NVIDIA telah mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan “driver support” untuk kad grafik GeForce GTX siri 700, 900, dan 1000, termasuk juga Titan V berasaskan Volta, bermula dengan pelancaran driver siri 580 yang dijangka tiba pada lewat tahun ini atau awal tahun 2026.
Langkah ini menandakan berakhirnya sokongan rasmi untuk barisan GPU popular yang telah digunakan secara meluas dalam sistem gaming dan profesional sejak pelancarannya antara tahun 2014 hingga 2017.

GPU Yang Terlibat

Kad grafik yang akan terkesan adalah berdasarkan seni bina Maxwell, Pascal, dan Volta. Ini termasuk model seperti GTX 750 Ti daripada siri 700, GTX 970 dan 980 daripada siri 900, serta GTX 1060, 1070, 1080, dan 1080 Ti dalam siri 1000.
Titan V kelas tinggi juga termasuk dalam senarai. Namun begitu, GPU daripada siri GTX 16 yang menggunakan seni bina Turing masih akan terus menerima kemas kini sokongan.
Pada masa ini, NVIDIA sedang berada pada driver siri 576, dan siri 580 dijangka diperkenalkan dalam masa beberapa bulan akan datang, walaupun tarikh tepat masih belum diumumkan.
Selepas keluaran siri 580, GPU yang disebut tidak akan lagi menerima kemas kini prestasi, pembetulan keserasian, atau kemas kini keselamatan, walaupun pengguna GTX di atas masih boleh terus menggunakannya dengan driver support terakhir yang tersedia.
Kenapa Sekarang?

GTX 700, 900, dan 1000 merupakan siri GPU yang telah wujud antara 8 hingga 11 tahun, dengan cip binaan Maxwell dan Pascal yang tidak menyokong ciri moden seperti ray tracing, DLSS, atau tensor core yang kini menjadi standard dalam siri RTX (Turing, Ampere, dan Blackwell).
Penghentian driver support untuk siri GTX ini adalah selari dengan amalan industri, di mana pengeluar termasuk NVIDIA lazimnya akan menamatkan sokongan perkakasan lama untuk memberi tumpuan kepada produk dan teknologi yang lebih baru.
Walaupun sudah berusia, kad grafik ini masih digunakan secara meluas. Mengikut tinjauan Steam Hardware untuk Mei 2025, GTX 1060 masih memegang 2.24% pengguna dan berada di tangga ke-12, manakala GTX 1050 Ti menyusul dengan 1.73%.
Secara keseluruhan, kira-kira 5% pengguna Steam masih menggunakan GPU daripada siri 900 dan 1000, menunjukkan ketahanan dan prestasinya yang masih relevan.
Apa Maknanya untuk Pengguna?

Bagi pengguna biasa, penamatan sokongan driver ini bermaksud tiada lagi pengoptimuman prestasi untuk game baharu atau profil khusus untuk game moden, yang mungkin menyebabkan isu keserasian pada masa depan.
Meskipun masih boleh digunakan dengan driver terakhir siri 580, GPU ini mungkin berdepan cabaran untuk menjalankan game baharu yang memerlukan teknologi lebih canggih. Tambahan pula, aspek keselamatan turut menjadi kebimbangan kerana tiada lagi kemas kini keselamatan akan disediakan.
NVIDIA mencadangkan agar pengguna yang masih menggunakan GPU yang terjejas agar kekal dengan driver siri 580 untuk game lama atau kerja ringan.
Namun, bagi yang ingin bermain game moden atau menjalankan beban kerja profesional, disarankan untuk menaik taraf ke GPU berasaskan seni bina Turing seperti siri GTX 16 atau mana-mana model dalam siri RTX, contohnya RTX 5050.
Untuk maklumat lanjut mengenai GPU yang terjejas serta cadangan naik taraf, anda boleh melayari laman sokongan rasmi NVIDIA.
@gamersantaimy
Discussion about this post