Berita baik buat para gamer di Malaysia yang sudah lama menunggu! Nintendo telah mengesahkan bahawa Nintendo Switch 2, iaitu pengganti kepada konsol Switch yang sangat popular, akan mula dijual di Malaysia pada 3 Julai 2025.
Harga rasmi masih belum didedahkan. Selain konsol standard, Malaysia turut akan menjual Mario Kart World Bundle sekali.
Nintendo Switch 2 dibangunkan berasaskan kejayaan model sebelumnya. Konsol ini menampilkan skrin sentuh LCD bersaiz 7.9 inci dengan resolusi 1080p dan refresh rate 120Hz, memberikan paparan yang lebih lancar dan jelas.
Apabila disambungkan ke TV, ia menyokong resolusi sehingga 4K dengan HDR dan kadar bingkai 120fps, memastikan pengalaman gaming yang mantap walaupun tanpa skrin OLED.

Salah satu pembaharuan utama adalah controller Joy-Con 2 yang telah direka semula, yang kini boleh melekat secara magnetik pada konsol, dan turut berfungsi sebagai mouse untuk sasaran lebih tepat dalam game tertentu.
Butang baharu “C” memperkenalkan fungsi GameChat yang membolehkan voice chat atau video chat dengan sehingga 12 rakan ketika bermain. Hilang controller? Jangan risau! Ia boleh bergetar dan mengeluarkan bunyi untuk memudahkan pencarian.
Dengan GPU khusus Nvidia, Switch 2 menawarkan prestasi grafik sehingga 10 kali ganda lebih hebat berbanding model asal. Ia turut menyokong teknologi DLSS Nvidia dan ray tracing untuk visual yang lebih realistik. Konsol ini dilengkapi storan dalaman 256GB, dan boleh ditambah sehingga 2TB melalui kad microSD Express.
Antara ciri baharu termasuk GameShare, yang membolehkan empat pemain berkongsi satu salinan game secara tempatan, serta port USB-C tambahan untuk mengecas semasa digunakan atau menyambungkan aksesori seperti kamera Nintendo yang baharu. Sokongan stand pula memudahkan urusan gaming atas meja.

Ciri backward compatibility membolehkan kebanyakan game Nintendo Switch asal (sama ada fizikal atau digital) dimainkan di Switch 2, walaupun ada sesetengah judul mungkin mempunyai kekangan tertentu.
Controller Joy-Con sedia ada dan Nintendo Switch Pro Controller juga boleh digunakan secara tanpa wayar, memudahkan pengguna lama beralih ke konsol baharu ini.

Switch 2 akan hadir bersama barisan game pelancaran yang hebat seperti Mario Kart World dan Donkey Kong Bonanza (17 Julai 2025). Beberapa tajuk third-party seperti Cyberpunk 2077 Ultimate Edition dan Elden Ring Tarnished Edition turut akan ditambah, menunjukkan keupayaan hebat konsol ini.

Lebih menarik, Nintendo turut mengumumkan pelancaran perkhidmatan Nintendo Switch Online dan Nintendo eShop khusus untuk Malaysia.
Ini merupakan pencapaian besar kerana sebelum ini, pemain tempatan terpaksa menggunakan akaun negara luar untuk pembelian digital. Langkah ini jelas menunjukkan komitmen Nintendo untuk memperkukuh kehadirannya di rantau Asia Tenggara.
Untuk maklumat lanjut Switch 2, layari laman web rasmi Nintendo Malaysia.
@gamersantaimy
Discussion about this post