Bakal dilancarkan pada 28 Julai 2023 secara eksklusif di Nintendo Switch sahaja, Disney Illusion Island pasti mengimbau nostalgia bagi mereka yang membesar dengan kartun Mickey Mouse. Bagi saya, game ini terasa seperti kita menonton kartun klasik Mickey Mouse klasik di mana semua watak yang kita kenal dan suka berada di sini, dan betul-betul seperti yang kita harapkan. Kita ada Mickey Mouse yang boleh dipercayai, Minnie Mouse yang comel, Donald Duck yang panas baran dan juga, Goofy yang dungu.
Baru-baru ini, saya mendapat peluang untuk mencuba Disney Illusion Island, dan pengalaman saya tidak dikecewakan kerana campuran reka bentuknya yang unik nostalgia dan gameplay metroidvania yang cukup menarik – sesuai untuk kanak-kanak atau gamer tegar.
Ingin tahu lebih lanjut? Teruskan membaca review saya untuk Disney Illusion Island.
Jalan cerita
Bagi mereka yang kurang tahu, Disney Illusion Island ialah game genre co-op metroidvania yang direka berdasarkan kartun klasik Mickey Mouse. Seeloknya dimainkan bersama kawan-kawan, kita boleh kawal antara Mickey, Minnie, Donald, atau Goofy – yang dibawa ke sebuah pulau misteri bernama Monoth untuk memulakan misi berbahaya.
Tiga Tome ajaib — buku berkuasa yang digunakan untuk melindungi pulau itu—telah dicuri, lalu menyebabkan Monoth menjadi huru-hara! Ditakdirkan untuk menyelamatkan pulau tersebut, Mickey dan kawan-kawan memulakan pengembaraan berbahaya untuk meneroka dunia yang luas untuk mendapatkan ketiga-tiga buku mistik. Tetapi perjalanan itu tidak mudah, kerana tidak semuanya seperti yang anda lihat di “Pulau Ilusi” ini!
Gameplay

Isi subtopik “Jalan Cerita” agak pendek kerana fokus sebenar saya sebenarnya adalah gameplay. Dalam temu bual kami bersama para pemaju, mereka menjelaskan tentang bahawa gameplay tidak mempunyai sebarang sistem pertempuran, jadi game ini sepenuh berasaskan aksi platforming dan teka-teki. Sebaliknya, pemain mempunyai beberapa pilihan pergerakan menarik, seperti:
- Boost Jump – Tekan butang lompat dua kali untuk pergi lebih jauh ke hadapan, bagi melepasi jurang yang besar. Pergerakan ini juga membolehkan anda melompat ke tempat lebih tinggi.
- Wall Jump – Membolehkan pemain panjat dari dinding ke dinding seterusnya.
- Ground Pound– Memecahkan lantai tertentu. Pergerakan ini tidak dikira sebagai serangan.

Jika melihat jumlah pergerakan, pemain tegar metroidvania mungkin kecewa kerana pilihannya tidak banyak. Tetapi jika dilihat daripada perspektif lain; Ilussion Island adalah game yang direka untuk kanak-kanak dan merupakan cara bagus untuk memperkenalkan orang ramai ke genre Metroidvania. Beberapa platforming benar-benar mencabar, dan memerlukan kita melakukan aksi mencabar seperti membelok semasa dalam udara dan melompat daripada dinding ke platform bergerak – yang pasti mengasah kemahiran motor kasar dalam badan kanak-kanak.
Disebabkan kita tidak boleh membunuh musuh, jadi sebaliknya anda perlu mengelak daripada mereka. Sesetengah musuh akan bergerak perlahan, manakala yang lain akan melontar senjata masing-masing di mana kita perlu menjaga “timing” semasa mengelak.

Sebaliknya, pertarungan bos memang gempak belaka. Seperti saya kata tadi, kita tidak boleh melawan jadi pertarungan bos pun terdiri daripada aksi teka-teki platforming. Daripada pengalaman saya bermain, satu pertarungan bos memerlukan kita menyelesaikan teka-teki melompat yang semakin rumit, dan di peringkat akhir, kita perlu menekan butang yang ditunjukkan di atas skrin. Bukan itu sahaja, kita tidak boleh silap walaupun satu kali kerana ia akan membuatkan watak kita terjatuh. Walaupun digelar sebagai game “kanak-kanak”, saya sendiri terkejut kerana tidak tahu ia memerlukan banyak kemahiran dan kesabaran.
Sebagai game metroidvania, game ini mempunyai peta besar untuk diterokai, di mana pemain perlu menjelajah setiap sudut untuk mengumpul semua item dan collectible. Sebagai contoh, majoriti level akan meminta pemain mengumpul “kunci” untuk membuka pintu, lantas memaksa kita untuk berjalan, berlari, berenang, melompat, menghayun ke kawasan yang tidak pernah diterokai untuk mendapatkannya.

Pengalaman bermain bersama kawan dan tahap kesukaran

Direka untuk kanak-kanak bermain bersama kawan, Disney Illusion Island mempunyai beberapa pilihan dan penambahan yang sangat bagus untuk menggalakkan gameplay multiplayer lagi menarik.
Dalam mode co-op, anda mendapat akses kepada beberapa abiliti khas. Ini termasuk Rope Drop – watak akan bergabung menjadi tali supaya pemain lain dapat memanjat ke kawasan lebih tinggi atau jauh; Leap Frog – membolehkan pemain melompat ke kawasan yang sepatutnya mustahil untuk capai seorang diri; dan pelukan manja yang dapat menambahkan nyawa. Memandangkan banyak kemahiran diperlukan untuk melalui beberapa kawasan, saya sangat mengalu-alukan ciri-ciri ini.

Bagi pemain yang menghadapi masalah, pilihan kesukaran yang pelbagai juga dapat membantu. Sebagai contoh, anda boleh membuang keperluan “timing” semasa melakukan Boost Jump atau Wall Bounce; menambah atau mengurangkan jumlah Hati (nyawa pemain), atau membuatkan watak anda kebal kepada apa-apa jenis serangan musuh.
Andai kata mati, pemain akan kembali ke checkpoint terkini di atas peta. Jumlah checkpoint juga banyak jadi anda tidak perlu mengulang semula daripada jauh.
Visual dan reka bentuk

Tetapi bahagian yang paling menarik sekali tentang Disney Illusion Island pasti adalah visual dan reka bentuknya. Seperti saya kata tadi, ia cuba untuk menyerupai kartun klasik Mickey Mouse, dan pada tahap tertentu, pihak pemaju berjaya mereplikasikan rupanya. Untuk mencapai visual ini, semua animasi yang anda lihat sebenarnya dilukis sendiri – yang menunjukkan kesungguhan setiap artis yang terlibat dalam projek ini.
Setiap cutscene benar-benar dibuat dengan cantik, malah pelbagai watak (termasuk watak yang baru dicipta) kelihatan ikonik kepada era awal Disney. Bersama lakonan suara yang autentik untuk Mickey Mouse, Minnie Mouse, Donald Duck dan Goofy, pemain pasti akan dibawa ke pengembaraan penuh nostalgia.

Satu-satunya aduan saya ialah personaliti untuk watak-watak yang kita mainkan terasa terlalu “simple”. Goofy suka membuat jenaka berkaitan makanan, Minnie boleh dianggap sebagai watak gadis pintar, Donald sentiasa panas baran, dan Mickey yang bersikap sebagai ketua. Ia memudahkan jalan cerita dan membuat kanak-kanak terpikat terhibur pada watak tetapi pada masa yang sama, ia seolah-olah mereka tidak cukup “personaliti” sedangkan versi kartun menyerlahkan perwatakan masing-masing dengan lebih baik.
Pendapat

Secara keseluruhan, saya anggap Disney Illusion Island sebagai “family game” dan tempat permulaan yang bagus bagi sesiapa sahaja yang baru mencuba genre Metroidvania. Ia mudah tetapi bukanlah hingga ke tahap yang membosan, dan visualnya pun menarik perhatian dengan rupa ikonik Disney.
Masalah utamanya ialah ia terlalu mudah untuk gamer sebenar. Jika anda tegar bermain game seperti Hollow Knight, game ini mungkin tidak cukup untuk memuaskan hati anda. Tetapi jika anda tidak kisah dan ingin bermain sesuatu yang seronok bersama keluarga, saya 100% akan mencadangkan Disney Illusion Island!
Jika difikirkan daripada perspektif kanak-kanak, saya akan beri rating 8/10!

Disney Illusion Island akan dilancarkan pada 28 Julai 2023 di Nintendo Switch sahaja. Baca segala berita kami tentang game ini di SINI!
@gamersantaimy
The Review
Disney Illusion Island
Secara keseluruhan, saya anggap Disney Illusion Island sebagai "family game" dan tempat permulaan yang bagus bagi sesiapa sahaja yang baru mencuba genre Metroidvania. Ia mudah tetapi bukanlah hingga ke tahap yang membosan, dan visualnya pun menarik perhatian dengan rupa ikonik Disney.
PROS
- Reka bentuk level bijak yang mencabar kemahiran kanak-kanak
- Visual nostalgia bersama lakonan suara autentik menakjubkan
- Pilihan yang banyak untuk memudahkan gameplay dan mekanik gameplay yang menarik
Discussion about this post