Pada 30 Ogos lalu, Dragon Ball Super: Super Hero akhirnya telah ditayangkan di Malaysia. Walaupun sudah lebih 2 minggu sejak dikeluarkan, saya baru sahaja dapat peluang untuk menonton filem ini pada hujung minggu lalu di GSC Mid Valley! Jadi berikut adalah review mendalam tentang Dragon Ball Super: Super Hero, filem anime terbaru dalam francais yang menampilkan animasi cemerlang, lakonan suara hebat dan merupakan surat cinta untuk peminat lama.
Sangat penuh dengan Easter Egg yang menarik dan jalan cerita yang kali ini fokus pada Gohan dan Piccolo, izinkan saya cerita lebih lagi tentang Dragon Ball Super: Super Hero.
AMARAN! REVIEW INI MENGANDUNGI SPOILER UNTUK DRAGON BALL SUPER: SUPER HERO!
Apa yang berlaku sebenarnya?
Semasa peristiwa Dragon Ball, salah satu musuh terbesar Goku iaitu Red Ribbon Army, yang diketuai oleh Commander Red telah dikalahkan oleh Goku. Kembali ke zaman moden, anak Commander Red, Magenta, berhasrat untuk memulihkan Red Ribbon Army. Dia dan orang kanannya, Carmine, terjumpa maklumat tentang Dr. Hedo, seorang saintis genius dan cucu kepada Dr. Gero (pencipta Android 17, 18, 19 dan Cell), lalu merekrutnya.

Magenta ingin menggunakan intelek Dr. Hedo untuk menentang Capsule Corp yang digelar sebagai organisasi yang “jahat”. Berbeza dengan datuknya, Dr. Hedo sebenarnya berniat baik dan obses dengan super hero, jadi dia setuju apabila dapat tahu bahawa mereka perlu memusnahkan “kuasa jahat”. Di sini, dia mencipta dua android kuat bernama Gamma 1 dan Gamma 2, serta makhluk yang digelar “Cell Max”.

Memandangkan Goku dan Vegeta sedang menjalani latihan bersama Whis di planet Beerus, Magenta menetapkan sasarannya pada individu lain iaitu: Gohan, insan sebenar yang mengalahkan Cell; dan Piccolo, yang merupakan penjelmaan semula Demon King. Dan apabila organisasi itu terpaksa menculik Pan sebagai rancangan jahat mereka, Gohan dan Piccolo harus menghadapi pelbagai musuh yang tidak terkira banyaknya untuk menyelamatkan kanak kecil itu.

Itu sahaja yang saya akan ceritakan. Walaupun beberapa spoiler akan diberi tentang penghujung filem ini di bawah, tetapi saya taknak lah cerita A-Z. Lagi seronok kalau korang tonton sendiri!
Rasa nostalgia yang kuat untuk peminat lama

Salah satu elemen yang konsisten dalam filem ini ialah penggunaan nostalgia. Ia pasti akan menarik perhatian peminat lama, terutamanya apabila mereka menggunakan Gohan dan Piccolo sebagai watak utama. Terdapat juga aspek Piccolo yang mempunyai hubungan yang serupa tetapi lebih lembut dengan Pan seperti yang dilakukannya dengan Gohan waktu kecil.
Melihat Gohan memakai semula baju lamanya adalah satu petunjuk bahawa dia bersedia untuk membuat comeback – sesuatu yang ramai peminat amat inginkan sejak Buu Saga.

Antara throwback lain adalah kemunculan watak-watak yang sudah lama tidak dilihat, seperti Korin si kucing; Yajirobe dan Broly serta kawan-kawannya, Cheelai dan Lemo, yang turut dapat dilihat di planet Beerus.
Setiap kali terdapat flashback kepada peristiwa lama daripada siri ini, animasi ini pasti diiringi oleh seni berkualiti tinggi dalam gaya yang lebih mirip kepada animasi original, tetapi dengan lebih terperinci.
Gaya lebih kepada Dragon Ball Z

Jelas sekali, jenaka dan watak-watak dalam siri ini tidak berubah, yang bagi saya memberikan filem itu keseimbangan yang menarik antara old-school Dragon Ball dan rupa visual yang kita kini dapat lihat dalam francais Super.
Rujukan paling penting yang dibuat dalam Dragon Ball Super: Super Hero adalah peristiwa yang terjadi apabila kemarahan Gohan dibangkit, yang dilihat selepas kematian Android 16 dalam Dragon Ball Z. Ini merupakan titik yang penting untuk Gohan, di mana dia menjadi watak pertama untuk mencapai transformasi Super Saiyan 2.

Kali ini, dengan keadaan yang sama, kematian Gamma 2 menyerupai situasi Android 16 tetapi selepas melihat Piccolo di ambang kematian, kemarahan Gohan meletus hingga dia membuka transformasi baharu: Gohan Beast.
Transformasi Gohan adalah sebahagian daripada klimaks filem itu; walau bagaimanapun, sebelum itu, Piccolo menggunakan salah satu daripada tiga hajat yang diberikan oleh Shenron supaya potensi terpendamnya dibuka, sama seperti yang dilakukan oleh Guru kepada Gohan dan Krillin semasa Frieza Saga.

Semasa pertarungan seterusnya antara Piccolo dan Gamma 2, Piccolo menggunakan kuasanya, yang juga membuka transformasi baru untuk Piccolo juga.
Perubahan formula – 2D ke 3D – adalah perubahan bagus

Walaupun animasi 3D yang digunakan dalam filem ini adalah sesuatu yang baru untuk francais, ia sangat lancar dan terperinci. Adegan yang paling ekspresif sudah tentu adalah semasa babak pertarungan, yang semuanya cemerlang daripada segi koreografi, animasi dan rupa keseluruhan pertarungan Dragon Ball Z.
Pertarungan terbaik, selain daripada pertarungan klimaks menentang Cell Max dan Goku vs Vegeta juga datang dari pertarungan pertama antara Piccolo dan Gamma 2, yang memaparkan keseimbangan menarik antara jenaka dan unsur memecahkan dinding keempat (fourth wall).
Dengan personaliti Gamma 2 yang menyerlah, serangannya mempunyai kesan bunyi komik yang kita boleh dilihat di atas, bukan sahaja oleh penonton, tetapi oleh Piccolo juga.

Toei Animation adalah studio yang bertanggungjawab untuk animasi filem terbaru Dragon Ball Super dalam CG, yang menandakan kali pertama mereka memilih gaya bentuk sepenuhnya untuk francais. Walaupun entri sebelum pernah menggunakan animasi CG, majoritinya masih kekal dalam 2D. Jadi saya faham jika ada yang risau memandangkan anime 3D masih kurang dipercayai oleh komuniti.
Mungkin ada di kalangan fandom yang tidak setuju, tetapi Dragon Ball Super: Super Hero bijak menggunakan animasi CG dalam cara kreatif yang membuatkan saya berasa kagum. Sebagai contoh, ekspresi muka watak nampak jelas, dan animasi CG membolehkan medan perang meluaskan lagi skop pertarungan.

Lagipun, terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan dengan lebih mudah dalam CG berbanding dengan animasi lukisan tangan, tetapi peminat lama mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan visual ini.
Para pelakon suara juga melakukan tugas yang hebat untuk mengulangi beberapa peranan mereka daripada francais Dragon Ball, tetapi salah satu persembahan terbaik sepanjang masa ialah Masako Nozawa, yang telah memainkan watak Gohan sejak dia kecil lagi. Sama seperti ketika Goku buka Super Saiyan 3, Masako Nozawa mempamerkan jenis persembahan yang mengatasi keunggulan Gohan semasa zaman DBZ.

Peminat pasti akan mengingati efek jeritan Gohan Beast sampai bila-bila.
Persembahan hebat lain termasuk Yūko Minaguchi, yang memainkan Pan dalam Dragon Ball Super; Toshio Furukawa sebagai Piccolo; dan Aya Hisakawa, yang memainkan watak Bulma.
Pendapat

Dragon Ball Super: Super Hero sangat menyeronokkan dan walaupun ia kadang menjadi serius, ia tidak pernah kekurangan rasa jenaka. Filem ini mengandungi banyak unsur nostalgia dan fan service, tetapi ia bukan saja-saja dibuat tanpa nilai. Semuanya ada maksud sendiri dan peminat lama pasti menghargai usaha yang diletak oleh pihak produksi.
Satu lagi perkara yang saya suka adalah filem ini membukti bahawa masa depan francais masih sangat menarik tanpa Goku, dengan kemunculan Gohan sebagai protagonis yang mampu menanggung peranan watak utama. Buat korang yang tidak begitu tahu tentang Dragon Ball, itu pun tidak menjadi masalah untuk menikmati filem kerana kebanyakannya sudah dijelaskan melalui perbualan.
Bersama animasi yang sangat cantik, lakonan suara yang hebat, dan adegan post-credit yang wajib ditonton oleh peminat lama, saya beri rating 8/10 untuk filem ini.

Sebagai sekuel kepada Broly, ia melakukan semua yang diperlukan dengan cukup baik, dan sangat disyorkan untuk sesiapa sahaja yang sudah lama sangkut dalam francais Dragon Ball.
Buat sesiapa yang tertarik, Dragon Ball Super: Super Hero kini ditayangkan di pawagam Malaysia.
Untuk membaca segala liputan kami tentang Dragon Ball, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post