Sekiranya anda gemar bermain Ghost of Tsushima di PS4, saya yakin anda mesti tidak sabar untuk cuba Ghost of Tsushima Director’s Cut! Saya telah menerima peluang oleh Sony untuk mencuba permainan di mana Jin Sakai akan menuju ke Pulau Iki, yang penuh dengan tempat baru untuk diterokai. Walaupun Ghost of Tsushima memang boleh dimainkan di PlayStation 5, Director’s Cut terbukti adalah versi definitif yang patut semua orang cuba. Jadi tanpa melengahkan masa lagi, inilah review saya untuk Ghost of Tsushima Director’s Cut!
Memandangkan Director’s Cut adalah versi “upgrade” kepada Ghost of Tsushima, saya tidak akan menerangkan begitu mendalam tentang permainan utama. Anda boleh baca ulasan penuh saya di pautan ini. Untuk review kali ini, saya hanya akan jelaskan apa yang baru di PS5 termasuk kempen Pulau Iki.
Latar belakang & naratif

Saya akan jelaskan tentang plot naratif terlebih dahulu. Disebabkan permainan masih belum keluar ketika saya menulis review ini, saya tidak akan memberi sebarang “spoiler”. Berikut adalah sinopsis rasmi oleh Sony:
“Perjalanan Jin Sakai bermula apabila dia mendapat tahu sebuah puak Mongol misteri yang menyerang Pulau Iki. Puak ini dipimpin oleh seorang dukun bernama Ankhsar Khatun, atau lebih dikenal sebagai “the Eagle.” Satu-satunya cara untuk menyingkirkan ancaman ini adalah supaya Jin kembali ke Pulau Iki. Dengan menghadapi musuh yang lebih berbahaya, Jin terpaksa menghadapi mimpi ngeri lama, dan membongkar trauma yang dilupakan. Ketika menjelajah pulau ini dan memerangi ancaman baru, anda juga akan menyelami masa lalu klan Sakai…”

Pertama sekali, kita mesti mencapai Act 2 dalam permainan utama untuk mengakses DLC. Kisahnya akan bermula apabila Jin menewaskan sekumpulan orang Mongol tidak dikenali yang menimbulkan huru hara di salah satu penempatan kecil Tsushima. Setelah selesai, anda kini dapat pergi ke Pulau Iki pada bila-bila masa. Untuk mereka yang sudah menamatkan permainan utama, expansion Iki akan tersedia apabila anda sambung bermain.
Setelah sampai di pulau itu, Jin jatuh ke dalam perangkap dan ditangkap oleh antagonis utama, the Eagle. Ditahan secara paksa, Jin terpaksa minum sejenis racun pelik. Semasa adegan ini, kita akan belajar serba sedikit tentang the Eagle. Rupa-rupanya, Ankhsar Khatun adalah pemimpin yang dihormati dan seorang dukun tersohor untuk puaknya. Mahir dalam taktik keji, dia akan menggunakan racun ciptaannya sendiri untuk membangkitkan halusinasi dalam minda pengikut atau musuhnya. Sudah tentu, Jin berjaya melarikan diri dengan bantuan seorang penduduk pulau bernama Tenzo tetapi kerana kesan racun, Jin kini mengalami mimpi ngeri tentang masa silamnya yang tragik..

Secara keseluruhan, tujuan Jin masih kekal sama di dalam DLC. Dia harus menewaskan puak Mongol di Pulau Iki tetapi apa perbezaan kali ini? Perubahan tradisi samurai adalah konflik utama di permainan utama dan menceritakan bagaimana Jin harus berubah menjadi “the Ghost” untuk mempertahankan Tsushima. Dalam expansion, ia lebih menumpukan pada trauma Jin dan penyesalan kerana gagal untuk menyelamatkan ayahnya. Saya sendiri sudah menamatkan permainan utama tetapi baru sedar bahawa latar belakang Jin tidak pernah dijelaskan secara terperinci. Daripada meneruskan perjalanan Jin selepas kekalahan Khotun Khan, saya suka pendekatan Sucker Punch yang cuba menerangkan tentang latar belakang Jin dan berkongsi lebih lanjut tentang kisah silamnya.
Visual & estetika

Antara Tsushima dan Iki, saya dapat melihat perbezaan yang ketara pada tona warna, dan persekitaran sekeliling. Landskap baru ini merupakan sesuatu yang kita tidak pernah lihat di Tsushima kerana flora dan fauna di Iki lebih kepada hutan rimba. Ghost of Tsushima Director’s Cut juga membuktikan bahawa estetika visual bukan hanya tentang grafik pada model watak sahaja, kerana ada pelbagai cara artistik lain untuk mempamerkan keindahan Pulau Iki. Dengan sistem waktu dan cuaca yang berunsur dinamik, bersama dengan sistem pencahayaan canggih, semuanya meningkatkan lagi tahap visual yang saya lihat ketika meneroka Pulau Iki.
Gameplay baru

Versi Director’s Cut tidak membuat apa-apa perubahan kepada gameplay asas tetapi ada banyak perkara baru yang ditambahkan. Tiba sahaja di pulau tersebut, Jin mendapat bahawa warga penduduk Iki sebenarnya tidak tahu tentang legenda “the Ghost”. Oleh itu, Jin boleh membina reputasi baru sekali lagi. Bagi mereka yang tidak tahu, sistem Legend pula merujuk kepada tahap pengaruh Jin ketika dia beransur-ansur berubah kepada “the Ghost”. Dengan menyelesaikan jalan cerita utama dan Mythic Tales baru, kita boleh meningkatkan lagi tahap sistem Legend. Dari menggabungkan sistem Legend di Tsushima, ini bermakna kita mempunyai sistem Legend baru untuk isi. Pada masa yang sama, anda boleh mendapatkan pelbagai sumber, “Charm” dan set baju besi seperti perisai Sarugami sebagai ganjaran ketika menyelesaikan misi untuk meningkatkan tahap “Legend”.
Aktiviti memanah, melindungi haiwan & meneroka kisah silam
Semua orang mesti tahu tentang jenis aktiviti dan misi sampingan di Ghost of Tsushima. Kami ada Bamboo Strike, Haiku, Hot Spring, dan lain-lain. Semuanya masih ada di Pulau Iki tetapi beberapa penambahan baru ialah Archery Challenge, Animal Sanctuaries dan Memory of Anguish. Saya akan jelaskan tentang Archery Challenge dahulu.

“Archery Challenge” boleh dijumpai apabila anda melihat sekumpulan pemanah sedang menjalani latihan. Dengan penuh segak dan bergaya, Jin akan sahut cabaran mereka untuk memanah sejumlah lentera dalam jangka masa tertentu. Dengan mengasah kemahiran dalam Archery Challenge, anda dapat meningkatkan kesan Charm of Concentration yang boleh melambatkan masa supaya kita dapat memanah dengan lebih tepat. “Concentration” memang penting! Dengan memperlahankan masa, ia banyak membantu dalam beberapa situasi di mana pertempuran terlalu huru-hara dan Jin biasanya akan diserang hendap oleh sekumpulan askar Mongol sekaligus. Dengan abiliti “Concentration”, ia memberi kita masa untuk merancang langkah seterusnya.

Seterusnya adalah “Animal Sanctuaries”. Jin akan temui beberapa Animal Sanctuaries di sekitar pulau dan tugasnya adalah untuk memainkan sejenis melodi di seruling untuk menjinakkan haiwan tersebut. Sebelum ia boleh dijinakkan, anda mungkin akan diganggu oleh beberapa askar Mongol dan anjing serigala mereka. Semasa adegan main seruling, kita diperkenalkan dengan sebuah mini game yang mengharuskan pemain untuk menggerakkan DualSense ke atas dan ke bawah supaya tepat dengan melodi yang diwakili oleh sejenis gelombang hijau.
Selesai je, kami akan menerima Charm istimewa dan pilihan untuk membelai haiwan-haiwan comel ini. Dalam gambar di atas, saya menjadikan kucing sebagai salah satu contoh. Sebenarnya, terdapat banyak lagi haiwan seperti rusa, tupai, dan monyet. Boleh lah pemain berehat dari membunuh orang jahat sini-sana sambil melihat Jin santai bersama kucing.
Akhir sekali adalah Memory of Anguish. Ini secara langsung berkait dengan naratif utama di Pulau Iki jadi macam biasa, saya tidak akan memberi banyak spoiler. Sejak diracun oleh the Eagle, Jin sekarang mengalami halusinasi dan mimpi-mimpi buruk. Apa yang dia mimpi? Sebenarnya, Jin pernah menemani ayahnya untuk tawan Pulau Iki pada 15 tahun lalu. Sekarang, dia harus mengalami semula semua memori ini bersama ayahnya untuk lebih memahami apa yang berlaku..

Aktiviti Memory of Anguish boleh ditemui dalam bentuk “tapak kuno klan Sakai”. Dengan mengimbas ke masa lalu, kita akan bermain sebagai Jin semasa dia kecil. Segmen ini kebanyakannya terdiri daripada aksi “platforming” di mana jalan adalah linear. Apa yang saya suka tentang Memory of Anguish adalah ia memberikan sedikit penjelasan tentang latar belakang dan memori Jin bersama ayahnya. Walaupun sudah menamatkan jalan cerita utama, anda tidak akan benar-benar memahami keseluruhan naratif. Jadi ini penting bagi kita lebih memahami tentang Jin dan memberinya sedikit konteks.
Kuda dan Grappling Hook ada fungsi baru

Penerokaan adalah salah satu aspek terbesar dalam Ghost of Tsushima dan saya rasa kuda (untuk menjelajah) dan ‘grappling hook’ (untuk mendaki.) ialah dua elemen yang paling penting. Baru untuk Iki, anda boleh menggunakan ‘grappling hook’ untuk menarik objek bagi membuka jalan untuk laluan baru. Contohnya, Jin ingin menyeberang tetapi tiada jalan yang selamamt. Dengan menggunakan ‘grappling hook’, Jin dapat menarik papan buluh yang berdekatan supaya ia boleh menjadi jambatan sementara. Halangan lain juga menggunakan mekanik yang sama dan memerlukan kita untuk mencari objek yang boleh ditarik bagi membuka laluan alternatif.

Untuk meneroka, kita menggunakan kuda. Itu dulu punya cerita. Kini kuda dapat digunakan dalam pertempuran! Expansion ini memperkenalkan abiliti “Horse Charge” yang digunakan untuk melanggar musuh lalu memijak mereka. Disebabkan ini adalah abiliti, Horse Charge akan memakan meter Resolve. Jadi apabila meter Resolve anda habis, abiliti ini akan berhenti. Oleh sebab kuda kesayangan kita pun boleh menyertai pertarungan, pemain boleh melengkapi baju besi istimewa untuk kuda yang diperolehi selepas menyelesaikan misi-misi tertentu.
Musuh yang lebih bervariasi

Dengan pengenalan askar Mongol di bawah pimpinan the Eagle, dua jenis musuh baru diperkenalkan. Apa yang boleh saya katakan dahulu ialah musuh-musuh baru ini memaksa kita bermain dalam cara yang lebih bervariasi serta melatih kecekapan pertempuran. Mula sekali yang ditunjukkan adalah askar Shaman. Shaman hanya duduk di belakang dan akan membaca sejenis jampi mistik. Nampak macam lembik je kan? Jampi mistik ini sebenarnya akan menguatkan lagi askar-askar di sekeliling supaya mereka lebih agresif kepada Jin. Itulah sebabnya saya kata abiliti “Concentration” sangat penting.
Bagaimana untuk menghadapinya? Tumpukan perhatian kepada Shaman dahulu (nasib baik lah mereka tidak mempunyai banyak HP) dan kemudian cari musuh-musuh pemanah. Akhir sekali, sapu sahaja saki baki askar Mongol. Mudah saja. Tiada masalah pun kalau anda nak tewaskan Shaman akhir sekali. Ia memang boleh dilakukan tetapi kemungkinan besar, kita akan memakan terlalu banyak HP dan meter Resolve untuk pertarungan seterusnya.

Seterusnya ialah mush jenis “dual wielding”. Musuh terdiri daripada jenis memakai tombak, pedang dan perisai. Tetapi pernah tak terbayang jika musuh-musuh ini dapat memegang dua senjata berbeza serentak dan boleh saling bertukar antaranya? Ya, itu yang terjadi. Saya sedang seronok memukul musuh tombak dengan “stance” yang betul, tetapi kemudian dia berubah memakai pedang. Memang terus saya panik.
Banyak perkara yang kita patut bimbang sekarang. JIka dikelilingi oleh musuh seperti ini, anda mesti mengubah ‘stance’ setiap kali (dengan sangat pantas) supaya bersesuaian dengan kelemahan musuh tersebut. Ia agak mencabar bagi pemain baru yang masih tidak biasa dengan sistem pertempuran Tsushima. Saya mengesyorkan anda untuk mula belajar mengubah ‘stance’ dengan cepat dan menghafal ‘stance’ yang sesuai pada jenis musuh. Bagi mereka yang mengadu “Lethal Difficulty” tidak cukup, ini adalah penambahan yang bagus untuk pemain yang sukakan cabaran.
Prestasi di PS5

Kita tiba pada bahagain yang dinanti-nantikan: apa perubahan yang terdapat dalam PS5? Peningkatan pertama (sangat jelas) adalah grafik. Dengan resolusi setinggi 4K pada 60 FPS, semuanya lebih terperinci, dan menyerlah untuk dilihat. Kalau dulu, mungkin susah untuk melihat pokok di nun latar belakang tetapi jika anda bermain di PS5, semuanya boleh dilihat pada jarak yang lebih jauh. Jadi itu adalah penambahbaikan yang besar. Kemudian, kita ada SSD. Ghost of Tsushima di PS4 sudah mempunyai “load time” yang sangat pantas tetapi di PS5, kelajuannya tahap F1 lah saya boleh katakan. Kita hanya perlu tunggu maksimum 2-3 saat. Saya pun tidak mempunyai masa untuk membaca petua di paparan. Jadi itu adalah peningkatan kedua.
Sekarang kita bercakap tentang ciri haptic feedback dan adaptive trigger di dalam DualSense. Untuk Ghost of Tsushima Director’s Cut, ia tidak se-inovatif seperti Ratchet dan Clank, tapi saya dapat mengalami pelbagai jenis sensasi. Sebagai contoh, DualSense akan menghasilkan “tension” ketika Jin berjalan di kawasan rumput yang tinggi atau meredah sungai. Gegaran ini berlaku setiap kali Jin mengambil langkah dan juga berlaku semasa menunggang kuda. Berbeza dengan cara manusia berlari, gegaran semasa menunggang kuda lebih “berat” untuk memberikan sensasi berbeza.

Perkara sama diaplikasikan semasa segmen penerokaan dan platforming. Sekiranya kita memanjat atau melompat, semuanya dapat dirasakan dalam DualSense. Satu lagi contoh yang saya boleh beri adalah apabila kita menggunakan ‘grappling hook’ untuk menarik objek. Kita mesti menahan butang R2 untuk menarik cangkuk lalu menekan butang L2 untuk menamatkan QTE. Seolah-olah kita betul-betul sedang menarik, butang R2 secara paksa akan menolak jari saya dan memberi gambaran seperti objek ini benar-benar berat.

Bagi pertempuran, ciri haptic feedback membuat saya lebih sedar akan apa yang berlaku di sekeliling. Apabila katana kita bertembung dengan musuh atau ketika Jin menarik anak panah, semua ini dapat dirasakan. Di samping itu, musuh kadang kala akan memberikan isyarat audio ketika cuba menyerang. Jika anda terlepas dengar isyarat ini, sejenis gegaran di DualSense akan memberi amaran bahawa musuh akan menyerang dari belakang. Ini pun adalah penambahan yang bagus dan secara keseluruhan, membuatkan pengalaman bermain lebih menarik dan menyeronokkan.
Mendengar Jin cakap dalam bahasa ibunda

Oleh kerana Ghost Of Tsushima diilhamkan dari sejarah sebenar Jepun, ada beberapa peminat yang ingin bermain dengan lakonan suara Jepun. Malangnya, terdapat masalah dengan lip-syncing versi Jepun. Ini kerana Ghost of Tsushima pada mulanya direka untuk bahasa Inggeris. Selepas menunggu hampir setahun, masalah ini berjaya diselesaikan dalam Ghost of Tsushima: Director’s Cut di mana pemain kini boleh memilih bahasa Jepun untuk pengalaman yang lebih autentik. Saya bermain versi bahasa Inggeris, tetapi lakonan suara Jepun memang lebih “stailo” dan terasa lebih “ganas”. Dengan lip-syncing yang sesuai, akhirnya peminat di seluruh dunia dapat menikmati permainan dalam audio yang mereka mahukan.
Harap maklum, hanya versi PS5 sahaja yang mempunyai lip-sync Jepun kerana perkakasan SSD konsol yang membolehkan permainan “render” setiap adegan secara “real-time”. Duka cita untuk memberitahu, pengguna PS4 tidak ada pilihan ini.
Ciri-ciri yang memudahkan pengguna

Semasa pelancaran, semua pemain Ghost of Tsushima (versi standard atau Director’s Cut) akan menerima update percuma dengan beberapa penambahbaikan. Kini, permainan mempunyai tetapan alternatif untuk controller, pilihan untuk menyembunyikan busur, dan penambahan “lock-on” baru untuk pertempuran.
Untuk tetapan alternatif bagi controller, mereka memperkenalkan Melee Alternate (Left Handed). Pada dasarnya ia bermaksud semua butang di sebelah kanan akan beralih ke sebelah kiri. Biasanya kita menyerang dengan menggunakan R2, tetapi untuk pemain kidal, anda sekarang boleh menyerang dengan L2 supaya lebih selesa. Pilihan untuk menyembunyikan busur pula lebih kepada visual manakala pilihan lock-on baru “Swap on Defeat” memudahkan Jin untuk menyerang musuh seterusnya tanpa membazir masa mencari.
Pendapat

Sebagai salah satu permainan eksklusif terbaik di PlayStation 4, Ghost of Tsushima menerima banyak pujian kerana visualnya yang menakjubkan, dan sistem pertempuran yang unik. Buat peminat setia, saya yakin anda akan lebih menyukai versi Director’s Cut. Versi PS5 hadir dengan banyak peningkatan berbanding dengan konsol gen sebelumnya, dan menjadikan permainan lebih unik dan serta dapat mencapai tahap kualiti yang sebelum ini susah untuk dicapai. Ini bermaksud bahawa tahap “immersion” adalah 100x lebih baik, bukan hanya dengan peningkatan grafik tetapi melalui pengalaman audio.
Selain daripada itu, kita mempunyai expansion baru yang meneroka masa lalu Jin yang tragik. Seperti yang saya katakan di atas, kita sebenarnya tidak tahu banyak tentang Jin dan apa yang terjadi padanya pada tahun-tahun sebelum. Jadi dengan mengembangkan lagi naratif dan memperkenalkan penjahat dengan motif baru, peminat dapat mempelajari lebih mendalam tentang “Ghost of Tsushima”. Saya benar-benar menikmati Ghost of Tsushima Director’s Cut, dan berani kata bahawa ia layak menjadi salah satu eksklusif PlayStation terbaik dalam sejarah.
Itu sahaja untuk review saya tentang Ghost of Tsushima Director’s Cut. Sebelum menamatkan review, saya sekali ingin ingatkan bahawa Ghost of Tsushima: Director’s Cut akan dilancarkan pada 20 Ogos 2021 untuk PS4 dan PS5. Bagi sesiapa yang ada versi PS4, anda boleh membeli ‘upgrade’ ini di PlayStation Store. Untuk membaca segala liputan kami termasuk ulasan penuh saya tentang permainan, sila tekan pautan ini. Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
Video gameplay

@gamersantaimy
The Review
Ghost of Tsushima Director's Cut
Versi PS5 hadir dengan banyak peningkatan berbanding dengan konsol gen sebelumnya, dan menjadikan permainan lebih unik dan serta dapat mencapai tahap kualiti yang sebelum ini susah untuk dicapai.
PROS
- Peningkatan besar pada grafik dan visual
- Jalan cerita baru memberikan motif yang lebih kukuh kepada Jin
- Sesi penerokaan jauh lebih menarik dengan banyak perkara baru untuk dilakukan
CONS
- Peningkatan mungkin tidak sebanyak yang diharapkan oleh pemain selain visual dan load time.
Discussion about this post