Di gamescom asia 2023, kami sempat mencuba beberapa game sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Antaranya ialah Harpy Raiders yang dibuat oleh Cloud of Pinky LLP. Banyak mengingatkan saya tentang Rimuru daripada anime That Time I Got Reincarnated as a Slime, saya serta-merta jatuh cinta pada game ini dan di sini, saya ingin menjelaskan ciri-ciri yang membuatkannya menarik.
Gameplay Umum

Secara am, Harpy Raiders ialah platformer RPG piksel 2D di mana kita bermain sebagai “slime” dan melawan Empayar Harpy (raksasa separuh manusia dan separuh burung). Ditindas selama bertahun-tahun oleh Empayar Harpy, lepaskan kemarahan anda dan rampas semula apa yang sepatutnya milik anda.
Di sini, pemain boleh merekrut Slime pelik dan eksotik sendiri untuk menghadapi musuh. Untuk mencerminkan kebolehsuaian semula jadi makhluk ini, anda dapat menggunakan pelbagai jenis senjata dalam Harpy Raiders, seperti pedang, lembing, tukul, pedang berkembar dan senapang.

Daripada segi gameplay, campuran antara pertempuran dan platforming cukup seimbang dan lancar. Apa yang saya paling suka sekali adalah pertempuran berbilang arah. Dalam majoriti game aksi platformer, selalunya pemain boleh menyerang dalam empat arah utama, atau kadangkala lapan. Tetapi untuk Harpy Raiders, pemain diberi kebebasan untuk menyerang 360 darjah.
Walaupun bukan game roguelike, Harpy Raiders menampilkan sistem ‘permanent death’ di mana Sline yang dibunuh akan hilang selama-lamanya. Di situ, pemain akan diminta untuk memilih pengganti. Untuk memberi variasi, pemain boleh merekrut pelbagai jenis Slime. Pada mulanya, kita akan mempunyai 6 slot untuk Slime unik daripada yang jenis berbunga hingga ke ais.

Daripada segi elemen RPG, pemain boleh meletakkan beberapa mata kemahiran kepada 4 atribut berbeza (Strength, Fluidity, Focus, Attunement), masing-masing dengan kelebihan dan kegunaan sendiri. Sebagai contoh, atribut Strength mempengaruhi kekuatan Slime anda dan membenarkan pemain menggunakan senjata berat.
Satu lagi contoh elemen RPG adalah pemain boleh “mengampunkan” musuh dalam detik-detik penting dalam jalan cerita tertentu. Secara tidak langsung, ini boleh mengubah naratif permainan anda (game ini mempunyai cerita bercabang) tetapi tidak seperti Undertale, anda tidak boleh mengampunkan semua musuh.

Untuk info lanjut tentang game ini, sila layari halaman Steam mereka di SINI!
Dapatkan segala berita kami tentang game yang dipaparkan di gamescom asia 2023 di SINI!
@gamersantaimy
Discussion about this post