Tidak boleh dinafikan bahawa Call of Duty adalah antara francais shooter terbesar dalam sejarah gaming. Dengan kemunculan Call of Duty Modern Warfare (2019) dan mode Warzone Battle Royale, semua orang bermain CoD tanpa henti. Kini muncul lah Call of Duty: Modern Warfare 2! Walaupun agak lambat, kami sempat mencuba entri terbaru dalam francais CoD yang baru sahaja keluar beberapa minggu lepas tetapi adakah ia bagus seperti yang kita sangkakan?
Berikut adalah pendapat saya bermain Call of Duty: Modern Warfare 2!
Kempen ternyata cemerlang

Kempen Modern Warfare 2 mengharuskan kita bermain sebagai ahli pasukan Task Force 141, yang menampilkan banyak watak ikonik daripada game lama Modern Warfare serta beberapa muka baharu.
Ringkasannya; kita adalah sebahagian daripada agensi kerajaan yang cuba menghalang ancaman rahsia oleh musuh yang sedang berperang. Terdapat beberapa easter egg dan rujukan untuk peminat lama, tetapi sesiapa sahaja boleh faham jalan ceritanya dengan serta merta.

Walaupun plotnya lebih kurang sama dengan mana-mana game perang, saya mengaku kisah kali ini lebih menarik. Kepulangan watak ikonik seperti Price, Soap, Gaz, dan Ghost memang dialu-alukan.
Bagi saya, penambahan pelakon yang memberi impak terbesar seperti Alain Mesa yang melakonkan Colonel Alejandro Vargas, dan Warren Kole sebagai Commander Phillip Graves. Selain itu, game ini menawarkan lebih banyak momen dramatik bagi watak yang benar-benar membuatkan jalan cerita lagi menarik.

Mungkin ada yang kata adegan perang besar-besaran adalah yang paling seronok; sebaliknya penambahan adegan stealth merupakan bahagian paling menonjol bagi saya. Terdapat beberapa detik dalam game di mana kita harus meneruskan perjalanan tanpa skuad dan senjata. Dalam situasi ini, kita harus mencari bekalan dan alatan lain untuk menyelinap atau membunuh musuh.
Secara keseluruhan, kempen amat pendek tetapi temponya saya anggap sesuai untuk sebuah game shooter. Hakikatnya, mereka tidak terlalu bergantung pada set yang bombastik dan penuh letupan, lantas membolehkan perubahan besar dalam jalan cerita CoD untuk memastikan kisah terasa “fresh”.
Multiplayer seronok, tapi masalah banyak sangat

Rahsia sebenar kepada kejayaan besar Call of Duty ialah komponen Multiplayer dan jika tidak silap, MW2 mempunyai beberapa mode untuk kita cuba. Buat masa ini, kita boleh bermain 6v6 tradisional, Invasion atau mode 32v32 dalam Ground War.
Untuk mode yang memerlukan jumlah pemain sedikit seperti 6v6, ia sebenarnya menggunakan sebahagian daripada peta-peta Ground War. Peta kecil itu sendiri amat unik kerana semuanya direka dengan baik dan intuitif menggunakan reka bentuk level “tiga lorong”. Kalau dahulu, kita rasa ada lokasi yang “OP” atau susah untuk susah, sekarang sudah tiada (atau dikurangkan) dan menjadi lebih seimbang.

Selain itu, mode co-op Spec Ops kembali semula; membolehkan anda dan rakan-rakan melawan gerombolan musuh NPC. Total jenis misi co-op terhad kepada tiga, tetapi lebih banyak lagi akan ditambah tidak lama lagi. Misi-misi ini jauh lebih luas daripada mode spec-ops lama dan lebih menyeronokkan untuk dimainkan.
Terdapat juga sistem Kit serba baharu yang bertindak sebagai kelas untuk watak. Sebelum melaksanakan misi, kita akan memilih antara kit Assault, Medic atau Recon mengikut playstyle kesukaan. Menaikkan level bagi setiap kelas akan membuka buff lagi kuat yang diperlukan untuk mode lebih susah.

Mode Spec-ops dah cukup seronok, cuma saya berharap studio tambah lagi banyak ruang untuk mengisi lebih ramai pemain kerana saya terpaksa meninggalkan mode co-op untuk bermain mode multiplayer tradisional apabila lebih ramai kawan masuk lobi.
Dari segi “player progression”, terdapat beberapa poin yang bagus.

Cara kita membuka dan upgrade senjata telah diubah sepenuhnya. Sistem Gunsmith baharu membolehkan anda membuka attachment bagi senjata dengan menaikkan level platform senjata tertentu. Untuk memajukan platform senjata tersebut, kita perlu menggunakan watak atau varian senjata tertentu yang membuka satu-satu attachment dan pelbagai slot untuk dimuatkan.
Akhirnya, platform itu akan memberikan akses kepada watak dan varian baharu yang boleh anda ubahsuai.
Ini mengurangkan tempoh grinding untuk membuka attachment yang sama bagi setiap senjata dan juga mewujudkan senario menarik di mana anda boleh upgrade attachment untuk satu senjata, lalu menggunakan pada senjata lain.

Saya mengesyorkan nanda untuk mencuba semua jenis senjata yang ditawarkan! Walaupun, biasanya kita tidak menggunakan senjata tertentu, anda masih boleh membuka sesuatu yang berguna untuk senjata lain.
Di sini, saya ingin jelaskan kekurangan game ini pula. Walaupun kempennya menarik dan mode multiplayer seronok, tetapi semuanya sia-sia juga kalau kita tidak boleh langsung bermain satu game.
Game ini sudah dikeluarkan lebih 3 minggu pada saat saya menulis review dan malangnya masih ada beberapa masalah yang perlu saya sebut.

Al kisahnya, beberapa hari lepas saya bermain MW2 dan semasa perlawanan ketiga, game-nya tiba-tiba crash. Nak masuk satu game pun perlu tunggu hampir 10 minit, jadi bayangkan betapa kecewanya saya apabila skrin tiba-tiba tendang ke desktop.
Seterusnya, user interface-nya memang serabut. Ia nampak terlalu rumit di mana pelbagai mode disumbatkan ke satu menu. Malah, setiap menu juga mempunyai loading screen sendiri lantas membuatkan game lebih lag daripada biasa.
Akhir sekali, ada banyak bug dan glitch lain; ada yang mengacau gameplay, ada yang lawak. Ini menunjukkan game masih tidak cukup lancar seperti yang pemaju inginkan.
Pendapat

Secara keseluruhan, Modern Warfare 2 berjaya mengekalkan banyak ciri yang membuatkan francais sangat popular. Kempen boleh dikatakan adalah antara yang terbaik dalam siri manakala mode multiplayer telah ditambah baik dengan banyak mekanik bagus.
Satu-satunya aduan saya adalah masalah teknikal dan glitch berlaku terlalu kerap dalam game hingga mengacau pengalaman permainan. Macam mana saya nak menikmati game, sedangkan nak main pun tidak boleh. Modern Warfare 2 mempunyai banyak potensi, jadi saya harap anda boleh mencubanya.
Selepas semuanya dibetulkan, barulah judul kali ini layak digelar sebagai game CoD terbaik.
Buat sesiapa yang berminat, Call of Duty: Modern Warfare 2 kini tersedia di PC, PS4, PS5, Xbox One dan Xbox Series X/S.

@gamersantaimy
The Review
Call of Duty: Modern Warfare 2
PROS
- Kempen paling unik setakat ini dengan banyak segmen dan ciri yang hebat, serta lakonan watak yang menonjol
- Reka bentuk level dan audio yang hebat
- Mode multiplayer masih solid dengan banyak pilihan seronok
CONS
- User interface sangat serabut
- Produk akhir banyak bug dan masalah teknikal
Discussion about this post