Sony mula-mula mengumumkan Horizon Forbidden West pada 11 Jun 2020 dan selepas hampir dua tahun dalam produksi, game itu akhirnya akan tiba pada 18 Februari. Sebagai sekuel Horizon Zero Dawn yang telah lama ditunggu-tunggu, Forbidden West sekali lagi mengikuti protagonis Aloy ketika dia menerokai runtuhan pasca-apokaliptik San Francisco untuk membongkarkan lebih banyak rahsia tentang mesin maut yang menghuni Bumi. Ini adalah review saya untuk Horizon Forbidden West.
Jalan Cerita

Dahulu dipinggirkan oleh puaknya sendiri, Aloy menyatukan puak-puak lain untuk bersama-sama berjuang menghadapi satu ancaman besar dalam Zero Dawn. Ancaman ini sebenarnya adalah program AI purba yang mula mengawal mesin baik lalu menjadikannya “jahat”. Pengakhiran Zero Dawn memberi banyak jawapan tentang misteri dunia, asal usul mesin haiwan tersebut dan identiti sebenar Aloy, tetapi juga meninggalkan kami dengan soalan baru.
Kisah Horizon Forbidden West pula berlangsung enam bulan selepas game pertama. Aloy, yang kini sudah tahu apa yang berlaku kepada dunia, berhadapan dengan ancaman baharu. Bumi kini dilanda oleh ‘penyakit racun merah misteri’ yang membahayakan semua kehidupan, dan tiada siapa tahu bagaimana untuk menghentikannya. Lantas, Aloy membuat keputusan untuk mengembara ke ‘Forbidden West’, sebuah lokasi berbahaya yang penuh dengan ancaman baharu, baik manusia mahupun mesin, untuk cuba mencari penyelesaiannya.

Walaupun Aloy adalah watak utama dalam game ini, saya juga harus puji watak sokongan yang bantu menjayakan jalan cerita. Setiap puak di rantau Tenakth memiliki identiti unik sendiri, dengan misi sampingan yang membolehkan kita mengalami pelbagai budaya dan adat resam mereka. Bukan puak-puak sahaja, beberapa watak lama juga kembali untuk membantu atau menghalang Aloy dalam pengembaraannya. Ini termasuk HEPHAESTUS yang merupakan antagonis utama dalam expansion Frozen Wild.

Dengan itu, saya 100% mengesyorkan korang semua untuk bermain game pertama bersama dengan expansion Frozen Wilds. Sudah tentu, korang boleh membaca halaman ‘bestiary secara in-game’ atau menonton video YouTube bagi ringkasan plot cerita, tetapi bermain dengan tangan sendiri masih adalah cara terbaik untuk mengalami kehidupan Aloy sebelum menghadapi Forbidden West.
Aspek Penerokaan

Untuk meneroka lokasi baru ini, Aloy diberi beberapa item baru. Pertama sekali ialah ‘Pullcaster’, sejenis ‘graplling hook’ yang banyak membantu semasa mendaki kawasan tinggi dan juga boleh digunakan untuk melarikan diri dengan cepat. Dengan itu, wujudnya ‘Grapple Point’ yang boleh ditemui di seluruh dunia, supaya Aloy dapat memanjat dan bergerak dengan lebih mudah di sekitar persekitaran.
Kedua adalah peluncur futuristik bernama Shieldwing yang membolehkan kita terbang dan mendarat dengan selamat dari tempat tinggi atau membuat serangan hendap ke atas musuh dari udara. Ia bukan sahaja cara yang bagus untuk bergerak dengan pantas tetapi juga memberi gambaran yang luas semasa kita melihat dunia Forbidden West yang cantik! Akhir sekali adalah Diving Mask, yang seperti namanya, digunakan supaya Aloy dapat meneroka dan melalui kawasan bawah air. Secara tidak langsung, ini pun membuka lebih kawasan untuk diterokai kerana ciri ini tidak ada dalam game pertama.

‘Free-climb’ juga merupakan penambahan baru, dan jika digabungkan dengan aspek ‘grapple, gliding, dan berenang’, membolehkan Aloy menjadi lebih strategik semasa meneroka dan dalam pertempuran. Game ini juga memberi upgrade kepada ciri ‘Focus’ (ala-ala macam scanning) yang kini menunjukkan tempat kita boleh ‘free-climb’ dan mengesan lebih banyak mesin untuk kita guna demi tujuan pengangkutan atau pertempuran.
Dunia Forbidden West sangat besar dan terdapat banyak perkara untuk kita temui seperti runtuhan purba, kampung, kem musuh dan banyak lagi tempat menarik. Seperti dalam game pertama, kita perlu memanjat dan mengawal sebuah mesin zirafah bernama Tallneck untuk mendapatkan pandangan yang lebih baik tentang kawasan sekitar dan membuka peta.

Semuanya di atas berlaku dalam kitaran siang dan malam yang bagi pendapat saya, memberi gambaran yang sangat berbeza walaupun di kawasan yang sama. Sebagai contoh, beberapa bunga hanya akan ‘berlampu’ pada waktu malam. Pada hari siang, ia hanya kelihatan seperti bunga biasa. Satu lagi contoh adalah kita akan melihat kesan silau apabila matahari terbit. Efek yang ditunjukkan memang cantik dan merupakan antara pencapaian paling hebat dari aspek grafik pernah saya lihat.

Selain dua contoh tadi, game ini tetap mempesonakan tidak kira di mana saya pergi pergi ke kawasan baharu. Jarang lah kalau saya tidak berhenti dan mengagumi pemandangan. Forbidden West pun ada fitur Photo Mode, jadi jangan lupa untuk memanfaatkannya.
Sistem Pertempuran & Senjata

Apa yang membezakan Horizon daripada majoriti game open-world lain adalah fokusnya pada pertempuran jarak jauh. Walaupun Aloy boleh bertarung secara jarak dekat, kebanyakan musuh, terutamanya mesin, memerlukan taktik yang rumit dan ketepatan yang tepat untuk ditewaskan. Mengekalkan struktur gameplay yang sama seperti Zero Dawn, Aloy masih mempunyai lembing dan busur serta pelbagai jenis anak panah untuk menentang musuh baharunya, tetapi harus menggunakan segala jenis alat dan perangkap untuk menumpaskan musuh.

Kita dapat menggunakan ‘meja kerja’ untuk upgrade senjata dan pakaian supaya dapat unlock ‘perk’ baru, slot bagi mod dan skil penting. Bahagian ‘Skill Tree’ pun menerima upgrade dan kini mengandungi lebih banyak skil menarik. Biar saya jelaskan dengan lebih lanjut.
Skill Tree dibahagikan kepada;
- Warrior
- Berfokus pada serangan jarak dekat
- Trapper
- Berfokus pada perangkap
- Survivor
- Mengoptimumkan pengumpulan herba dan skil berkaitan nyawa
- Infiltrator
- Berfokus pada ‘stealth’
- Hunter
- Berfokus kemahiran jarak jauh
- Machine Master
- Menguatkan skil ‘override’ dan stun ke atas musuh
Korang pun tidak terikat pada mana-mana Skill Tree tertentu dan boleh mengagihkan mata untuk mencipta build mengikut playstyle sendiri.

Tertanam dalam setiap Skill Tree adalah sejenis skil istimewa yang dikenali sebagai Valor Surge. Antara kuasanya adalah meningkatkan kuasa serangan, mencipta perisai untuk menahan serangan musuh, menjadi halimunan, dan lain-lain. Setiap Valor Surge mempunyai kegunaan sendiri dan boleh mengubah arus pertempuran jika digunakan pada situasi yang betul. Cuma, kita harus menggunakannya dengan berhati-hati kerana ia mengambil sedikit masa untuk mengisi semula Valor. Satu lagi perkara penting saya perlu beritahu adalah Aloy hanya boleh memakai satu Valor Surge sahaja pada satu masa. Jadi pilih lah skil Valor Surge korang dengan bijak.

Selain damage biasa, beberapa jenis senjata dan peluru boleh mengenakan kesan status berasaskan elemen pada musuh. Selain daripada kesan status yang diperkenalkan di Zero Dawn – Fire, Shock, Freeze, dll) – Forbidden West menambah beberapa lagi status baru untuk kita cuba.
- Acid
- Membolehkan kita menangani lebih banyak damage pada perisai dan mengurangkan nyawa musuh secara beransur-ansur semasa tempoh kesan berlangsung
- Plasma
- Apabila tempoh tamat, kesan status akan menyebabkan peletupan dan memberikan damage AOE di sekeliling sasaran.
- Sticky
- Sasaran tidak dapat bergerak dan menghalang mesin daripada melaksanakan serangan tertentu
- Purgewater
- Menjadikan sasaran lebih mudah terdedah kepada Frost dan Shock, tetapi menghilangkan kesan status elemental lain.
Bagi aspek musuh, saya belajar bahawa AI mereka semakin pandai dan sekarang akan menembak peluru ke arah lokasi yang kita lari, bukannya lokasi semasa. Pada masa yang sama, musuh manusia juga mempunyai perisai yang menghalang “one-hit KO” jarak jauh dan akan mempelajari corak serangan jarak dekat kita lalu bertindak dengan sewajarnya. Bagi mereka yang pandang rendah pada musuh manusia dalam game pertama, sekuel ini pasti akan menguji kecerdasan korang.

Aspek paling penting dalam pertempuran adalah korang perlu mahir menggunakan SETIAP senjata. Menggunakan satu jenis senjata tidak cukup kerana selalunya kita perlu sentiasa mencampur-adukkan senjata dan perangkap untuk menembus pertahanan musuh. Satu strategi yang efektif adalah untuk sentiasa mengenakan kesas status kepada musuh. Ini amat penting apabila melawan mesin dengan bahagian berperisai. Sebagai contoh; jika anda boleh mengenakan kesan status Acid, musuh akan terus menerima damage dan menjadi lebih lemah sehingga jumlah damage yang kita lakukan boleh cecah 4 – 5x lebih banyak.
Bagi senjata baru, berikut adalah senarai pendek;
- Warrior Bow
- Busur ini bagus untuk pertempuran jarak dekat. Dengan mempelajari skil ‘Resonator Blast’ melalui Melee Skill Tree, busur ini menggandakan lagi kekuatan gaya pertempuran jarak dekat. Senjata ini mempunyai ‘draw speed’ paling pantas tetapi mempunyai jarak terpendek.
- Spike Thrower
- Senjata kegemaran saya, terutamanya jika digandingkan serangan letupan. Boleh melakukan jumlah damage yang banyak, tidak kira jarak dekat atau separuh-jauh. Lebih lama kita menarik trigger, lebih banyak damage-nya.
- Shredder Gauntlet
- Melontar projektil ke arah musuh lalu kembali kepada kita. Jika dilontar sekali lagi, ia akan melakukan lebih banyak damage. Jumlah damage boleh ‘stack’ sehingga 3 kali ganda.
Mesin Dinosaur & varian APEX

Tidak seperti manusia, mesin adalah musuh paling bahaya dalam game sehingga jenis yang paling lemah pun masih boleh menimbulkan ancaman jika kita tidak cukup berhati-hati. Mereka mempunyai pertahanan yang kuat berkat perisai mekanika, jadi senjata terbaik digunakan adalah busur anak panah, perangkap dan bom. Tidak mustahil untuk melawan mesin secara jarak dekat, tetapi susah lah nak menang.
Kebanyakan mesin baru ialah dinosaur seperti Plowhorn (Triceratops), Slaughterspine (Spinosaurus), Rollerback (Ankylosaurus). Tremortusk (Mammoth) pun cool sebenarnya, tetapi tidak dimodelkan berdasarkan dinosaur.

Daripada mempunyai mesin ‘Daemonic’ seperti yang dilihat dalam Frozen Wilds, Forbidden West mempunyai versi APEX bagi setiap mesin yang dibuat daripada ‘Cauldron’. Versi APEX ini mempunyai plat perisai hitam dan mempunyai ‘stat’ yang lebih tinggi serta kadar ‘spawn’ lebih rawak. Malangnya, mesin ini tidak boleh di-“override” (dikawal) dan hanya akan ditemui pada mid-late game sahaja.
Berbanding game pertama, ciri “override” pun berfungsi dengan lebih baik. Apabila membunuh mesin, ia kini menawarkan EXP, dan kita pun boleh melengkapkan beberapa skil yang dapat meningkatkan HP, tempoh ‘override’ atau damage pada mesin yang sedang ditunggang. Cuma, kita perlu menyelesaikan sejumlah ‘Cauldron’, serta membuat bahagian untuk modul ganti yang ‘tercemar’. Walaupun dengar seperti leceh, fitur ‘override’ sebenarnya sangat penting dan amat efektif kerana menjimatkan pelbagai sumber semasa dalam perjalanan.

Apa yang paling seronok semasa bertarung dengan mesin adalah setiap satu pasti berbeza antara satu sama lain, terutamanya cara ia bertarung, elemen dan senjata apa kita harus pakai, dan juga titik kelemahan setiap satu. Bertarung dengan mesin adalah antara sorotan utama dalam game ini, jadi saya tidak ada apa-apa aduan di bahagian ini.
Aktiviti Tambahan

Jika penat berlawan dinosaur mekanikal, mungkin kita ingin tempat untuk berehat. Jangan risau kerana game ini juga menawarkan pelbagai aktiviti tambahan. Berikut adalah senarai ringkas;
- Machine Strike
- Ala-ala seperti permainan papan strategi di mana anda mengawal mesin untuk mengalahkan musuh. Agak menyeronokkan sehingga saya bertemu AI ‘expert’.
- Arena Challenge
- Serupa dengan Arena Gladiator dari Zero Dawn, di sini anda boleh melawan mesin untuk mendapatkan ganjaran. Setiap pertempuran ke-4 akan mempunyai papan pendahulu global yang dibahagikan pada tahap kesukaran.
- Melee Pit
- Mempunyai cabaran yang mengajar kita bagaimana untuk melancarkan kombo untuk satu atau lebih musuh manusia. Ia juga mempamerkan penambahbaikan sistem pertempuran jarak dekat Forbidden West.
- Hunting Ground
- Sama seperti Zero Dawn, setiap pemburuan mempunyai syarat tersendir termasuk pembunuhan senyap ke atas semua musuh atau membunuh 3 atau lebih musuh dari udara.
Pilihan Accessibility
Memandangkan ini adalah game open-world, mungkin ada yang jenis mudah sesat. Oleh itu, Forbidden West memudahkan hidup kita dengan pilihan fitur ‘pathfinder’ yang menunjukkan arah ke objektif semasa. Jika ada yang belum membiasakan diri dengan sistem kawalan, korang boleh mengaktifkan fitur yang menunjukkan fungsi setiap butang semasa bermain
Di samping itu, terdapat banyak lagi pilihan seperti memperlahankan masa apabila membuka roda senjata, menyembuh secara automatik, peringatan semasa menggunakan peralatan, khususnya Shieldwing supaya tidak mati terjatuh, kawalan bagi QTE, dan juga pilihan auto semasa menunggang mesin jika anda jenis pemalas nak memandu. Apa yang lebih menarik adalah pilihan ‘co-pilot’ yang memerlukan profil PSN kedua dan satu lagi controller DualSense.
Pendapat

Selepas menghabiskan masa lebih 70 jam (mungkin 50+ jam jika fokus pada jalan cerita sahaja), saya akhirnya habis bermain Horizon Forbidden West. Teruskan meneroka atau melihat pemandangan setelah selesai. Satu-satunya ‘grinding’ yang perlu kita buat ialah mengumpul bahan untuk upgrade senjata/pakaian. Ada juga ketika saya jumpa beberapa bug di versi akses awal seperti item tidak dapat dikutip, cahaya matahari pada badan Aloy walaupun dalam gua gelap, dan lain-lain tetapi kebanyakan masalah teknikal ini pasti akan dibetulkan dalam versi rasmi.
Jika korang suka game open-world dengan jalan cerita yang bagus, maka Horizon Forbidden West memang sesuai untuk anda. Tetapi sejujurnya, jika korang hanya bermain untuk jalan cerita, banyak yang rugi sebenarnya. Forbidden West ialah sebuah game untuk anda teroka. Ia mempunyai dunia indah dan mengasyikkan yang penuh dengan pengembaraan dan misteri. Bukan itu sahaja, keseluruhan kisah utama sebenarnya diceritakan melalui misi sampingan dan tugasan di mana kita perlu pergi ke lokasi baru untuk melawan lebih banyak mesin, dan mendapatkan senjata baharu/pakaian unik. Malah, sistem pertempuran pun penuh dengan mekanik untuk cuba.

Pengalaman ini bertambah lebih mengasyikkan apabila bermain di PS5 dengan fitur ‘haptic feedback dan adaptive trigger’. Jika ditambah lagi dengan 3D audio, pengalaman 100% akan menjadi lebih menakjubkan. Apa yang saya ingin kata ialah Forbidden West sangat hebat kerana berjaya membawa begitu banyak elemen ke dalam satu game , tetapi dengan cara yang mudah untuk faham dan diikuti.
Secara keseluruhan, Horizon Forbidden West lebih seronok untuk teroka, mempunyai grafik yang cantik, aksi pertarungan yang unik, dan banyak lagi. Pada asasnya, ini adalah game eksklusif PlayStation yang semua pemilik PS4 & PS5 harus cuba.
Maka, tamatlah review saya untuk Horizon Forbidden West yang bakal keluar pada 18 Februari 2022 di PS4 dan PS5. Bagi mereka yang berminat, korang boleh beli di pengedar sah PlayStation Malaysia atau secara online di PS Store.

@gamersantaimy
The Review
Horizon Forbidden West
PROS
- Naratif yang ‘engaging’ dan pelaksanaan world-building yang hebat
- Dunia yang luas untuk meneroka dan mengembara
- Grafik cantik yang memanfaatkan teknologi PS5
CONS
- Agak ‘grindy’ semasa mencari bahan bagi membuat senjata/peralatan
- Perlu main game pertama untuk faham jalan cerita penuh
Discussion about this post