Baru-baru ini, kami berpeluang menyaksikan previu eksklusif (secara hands-off) untuk Onimusha: Way of the Sword – entri terbaharu yang amat dinanti-nantikan daripada Capcom bagi siri aksi samurai ikonik mereka, yang akan dilancarkan pada tahun 2026.
Sepanjang 20 minit sesi demonstrasi gameplay, kami disajikan dengan gabungan combat pedang yang mendebarkan, suasana seram yang menyesakkan, dan elemen fantasi gelap berlatarkan Kyoto pada zaman Edo—penuh dengan kelainan ngeri dan misteri.
Watak utama kali ini ialah samurai legenda Miyamoto Musashi, yang menggunakan Oni Gauntlet mistik untuk menentang makhluk iblis Genma.
Previu ini mempamerkan sistem combat yang bertenaga, mekanik parry yang memerlukan strategi, dan visual memukau: semuanya menghidupkan semula semangat peminat terhadap francais ini yang telah lama menyepi hampir dua dekad. Inilah pandangan lebih dekat terhadap game baharu ini.
Permulaan Musashi dan Beban Kuasa Sumpahan
Daripada memfokuskan kepada duel epik atau kemasyhuran Musashi sebagai pendekar legenda, Onimusha: Way of the Sword memilih pendekatan yang lebih intim dengan menggambarkan permulaan kisahnya.
Di sini, Musashi dilukis sebagai seorang pemuda yang berani, angkuh, dan nekad untuk menjadi pendekar terhebat hanya dengan bergantung pada kekuatannya sendiri. Maka apabila dia secara tidak sengaja terikat dengan Oni Gauntlet (sebuah artifak iblis yang memberinya kuasa luar biasa) reaksinya adalah marah dan kecewa.
Bagi Musashi, menerima kekuatan yang tidak diperoleh melalui usaha sendiri adalah satu penghinaan besar.

Namun, menanggalkan sarung tangan sumpahan itu ternyata bukan semudah yang disangka. Usahanya membebaskan diri membawanya ke kuil Kiyomizu-dera di Kyoto, satu lokasi bersejarah yang digambarkan semula dengan visual menakjubkan, tetapi kini diselubungi Malice, sejenis tenaga gelap yang terhasil daripada kehadiran iblis Genma.
Semakin Musashi menyelami misteri kuil itu, semakin jelas bahaya yang menantinya termasuk pandangan mengerikan tentang manusia yang disembelih atau dipaksa melakukan kekejaman oleh Genma.

Detik-detik inilah, yang diilhamkan daripada kisah-kisah legenda Kyoto, yang memberikan naratif ini nuansa yang tragik. Setiap serangan dan pertarungan terasa penuh beban emosi, kerana ini bukan sekadar konflik fizikal, tetapi perjuangan Musashi untuk menebus dirinya dan menyelamatkan mereka yang dihanyutkan oleh kegelapan.
Sistem Combat yang Tajam, Taktikal dan Penuh Gaya
Pada pandangan pertama, Way of the Sword mengekalkan aksi bergaya yang menjadi identiti siri Onimusha. Tetapi apabila diteliti lebih mendalam, sistem combat-nya menawarkan pengalaman yang lebih strategik berteraskan serangan, masa yang tepat, dan pengurusan sumber yang bijak.
Seperti dalam game terdahulu, setiap musuh yang ditewaskan akan melepaskan roh: merah untuk experience, kuning untuk penyembuhan, dan biru untuk menggerakkan abiliti khas.

Namun, roh-roh ini hanya bertahan seketika, memaksa pemain untuk sentiasa membuat keputusan pantas—patutkah anda menamatkan perlawanan dengan musuh terakhir atau meluru ke hadapan untuk menyerap roh sebelum ia hilang? Mekanik ini mungkin kecil, tetapi ia menambah lapisan dan strategi yang halus.

Sistem Guarding juga menerima rombakan ketara. Kini Musashi boleh menahan serangan dari pelbagai arah, memberi rasa kawalan yang kuat. Namun, terlalu bergantung padanya akan menyebabkan posturnya patah dan membuatnya terdedah kepada serangan.
Ini secara tidak langsung menggalakkan pemain untuk tidak sekadar bertahan, tetapi turut aktif menyerang.

Pertahanan juga diperkaya dengan dua teknik baharu: Redirect dan Deflect. Redirect membolehkan anda menangkis serangan dan menghumban musuh ke elemen persekitaran berbahaya, seperti menolak Genma ke dalam api untuk membakarnya hidup-hidup.
Deflect pula berfungsi sebagai balasan pantas terhadap serangan jarak dekat dan projektil, dan memainkan peranan penting dalam membuat musuh ‘staggered.’ Jika dilakukan secara konsisten, Musashi akan memasuki keadaan powered-up, meningkatkan kekuatannya dan membebaskan lebih banyak roh biru.

Sistem ini memberikan ganjaran besar kepada pemain yang mahir dan menjadikan setiap combat terasa mengujakan, terutamanya apabila dikepung ramai musuh.
Tambahan pula, sistem kemahiran yang dikaitkan dengan roh biru menambah lagi variasi, termasuk satu skil yang menukar Musashi menjadi pusaran serangan pedang berganda, yang turut menjatuhkan roh kuning di sekeliling. Ia bukan sahaja kelihatan hebat, tetapi juga sangat berguna dan memuaskan untuk digunakan di saat-saat genting.
Seni Strategi ‘Issen‘
Kehebatan sebenar Onimusha: Way of the Sword benar-benar terserlah apabila anda menguasai sistem Issen. Mekanik klasik ini kembali dengan nafas baharu: tekan butang serangan tepat pada detik serangan musuh, dan Musashi akan melancarkan serangan balas sinematik yang membunuh serta-merta.
Yang menjadikannya lebih menarik kali ini ialah penambahan Chain Issen, di mana anda boleh menyambung serangan balas yang berjaya dengan lebih banyak counter, selagi masa ditekan dengan tepat. Hasilnya? Satu bilik penuh musuh berubah menjadi persembahan pembunuhan yang pantas.

Lebih daripada sekadar aksi dramatik, Chain Issen sangat penting dalam situasi di mana anda dikepung. Ia membantu mengurangkan tekanan dengan menewaskan musuh secara efisien dan bergaya. Dalam pertarungan bos pula, sistem ini berkembang menjadi Break Issen, satu mekanik baharu yang menambah strategi.
Setiap bos kini mempunyai bar kestabilan tambahan di bawah bar nyawa mereka. Dengan menangkis serangan mereka secara konsisten, bar ini akan berkurang, dan apabila kosong, bos akan menjadi lemah seketika—memberi anda peluang untuk melancarkan Break Issen.

Apa yang menarik, anda diberi pilihan untuk menyasarkan bahagian tertentu badan bos semasa momen ini: setiap bahagian memberikan kesan taktikal yang berbeza, sama ada untuk menambah damage atau mendapatkan lebih banyak roh.
Ini menjadikan setiap pertarungan bos terasa seperti pertembungan taktikal dan kemahiran, bukan hanya sekadar perlawanan kuasa atau ketahanan.

Salah satu pertarungan bos paling menonjol ialah dengan Sasaki Ganryu, saingan sejarah Musashi yang, dalam versi ini, turut memiliki Oni Gauntlet. Pertempuran mereka bukan sekadar adu kekuatan fizikal, tetapi juga konflik ideologi: dua samurai yang berbeza pandangan tentang kuasa, maruah, dan takdir.
Turut mencabar ialah Byakue, makhluk Genma yang menakutkan dan menjadi semakin kuat apabila ia cedera.
Diselubungi talisman ofuda yang mengekang kuasanya, perlawanan dengan Byakue menuntut kawalan sepenuhnya di mana anda perlu menangkis dengan bijak tanpa terlalu banyak mencederakannya, atau berdepan risiko melepaskan kuasa iblisnya yang sebenar.
Gelap Dunia Onimusha
Dari segi visual, Way of the Sword benar-benar memukau, terutamanya dalam caranya menggabungkan unsur sejarah Jepun dengan elemen fantasi gelap.
Kuil Kiyomizu-dera adalah contoh terbaik, direka dengan kerjasama kakitangan kuil sebenar, versi dalam game ini memberi nafas baharu yang suram dan penuh atmosfera kepada lokasi ikonik tersebut.
Malah, beberapa struktur bangunan diletakkan mengikut kedudukan asal dari zaman Edo, memberikan pengalaman yang boleh dinikmati oleh pencinta sejarah sambil mereka menghunus pedang melawan iblis.

Di langit pula, awan Malice yang berlegar di atas kuil berfungsi sebagai amaran visual berterusan terhadap bahaya yang sedang merebak. Reka bentuk Genma pula menawarkan pelbagai bentuk (dari yang menjijikkan hingga yang tragik) termasuk samurai iblis yang seolah-olah mencerminkan versi gelap Musashi sendiri.

Tambahan pula, elemen seperti Dark Mass, yang boleh diserap untuk membuka penglihatan masa lalu yang ngeri, memberikan dimensi naratif dan visual. Dunia dalam game ini bukan sekadar tempat untuk bertarung, ia sebuah pengalaman atmosferik yang mengundang rasa ingin tahu, walaupun pada masa yang sama menimbulkan rasa seram.
Pendapat
Daripada apa yang kami saksikan setakat ini, Onimusha: Way of the Sword tampak seperti sebuah kebangkitan bagi francais yang telah lama menyepi. Ia menggabungkan aksi yang padat dan memuaskan dengan sistem combat berlapis yang menghargai ketepatan, masa reaksi, dan kemahiran sebenar.
Jalan ceritanya pula mengambil pendekatan berani dengan memfokuskan pada Musashi versi muda dan penuh kelemahan, sambil menyeimbangkan elemen sejarah dengan suasana seram gotik.

Kepulangan sistem Issen yang dikemas kini, penggunaan bijak elemen persekitaran dalam pertempuran, dan rekaan pertarungan bos yang mengesankan—semuanya memberi gambaran bahawa game ini dibangunkan dengan penghormatan terhadap akar asalnya dan sentuhan inovasi moden.
Jika Capcom mampu mengekalkan tahap kualiti ini hingga ke akhir, Way of the Sword bukan sahaja akan menjadi detik nostalgia, tetapi juga mampu muncul sebagai salah satu game aksi terbaik tahun 2026.

Onimusha: Way of the Sword akan dilancarkan pada tahun 2026 di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post