Dalam tahun yang dipenuhi harapan tinggi untuk pelancaran game-game besar, MindsEye, judul aksi-pengembaraan pertama dari Build a Rocket Boy, mendapat perhatian atas sebab yang salah.
Dengan skor Metacritic hanya 43, MindsEye kini menyandang gelaran sebagai game paling rendah ratingnya untuk tahun 2025, menewaskan Ambulance Life: A Paramedic Simulator dengan beza tipis satu mata. Kritikan dari pemain jauh lebih tajam, dengan skor pengguna hanya 2.5 di Metacritic, selain dihujani ulasan negatif di Steam.
Majoriti pemain menyalahkan pelancaran yang penuh dengan pepijat, prestasi yang mengecewakan, dan jalan cerita yang gagal memikat.
Game ini dibangunkan oleh studio yang diasaskan bersama oleh Leslie Benzies, bekas produser Grand Theft Auto, dan dijangka menjadi pengisi kekosongan sementara menunggu ketibaan Grand Theft Auto 6 yang kini dijadualkan untuk 2026.
Dengan premis yang digambarkan sebagai campuran kekacauan open-world ala GTA dan elemen futuristik Cyberpunk 2077, jangkaan terhadap MindsEye sememangnya tinggi. Namun, sesi previu awal sudah cukup untuk memadamkan harapan tersebut, dengan ramai menyifatkan game ini sebagai “bersepah dan rosak,” dipenuhi isu teknikal.
Walaupun Mark Gerhard, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Build a Rocket Boy, menolak kritikan sebagai “serangan berbayar,” maklum balas dari pengkritik dan pemain nyata bercanggah dengan dakwaannya.

Pelancaran MindsEye menjadi begitu kontroversi sehingga PlayStation Store — yang terkenal dengan polisi refund yang ketat — mula menawarkan bayaran balik kepada pemain yang telah membeli game ini. Langkah ini sebelum ini hanya pernah berlaku ketika pelancaran Cyberpunk 2077 pada 2020.
Namun tidak seperti Cyberpunk, yang akhirnya ditarik sepenuhnya dari kedai digital Sony, MindsEye masih kekal dijual, mungkin hasil tindakan pantas Build a Rocket Boy.
Dalam tempoh beberapa hari selepas pelancaran, studio tersebut telah mengeluarkan patch kecemasan untuk membaiki isu prestasi CPU dan GPU, kebocoran memori, serta pelbagai pepijat lain, sambil berjanji lebih banyak pembaikan akan menyusul.

Walaupun ulasan rasmi dari media agak lewat diterbitkan, hampir semuanya sepakat menyuarakan kekecewaan terhadap game ini. Skor Metacritic mencerminkan pelbagai rungutan: pengalaman gameplay yang penuh gangguan, sering terhenti, dan naratif yang hambar.
Ulasan pemain di Steam juga sama, dengan ramai menyuarakan rasa kecewa terhadap mekanik gameplay yang tidak digilap dan potensi besar yang gagal direalisasikan.

Bagi Build a Rocket Boy, yang meletakkan harapan tinggi pada MindsEye sebagai projek sulung mereka, masa depan nampak mencabar. Walaupun tindakan segera mereka melancarkan patch menunjukkan komitmen, belum dapat dipastikan sama ada usaha itu mencukupi untuk memulihkan reputasi game ini dalam jangka panjang.
MindsEye kini tersedia di PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC (Steam, Epic Games Store). Maklumat lanjut di laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post