ROG Ally adalah sebuah gaming handheld pertama yang akan dikeluarkan tidak lama lagi oleh satu jenama terbesar dalam industri gaming iaitu ROG. Dan terima kasih kepada pihak ASUS ROG kerana menjemput kami untuk mencuba gaming handheld terbaru ini dan ini adalah pandangan pertama kami mengenai ROG Ally.
Reka Bentuk

Ini adalah kali pertama saya cuba bermain dengan Gaming Handheld. Walaupun baru pertama kali mencuba, saya tidak berasa terlalu kekok semasa menggunakannya. ROG Ally mempunyai berat sekitar 608g dan dilengkapi dengan reka bentuk ergonomik yang sangat cantik. Walaupun Nintendo Switch OLED lebih ringan pada 422g, ROG Ally entah bagaimana berasa lebih baik untuk dipegang kerana reka bentuk ergonomik, terutamanya cengkaman bahagian yang melengkung. Oleh kerana itu, ia selesa untuk bermain di ROG Ally untuk jangka masa yang lama.
Dengan warna putih yang digunakan pada ROG Ally, ia sebenarnya membuatkan ia nampak lebih menarik dan cukup untuk menarik perhatian para gamer. Untuk menambahkan aura gaming, ia telah didatangkan dengan lampu RGB pada beberapa bahagian terutama sekali pada joystick ROG Ally ini.

Saya boleh katakan yang joystick amatlah selesa untuk dipegang dan digunakan. Melihat sahaja kualitinya, saya boleh katakan yang ia diperbuat dengan kualiti yang tinggi. Gaming Handheld bukanlah platform utama saya tetapi saya amat suka dengan reka bentuk atau bagaimana enam penambahan trigger diletakkan. Empat di bahagian sisi dan dua di bahagian belakang. Butang ini sangat mudah ditekan tanpa memerlukan tekanan yang tinggi malah ia terletak betul pada jari anda.
Joystick mempunyai tindak balas tangkas dan langsung tidak memberikan saya perasaan yang pelik. Ibu jari saya mempunyai cengkaman yang selesa pada joystick. Saya fikir memegang ROG Ally akan memenatkan tetapi saya gembira untuk mengatakan bahawa ROG benar-benar menumpukan perhatian kepada keselesaan.

Button power dan volume terletak di bahagian atas bersama-sama audio jack dan slot microSD sebagai penambahan untuk storan anda. Bahagian atas juga dilengkapi dengan XG Mobile interface (bersama USB Type-C) di mana anda boleh menggunakan external GPU (XG Mobile) untuk meningkatkan lagi kepuasan diri anda.
Sesetengah orang mungkin tidak menyukai bahagian atas kerana ia terlalu penuh tetapi ia masuk akal kerana di bahagian bawah telah penuh dengan bahagian dalaman seperti bateri dan lain-lain.
Paparan

ROG Ally hadir dengan skrin Full HD penuh dengan 120Hz refresh rate dan 7ms response time dan kecerahan 500 nits. Jadi anda boleh membawa ROG Ally anda bermain dengan sebarang keadaan pencahayaan. Dengan skrin 120Hz yang disertakan bersamanya, anda boleh bermain sebarang game dengan lebih lancar tanpa sebarang masalah. Perkara yang cukup asas yang disertakan dengan kebanyakan laptop gaming sekarang. Lebih tinggi FPS, lebih lancar tindakan pada skrin.
Walaupun masa ujian main saya tidak lama, saya boleh memberitahu anda bahawa paparan AMD FreeSync betul-betul menakjubkan. Semasa ujian bermain, saya serta-merta tertarik dengan warna yang sangat hebat. Semuanya kelihatan terperinci, dan secara tidak langsung memberikan semangat untuk terus bermain.
Respons pada touchscreen juga cukup bagus. Saya cuba bermain menggunakan skrin sentuh tetapi ia hanya boleh menggerakkan kamera dan bukan watak.
Spesifikasi

Saya boleh katakan yang ROG Ally adalah sebagai pengganti desktop mini kerana anda boleh gunakan sistem Windows 11 sepenuhnya tanpa sebarang masalah dan anda boleh menyambungkan keyboard dan mouse dengan menggunakan Bluetooth. Jangan pandang rendah padanya kerana spesifikasinya cukup berbaloi.
ROG Ally menggunakan pemprosesan AMD Ryzen Z1 yang dibina pada Zen 4 architecture dengan RDNA 3 graphic. Namun, anda mempunyai pilihan untuk membeli XG Mobile di mana ia merupakan sebuah external GPU yang disediakan oleh ROG. GPU yang disediakan adalah sehingga RTX 4090 mobile.
Storan yang didatangkan pada ROG Ally adalah 512GB dan mampu untuk menampung pelbagai game. Manakala RAM yang disediakan pula adalah sehingga 16GB DDR5. Kombinasi ini agak biasa tetapi apabila ia didatangkan pada gaming handheld, ia sudah pasti cukup memberangsangkan.

Memandangkan ianya menggunakan platform Windows 11 sepenuhnya, anda boleh bermain macam-macam game yang ditawarkan di Steam, Epic Games dan banyak lagi. Sesetengah gamer mungkin tidak suka atau tidak biasa menggunakan UI Windows 11, tetapi saya menyukai kerana ia mempunyai lebih banyak pilihan dan fleksibiliti untuk menggunakan peranti tersebut.
Sedikit perubahan yang saya lihat adalah pada Armoury Crate di mana ia telah didatangkan dengan versi SE untuk ROG Ally. Pada asasnya ia melakukan segala-galanya; menyemak prestasi, storan, fail, suhu, profil anda dan sebagainya. Anda boleh mengakses Armoury Crate dengan mudah menggunakan button shortcut yang ada pada button di sebelah kiri skrin.
Pengalaman bermain

Terdapat beberapa game yang telah disediakan diantara adalah Far Cry 6, Cyberpunk 2077, Street Fighter 6 dan Dota 2.
Saya bermain Far Cry 6 dan ia terasa begitu lancar dan langsung tidak mempunyai rasa lagging ataupun stuttering pada tetapan grafik rendah dan juga pertengahan. Dengan menggunakan mata kasar, saya rasa ia telah mencapai lebih daripada purata 60FPS. Jika anda bercadang untuk bermain dengan tetapan grafik tertinggi, anda masih perlu menggunakan XG Mobile.
Saya tidak berpeluang untuk memainkannya secara peribadi, tetapi saya melihat orang lain menguji Street Fighter 6. Semuanya kelihatan lancar dan tepat juga, kerana anda tahu bagaimana FGC mengutamakan kelajuan terhadap tindakan.

Apa yang mengejutkan saya adalah mereka menyediakan Cyberpunk 2077. Kita semua tahu betapa beratnya grafik game ini dan digunakan di seluruh dunia sebagai alat benchmark. Melihat ROG Ally turut menyokong Cyberpunk betul-betul mengejutkan saya. Walaupun tidak pada tetapan maksimum, pengendalian game sebegitu sangat mengagumkan.
Malah terdapat DOTA 2, yang dimainkan pada tetapan hampir maksimum. Kebanyakan orang kini bermain Mobile Legend dan Wild Rift, tetapi dengan adanya ROG Ally, anda kini boleh “moba mobile” Dota 2 pada bila-bila masa, di mana sahaja.
Pendapat

ASUS ROG Ally pasti menyelesaikan kebanyakan masalah saya dengan konsol gaming handheld lain. Ia tidak terasa seperti percubaan pelik dari jenama yang cuba mengejar “hype”, ia mempunyai reka bentuk yang lebih selesa dan skrin yang sangat mengagumkan. Spesifikasinya juga hebat kerana ia boleh mengendalikan Far Cry 6 jadi anda tidak perlu risau tentang pengalaman bermain anda.
Selagi harganya berpatutan, ini boleh menandakan permulaan rasmi era PC gaming handheld. Buat masa sekarang, mereka masih tidak mengumumkan sebarang tarikh pelancaran atau harga untuk dipasarkan di Malaysia. Apapun, mari kita sama-sama nantikan pelancaran global ASUS ROG Ally pada 11 Mei 2023 ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak review menarik mengenai game, filem atau teknologi, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post