Nintendo telah mengumumkan rancangan mereka pada minggu ini untuk memperoleh Dynamo Pictures, sebuah syarikat animasi CG yang mengusahakan pelbagai jenis produksi dan siri berbeza pada masa lalu. Selepas memperoleh 100% syarikat itu, Nintendo merancang untuk menukar Dynamo Pictures kepada “Nintendo Pictures” supaya ia kemudian boleh fokus pada mencipta kandungan berdasarkan harta intelek (IP – Intellectual Property) Nintendo.
Menurut dokumen Nintendo, pemerolehan ini ditetapkan untuk berlaku pada 3 Oktober (jika tiada masalah berlaku). Setelah perjanjian itu selesai, Nintendo mengesahkan dalam dokumen bahawa:
“Nama syarikat Dynamo Pictures akan ditukar kepada ‘Nintendo Pictures Co., Ltd.’ untuk memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan visual menggunakan IP Nintendo.”
Walau bagaimanapun, Nintendo tidak mendedahkan apa-apa rancangan atau siri game mana yang akan diadaptasikan kepada animasi. Pada masa yang sama, Nintendo Pictures juga boleh ditugaskan dalam bahagian gaming bagi adegan ‘cutscenes’ untuk game baru.

Tentang soal kualiti, kita tidak perlu risau kerana Dynamo Pictures mempunyai pengalaman bekerja untuk projek profil tinggi dengan fokus pada animasi CG dan kerja motion capture. Antara yang mereka terlibat termasuk Dragon Ball Super: Super Hero, Yuri on Ice, Earwig and the Witch, dan Ghost in the Shell. Bagi industri gaming pula, mereka pernah bekerja bersama PlayStation, NieR Replicant, Mega Man, Death Stranding dan francais Resident Evil.

Seperti yang korang dapat lihat, Dynamo Pictures merupakan salah satu studio outsource premium untuk syarikat terkemuka dunia. Jadi saya tidak sabar untuk melihat bagaimana mereka akan menggunakan pengalaman itu dan mengaplikasikannya pada IP Nintendo.
Sebelum ini, Nintendo pernah menghasilkan Detective Pikachu yang merupakan campuran aksi langsung dan animasi CGI. Filem itu dilancarkan dengan sambutan positif hingga ramai mengharapkan sekuel dalam masa terdekat. Bukan itu sahaja, sebuah filem Mario juga dalam pembikinan di mana Chris Pratt akan meminjamkan suaranya sebagai protagonis utama, Mario.

Jika semua berjalan lancar, siri mana yang korang ingin lihat diadaptasikan ke animasi? Jom kongsikan pendapat di ruang komen!
@gamersantaimy
Discussion about this post