Capcom hari ini berkongsi maklumat dan visual baru untuk pada Resident Evil 4 Remake melalui trailer semasa acara Capcom Showcase 2022. Ini merupakan gameplay rasmi pertama yang ditunjukkan untuk Resident Evil 4 dan memberi peminat sedikit visual untuk suasana gameplay sebelum game ini dikeluarkan pada tahun depan.
Walaupun gameplay sebenar tidak lama dan tidak menunjuk banyak bahagian aksi, tetapi kita boleh melihat yang suasana dan visual Resident Evil 4 Remake kini lebih gelap berbanding versi original untuk meningkatkan efek seram. Pada masa yang sama, kita boleh melihat protagonis Leon S. Kennedy dengan lebih terperinci berbanding trailer pertama yang lebih bersifat teaser. Seperti original, game ini juga akan menampilkan perspektif kamera over-the-shoulder.

Semasa siaran Capcom Showcase, mereka menceritakan tentang sejarah Resident Evil dan peristiwa yang terjadi sebelum Resident Evil 4. Pengarah RE4 Yasuhiro Anpo dan penerbit Yoshiaki Hiarabayashi turut mengesahkan bahawa pasukan pembangunan akan “berhati-hati untuk memelihara apa yang membuatkan game asal istimewa” sambil memberikan rombakan moden yang serupa dengan Resident Evil 2 dan Resident Evil 3.

Asalnya diumumkan di PlayStation State of Play pada Jun 2022, Resident Evil 4 Remake akan menampilkan elemen gameplay moden dan jalan cerita yang dibuat semula. Trailer lama sudah memberikan gambaran tentang watak yang telah diubah (selain Leon) termasuk reka bentuk baru untuk Ashley, Luis dan Ada Wong.

Resident Evil 4 dikeluarkan untuk Nintendo GameCube pada tahun 2005, dan secara tidak langsung, memainkan peranan penting dalam genre survival horror. Ia kemudian dikeluarkan untuk PlayStation 2, termasuk senario tambahan yang menampilkan Ada Wong. Resident Evil 4 kemudian telah diadaptasikan kepada banyak konsol sepanjang hayatnya, termasuk Nintendo Wii, PlayStation 4, PC dan Nintendo Switch.
Bagi sesiapa yang menanti, Resident Evil 4 Remake akan dikeluarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series X dan PC pada 24 Mac 2023.
Untuk segala liputan kami tentang Resident Evil, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post