Bersiap sedia untuk menyertai pengembaraan yang sukar dilupakan kerana acara pencarian harta karun One Piece Asia Hunt, yang pertama di Asia, bakal berlangsung di SplashMania Waterpark, Gamuda Cove dari 10 Mei hingga 10 Jun 2025 (kecuali pada 14, 21 dan 28 Mei).
Acara istimewa ini mengajak para peminat anime dan manga ikonik tersebut untuk menyelami dunia penuh warna One Piece, dengan campuran elemen cabaran digital dan penerokaan fizikal yang menjanjikan pengalaman serba unik.

Kami berkesempatan untuk merasai sendiri acara ini lebih awal—dan berikut adalah kisah pengalaman kami!
Langkah Pertama dalam Pengembaraan Anda

Untuk memulakan pengembaraan ini, muat turun aplikasi One Piece Asia Hunt secara percuma di Apple App Store atau Google Play Store. Perjalanan anda akan bermula di East Blue—tempat bermulanya impian Monkey D. Luffy untuk menjadi Pirate King.
Dari situ, anda akan mengembara merentasi sepuluh zon bertema yang direka dengan teliti dan diinspirasikan daripada detik-detik ikonik dalam siri One Piece seperti Fishman Island, Punk Hazard, Dressrosa, Zou, Whole Cake Island, Mirror World, Land of Wano, Egghead Island, dan destinasi terakhir, Treasure Hub—sebuah lokasi eksklusif untuk barangan khas, penutup sempurna untuk pengembaraan anda.
Fokus utama acara ini ialah penerokaan zon-zon tersebut berpandukan petunjuk dalam aplikasi. Petunjuk ini selalunya berkait rapat dengan susun atur taman air dan mungkin memerlukan anda merujuk peta atau mencari mercu tanda tertentu—menggalakkan peserta supaya sentiasa fokus dan peka terhadap persekitaran.
Jika anda buntu, jangan risau—kakitangan bertugas yang ramah sentiasa bersedia untuk membantu anda mencari arah seterusnya.

Setiap zon menempatkan sebuah kotak kecil tersembunyi yang mengandungi kod QR. Imbas kod ini menggunakan aplikasi untuk membuka mini game bertemakan zon tersebut, yang akan membawa anda lebih jauh ke dalam dunia One Piece.
Selain itu, zon-zon ini turut menampilkan sudut foto bertema yang menarik—sesuai untuk merakam detik-detik ceria bersama rakan dan keluarga sepanjang pencarian harta karun ini.
Sertai Mini-Game Bertema

Acara ini menawarkan sepuluh mini game istimewa, masing-masing direka untuk menggambarkan semangat dan suasana babak-babak penting dalam siri One Piece.
Bersiaplah menghadapi pelbagai cabaran seperti menyelesaikan teka-teki mencabar, menjawab soalan trivia, mencari perbezaan, menavigasi game 3D tanpa henti, melepaskan diri dari labirin, melengkapkan tugasan padanan, atau berinteraksi dengan elemen augmented reality (AR) yang menghidupkan dunia One Piece di hadapan mata anda.
Setiap permainan disuntik dengan elemen naratif yang dekat di hati peminat, menjadikannya pengalaman lebih bermakna.
Di sekitar taman air, kod QR trivia tersembunyi sedia untuk diuji—imbas untuk mendapatkan mata bonus yang boleh melonjakkan skor dan kedudukan anda dalam Grand Treasure Hunt.

Dengan setiap cabaran fizikal dan digital yang berjaya diselesaikan, anda akan membuka zon baharu dan mara lebih dekat ke destinasi terakhir—Treasure Hub. Di sinilah jumlah skor anda menentukan kedudukan anda sebagai lanun sejati.
300 peserta dengan markah tertinggi akan menerima hadiah saguhati, manakala 50 teratas bakal memenangi hadiah utama edisi khas One Piece yang akan diumumkan pada hari penutup acara. Setiap permainan yang anda selesaikan dan setiap saat yang anda jimatkan berpotensi menjadi kunci untuk merebut tempat di kalangan yang terbaik.

Sambut Kejayaan Anda di Treasure Hub

Treasure Hub bukan sekadar destinasi akhir—ia adalah pentas meraikan pencapaian pengembaraan anda. Di sinilah anda boleh menebus Finisher Medal Edisi Malaysia, cenderahati eksklusif yang hanya diberikan kepada mereka yang berjaya melengkapkan seluruh pemburuan.
Selain itu, kawasan ini menampilkan pelbagai barangan edisi terhad yang pasti menggoda hati peminat tegar, termasuk baju-T, pelindung telefon kalis air, beg kalis air edisi khas One Piece Hunt, tuala edisi terhad, acrylic stand, gelang, set tag penerbangan dan bandana, mouse pad, lencana, buku nota, beg, serta botol air.
Bagi mereka yang ingin merakam detik kemenangan, booth foto profesional disediakan dengan bayaran antara RM25 hingga RM30—sempurna untuk mengabadikan memori bersama kru Straw Hat.
Semua barangan ini adalah optional, jadi anda boleh memperibadikan pengalaman mengikut keselesaan dan membawa pulang kenangan manis dari pengembaraan epik ini.

Syurga Buat Peminat One Piece

Memandangkan One Piece Asia Hunt berlangsung di kawasan taman air dan mengambil masa sekitar dua jam untuk diselesaikan, persediaan rapi amat penting. Pastikan anda membawa air yang mencukupi, memakai pelindung matahari, dan kasut yang selesa untuk berjalan.
Telefon pintar anda akan menjadi panduan utama sepanjang pengembaraan ini melalui aplikasi, jadi jangan lupa bawa power bank untuk memastikan ia kekal bertenaga dari mula hingga akhir. Setelah tamat pemburuan, anda boleh bersantai di kolam, membeli barangan eksklusif, atau bergambar untuk dikongsi bersama peminat One Piece lain.

Untuk pembelian tiket, layari laman rasmi Ticket2U.
@gamersantaimy
Discussion about this post