Selepas lima tahun menyepi, Borderlands akhirnya kembali dan kali ini mereka benar-benar all out habis-habisan. Kami berpeluang mencuba sendiri Borderlands 4, dan walaupun masih terlalu awal untuk menilai, entri terbaru ini sudah menunjukkan potensi sebagai satu lonjakan besar untuk francais tersebut.
Berikut adalah perkara-perkara yang paling mencuri perhatian kami sepanjang sesi previu ini.
Meneroka Planet Kairos Sebagai Vex
Sejurus melangkah masuk, Borderlands 4 terus membawa pemain ke tengah kekacauan di planet baharu bernama Kairos, sebuah dunia yang dipenuhi bentuk muka bumi bertingkat, kawasan berair, dan elemen mobiliti yang belum pernah diterokai dalam siri ini.
Dari segi visual, gaya cel-shaded ikonik masih dikekalkan, tetapi kali ini tampil jauh lebih kemas dan terperinci.
Kairos kelihatan hidup dengan pelbagai jenis persekitaran, animasi lebih lancar, serta kesan pencahayaan dan cuaca yang menjadikan setiap pertempuran terasa lebih bertenaga, terutama ketika berdepan pertarungan besar atau bos gergasi.

Memimpin perjalanan kali ini ialah salah seorang Vault Hunter baharu, Vex, seorang Dark Siren yang tampil berbeza berbanding Siren sebelum ini.

Vex bukan sekadar Siren biasa — skill treenya hadir dengan pelbagai pilihan menarik. Salah satunya ialah “Here Comes Trouble,” yang memanggil haiwan kesayangannya, Trouble, untuk bertarung bersama. Trouble juga boleh diteleport ke arah musuh bagi menghasilkan letupan AoE.
Jika Trouble masih hidup ketika skil ini diaktifkan, dia akan berubah menjadi versi Badass, dengan serangan lebih kuat serta keupayaan memulihkan HP. Kalau Trouble sudah tumbang sebelum itu, dia akan dihidupkan semula serta-merta.

Selain itu, terdapat juga “The Fourth Seal,” skill yang membolehkan Vex memanggil klon spektral — sama ada Reaper atau Specter, bergantung pada elemen yang dipilih. Reaper bertindak sebagai tank dengan menarik aggro musuh sambil menyerang jarak dekat, manakala Specter menembak dari jarak jauh tetapi kekal di tempat yang sama.
Menariknya, anda boleh memanggil kedua-duanya serentak untuk menguasai seluruh medan perang.

Dan apabila keadaan menjadi semakin kacau, Vex boleh mengaktifkan “Vexcalation,” melepaskan shockwave besar yang bukan sahaja memberikan damage, tetapi turut memulihkan HP sepenuhnya.
Ketika skil ini aktif, Vex mendapat peningkatan kelajuan bergerak dan akses kepada Eldritch Blast, serangan AoE yang boleh dipercepatkan cooldown-nya melalui damage tembakan biasa.

Aspek combat dalam Borderlands 4 masih mengekalkan rasa ikonik siri ini dengan gunplay yang memuaskan, abiliti yang bergaya, dan loot yang berselerak di setiap sudut, namun semuanya kini dibalut dengan peningkatan visual yang jauh lebih menawan.
Mobiliti Baharu & Dunia Lebih Bebas Diterokai
Borderlands 4 tampil dengan lebih banyak pilihan pergerakan berbanding mana-mana entri sebelumnya dalam siri ini. Kali ini, pemain boleh melakukan double jump, meluncur di udara (gliding), melakukan hentakan dari udara (ground slam), dan paling menarik — berenang.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Borderlands, anda turut dibekalkan grappling hook, yang membuka lebih banyak cara kreatif untuk bergerak. Ia boleh digunakan untuk memanjat tebing tinggi, meluncur pantas merentasi kawasan, atau menarik objek seperti tong letupan ke arah musuh untuk serangan mengejut.
Gliding pula memberikan rasa bebas yang menyeronokkan, membolehkan anda melayang merentas jurang, melakukan serangan dari udara, atau menjunam turun dengan hentakan AoE ke atas kumpulan musuh.

Bahagian kenderaan juga dipermudahkan. Kini, anda boleh memanggil atau menyimpan semula kenderaan pada bila-bila masa, tidak kira di mana anda berada. Tidak perlu lagi berlari jauh semata-mata untuk mencari stesen Catch-A-Ride, sekaligus menjadikan penerokaan terasa lebih lancar dan bebas.

Satu lagi perubahan besar ialah peranti ECHO-4 baharu yang kini hadir dengan paparan kompas dalam UI, menggantikan sistem minimap klasik yang biasa digunakan sebelum ini.
Reka bentuk ini menjadikan paparan skrin lebih kemas, tetapi anda tetap boleh melakukan imbasan kawasan sekeliling dan menandakan objektif untuk navigasi yang lebih mudah.
Loot, Senjata & Sistem Customization Baharu
Tak sah bercakap tentang Borderlands kalau tak sentuh soal loot: senapang, senapang, dan senapang lagi.

Dalam Borderlands 4, sistem loot diperkembangkan lagi dengan penambahan “Licensed Parts” dan “Weapon Manufacturers” baharu, menjadikan setiap senjata yang anda temui lebih unik dan bervariasi.
Customization juga kini lebih mendalam menerusi sistem Enhancement yang diperkenalkan, membolehkan anda menaik taraf jenis senjata tertentu terus melalui peranti ECHO-4.

Satu lagi penambahan menarik ialah Ordnance Slot, iaitu slot khas untuk ordnance seperti bom atau alat lain yang boleh dilontar, memberi lebih banyak pilihan taktikal ketika bertarung.
Selain itu, Repkits pula berfungsi sebagai alat sokongan yang membolehkan anda memulihkan HP di tengah pertempuran tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada loot rawak atau perisai.

Sistem inventori turut menerima rombakan penuh, menjadikan pengurusan loot lebih teratur dan mudah. Ia kini lebih pantas, lebih intuitif, dan membolehkan pemain menyesuaikan loadout serta gear watak mereka dengan lebih menyeluruh.
Pendapat
Daripada sesi previu ringkas yang kami cuba, Borderlands 4 jelas terasa seperti evolusi yang sesuai untuk generasi baharu. Setiap tembakan terasa lebih padu, sistem pergerakan kini jauh lebih menyeronokkan, dan watak seperti Vex membawa elemen strategi baharu ke dalam medan perang.
Semangat looter-shooter yang huru-hara masih menjadi nadi utama, tetapi kali ini semuanya terasa lebih pantas, lebih lancar, dan dipenuhi pelbagai penambahbaikan yang menjadikannya lebih segar.

Itu sahaja tanggapan awal kami untuk Borderlands 4. Game ini akan dilancarkan pada 12 September 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC melalui Steam serta Epic Games Store. Versi untuk Nintendo Switch 2 pula akan menyusul kemudian dalam tahun yang sama.
Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Borderlands.
@gamersantaimy
Discussion about this post