Walaupun Mario Kart telah lama mendominasikan arena lumba bagi genre kanak-kanak, Chocobo GP nampaknya ingin memecahkan norma itu dengan menampilkan gaya tersendiri, yang sesuai untuk mana-mana gamer baru atau peminat lama Final Fantasy.
Game ini adalah entri terbaharu dalam siri spin-off Chocobo dari Final Fantasy dan merupakan “remake” berdasarkan ‘Chocobo Racing’ dari era PS1. Dibuat sambil mempertimbangkan peminat kasual, ia menawarkan gameplay yang mudah untuk belajar dan dinikmati. Walaupun masih ada sedikit masalah di sana sini, para gamer yang mencari game lumba untuk bermain bersama keluarga boleh meletakkan Chocobo GP dalam wishlist.
Sebelum memulakan review, saya harus menjelaskan bahawa content yang saya akan terangkan di bawah hanya untuk single-player. Buat masa penulisan, fitu multiplayer tidak berfungsi kerana kekurangan pemain memandangkan game ini belum dilancarkan kepada khalayak umum. Jadi tanpa melengahkan masa lagi, jom kita mulakan review Chocobo GP ini!
Lumba dalam arena Final Fantasy

Chocobo GP datang dengan pelbagai mode berbeza seperti GP Tournament Mode, Story Mode, multiplayer, mode di mana kita berlumba dalam kejohanan berbeza dan Time Attack Mode. Malah terdapat mode customization untuk mereka yang ingin mencipta litar sendiri.
Untuk peminat Final Fantasy, Chocobo GP mempunyai banyak easter egg dari seluruh siri, walaupun ada beberapa game yang lebih diutamakan mengikut pemerhatian saya.
Roster watak terdiri daripada siri utama Chocobo seperti Shirma, Camilla dan Clair (Fat Chocobo) serta beberapa Summon, semuanya direka semula kepada bentuk chibi yang lebih comel. Buat masa ini, hanya ada 4 watak daripada siri Final Fantasy iaitu: Gilgamesh daripada V, Terra (dalam bentuk esper) daripada VI, dan Vivi dan Steiner daripada IX. Cloud dan Squall akan muncul sebagai DLC tetapi lebih banyak wajah popular pasti akan muncul dalam update akan datang.

Walaupun tidak ada banyak level, game ini mengekalkan konsep “variety” dengan menambah beberapa lokasi ikonik dari game lama dalam francais. Kegemaran saya ialah The Bridge, di mana laluannya yang menyimpang memberi cabaran yang memuaskan serta ditemani lagu klasik ‘Battle on The Big Bridge’.
Muzik secara amnya, walaupun kurang dari segi kuantiti, juga sangat bagus. Sejumlah lagu klasik Final Fantasy dibuat semula kepada lagu jenis “lumba” untuk menambah lagi adrenalin, malah ‘Melodies of Life’ telah ditukar menjadi lebih pantas sambil tetap mengekalkan melodi dari tema asal. Cuma, lagu menu boleh jadi agak menjengkelkan selepas beberapa kali mendengarnya.
Tunggang Chocobo sepanjang hari

Saya tidak akan menghabiskan masa membandingkan game ini dengan Mario Kart tetapi Chocobo GP mempunyai gameplay yang lebih kurang sama. Korang memilih daripada pelbagai watak unik, pilih kart (iaitu jenis kenderaan) dan pergi berlumba di litar pilihan. Semasa berlumba, anda boleh mendapatkan pelbagai jenis item (di sini ia dipanggil sebagai “magician”) yang kemudian boleh digunakan untuk menyerang pihak lawan. Fokus utama adalah untuk mendapat tempat pertama selepas berlumba dalam 3 pusingan.
Memang sesuai untuk family, game ini mempunyai rasa keseronokan huru-hara di mana kita pecut naik turun litar, melakukan drift sambil cuba mengelak bahaya dan serangan yang dilemparkan oleh musuh atau level. Semasa bermain, game ini pun tidak mengalami sebarang isu teknikal seperti lag atau frame rate drop tetapi kemungkinan masih awal untuk saya yakin.

Setiap item dipanggil “magicite” dan melibatkan penggunaan sihir-sihir berbeza dari seluruh siri Final Fantasy. Aeros akan mencipta puting beliung, Quake menyebabkan kawasan sekitar kita bergegar, dan lain-lain. Satu sihir yang saya suka, khususnya, ialah Death magicite, yang boleh disamakan dengan cengkerang biru dan merah dari Mario Kart.
Setiap watak juga mempunyai abiliti mereka sendiri yang boleh dicas semasa kita mengumpul kristal merentasi peta. Chocobo, contohnya, memperoleh boost yang besar kepada kelajuan dan handling manakala Terra akan menembak peluru berpandu ke arah pihak lawan di hadapannya.
Apa yang berbeza?

Sistem pertempuran adalah aspek yang membezakan Chocobo GP daripada Mario Kart. Terdapat penekanan yang lebih besar untuk menyerang pihak lawan dengan sihir. Bersama item serangan berbeza dan kebolehan watak kita sendiri, ia sama penting untuk menyerang pihak lawan sambil memastikan kita berlumba dengan pantas. Dalam erti kata lain, ia juga menjadikan game ini lebih mencabar, kerana mewujudkan lebih banyak elemen untuk menang serta memberi keputusan yang tidak jangka dalam perlawanan.
Walau bagaimanapun, item masih ditentukan secara rawak, yang bermakna semuanya diserahkan kepada RNG (random number generation). Setiap item boleh stun watak untuk tempoh masa yang agak lama dan masing-masing mempunyai jarak yang agak luas. Jika korang tidak bernasib baik dan terkena item yang salah, kedudukan tempat pertama boleh serta merta menjadi tempat terakhir.

Mario Kart juga mempunyai elemen ini tetapi untuk Chocobo GP, ia terasa lebih mudah untuk diganggu oleh sistem RNG. Saya berlumba dalam perlawanan yang sama dengan watak yang sama dan kadang-kadang boleh menang atau kalah kerana orang belakang memakai Quake (kemudian diikuti oleh sihir lalu), lalu semua orang memintas saya.
Dari segi pengalaman kasual, ini mungkin dilihat sebagai petanda baik kerana sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk menang. Pada masa yang sama, ia boleh menjadi mengecewakan kerana, selepas semua usaha yang dikerahkan, korang masih berkemungkinan akan kalah kerana orang belakang mempunyai sihir bagus.
Perlumbaan Fantasi

Story Mode untuk game ini agak simple dari segi plot. Ia dibahagikan kepada sembilan bab, dan mengikuti Chocobo dan Atla the Moogle ketika mereka memasuki kejohanan perlumbaan yang berjanji akan tunaikan hajat kepada pemenang. Ia diceritakan dalam estetika ala-ala buku cerita tetapi model 3D menjadikannya animasi kelihatan sedikit janggal.
Jalan cerita pun tidak dramatik di mana Chocobo dan kawan-kawan akan pergi bersiar-siar sambil mengumpul watak untuk kejohanan. Nak mulakan Story Mode pun menjadi dugaan kerana tutorial pertama sangat-sangat membosankan, dan secara aktif menghalang kita daripada bermain kerana ingin memberitahu perkara yang kita sudah tahu, seperti cara-cara untuk memecut kereta.
Walaupun saya kata begitu, watak-watak dalam game cukup menarik dan jika korang peminat Final Fantasy, terdapat banyak jenaka dan easter egg yang hanya seorang peminat FF akan tahu. Senang cerita, Story Mode tidak begitu seronok tetapi adalah cara yang bagus untuk memperkenalkan watak-watak berbeza secara berperingkat sambil menyediakan nostalgia untuk peminat tegar.

Walau apa pun, korang perlu memainkan mode ini terlebih dahulu kerana ini cara untuk unlock kebanyakan watak kerana mereka hanya boleh ditambah selepas menyelesaikan penghujung setiap bab. Itu tidak bermakna kita boleh memakai watak tersebut serta merta; beberapa watak hanya boleh digunakan apabila kita membelinya di in-game store.

Kebanyakannya adalah Summon seperti Ifrit dan Shiva. Korang boleh membayar dengan tiket yang kita dapatkan dari berlumba. Terdapat banyak kristal yang diagihkan atas litar dan lebih banyak kita mengumpul, lebih banyak tiket yang diperolehi. Korang juga boleh membayar tiket dengan duit sebenar (pay to win mungkin) tetapi sekurang-kurangnya Square Enix memberi kita peluang untuk mendapatkan watak idaman dengan meluangkan masa dan usaha yang cukup ke dalam game.
Pendapat

Ini bukanlah Mario Kart, tetapi untuk peminat Final Fantasy yang mencari game kasual dan menyeronokkan, Chocobo GP ialah pilihan yang bagus. Antara watak-watak yang unik, jumlah mode yang ditawarkan atau lagu latar belakang( jika anda peminat lama kepada francais), pasti ada sesuatu yang korang akan suka.
Jika korang bukan peminat Final Fantasy, ia tidak menawarkan banyak lagi content menarik tetapi masih adalah game lumba yang mantap dengan gameplay yang huru-hara tetapi seronok. RNG mungkin agak menjengkelkan kadang-kadang tetapi ia tidak menghilang keseronokan semasa saya melakukan drift atau menyerang pihak lawan. Secara keseluruhan, Chocobo GP dibuat khas untuk peminat Final Fantasy tetapi jika korang benar-benar gatal ingin mencari game baru untuk bermain bersama keluarga, ini adalah “fantasi” yang patut korang cuba.
Chocobo GP akan tersedia di Nintendo Switch pada 10 Mac.
@gamersantaimy
The Review
Chocobo GP
PROS
- Sesi perlumbaan yang pantas dan menyeronokkan
- Banyak easter egg untuk peminat Final Fantasy
- Magicite menambah elemen baru pada gameplay
CONS
- RNG Magicite boleh menjadi mengecewakan
- Story Mode agak membosankan
Discussion about this post