Hari ini, Apple akhirnya telah mendedahkan smartphone flagship terbaharu mereka iaitu, iPhone 15, iPhone 15 Plus, iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max, bersama dengan butiran harga dan ketersediaan rasmi untuk Malaysia. Khususnya, siri iPhone 15 akan tersedia untuk pre-order di Malaysia mulai 22 September dan akan dilancarkan secara rasmi bermula 29 September.


Berbeza daripada model sebelum, siri iPhone 15 menerima banyak perubahan besar yang menjadikan unit ini lebih menonjol termasuk penambahan USB-C, perkakasan yang mampu menjalankan game Ray Tracing, dan banyak lagi. Berikut ialah sorotan iPhone 15 baharu;
Sorotan utama

Selepas 11 tahun memakai pengecasan jenis Lightning, masanya telah tamat. iPhone 15 kini memakai pengecasan USB-C, port baharu yang menambah keupayaan untuk pemindahan data lebih pantas. Untuk iPhone 15 dan iPhone 15 Plus, Apple mengehadkan kelajuan pemindahan data kepada 480 megabit sesaat. Untuk model iPhone 15 Pro dan ke atas, kelajuan meningkat sehingga 10 Gigabit sesaat berkat sokongan USB 3. Namun, kelajuan pengecasan rasmi masih terhad kepada 20 watt.
Bersama USB-C, keempat-empat model iPhone baharu kini mempunyai Dynamic Island, yang pertama kali diperkenalkan kepada model iPhone 14 Pro. Ini merupakan paparan berbentuk pil di bahagian atas yang juga mengandungi kamera selfie TrueDepth. Seperti namanya, Dynamic Island berbentuk adaptif dan bertindak seperti skrin kedua. Anda boleh melihat maklumat daripada pelbagai aplikasi (sebagai contoh, Grab sudah tiba atau bila ia akan tiba) tanpa perlu membuka aplikasi itu sendiri.

iPhone 15 yang berukuran 6.1 inci dan iPhone 15 Plus yang berukuran 6.7 inci mengekalkan saiz yang sama seperti pendahulunya serta datang dalam warna hitam, biru, hijau, kuning dan merah jambu. Selain Dynamic Island dan USB-C, kedua-dua model ini tidak terlalu berbeza.
Kedua-dua peranti dikuasakan oleh cipset A16, dan dilengkapi dengan kamera utama 48 megapiksel, yang membolehkan telefon menangkap gambar lebih terperinci berbanding sebelum ini. Kamera ultralebar 12 megapiksel masih sama. Seperti biasa, Apple telah mengumumkan penambahbaikan pada enjin fotografi, jadi anda boleh mengharapkan gambar yang lebih bagus secara keseluruhan.

Maka, itu sahaja untuk model standard dan Plus kerana kebanyakan ciri-ciri khas sebenarnya direka untuk model iPhone 15 Pro dan Max. Pertama sekali, ia dikuasakan oleh cipset A17 Pro, yang menjanjikan prestasi 10 peratus lebih pantas, dan enjin 2X lebih pantas.
Bak kata Apple, GPU baharu ini boleh mencipta persekitaran yang lebih terperinci dalam game mobile sambil mengurangkan kuasa, dan kini menyokong perkakasan ray-tracing, yang 4X lebih pantas. Disebabkan semua ini, Apple berkata anda boleh bermain game konsol seperti Resident Evil: Village pada iPhone 15 Pro, manakala game seperti Assassin’s Creed Mirage akan mempunyai versi iPhone bersama versi konsol dan PC.

Model Pro dan Max mempunyai skrin ProMotion 120-Hz, tetapi Apple telah mengubah reka bentuk untuk “melangsingkan” bezel di sekeliling paparan dan menambah bingkai titanium. Daripada keluli tahan karat, iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max kini lebih ringan dan lebih tahan lama, yang sepatutnya menjadikan yang kedua lebih mudah untuk digunakan dengan satu tangan.
Perubahan besar pada kamera ialah penambahan kamera “periscope zoom” yang eksklusif untuk model iPhone 15 Pro Max. Teknologi ini mendayakan zum optik 5X, untuk membolehkan anda menangkap subjek pada jarak yang berkualiti tinggi. iPhone 15 Pro pula dihadkan pada zum 3X.

Satu lagi eksklusif untuk model Pro/Pro Max ialah Action Button yang menggantikan butang mute klasik di sisi kiri. Anda boleh customize butang ini untuk melakukan aksi tertentu, seperti menukar ke mode Silent, menghidupkan flashlight atau mengambil foto dengan kamera.
Akhir sekali, Apple mengumumkan mereka akan beralih daripada kain jenis kulit dan tali untuk peranti. Sebaliknya, mereka mengumumkan bahan fabrik mampan baharu bernama FineWoven, dan akan mengurangkan penggunaan bahan kulit secara berperingkat demi bahan kitar semula dan berasaskan tumbuhan.

Harga dan ketersediaan
iPhone 15, iPhone 15 Plus, iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max akan tersedia di Malaysia, mulai hari Jumaat, 29 September. Pre-order bermula 22 September.
- iPhone 15 dan iPhone 15 Plus akan tersedia dalam warna merah jambu, kuning, hijau, biru dan hitam dalam kapasiti storan 128GB, 256GB dan 512GB, harga masing-masing bermula pada RM4,399 dan RM4,899.
- iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max akan tersedia dalam warna titanium hitam, titanium putih, titanium biru dan titanium natural.
- Harga iPhone 15 Pro bermula pada RM5,499, dan tersedia dalam kapasiti storan 128GB, 256GB, 512GB dan 1TB. Harga iPhone 15 Pro Max bermula pada RM6,499, dan tersedia dalam kapasiti storan 256GB, 512GB dan 1TB.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
Untuk membaca segala liputan kami tentang produk Apple, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post