Berasal dari Jepun, kugiran metal alternatif SiM baru-baru ini memperkenalkan dunia kepada lagu “The Rumbling” yang dibuat khas untuk anime popular ‘Attack on Titan Season 4 Part 2’. Oleh itu, kami di Gamer Santai ingin mengetahui lebih lanjut tentang proses penciptaan ‘The Rumbling’, dan tanpa sangka, diberi peluang untuk interview minda-minda kreatif di sebalik karya ini.
Biar saya terangkan bio mereka secara ringkas. SiM, yang bermaksud ‘Silence iz Mine’ diasaskan pada tahun 2004 oleh MAH (Manabu Taniguchi) sebagai vokalis, SHOW-HATE (Shouhei Iida) di bahagian gitar, SiN (Shinya Shinohara) di bahagian bass dan GODRi (Yuya Taniguchi) sebagai drummer. Selain daripada Attack on Titan, kugiran itu juga mencipta lagu untuk anime Rage of Bahamut dan game Yakuza Kiwami 2.
Untuk interview ini, kami bertanya beberapa soalan tentang lagu tema terbaru Attack on Titan dan pendapat mereka tentang francais itu secara keseluruhan. Berikut adalah isi kandungan interview bersama SiM.
*Saya mengedit interview ini supaya penterjemahan lebih mudah difahami*

1. Semasa mencipta lagu tema, adakah terdapat apa-apa unsur tentang anime/manga yang menjadi inspirasi?
MAH: Saya cuba untuk tidak memecahkan gaya lagu tema lama, tetapi mengambil pendekatan “jika Shingeki no Kyojin ditulis oleh SiM”. Dari segi lirik, saya membaca manga berkali-kali dan membayangkan emosi watak-watak di sebalik pelbagai kata-kata dan babak.
2. Bagaimanakah perbincangan untuk lagu tema? Adakah ia dirancang untuk menjadi heavy metal kerana muzik untuk Part 1 sangat berbeza?
MAH: Saya tidak faham apa yang anda maksudkan dengan heavy metal, tetapi heavy metal dalam fikiran kita ialah Metallica dan Megadeth. Jadi kami tidak menganggap diri sebagai heavy metal. Walau bagaimanapun, jika anda merujuk kepada muzik seperti Korn, Limp Bizkit, Rage Against the Machine dan Slipknot sebagai heavy metal, maka anda mungkin betul kerana kami mengasaskan kumpulan selepas mendengar muzik mereka.
3. Secara umum, lagu tema untuk musim terakhir mempunyai gaya yang sangat berbeza dengan musim 1 hingga 3. Apakah pendapat anda tentang The Rumbling (lagu) dan bagaimana ia berfungsi dengan nada Part 2?
MAH: Muzik untuk lagu tema sebelum ini datang dari perspektif manusia. Untuk lagu Linked Horizon, saya dapat merasakan imej Survey Corps dan para askar, manakala untuk lagu YOSHIKI dan Shinsei Kamattechan, saya rasa ia mewakili salah satu emosi dalam diri manusia. Jika kami akan mencipta lagu, kami fikir untuk menulis lagu yang memfokuskan pada keganasan, saiz dan ketakutan Titan.
4. Sejauh manakah penglibatan MAPPA/Pony Canyon semasa proses pembuatan muzik? Adakah terdapat garis panduan untuk diikuti atau adakah anda diberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja?
MAH: Saya diberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang saya mahu tetapi ada had yang tidak boleh saya langgar. Saya juga menulis lirik berdasarkan tanggapan terhadap manga, dan berbincang dengan pengarah sama ada boleh memasukkan perkataan-perkataan ini.
5. Mana yang datang dahulu, susunan lagu atau lirik?
MAH: Lirik! Sudah tentu ia bermula dengan lagu, tetapi lirik didahulukan, dan kemudian saya akan fikir tentang cara-cara untuk menyusunnya menjadi lagu.
6. Baru-baru ini anda menukar label daripada Universal Music Japan kepada Pony Canyon. Adakah ia mempengaruhi ahli kugiran atau proses kreatif dalam apa-apa cara?
MAH: Walaupun baru sahaja berpindah, tetapi saya rasa sambutan terhadap “Attack on Titan” sahaja sudah sangat mengagumkan. Tiada apa-apa yang berubah dari segi muzik, tetapi saya fikir fakta bahawa ramai orang kini mendengar SiM adalah hasil daripada perpindahan itu.
7. Secara umum, apakah perasaan apabila mendapat tahu bahawa siri yang popular seperti AOT akan berakhir menggunakan lagu anda?
MAH: Selepas melihat maklum balas peminat, kami mendapat respon seperti “ia sesuai untuk finale”, jadi saya rasa amat puas hati kerana telah melakukan kerja yang baik, dan menulis lagu yang bagus.
8. Adakah anda mempunyai watak kegemaran daripada anime/manga. Jika ya, adakah personaliti atau perasaan mereka semasa anime memainkan peranan dalam susunan lagu?
MAH: Armin, saya rasa. Apabila Armin hampir mati, itulah saat yang paling saya suka – “Tidak! Saya benci! – saya fikir.
SHOW-HATE: Saya suka Jean. Oleh kerana Jean ada di sana, dia dan Eren terlibat dalam persaingan yang sihat sebagai sahabat, dan saya fikir dia berubah fikiran dan menjadi stimulus yang baik.
SIN: Levi. Dia sangat kuat jadi rasa seronok untuk tonton.
GODRi: Secara keseluruhan, saya akan pilih Reiner. Dia baik dan boleh dipercayai, dan saya ingin menjadi seperti dia.
9. Lirik untuk ‘The Rumbling’ berbunyi seperti ia ditulis oleh Eren. Jika anda boleh menulis lagu dari perspektif watak lain, untuk siapa anda mahu melakukannya?
MAH: Mikasa, saya rasa atau mungkin Reiner.
SHOW-HATE: Zeke agak menarik.
10. Sebelum ini, muzik anda turut dipersembahkan dalam Yakuza Kiwami 2. Adakah anda lebih suka membuat muzik untuk game atau anime?
MAH: Saya seorang gamer, tetapi untuk muzik, pilihan adalah anime. Muzik instrumental lebih sesuai untuk game, tetapi saya rasa anime lebih sesuai untuk muzik lagu yang boleh memberi kesan kuat dan mengubah suasana atau menjadikannya lebih menarik. Saya juga ingin buat muzik untuk game, tetapi rasa anime adalah pilihan yang lebih baik dalam hal itu. “Ryu ga Gotoku” merupakan karya istimewa, jadi saya rasa ia merupakan padanan yang bagus.
Maka, tamatlah interview kami bersama SiM yang menghasilkan lagu tema untuk Attack on Titan: The Final Season Part 2! Untuk semua yang berminat, anime ini sedang ditayangkan di Malaysia dan merupakan musim terakhir sejak ia mula disiarkan pada tahun 2013. Jika korang ingin mendengar lagu-lagu lain oleh SiM selain tema Attack on Titan, jangan lupa layari halaman mereka di Spotify. Untuk segala liputan kami tentang Attack on Titan, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post