Dengan banyak game Souls hebat seperti Elden Ring, Dark Souls, Sekiro dan banyak, Dolmen oleh Massive Work Studio dan Prime Matter harus menyerlah dalam caranya tersendiri. Diberi peluang untuk mencuba game, saya bermain selama beberapa hari dan hasilnya agak bercampur.
Pendek kata, ideanya ada potensi tetapi malangnya, struktur sekeliling tidak mengagumkan termasuk gameplay dan visual. Jadi apa yang buruk, apa yang bagus? Teruskan baca review saya di bawah.
Jalan cerita
Sebelum terangkan lebih lanjut, izinkan saya menjelaskan serba sedikit tentang latar belakang Dolmen. Game ini berlaku di planet jauh bernama Revlon Prime, dan naratifnya berkisar tentang kristal yang dipanggil “Dolmen” yang boleh digunakan untuk menghubung realiti alternatif. Disebabkan itu, pelbagai perkara buruk telah berlaku kerana planet kini ditakluki oleh pelbagai jenis musuh. Kini, terpulang kepada pemain untuk menghapuskan raksasa-raksasa di planet itu dan membongkarkan apa yang berlaku.

Satu perkara yang saya suka adalah game menjelaskan matlamat kita dengan jelas dan saya tahu mengapa saya dihantar ke planet itu. Genre pun jelas iaitu sci-fi (sesuatu yang jarang dipakai dalam game Soulslike) tanpa elemen terlalu misteri seperti Elden Ring.
itu membelok lebih dekat kepada sci-fi mumbo jumbo daripada yang biasa dilakukan oleh peminat tradisi yang menarik dan misteri. Bukannya nak kata studio tidak boleh membuat jalan cerita yang lebih bermister, tetapi cukuplah gameplay pun pening. Kalau nak faham jalan cerita, matilah saya.

Gameplay umum
Malangnya, di bahagian gameplay-lah yang Dolmen mula mengecewakan. Semasa menerokai persekitaran dunia Revlon Prime, saya fikir kita mempunyai kebebasan untuk meneroka, rupanya jalan agak linear di mana kita harus melalui koridor demi koridor (kadangkala dipecahkan oleh kawasan/bilik besar sekali-sekala). Asalnya digambarkan sebagai game dengan dunia luas, perjalanan yang linear ini menghilangkan elemen misteri yang selalunya hadir dalam game soulslike.
Semasa meneroka kawasan, kita juga boleh menemui pelbagai item dan ‘blueprint’ berguna daripada NPC (lebih banyak tentang item di bawah) tetapi game tidak akan mengizinkan kita menyimpang jauh daripada laluan utama.
Satu lagi kekurangan adalah Dolmen tidak mempunyai peta untuk membantu kita. Nasib baik lah game ini terlalu straightforward, jadi peta memang tidak diperlukan kerana kita tidak akan hilang. Andai kata mati pun, bukan susah untuk mendapatkan semula barang anda yang hilang.

Sistem pertempuran
Dari segi pertempuran, Dolmen sedikit mengecewakan. Dalam game ini, ada light dan heavy attack, serta dodge untuk mengelakkan dari diserang, tetapi pelaksanaannya kurang memuaskan. Animasi pertempuran Dolmen rasa berat dan kaku, dan apabila musuh diserang oleh kita, ianya seolah-olah tiada impak. Game ini juga mempunyai sistem parry, tetapi walaupun kita parry pada masa yang tepat, selalunya game tak register parry kita. Kedua-dua point ini menunjukkan yang kita tidak diberikan rasa kepuasan apabila melakukan critical hit, counterattack atau parry.
Musuh juga tiada banyak variasi jadi moveset musuh pun lebih kurang sama. Kita boleh membuat pertempuran bersama musuh lebih menarik dengan kuasa api, sejuk dan asid, tetapi bila kita menggunakan elemen-elemen tersebut, ia akan menolak meter tenaga kita yang terhad.

Kita juga diberikan pistol, yang jarang dilihat dalam kebanyakkan game souls-like. Walau bagaimanapun, ranged attack tidak begitu berfungsi dengan baik bila musuh boleh lari ke arah kita dengan pantas. Senjata ranged menggunakan meter tenaga yang disebutkan tadi juga, begitu juga dengan mekanik healing. Dengan begitu banyak perkara yang menggunakan satu meter, biasanya healing akan menjadi keutamaan berbanding pistol atau serangan elemen.
Sekiranya kita kekurangan tenaga, kita boleh menggunakan satu-satunya item dalam permainan yang boleh menambahnya iaitu bateri. Malangnya, apabila kita menggunakan bateri, game ini akan memaksa kita untuk berdiri tegak selama beberapa saat, menyebabkan kita terbuka kepada pelbagai serangan di Revlon Prime.

Pertarungan bos
Seperti biasa, semakin jauh kita pergi semakin susah bos yang kita akan lawan. Walaupun terdapat bos yang hanya memerlukan satu pukulan sahaja, ianya masih perlu menggunakan kebijaksanaan pemain dalam perlawanan tersebut. Jadi, anda perlu mempelajari corak serangan, mencuba pelbagai gerakan, menggunakan sistem “parry” dan banyak lagi.
Jika anda rasa itu semua masih tidak cukup untuk kalahkan bos, anda boleh “farm” bos dengan menggunakan “Dolmen Crystal” untuk mencipta senjata unik untuk mengalahkan bos.

Sistem crafting
Game ini mempunyai sistem crafting yang penuh dengan teka-teki. Anda perlu mengumpul bahan untuk digunakan sebagai “recipe” bagi mencipta senjata. Senjata yang anda boleh buat adalah “melee weapon, range weapon, shield” dan banyak lagi.
Selain itu, senjata yang dibuat boleh dilengkapi dengan mod bagi meningkatkan statistik yang berbeza. Apabila sudah memakai mod pada senjata, mod tersebut akan hilang tanpa sebab dan jika anda “dismantle” senjata itu pun, ia tidak akan kembali.
Bagi saya, sistem ini sangat mengelirukan dan secara tidak langsung menghukum pemain dengan menggunakan cara ini.

Pendapat
Disebabkan game souls-like semakin popular, mekanik atau ciri-ciri asas bagi genre ini adalah sangat penting sekiranya game itu ingin mendapat peminat yang ramai. Walau bagaimanapun, dengan semua isu yang diceritakan tadi, dan juga visual mengecewakan seolah-olah seperti game dari zaman 2010-an, Dolmen tidak menepati jangkaan saya sama sekali.

Game ini cuba memasukkan banyak ciri-ciri genre souls-like, tetapi kesemuanya mengelirukan dan pelaksanaannya begitu lemah. Bagi para veteran yang dah biasa dengan genre ini, korang mungkin tidak minat tetapi buat sesiapa yang tidak kisah dengan visual dan ingin mencuba game soulslike yang lebih mudah, Dolmen boleh termasuk dalam senarai.
@gamersantaimy
The Review
Dolmen
PROS
- Pertarungan bos kadangkala menarik.
CONS
- Visual menghampakan
- Reka bentuk musuh amat terhad.
- Pertempuran terasa perlahan dan tidak memuaskan.
- Reka bentuk level yang kurang menarik.
Discussion about this post