League of Legends: Wild Rift merupakan sebuah game MOBA yang telah dibangunkan dan diterbitkan oleh Riot Games untuk platform mobile. Game ini boleh dimainkan secara percuma di Android serta iOS dan merupakan versi modifikasi dari game PC League of Legends. Sama juga di LOL, pemain akan menggunakan kebolehan unik watak Champion untuk bertarung dengan pihak lawan bagi menghancurkan Nexus mereka, dan dalam masa yang sama perlu menguatkan Champion melalui EXP dan item sepanjang bermain.
Walaupun game ini telah dilancarkan sejak bulan Oktober tahun lalu, tetapi ia masih berjaya menarik para pemain baru setiap hari untuk mencuba Wild Rift. Jadi kami dari Gamer Santai hari ini, ingin berkongsi dengan anda beberapa panduan untuk pemain beginner Wild Rift yang boleh meningkatkan gaya gameplay mereka. Jadi tanpa berlengah lagi, jom baca panduan kami ini!
Memanfaatkan Ward
Ward merupakan bentuk kawalan penglihatan yang asas dan mudah untuk didapatkan kerana ia diberi kepada pemain setiap kali bermula perlawanan. Dengan menggunakan ward, anda boleh mendedahkan kawasan tertentu dan bersembunyi dari pandangan musuh melalui sweeping. Setiap ward mampu bertahan selama 90 saat dan mempunyai 3HP.
Ramai pemain beginner Wild Rift tidak tahu bagaimana kaedah yang betul untuk menggunakan Ward semasa bermain. Pemain boleh meletakkan ward dalam semak di Lane yang dimainkan atau di tengah sungai, kerana dua tempat ini sangat strategik. Anda boleh perhatikan pergerakan musuh di Lane dan cari semak yang sesuai untuk letakkan ward bagi melakukan serang hendap pada mereka.
Apabila menggunakan ward, pastikan ianya diletakkan secara berkala, kerana boleh dikira pembaziran jika anda meletakkan kedua-dua ward serentak di lokasi berdekatan. Pemain juga boleh meletakkan ward di dalam kawasan Jungle untuk menentukan sama ada musuh cuba menceroboh kawasan anda. Strategi ini akan membantu Attacker pasukan anda yang lain boleh bertindak pantas untuk datang membunuh musuh. Paling penting sekali adalah, jangan letakkan ward anda secara terang-terangan di tempat yang musuh boleh mencapainya dengan mudah!
Kepentingan Monster dan Buff
Tambahan pula, dalam map juga terdapat Jungle Monster yang terbahagi kepada tiga jenis, iaitu Rift Herald, Baron Nasher, dan Drakes. Pemain akan bersama dengan rakan pasukan untuk menewaskan monster ini bagi mendapatkan ganjaran unik seperti Buff (bergantung pada monster yang dibunuh).
Baron Nasher
Baron Nasher merupakan monster terkuat dalam Wild Rift. Jadi jika pemain berjaya menewaskannya, mereka akan mendapat Buff sementara, peningkatan damage dalam serangan, kebolehan kuasa, meningkatkan kekuatan Minion berdekatan dan memendekkan waktu recall. Monster ini akan muncul selepas 10 minit perlawanan bermula di lokasi sungai berdekatan dengan Baron Lane.
Sesetengah pemain menganggap yang Buff ini tidak penting, tetapi sebenarnya ia sangat membantu anda untuk membuat lebih banyak damage terhadap musuh serta struktur mereka. Jadi, dengan membunuh Baron Nasher, anda boleh mendapat kelebihan dari segi serangan selepas itu.
Rift Herald
Rift Herald adalah monster yang akan menggantikan tempat Baron Nasher 6 minit selepas pemain membunuhnya. Selepas anda membunuh Rift Herald, ia akan diseru sebagai sekutu untuk beberapa ketika bagi membantu anda melakukan damage yang kuat pada musuh dan Turret mereka.
Drakes
Drakes merupakan monster pertama yang akan di spawn di kawasan berdekatan Dragon Lane selepas 4 minit game bermula. Ia akan spawn berkali-kali selepas ia dibunuh sepanjang perlawanan berlangsung, dan bergantung pada elemen Drake yang dibunuh itu, pemain akan menerima bonus unik sehingga ia spawn kepada versi Elder. Selepas anda membunuh versi Elder Drakes, pemain akan mendapat elemen paling berkuasa serta Buff kekal untuk melakukan lebih damage.
Mendapatkan Buff adalah strategi yang sangat bagus kerana ia mampu membantu pemain melakukan damage yang kuat pada musuh selama 2 minit. Sekiranya pemain membunuh Champion musuh yang memiliki Buff, ianya akan berpindah kepada anda dan masa Buff itu juga akan kembali seperti asal. Tidak ramai pemain yang cuba mengaplikasikan strategi ini kerana menganggap Buff tidak penting, walaupun sebenarnya ia sangat berguna ketika bermain.
Pilih peranan yang sesuai dengan gameplay anda
Di Wild Rift, para pemain dari setiap pasukan boleh memilih peranan berbeza dalam setiap perlawanan. Setiap posisi Lane sama ada anda bermain secara solo atau duo biasanya memberi impak pada Champion pemain di setiap Lane. Jadi anda perlu memilih peranan apa yang sesuai dengan Champion anda sebelum bergerak menuju ke Lane pilihan.
Di Baron Lane, anda perlu memilih Champion yang mampu melakukan damage atau bertindak sebagai tank semasa melawan musuh atau melindungi rakan pasukan dari serangan Champion terkuat musuh. Antara Champion yang sesuai adalah Gragas, Akali, Camile, Fiona, Darius, Malphite, Garen dan Renekton. Apabila anda cepat membereskan Baron Lane, maka ia akan memudahkan kedudukan pasukan anda untuk menyelamatkan diri mereka dari pertarungan di Lane lain.
Untuk Mid Lane, Champion pemain perlu memiliki kebolehan untuk melakukan damage yang banyak dengan cepat dan akan menjadi perumah kepada mobile Champion di Wild Rift. Pemain yang gemar melakukan serangan bertubi-tubi pada pihak lawan sesuai untuk berada di Mid Lane. Contoh Champion yang boleh anda gunakan di Lane ini adalah Irelia, Corki, Katarina, Ziggs dan Diana.
Pada Dragon Lane, ianya sesuai untuk bermain secara duo dan Champion yang boleh melakukan Attack Damage Carry (ADC). Mereka yang bermain di Dragon Lane memainkan peranan untuk menghancurkan seluruh pasukan lawan bagi memberikan rakannya masa yang cukup untuk kembali. Walau bagaimanapun, Champion di Lane ini memerlukan sokongan pemain kedua sebagai perlindungan sepanjang bermain. Untuk Dragon Lane, kami mencadangkan anda untuk memilih Champion seperti Ezreal, Xayah, Kaisa, Corki dan Varus.
Bagi mereka yang ingin bermain di Jungle Lane, mereka perlu memiliki Champion yang sesuai bergerak di Baron Lane dan Mid Lane serta boleh bertahan dengan serangan. Mereka yang bermain di Lane ini boleh menjadi lebih kuat apabila membunuh Monster, menewaskan Champion musuh, dan mengawal map dengan memerhati pergerakan musuh serta mencari peluang bagi mendapatkan kelebihan pada pasukannya. Champion yang boleh anda gunakan untuk Lane ini seperti Jarvan IV, Evelynn, Lee Sin, Vi, Wukong, Camille, Kha’Zix dan Rengar.
Di setiap permulaan perlawanan, pemain akan memilih salah satu dari 40 Champion yang ada dalam Wild Rift. Sepanjang perlawanan pula, Champion anda ini akan menjadi lebih kuat melalui EXP yang diterima. Anda juga perlu menggunakan gold terkumpul untuk membeli item di Shop untuk meningkatkan stats Champion, dan menambah kesan unik padanya. Untuk menjadikan Champion anda menguasai perlawanan, pastikan ia mempunyai level yang tinggi, stats padu serta mempunyai skil tambahan.
Beli item yang sesuai untuk Champion
Sebagai pemain, anda perlu mengkaji item apa yang sesuai untuk dipasangkan pada Champion supaya stats mereka dapat membantu dari segi penghasilan damage, penambahan defense dan peningkatan pergerakan Champion. Contohnya, jika anda memilih Jinx sebagai Champion, antara item yang boleh anda sesuaikan padanya adalah seperti Rapid Fire Cannon, Guardian Angel, Gluttonous Greaves, Mortal Reminder, Infinity Edge dan Runaan’s Hurricane. Melalui peningkatan stats dari item ini, anda boleh mengawal Dragon Lane dengan mudah hanya menggunakan Jinx sahaja.
Berkomunikasi dengan rakan
Komunikasi antara sesama pasukan adalah sangat penting bagi mencapai sesuatu kejayaan. Sama juga di Wild Rift, anda perlu sentiasa berkomunikasi dengan pasukan melalui fungsi ping yang tersedia dalam in-game seperti “retreat”, “fight there”, “on my way” atau “engage the enemy”. Setiap ping ini sangat mudah untuk pemain menyampaikan info semasa pada pasukan mereka, tetapi tidak ramai yang memanfaatkan sepenuhnya fungsi ini.
Apabila musuh anda hilang, ianya sangat penting untuk pemain berkomunikasi dengan rakan pasukan, kerana membolehkan mereka untuk bermain dengan selamat di kawasan berhampiran supaya tidak terkena serangan hendap musuh. Biasakan diri anda di situasi ini untuk guna ping “Danger” dan “Enemy Missing”.
Tidak perlu menukar peranan dan Champion dengan kerap
Pemain Wild Rift tidak semestinya perlu menggunakan setiap Champion yang berlainan di setiap game, kerana anda hanya perlu cuba bermain dengan peranan yang sesuai sahaja. Sekiranya anda beralih peranan dengan kerap, ianya mungkin akan menyukarkan gameplay ketika itu, dan pemain bakal melakukan banyak kesilapan.
Biasakan berpegang pada satu atau dua Champion, dan pelajari segala yang perlu diketahui mengenai mereka sahaja. Ianya akan jauh lebih mudah untuk memenangi game kerana anda sudah boleh mengadaptasi Champion dan Lane yang dimainkan.
Wild Rift merupakan game berpasukan, jadi anda perlu bekerjasama serta berkomunikasi dengan rakan dalam mengatur strategi seperti melakukan serangan kecil, mempertahankan struktur, atau mengganggu musuh dari menewaskan Monster. Jika pasukan anda berjaya mengaplikasikan panduan yang diberikan ini, pasti gameplay perlawanan menjadi lebih rancak sehingga salah seorang dari anda berjaya menghancurkan Nexus musuh.
Harap dengan perkongsian panduan kami untuk pemain beginner Wild Rift ini dapat membantu meningkatkan lagi mutu gameplay anda. Bagi yang ingin membaca segala liputan kami mengenai Wild Rift, anda boleh tekan sahaja pada pautan yang tersedia.

@gamersantaimy
Discussion about this post