Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi inisiatif Esports Integrated (ESI) di bawah Impact Integrated kini membuka permohonan Dana e-Sukan KBS (DEK) 2025 secara dalam talian mulai hari ini sehingga 31 Julai 2025. Menurut kenyataan rasmi KBS, keputusan permohonan dijangka diumumkan pada 28 Ogos 2025, manakala program yang diluluskan perlu dilaksanakan dalam tempoh antara September hingga November 2025.
Tahun 2025 menandakan tahun ketiga pelaksanaan inisiatif ini, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.5 juta — peningkatan sebanyak RM500,000 berbanding tahun sebelumnya. Dana ini diwujudkan bagi menyokong pembangunan pesat industri e-sukan tempatan. Sejak mula diperkenalkan pada 2023, DEK telah memberi manfaat kepada lebih 80 inisiatif akar umbi di seluruh negara, termasuk penganjuran kejohanan, pembangunan bakat, penghasilan kandungan digital, dan pelbagai aktiviti komuniti.
Dana ini terbuka kepada pelbagai pihak seperti organisasi, kelab komuniti, pencipta kandungan, dan penganjur tempatan yang ingin memainkan peranan dalam memperkukuh ekosistem e-sukan negara. Usaha ini juga sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai daya cipta dan keyakinan dalam pembangunan masyarakat.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, DEK bukan hanya satu bentuk bantuan kewangan, tetapi juga lambang sokongan berterusan KBS terhadap potensi besar e-sukan di negara ini. “DEK mencerminkan komitmen kami dalam merakyatkan sukan, termasuk e-sukan, melalui pendekatan menyeluruh peringkat negara. Kami berharap peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak dalam industri bagi membina ekosistem e-sukan yang lebih progresif, inklusif dan kompetitif,” katanya.
Bagi membantu pemohon menyediakan cadangan program yang kukuh dan berkualiti, KBS menerusi ESI akan menganjurkan sesi libat urus khas DEK yang terbuka kepada semua pemain industri, termasuk institusi pendidikan, organisasi belia dan sukan, serta kumpulan komuniti. Maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi sesi ini akan diumumkan tidak lama lagi.
Pemohon yang berminat boleh melayari laman web rasmi di SINI atau menghubungi pihak urus setia melalui emel di [email protected] untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Dana e-Sukan KBS 2025.
Sumber: BERNAMA
@gamersantaimy
Discussion about this post