Siri manga terkenal Bleach (oleh Tite Kubo) dilancarkan pada tahun 2001 di Jepun, dan dengan cepat menjadi salah satu “Big 3” dalam majalah Shonen Jump bersama Naruto dan One Piece. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga protagonis ini tidak berkongsi tahap populariti yang sama. Di sini, saya akan cuba menjelaskan mengapa Bleach tidak sepopular seperti Naruto atau One Piece.

Semua manga popular memerlukan seorang watak utama yang berketerampilan. Walaupun Kurosaki Ichigo direka dengan ciri-ciri tipikal seorang protagonis shonen, reka bentuk ini tidak dapat ditandingi kepada cita-cita tinggi milik Uzumaki Naruto dan Monkey D. Luffy. Jika saya nak ringkaskan, Ichigo adalah protagonis yang tidak mahu apa-apa perubahan. Dia tidak ada cita-cita seperti ingin menjadi Hokage atau Pirate King, yang membuatkan plotline dia agak mendatar.
Pada awal naratif, perwatakan Ichigo adalah salah satu aset terbesar kepada jalan cerita. Dia tidak dilahirkan dengan apa-apa kuasa istimewa, dan memang tidak ditakdirkan menjadi seorang hero. Ichigo hanyalah seorang budak sekolah menengah dengan hati yang baik dan pandai bertarung. Oleh itu, dia menjadi hero shonen yang mudah difahami oleh kebanyakan pembaca. Terpaksa menjalani dua kehidupan berbeza, Ichigo harus menyeimbangkan kehidupan sebagai seorang pelajar dan Shinigami. Namun, setelah mencapai suatu titik tertentu pada naratif dan menyedari dia sebenarnya mempunyai kuasa terpendam, kita sudah tidak kenal Ichigo sebagai “underdog” dan ini membuatkan daya tarikannya hilang, lantas menjadi watak Ichigo agak “membosankan”.

Selain itu, kebanyakan story arc dalam Bleach memiliki plotline yang lebih kurang sama. Dua contoh yang saya boleh beri adalah bila Ichigo ingin menyelamatkan Rukia dari Soul Society dan misi menyelamatkan Orihime dari Hueco Mundo. Story arc yang unik? Mungkin apabila dia harus menewaskan Aizen Sosuke untuk melindungi bandar Karakura dan seluruh dunia, sambil mempertaruhkan nyawa untuk melindungi orang-orang yang tersayang. Walaupun niatnya mulia, story arc seperti ini tidak begitu mengembangkan watak Ichigo. Dia berjuang untuk mengembalikan keadaan kepada normal dan berjaya menghalang banyak rancangan jahat oleh antagonis. Akhirnya, Ichigo kembali pada titik awal jalan cerita, dan ini yang membuatkan sesetengah orang tidak berpuas hati dengan naratif Bleach. Peminat mestilah suka apabila Ichigo berjuang demi sahabat, tetapi selain itu, dia tidak mempunyai apa-apa matlamat besar untuk capai.
Bagi saya, Tite Kubo mungkin boleh memberi tujuan atau visi yang lebih tinggi kepada Ichigo. Malangnya, ini tidak berlaku, dan matlamat Ichigo menjadi lebih defensif dan konservatif sehingga jalan cerita sukar untuk dikembangkan berdasarkan watak utama. Ternyata, Ichigo sudah berkali-kali menyelamatkan dunia, tetapi setakat itu sahaja lah. Ini amat berbeza dengan protagonis dalam cerita shonen lain. Uzumaki Naruto membesar secara keseorangan dimana hampir semua penduduk Konoha takut akan musang sembilan ekor yang duduk di dalam badannya. Kejadian ini mendorong Naruto untuk mencapai impiannya sebagai Hokage demi melindungi Konoha dan mendapat pengiktirafan dari seluruh dunia Shinobi. Monkey D. Luffy pula bercita-cita untuk mencari harta karun One Piece dan akhirnya menjadi Pirate King. Malah, Son Goku yang ramai anggap bodoh pun mempunyai cita-cita yang lebih tinggi daripada Ichigo, kerana ingin menjadi pahlawan terkuat di alam semesta.

Ichigo tidak mempunyai cita-cita seperti ini, dan tujuannya menjadi terlalu defensif untuk mengembangkan jalan cerita (Bleach mengembangkan jalan cerita dengan memperkenalkan unsur luar). Walaupun protagonis lain terus maju dalam cerita masing-masing, Ichigo sudah berpuas hati dengan apa yang dia ada. Senang cerita, ia seperti ini. “Musuh datang, Ichigo selamatkan dunia, dia pergi rehat.” Lambat-laun, naratif ini menjadi membosankan, dan menjadi salah satu sebab mengapa Bleach tidak begitu popular seperti Naruto dan One Piece. Itu adalah pendapat saya. Apa pendapat anda pula memandangkan Bleach pun sedang menghasilkan story arc baru yang berkonsepkan “neraka?” Untuk segala liputan kami tentang Bleach, sila tekan pautan ini.
Sumber – Otaku Fandom Wiki
@gamersantaimy
Discussion about this post