritakan dahulu mengenai mekanik pertempurannya. Ia hanya permainan aksi third person yang biasa tetapi dalam kes ini anda hanya boleh bermain sebagai Star-Lord. Watak Guardian yang lain hanya boleh diberikan arahan untuk serangan khas, di mana anda boleh membawa mereka dengan empat slot parti termasuk anda. Permainan semakin lama menjadi sengit, jadi anda perlu memilih serangan khas yang sesuai untuk setiap watak lakukan.

Berikut adalah penerangan ringkas mengenai gaya pertempuran untuk setiap watak:
- Star- Lord: Pemimpin Guardians of the Galaxy sendiri adalah seorang pejuang yang sangat tangkas yang bertarung dengan double quad blaster dan boleh melompat dan terbang dengan but jet. Sebilangan kemampuannya membolehkan dia terbang untuk jangka masa yang lama, menembak peluru quad blaster yang cepat untuk menembusi pertahanan musuh dan ada juga membolehkannya untuk melompat tinggi dan menembak musuh dengan tembakan yang luas.
- Rocket: Rakun kecil ini merupaka pakar senjata yang menyerang dari jarak jauh. Dia lebih fokus kepada damage untuk semua target pada satu masa. Serangan asasnya ialah Cluster Flark Bomb yang memberikan damage sederhana kepada semua benda dalam kawasan bom itu.
- Groot: Dia merupakan watak defender yang mampu menerima damage yang tinggi. Groot fokus kepada crowd control , di mana dia boleh melumpuhkan musuh di kawasan kecik pada masa yang singkat. Kebolehan ini agak dahsyat sebab anda boleh menghentikan musuh anda termasuk bos.
- Drax: Dia adalah attacker yang mampu menyerang banyak musuh sekaligus. Salah satu kebolehannya membolehkan Drax menangani damage ringan tetapi stagger besar, sangat berguna ketika melawan musuh dengan pertahanan kuat yang sangat sukar untuk ditembusi.
- Gamora: Seorang pembunuh upahan yang sangat mahir yang boleh menghapuskan musuh dengan pantas. Dia boleh memberikan serangan yang cepat dan damage tinggi. Salah satu kebolehannya boleh memberikan damage tinggi untuk satu target.
Anda boleh membuat kombo hebat dan dahsyat apabila menggunakan watak-watak ini bersama kebolehan Star-Lord. Dengan hanya satu watak sahaja untuk dimainkan, ia mengingatkan saya pada Scarlet Nexus. Guardian of Galaxy hanya memberikan arahan serangan yang mudah sama seperti Scarlet Nexus. Itu yang membuatkan pertempuran dalam permainan ini rasa biasa dan tidak mendalam. Jadi ia cepat membuatkan pertempuran terasa berulangan. Saya fikir jika watak lain boleh dimainkan, ia mungkin tidak akan berulangan seperti ini.
Walau bagaimanapun, salah satu perkara paling hebat tentang pertempuran yang menjadikannya unik ialah “Team Huddle”, ini adalah keupayaan istimewa yang serupa dengan gerakan super, tetapi ini melibatkan seluruh skuad Guardians dan bukannya hanya satu watak sahaja. Cara Team Huddle berfungsi adalah Star-Lord memanggil semua rakan sepasukannya dengan memberi mereka ucapan motivasi dan setelah itu dia akan memainkan lagu untuk membuat pertempuran terasa lebih meriah dan hebat. Ia benar-benar unik dan sesuatu yang saya rasa sangat sesuai dengan Guardians of the Galaxy. Dengan memberikan ucapan yang baik, anda boleh memberikan peningkatan sementara kepada Guardian lain, walaupun kebolehan Star-Lord akan ditingkatkan tanpa mengira sebarang dialog motivasi yang anda pilih. Setiap pertempuran dapat memberikan anda Ability Point yang dapat digunakan untuk membuka kebolehan khas Guardian.

Penyesuaian dan upgrade
Satu lagi bahagian yang kurang pada permainan ini ialah penyesuaiannya. Ia sangat biasa tetapi pada masa yang sama berguna. Terdapat menu upgrade watak di mana anda boleh membuka kebolehan istimewan untuk setiap Guardian, tetapi disebabkan anda bermain sebagai Star-Lord lebih elok anda fokus pada kebolehannya dahulu. Benda lain yang anda boleh buka ialah perk untuk Star-Lord dengan menggunakan komponen mekanikal. Perk itu ada yang membolehkan Star-Lord menembak ketika meluncur, menjatuhkan health pack ketika melakukan serangan maut, dan banyak lagi. Terdapat juga banyak kostum yang dapat anda buka dengan meneroka dan mencarinya dari kawasan tertentu atau dengan mendapatkan Throwback Guardians khas yang ditetapkan dengan membuat pra-pesanan permainan. Selain dari itu, tidak ada banyak perkara anda boleh lakukan untuk penyesuaian.
Prestasi bermain di PS5
Permainan ini cukup hebat di PS5 dengan FPS yang stabil, kecuali beberapa jalan cerita tertentu yang boleh menurunkan prestasi permainan itu walaupun sekejap. Seperti semua permainan generasi seterusnya yang lain, terdapat pilihan untuk mengubah prestasi dan mod kualiti, jadi terpulang kepada anda sama ada lebih baik untuk bermain dengan FPS atau grafik yang lebih tinggi. Walaupun kualiti grafik sudah bagus, tetapi saya rasa mod prestasi lebih baik jika anda inginkan pengalaman bermain yang hebat. Walaupun ia menyokong penggunaan Haptic Feedback dan Adaptive Trigger, permainan ini tidak memanfaatkannya dan itu agak mengecewakan.

Kesimpulan
Secara keseluruhan, Marvel’s Guardians of the Galaxy berjaya melebihi jangkaan saya yang sudah rendah. Walaupun permainan ini terlalu sederhana pada beberapa mekaniknya terutama untuk pertempuran, saya rasa keseronokan saya lebih bergantung pada kisah dan interaksi watak yang sangat menghiburkan. Melihat interaksi antara Guardian dan bagaimana hubungan mereka berkembang sebagai satu pasukan yang baik dan penambahan Dialogue Tree menjadikan aliran naratifnya lebih menarik di mana anda juga boleh melihat beberapa aspek yang dapat dimainkan semula, walaupun inti utama cerita dan pengakhirannya masih sama. Walaupun begitu, ini adalah permainan yang lebih baik daripada Marvel’s Avengers, terutamanya jika anda memang seorang peminat Guardians of the Galaxy.
@gamersantaimy
The Review
Marvel's Guardian of The Galaxy
PROS
- Jalan penceritaan yang menarik dengan penggunaan dialogue tree
- Watak-watak yang hebat
- Reka bentuk persekitaran yang mengagumkan
- Sistem pertempuran yang responsif dan senang
CONS
- Pertempuran yang berulangan dengan satu sahaja watak yang dimainkan
- Sebahagian mekanik permainan tidak diterangkan sepenuhnya
- Pengalaman bermain yang linear
Discussion about this post