Kalau ada antara anda yang mencari monitor sekarang ini, kami ada satu monitor mantap yang mungkin anda berminat. Monitor tersebut ialah Predator X28 keluaran Acer yang diumumkan sekali dengan promosi Sinar Raya. Jadi, tanpa membuang masa, mari kami ceritakan pengalaman kami semasa menggunakannya!
Reka bentuk yang ringkas

Kalau anda ingin tahu, Predator X28 ini mempunyai saiz skrin 28 inci malah menyokong sehingga 4K 152Hz. Walaupun bersaiz besar, sebenarnya ia agak tringan bebanding monitor lain yang mempunyai saiz yang sama. Ia juga mudah dipasang dan tidak memerlukan banyak peralatan. Hanya satu skru di bawah dan pemegang kecil untuk anda gunakan semasa memasang.
Walaupun ia tidak mempunyai “rupa” seperti monitor gaming, yang selalunya mempunyai cahaya RGB. Tetapi rupa yang “simple” itu kadang-kadang lebih diminati ramai. Kami juga sukakannya. Ia juga bukanlah monitor skrin lengkung dan mempunyai bezel yang susah untuk dilihat. Senang cerita, anda boleh melihat hampir keseluruhan skrin. Daripada rupanya, bezel bawah Predator X28 adalah separuh tebal daripada panel skrin itu sendiri. Mungkin bagi anda ia pelik, tetapi itu di situlah kedudukan proximity sensor, atau ProxiSense yang boleh mengesan anda berada dalam bilik atau tidak. Monitor ini akan masuk ke mode power saving atau standby jika anda tiada dalam bilik.

Ia mempunyai stand kelihatan normal, tetapi ada satu bahagian yang boleh dibuka dan anda boleh menggantung headset padanya. Tetapi ia berada di bahagian belakang stand monitor tersebut. Agak pelik kenapa ia berada di belakang, tetapi ia masih penambahan yang bagus.
Pelarasan yang sangat bagus
Banyak sahaja monitor di luar sana yang boleh laras, tetapi Predator X28 lebih bebas untuk dilaraskan. Terdapat empat cara untuk melaraskannya iaitu Tilting angle, Swivel angle, Pivoting angle dan ketinggian monitor. Walaupun pivoting angle tidak digunakan sangat, kami suka betapa mudah untuk monitor ini dipusing. Anda tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak untuk melaraskannya. Memanglah tilting dan swivel masih perlukan dua tangan untuk laraskan monitor ini, tetapi anda boleh melaraskan ketinggiannya dengan mudah. Kalau anda tidak sukakannya, boleh sahaja mount monitor ini pada pelekap VESA 100mmx 100mm.

Malang sekali, tiada maklumat yang diberikan mengenai berapa darjah monitor ini boleh berputar atau berapa tinggi ia boleh dilaraskan. Tetapi mengikut tekaan kami, Pivoting angle boleh capai 90 darjah untuk kedua-dua belah, Tilting pula 40-45 darjah dari atas ke bawah, Swivel juga sekitar 40 darjah dari kiri dan kanan. Untuk ketinggiannya pula kami anggarkan 16-17 cm. Memang puas hatilah kalau laraskan monitor ini.

Port dan Joystick
Predator X28 mempunyai beberapa port seperti dua HDMI 2.0b, DisplayPort 1.4, empat port USB Type-A, USB Type-B dan bicu headphone. Walaupun HDMI 2.0b secara teknikal boleh menyokong 4K120Hz, jika anda mahu menggunakan 4K144Hz atau 4K152Hz, anda masih memerlukan HDMI 2.1 untuk kadar penyegaran tambahan itu. Tetapi kalau anda menggunakan DisplayPort, ini tidak akan menjadi masalah malah DisplayPort 1.4 adalah jauh lebih baik.
Kalau anda ingin tahu, monitor Predator X28 boleh dikawal menggunakan kombo butang dan joystick pada sebelah kanan monitor. Saya lebih suka menavigasi monitor tersevut menggunakan OSD monitor dengan joystick kerana ia lebih mudah.

Prestasi paparan
Predator X28 ialah monitor 28” yang menggunakan panel IPS Agile-Splendor yang menyokong sehingga 4K, dengan kadar penyegaran maksimum 152Hz, dan juga DisplayHDR 400 VESA Certified dan gamut warna 90% DCI-P3.
Menggunakan monitor ini ketika gaming sangat memuaskan, tidak kira jenis game yang anda mainkan. Saya bermain Monster Hunter dengan resolusi 4K dan semuanya kelihatan sangat terperinci dan sangat bagus, tidak ada tempat yang teksturnya kelihatan kabur, setiap tempat sangat jelas dan ia sangat cantik.

Sudah tentu, resolusi 4K bukan satu-satunya perkara yang bagus dengan monitor, Predator X28 juga mempunyai kadar penyegaran yang tinggi, yang perlu kita cuba untuk game FPS. Dan seperti yang dijangka ianya menakjubkan. Terdapat mod khusus untuk e-sukan di bawah menu pemproses G-sync Predator X28, dan setakat yang saya tahu ia meningkatkan kecerahan skrin menjadikannya lebih cerah. Iajuga datang dengan teknologi Dark Boost yang boleh membantu anda melihat dengan lebih baik di kawasan yang lebih gelap.
Terdapat juga crosshair terbina dalam monitor yang anda boleh hidupkan menggunakan OSD. Ada tiga jenis crosshair yang boleh anda pilih tetapi sayangnya, warnanya tidak boleh ditukar dan kekal dengan warna putih. Predator X28 menyokong NVIDIA G-Sync, dan jika anda menghidupkan mod “Sport”, kadar penyegaran monitor akan “sync” dengan kadar bingkai dalam game, yang menghapuskan “tearing” yang hebat.

Perkara lain yang tersedia pada monitor ini ialah Predator X28 mempunyai teknologi pelindung mata seperto VisionCare termasuklah Flickerless dan BlueLightShield Pro, yang bukan sahaja melindungi mata anda malah mengurangkan ketegangan pada mata. Jadi, anda boleh memandang skrin dengan lebih lama. Tetapi janganlah sampai lupa diri pula. Teknologi LightSense yang boleh mengesan pencahayaan di dalam bilik, dan melaras kecerahan monitor mengikut kesesuaian.
Kesimpulan
Predator X28 terus terang adalah salah satu monitor terbaik yang berada di bawah 30”, menyokong sehingga resolusi 4K, dan mempunyai kadar penyegaran lebih tinggi daripada 120Hz. Jika itu masih lagi kurang, masa tindak balas “Grey to Grey” hanyalah 1ms malah anda boleh memacunya sehingga serendah 0.2ms. Pengalaman bermain juga menjadi lebih baik dan menyeronokkan.

Warna yang dipaparkan adalah vibrant dan tepat. Jika anda menonton dokumentari haiwan, rasa seperti boleh sentuh sahaja haiwan tersebut. Kadar penyegarannya yang tinggi sangat sesuai untuk game FPS. Walaupun ia mempunyai reka bentuk yang biasa, tetapi prestasinya memang mantap. Lagipun, lampu LED pada badan monitor tidaklah begitu penting. Hanya aksesori semata-mata. Jadi, kami memang syorkan korang untuk dapatkan Predator X28 kalau ada yang mencari monitor padu. Anda boleh lawati laman web rasmi untuk melihat spesifikasi penuh monitor ini. Untuk membaca artikel review lain daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post