HoYoverse masih belum mengumumkan tarikh keluaran untuk Zenless Zone Zero, tetapi di Tokyo Game Show 2023, mereka telah mendedahkan maklumat baharu tentang RPG aksi akan datang – termasuk berita game itu akan dikeluarkan di konsol bersama PC dan peranti mobile. Bukan itu sahaja, mereka juga membuka booth istimewa di mana pengunjung dapat mencuba game itu buat masa yang terhad.
Saya tahu kami telah menulis preview tentang Zenless Zone Zero semasa di Hoyo Fest, tetapi kali ini saya dapat bermain lebih lama sekitar 10 minit. Demo ini pun mempunyai tiga bahagian yang memfokuskan pada jalan cerita, cabaran pertempuran dan penerokaan bandar.
Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah preview ringkas kami:

Bermula dengan jalan cerita, untuk ini nampaknya saya bermain intro bagi permainan. Mereka mempersembahkan jalan cerita dengan adegan 3D yang cantik dan bagi saya, ia mungkin lebih baik secara visual daripada mana-mana game HoYoverse sebelum ini.
Mereka juga menggunakan penceritaan gaya komik yang bagi sesetengah pemain mungkin terasa seperti cara yang membosankan untuk menikmati jalan cerita, tetapi saya menghargai usaha yang mereka lakukan untuk membuat setiap panel dan bagaimana ia dipenuhi dengan begitu banyak lukisan seni yang bagus.
Adegan juga disuarakan sepenuhnya, jadi saya memberi mata tambahan untuk usaha itu. Bukan setakat cerita, kerana anda boleh bermain tutorial pertempuran untuk memahami asas gameplay.


Seterusnya ialah sistem pertempuran dan yang ini lebih sukar daripada yang saya jangkakan. Jadi pertempuran dalam ZZZ bermain ala-ala seperti Genshin, tetapi juga sangat berbeza. Setiap watak mempunyai satu skill dan Ultimate.
Anda boleh spam skill yang tidak mempunyai cooldown, tetapi anda boleh menjadikannya lebih kuat dengan mengumpul tenaga melalui serangan biasa. Apa yang saya suka tentang pertempuran adalah betapa lancarnya rasanya. Ia lebih berkesan, lebih pantas dan cara watak bergerak dengan kombo yang begitu menjolok mata amat menyeronokkan.
Seperti yang kami nyatakan dalam ulasan sebelum ini, game ini juga mempunyai ciri perfect dodge yang memperlahankan aksi sekeliling, tetapi apabila menghadapi bos spesifik yang kuat ini dalam pertempuran, anda benar-benar perlu membaca pergerakannya dan memanfaatkan ciri ini.



Beralih kepada aspek penerokaan bandar, sebenarnya tidak banyak yang boleh saya lakukan memandangkan tempoh masa sedikit, tetapi meneroka di sekitar bandar memang terasa lagi menarik. Saya dapat mengawal seorang watak wanita (Belle) dan model wataknya kelihatan sangat bagus, ternyata peningkatan yang jauh lebih baik berbanding game HoYo yang lain.
Mereka jelas meletakkan banyak usaha apabila mencipta reka bentuk model untuk setiap watak. Walaupun saya tidak banyak berinteraksi dengan bandar, game ini menyediakan banyak mini-game yang boleh ditemui di sekeliling, berinteraksi dengan pelbagai watak unik dan aktiviti sampingan lain apabila meneroka.


Zenless Zone Zero akan datang ke konsol, PC dan Mobile melalui iOS dan Android. Baca segala berita kami tentang game ini di SINI.
Segala liputan kami tentang Tokyo Game Show disampaikan bersama kerjasama Predator Gaming.
@gamersantaimy
Discussion about this post