Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Previu The Elder Scrolls Online: Seasons of the Worm Cult – Part 1 & Update 46

Razin Syafiq by Razin Syafiq
June 2, 2025
in Artikel, Berita, DLC, DLC berbayar, DLC percuma, Epic Store, MMORPG, PC, Preview, PS4, PS5, Steam, Xbox One, Xbox Series X|S
0 0
0
Previu The Elder Scrolls Online: Seasons of the Worm Cult – Part 1 & Update 46
Share on FacebookShare on Twitter

Selepas lebih sedekad menyajikan pelbagai kandungan kaya dan kisah yang terus berkembang, The Elder Scrolls Online (ESO) kini memasuki bab baru dengan expansion terbarunya, Seasons of the Worm Cult: Part 1, bersama dengan Update 46.

Penuh dengan naratif misteri, zon baharu untuk diterokai, serta mekanik gameplay yang segar, update ini menjadi asas kepada salah satu arc cerita paling bercita-cita tinggi dalam sejarah game ini.

Di tengah-tengah expansion ini terletaknya pulau misteri Solstice, sebuah kawasan terpencil di selatan Tamriel, terletak betul-betul di selatan Black Marsh. Keunikan pulau ini yang terasing dan tidak dicatat dalam buku sejarah menjadikannya pentas sempurna untuk kebangkitan semula salah satu ancaman paling dikenali di Tamriel: Worm Cult.

Pasukan pembangunan di ZeniMax Online Studios telah mencurahkan segala usaha dan dedikasi mereka ke dalam update ini. Malah, beberapa ahli pasukan telah bersama ESO sejak dari base game lagi.

Salah seorang pemimpin dalam projek ini, yang turut membentuk quest asal di Coldharbour, kini kembali untuk menerajui arc naratif terbaru — mencipta momen nostalgia yang turut membawa kesinambungan kepada penceritaan expansion ini.

Solstice: Dunia Baharu Penuh Misteri dan Sejarah Berdarah

Solstice bukan sekadar sebuah zon tambahan: ia adalah dunia yang dibentuk dengan teliti dan menjadi latar penting bagi perjalanan naratif sepanjang tahun ini. Dari segi visual dan suasana, Solstice tampil berbeza daripada zon pulau lain yang pernah diperkenalkan dalam ESO seperti High Isle dan Galen.

Jika zon-zon terdahulu menampilkan hutan hujan yang subur atau landskap gunung berapi yang garang, Solstice pula mengambil inspirasi dari estetika tropika Mediterranean, menghasilkan suasana yang hangat, cerah di bawah terik matahari, namun tetap mengekalkan aura yang penuh misteri dan menyeramkan.

Sepanjang pengembaraan di sini, pemain akan melalui bandar-bandar pesisir, runtuhan yang berhantu, serta kuil-kuil purba—semuanya terletak di bawah bayangan menakutkan Writhing Wall.

Kredit: Bethesda Softworks

Menguasai pemandangan di Solstice ialah Writhing Wall, sebuah struktur menggerunkan yang sentiasa kelihatan dan membelah pulau ini menjadi dua bahagian. Ia bukan sekadar mercu tanda yang besar, tetapi juga nadi kepada naratif sepanjang tahun.

Misteri yang menyelubungi asal-usul, tujuan, dan rahsia yang tersimpan di dalamnya akan perlahan-lahan terbongkar sepanjang tahun ini.

Walaupun Seasons of the Worm Cult: Part 1 hanya sekadar membuka tirai kepada misteri ini, kemuncaknya akan tiba pada penghujung tahun apabila satu acara dalam game yang berskala besar akan menyaksikan para pemain bersama-sama berusaha untuk menghancurkan Writhing Wall—dijanjikan sebagai salah satu adegan paling epik dalam ESO.

Kredit: Bethesda Softworks

Sebagai pusat utama pemain di Solstice, Sunport berfungsi bukan sahaja sebagai hab aktiviti, tetapi juga sebagai lambang sejarah yang berlapis-lapis—baik dari segi seni bina mahupun naratif. Bandar ini dibina di atas runtuhan tamadun Argonian kuno, dan sejarahnya mencerminkan pertembungan budaya yang kompleks.

Dahulu, Solstice adalah rumah bagi puak Argonian Tideborn dan Stone Nest, namun akhirnya menjadi tempat perlindungan bagi puak Altmer yang terasing, dikenali sebagai House Corolania, yang terkenal dengan cita-cita necromantic mereka yang kelam.

Kredit: Bethesda Softworks

Perang di antara Argonian dan Altmer telah meninggalkan luka yang mendalam di pulau ini, dan kesannya masih dapat dilihat pada gabungan gaya seni bina yang berbeza di seluruh kawasan.

Walaupun keamanan akhirnya tercapai, kedatangan Worm Cult telah membuka semula luka lama dan menjerumuskan pulau ini ke dalam kekacauan yang baru.

Sterk Fellowship: Barisan Hadapan Menentang Ancaman Worm Cult

Setibanya di Solstice, pemain akan segera berganding bahu dengan Sterk Fellowship—sebuah pakatan unik yang terdiri daripada Mages Guild, Fighters Guild, dan wira-wira terkenal dari ketiga-tiga pakatan Tamriel.

Kumpulan inilah yang menjadi benteng utama menahan kemaraan Worm Cult, yang semakin berani menggugat keamanan dunia.

Kredit: Bethesda Softworks

Bagi peminat lama, kehadiran semula beberapa watak kegemaran pasti mencuit rasa nostalgia. Antaranya ialah Razum-dar, ejen Khajiiti yang licik dan digelar sebagai James Bond versi ESO, Woxen Ash si mage Argonian yang bijak, serta tokoh-tokoh ternama seperti Gabrielle Benallais dan Skordo the Knife.

Watak-watak inilah yang pernah berjuang bersama kita menentang Molag Bal, dan kini mereka kembali meneruskan legasi itu dalam bab baharu yang penuh cabaran ini.

Kredit: Bethesda Softworks

Seasons of the Worm Cult: Part 1 bukan sekadar memperkenalkan zon baru, tetapi turut menyelami lapisan kompleks budaya Tamriel yang jarang diketengahkan.

Pemain akan diterajui untuk memahami kedamaian rapuh antara High Elves dari House Corolania dengan puak Argonian asli, membongkar permusuhan purba, dan menghayati bagaimana kewujudan Writhing Wall bukan sekadar membelah tanah, tetapi juga meretakkan hubungan antara rakyatnya.

Expansion ini juga memperkenalkan subkultur unik serta puak-puak yang jarang diketengahkan, seperti:

  • Argonian Tideborn, golongan pelaut yang memilih untuk meninggalkan penyembahan tradisi Hist dan sebaliknya memuja lautan sebagai sumber kekuatan mereka.
  • Enklave Nordik, satu cabang budaya Nord yang tinggal bersama House Corolania, menunjukkan bagaimana tradisi Nordik telah berubah setelah berabad-abad hidup dalam pengasingan.
Kredit: Bethesda Softworks

Tidak lengkap dunia Tamriel tanpa campur tangan Daedric Princes, dan expansion kali ini tidak terkecuali. Meridia, Prince of Light and Life, memainkan peranan penting dalam naratif, manakala Sanguine, Prince of Revelry, membawa warna yang unik dengan kehadiran karnival misterinya, Everlasting Fair.

Dari rumah besar Altmer yang dipenuhi sejarah nekromantik hinggalah karnival bertema Daedrik yang aneh dan mempesona, The Elder Scrolls Online – Seasons of the Worm Cult berani menggabungkan elemen seram, humor, dan hedonisme dalam cara yang memikat.

Karnival Sanguine, Everlasting Fair, bukan sekadar lokasi penuh warna-warni, ia juga menjadi pusat penting kepada penceritaan. Di sebalik hiburan dan perayaan yang menggembirakan, tersembunyi bahaya dan ancaman yang menanti pemain, menjadikannya satu tempat yang perlu dijelajahi dengan penuh berhati-hati.

Ciri-ciri Gameplay dan Mekanik Quest Baharu

Selain dari dunia yang kaya dengan kisah dan visual yang memukau, Update 46 turut memperkenalkan inovasi gameplay yang signifikan.

Pasukan pembangunan di ZeniMax Online Studios benar-benar berusaha untuk memastikan mekanik quest terasa segar dan penuh kejutan, memastikan pemain kekal terlibat sepanjang pengembaraan mereka.

Kredit: Bethesda Softworks

Jika sebelum ini naratif utama ESO sering bergerak dalam garis masa tetap yang berlangsung dalam satu tahun, kali ini mereka memilih untuk memecahkan formula itu.

Seasons of the Worm Cult akan berlangsung sepanjang tahun, dengan dunia yang sentiasa berubah, dan keputusan pemain berpotensi untuk mempengaruhi hala tuju naratif pada bahagian-bahagian tertentu dalam The Elder Scrolls Online.

Kredit: Bethesda Softworks

Pendekatan baru ini memberi ruang kepada cerita untuk berkembang dengan lebih organik dan mencipta pertaruhan emosi yang lebih mendalam—tindakan awal pemain mungkin akan membawa kesan yang signifikan dalam update-update seterusnya.

Antara ciri-ciri baharu yang menonjol termasuk:

  • Membina Jambatan dengan Sihir: Di Temple of Meridia (Broken Light Temple), pemain menggunakan tongkat ajaib untuk mengawal runtuhan dan mencipta laluan baru di kawasan yang rosak.
  • Teka-Teki dengan Perisai Hidup: Pemain akan mengemudi bilik-bilik yang dipenuhi perangkap sambil membimbing sut perisai untuk menekan tuas dan menyelesaikan teka-teki yang kompleks.
  • Karnival: Mini-game dan cabaran yang diilhamkan oleh kegilaan Sanguine menambah variasi gameplay yang menyeronokkan, mencipta pengalaman yang unik di tengah-tengah naratif yang lebih gelap.

Musuh Baharu dan Ancaman Hebat di Solstice

Solstice bukan sekadar pulau yang penuh dengan misteri—ia juga dipenuhi dengan musuh-musuh unik yang membawa cabaran baru kepada pemain. Antara yang menonjol ialah Vosgrana Guardian, golem batu Argonian purba yang diresapi dengan sihir tribal.

Pelindung perkasa ini bukan sahaja menjadi rintangan hebat di medan pertempuran, malah memainkan peranan penting dalam penceritaan keseluruhan.

Kredit: Bethesda Softworks

Namun, makhluk yang paling mencuri perhatian sudah tentu Behemoth Vihath: seekor raksasa Argonian berbulu besar yang lahir daripada sesi game jam dalaman di kalangan pembangun.

Populariti luar jangkaannya membuatkan pasukan pembangunan akhirnya merealisasikan ia sepenuhnya ke dalam game, dan kini Vihath berkeliaran di pulau ini sebagai World Boss yang benar-benar berbahaya.

Dengan kemampuan melontar batu gergasi, serangan elemen yang mematikan, dan gerakan spin-crash yang mampu memusnahkan apa sahaja di laluannya, Behemoth Vihath muncul sebagai salah satu makhluk paling unik dan mengancam yang pernah diperkenalkan dalam dunia The Elder Scrolls Online.

Subclassing: Sistem Baharu yang Mengubah Cara Anda Bermain ESO

Salah satu ciri paling menarik dalam Update 46 ialah sistem Subclassing, yang membawa revolusi kepada cara pemain membina watak mereka dalam The Elder Scrolls Online. Yang lebih menarik lagi, sistem ini diberikan secara percuma—tiada keperluan untuk langganan ESO Plus, content pass, atau mana-mana DLC.

Selagi anda mempunyai sekurang-kurangnya satu watak yang telah mencapai level 50 di akaun anda, subclassing akan terbuka untuk semua watak baharu yang anda cipta selepas itu.

Kredit: Bethesda Softworks

Jadi, apa sebenarnya subclassing? Ringkasnya, ia adalah sistem yang membolehkan anda mencipta “kelas custom” sendiri. Semasa mencipta watak, anda masih memilih faction, kaum, dan kelas utama seperti biasa, tetapi kini anda tidak lagi terikat dengan tiga baris skill asal kelas itu.

Dengan subclassing, anda boleh menukar sehingga dua baris skill dari kelas lain ke dalam watak anda. Ini membuka pelbagai kemungkinan, anda boleh mencipta watak rogue dengan elemen utiliti, seorang sorcerer dengan keupayaan penyembuhan, atau gabungan yang benar-benar luar biasa seperti Templar-Necromancer.

Sistem ini memberikan ruang kreativiti tanpa batas. Jika anda suka Nightblade tetapi tidak berminat dengan keseluruhan set skill-nya, ambil satu baris dan gabungkan dengan baris skill lain. Mahu membawa Streak dari Sorcerer sebagai alat melarikan diri untuk watak stealth anda? Kini ia boleh dilakukan.

Satu-satunya syarat adalah anda perlu mengekalkan sekurang-kurangnya satu baris skill asal kelas anda: contohnya, seorang Templar masih perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu baris skill Templar, manakala dua yang lain boleh diisi dengan apa sahaja yang anda mahu, selagi anda memenuhi syaratnya.

Kredit: Bethesda Softworks

Untuk memulakan sistem ini, anda perlu menyelesaikan quest pengenalan ringkas yang dipanggil “Study and Discipline”, yang boleh diambil dari Crown Store di bahagian Quest Starters.

Anda juga boleh mendapatkan quest ini daripada NPC berhampiran Wayshrine utama di zon kelima setiap Alliance: contohnya, di Evermore untuk Daggerfall Covenant, Dune untuk Aldmeri Dominion, dan Riften untuk Ebonheart Pact.

Selepas menyelesaikan quest ini, anda akan membuka UI subkelas dan boleh mula bereksperimen dengan sistem baharu ini.

Kredit: Bethesda Softworks

NPC utama yang membimbing anda dalam sistem ini ialah Bathra dari Hunding, yang juga berfungsi sebagai shrine respec. Di sinilah anda memilih baris skill subkelas anda. Perlu diingat, jika anda ingin menggunakan baris skill dari kelas berbayar seperti Warden, Necromancer, atau Arcanist, anda perlu memiliki kelas tersebut terlebih dahulu.

Jika tidak, anda akan diarahkan ke Crown Store untuk membeli akses.

Kredit: Bethesda Softworks

Anda boleh melengkapkan tiga baris skill serentak, dengan syarat sekurang-kurangnya satu daripadanya datang dari kelas asal anda. Baris skill yang anda belum miliki tetap akan dipaparkan dalam UI, jadi anda boleh membaca deskripsi, memahami lore-nya, dan merancang build anda terlebih dahulu.

Perlu diingat, setiap kali anda mengambil baris skill baru dari kelas lain, membuka kebolehannya memerlukan dua skill point berbanding satu, dan anda perlu menaikkan tahap baris skill itu dari permulaan—ia tidak akan tersedia dalam tahap maksimum secara automatik.

Untuk membantu, Update 46 turut memperkenalkan Champion Point baharu bernama Discipline Artisan, yang mempercepatkan pengalaman level-up untuk semua baris skill, termasuk subkelas, senjata, dan guild.

Kredit: Bethesda Softworks

Bagi pemain lama, sistem subclassing ini diintegrasikan dengan lancar ke dalam mekanik sedia ada. Ia serasi dengan Armory, jadi anda boleh menyimpan dan menukar build dengan mudah.

Apa sahaja skill point yang anda gunakan akan dipulangkan apabila anda menukar baris. Walau bagaimanapun, Mastery Script daripada Scribing hanya boleh digunakan untuk baris skill kelas asal anda, dan begitu juga dengan sesetengah set item seperti yang dari Infinite Archive.

Kredit: Bethesda Softworks

Secara keseluruhan, subclassing membawa nafas baharu kepada ESO.

Kini, anda boleh mencipta watak yang benar-benar mencerminkan gaya permainan peribadi anda: sama ada anda mahu menjadi Elementalist dengan kuasa summon, mencampurkan tema cahaya dan kegelapan dengan gabungan Templar dan Necromancer, atau membina sesuatu yang benar-benar unik, sistem ini menyokong sepenuhnya kreativiti anda.

Ia benar-benar mencerminkan semangat utama ESO: bermain dengan cara anda sendiri.

Pendapat

Seasons of the Worm Cult – Part 1 dan Update 46 benar-benar menetapkan standard baharu untuk masa depan The Elder Scrolls Online.

Dengan latar dunia Solstice yang penuh misteri, konflik budaya yang kompleks, sistem quest yang diperbaharui, dan ancaman Writhing Wall yang menggantung di atas segalanya, bab kali ini bukan sekadar besar: ianya bercita-cita tinggi, memikat, dan penuh potensi.

Kredit: Bethesda Softworks

Sama ada anda pemain lama yang kembali untuk menyambung pengembaraan atau pendatang baru yang ingin meneroka dunia Tamriel, Solstice menawarkan titik permulaan yang ideal.

Ini bukan sekadar permulaan sebuah cerita, tetapi juga pintu masuk kepada kisah besar yang dijanjikan akan menjadi salah satu yang paling epik dan tidak dapat dilupakan dalam sejarah ESO.

Kredit: Bethesda Softworks

The Elder Scrolls Online: Seasons of the Worm Cult akan tersedia di PC/Mac, Xbox One, Xbox Series X|S, PlayStation 4, dan PlayStation 5. Part 1 akan dilancarkan pada 2 Jun 2025, untuk PC/Mac dan 18 Jun 2025 untuk konsol. Maklumat boleh didapati di SINI.

Jangan lupa untuk ikuti kami di TikTok!
@gamersantaimy
Tags: The Elder Scrolls Online: Seasons of the Worm Cult
ShareTweetSend
Previous Post

Project Spirits – Projek Flagship Terbaharu SHIFT UP Selepas Stellar Blade & NIKKE

Next Post

Game James Bond ‘007: First Light’ Diumumkan – Pendedahan Penuh Pada 7 Jun

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

The Witcher 4 Tampil Dengan Gameplay Pertama Menerusi Tech Demo UE5
Berita

The Witcher 4 Tampil Dengan Gameplay Pertama Menerusi Tech Demo UE5

June 4, 2025
Reviu Guilty Gear -Strive- (Nintendo Switch) – Saiz Skrin Makin Kecil, Tapi Gaya Masih Kekal!
Review

Reviu Guilty Gear -Strive- (Nintendo Switch) – Saiz Skrin Makin Kecil, Tapi Gaya Masih Kekal!

Fungsi Online Multiplayer Ditambah Ke Yu-Gi-Oh Early Days Collection!
Berita

Fungsi Online Multiplayer Ditambah Ke Yu-Gi-Oh Early Days Collection!

June 3, 2025
Next Post
Game James Bond ‘007: First Light’ Diumumkan – Pendedahan Penuh Pada 7 Jun

Game James Bond '007: First Light' Diumumkan – Pendedahan Penuh Pada 7 Jun

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

Anime ‘Takopi’s Original Sin’ Bakal Ditayangkan 28 Jun 2025
Anime

Anime ‘Takopi’s Original Sin’ Bakal Ditayangkan 28 Jun 2025

May 26, 2025
Crunchyroll Anime Awards 2025: Solo Leveling Dominasi Sebagai Anime Of The Year
Anime

Crunchyroll Anime Awards 2025: Solo Leveling Dominasi Sebagai Anime Of The Year

May 26, 2025
Filem Animasi ‘KPop Demon Hunters’ Bakal Tayang di Netflix Mulai 20 Jun
Animasi

Filem Animasi ‘KPop Demon Hunters’ Bakal Tayang di Netflix Mulai 20 Jun

May 23, 2025
Reviu Ejen Ali The Movie 2 – Dari M.A.T.A ke Hati Penonton! (TANPA SPOILER)
Review

Reviu Ejen Ali The Movie 2 – Dari M.A.T.A ke Hati Penonton! (TANPA SPOILER)

  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd