3 tahun selepas pengumuman pertama di TGS Online 2021, kami akhirnya mendapat peluang untuk mencuba demo Enotria: The Last Song. Dibangunkan oleh Jyamma Games, ini adalah game soulslike berlatarkan dunia diterangi cahaya matahari yang diilhamkan oleh kisah dongeng Itali di mana matahari paling terang akan menghasilkan bayang paling gelap.
Sebagai studio game indie di Itali sejak 2019, Enotria ialah produk pertama oleh Jyamma Games, dan dirancang untuk keluar pada 19 September 2024 di platform PlayStation 5, Xbox Series X|S dan PC.
Berikut adalah pengalaman saya bermain demo Enotria: The Last Song!
Eksplorasi

Game ini pasti memenuhi jangkaan judul soulslike, dengan semua ciri klasik seperti bos yang kuat, musuh tersembunyi, raksasa elit, penerokaan peta, dan sudah tentu, persekitaran paya. Rasanya seperti kami kembali ke Elden Ring buat kali pertama, walaupun dengan peta open world bersaiz sederhana.
Sama seperti game soulslike yang lain, dunia dipenuhi dengan banyak tempat untuk diterokai dan ditemui, dengan skill, senjata, alatan dan item bertaburan di seluruh peta. Walau bagaimanapun, game ini tidak akan memberi sebarang petunjuk atau arahan, termasuk lokasi untuk item penting bagi misi utama. Kami sendiri hanya dapat bertemu dengan 2 NPC sepanjang bermain demo.

Demo ini mempamerkan semua jenis pemandangan dan lokasi untuk diterokai. Selepas mengalahkan bos pertama, anda akan berada di medan permulaan, yang penuh dengan bunga matahari.
Ini adalah lokasi damai yang memberi ruang bernafas untuk kita membiasakan diri dengan kawalan dan musuh. Lokasi kedua adalah di pantai, juga tempat yang membolehkan pemain berlatih kawalan, tetapi mengandungi lebih banyak musuh elit.

Sepanjang perjalanan, anda boleh mencari dan berinteraksi dengan 3 jenis “reality glyph” berbeza, yang membolehkan anda bertukar persekitaran untuk menyelesaikan teka-teki, mendedahkan rahsia, merentasi dunia dan memperoleh kelebihan strategik dalam pertempuran. Tetapi beberapa laluan rahsia mempunyai timer pemasa dan akan tutup selepas beberapa ketika.
Tidak lama selepas itu, anda akan menemui Quinta, sebuah bandar kecil yang terletak dalam karnival Itali yang sangat meriah, malah musuh pun sedang menari. Kemeriahan bandar pelik ini menjadikan perjalanan saya lebih menyeronokkan. Pekan ini juga mempunyai sejumlah rumah kecil yang anda boleh berjalan dan temui, dan di bumbung terletaknya beberapa barang berguna.
Loadout & Jenis Build

Build anda terdiri daripada tiga loadout utama; “mask”, “line” dan “weapon”. Anda boleh bertukar-tukar antara sehingga 3 loadout yang boleh diubah suai pada bila-bila masa dan ini menawarkan pengalaman pertempuran yang sangat fleksibel dan bervariasi.
Sebagai contoh, anda boleh menjadi lancer pantas pada permulaan pertarungan, dan bertukar kepada kesatria yang fokus kepada parry di tengah pertarungan.

Pertama sekali, mask adalah titik jualan terbesar dan pada pendapat kami, salah satu perkara paling unik tentang game ini. Setiap mask berfungsi seperti kelas berbeza ala JRPG yang mempengaruhi gaya permainan anda, statistik serta jenis senjata yang boleh anda lengkapkan.
Dengan setiap mask, anda boleh melengkapkan abiliti utama dan skill berbeza padanya untuk mengkhususkan lagi build anda.

Line pula ialah sihir, dan anda boleh melengkapkan sehingga 4 sekaligus. Menyerang musuh akan mengisi meter yang kemudiannya boleh dibelanjakan untuk melancarkan line. Terdapat banyak sihir seperti anak panah ajaib jarak jauh, lembing ajaib, semuanya dengan kesan unik sendiri.
Akhir sekali, Weapon ialah item yang paling tipikal dalam game dan termasuk senjata zaman medieval seperti long sword, greatsword dan morning star. Senjata boleh didapati di peti atau semasa membunuh musuh, dan sebagai ganjaran untuk mengalahkan bos. Seperti kebanyakan soulslike, anda boleh menaik taraf senjata dengan menggunakan elemen tertentu.
Path of Innovators

The Path of Innovators berfungsi sama seperti skill tree di mana anda boleh meningkatkan kemahiran dan statistik anda. The Path juga menawarkan sejumlah “talent” unik yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi pilihan gaya permainan anda.
Dengan menggabungkan talent dari Path bersama mask, pemain boleh mencipta build custom mereka sendiri, untuk menjadikan setiap situasi lebih mudah berbanding sebelum ini.
Sistem Pertempuran Umum

Walaupun mencabar, sistem pertempuran Enotria terasa lancar dan padat – kombinasi yang bagus untuk soulslike. Sama seperti game soulslike lain, anda masih perlu menguruskan stamina, parry, berlari dan mengelak serangan, dan hanya bergantung pada kemahiran anda.
Tanpa sistem MP, abiliti akan mengambil masa dan meter untuk mengecas, dan pemain perlu mata yang tajam kerana skill boleh diganggu oleh musuh. Jika skill diganggu, anda akan menerima damage dan meter tidak akan dikembalikan, sekali gus memerlukan pemain untuk mengulangi proses tersebut.

Walaupun pertempuran amat menyeronokkan, masalah kecil yang kami hadapi adalah audio kerana kam kesan bunyi terlalu membosankan. Selain daripada itu, pertempuran bos yang mencabar, reka bentuk musuh yang rumit, dan serangan yang tidak dapat dihalang menjadikan game ini sebagai pengalaman soulslike yang ideal.
Pendapat

Pada pendapat kami, Enotria: The Last Song mempunyai hampir semua bahan untuk menjadi soulslike yang sempurna. Gaya seni mungkin tidak menarik perhatian anda pada mulanya, tetapi gameplay-nya sangat menyeronokkan.
Kami telah bermain demo sekitar 3 jam dan masih belum menemui semua yang ditawarkan. Untuk demo, saya percaya banyak usaha telah dilakukan, dan kami pasti akan membelinya apabila game itu dilancarkan secara rasmi.

Secara keseluruhan, game ini sesuai untuk mereka yang suka genre soulslike. Tetapi jika anda menggunakan PC dengan spesifikasi rendah, sukar untuk saya mengesyorkannya, kerana game ini berjalan pada Unreal Engine 5 dan mempunyai spesifikasi yang tinggi.
Bagi mereka yang berminat, Enotria: The Last Song akan dilancarkan pada 19 September di platform PlayStation 5, Xbox Series dan PC melalui Steam dan Epic Games Store. Demo pula akan dilancarkan untuk PlayStation 5 dan PC pada 22 Mei.
@gamersantaimy
Discussion about this post