Malam gala dan tayangan perdana Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) berlangsung dengan penuh meriah di IOI City Mall, Putrajaya malam tadi, menandakan detik penting sebelum filem animasi ini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula Khamis ini.
Diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions, filem ini dijangka terus memikat hati peminat siri animasi popular tersebut.

Acara malam gala diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation merangkap pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin; serta Ketua Peneroka Komet Productions, Datuk Ahmad Izham Omar.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi WAU Animation yang juga Penerbit Eksekutif EATM2, Faiz Hanafiah, bersama barisan pelakon suara utama seperti Ida Rahayu (Ejen Ali), Noorhayati Maslini (Ejen Alicia) dan Azman Zulkiply (Rizwan).

Perkembangan Watak & Cabaran Di Sebalik Tabir
Dalam sesi sidang media selepas tayangan, pelakon suara berkongsi pengalaman masing-masing serta perkembangan watak yang mereka bawa. Menurut Ida Rahayu, suara kepada watak Ejen Ali, karakter Ali telah menunjukkan kematangan sejajar dengan perjalanan masa.
“Dari musim pertama hingga filem ini, suara Ali berkembang daripada rendah kepada lebih matang, mengikut usia watak,” jelasnya. Beliau menambah bahawa walaupun berpandukan skrip, emosi semula jadi semasa rakaman memainkan peranan penting untuk menjadikan dialog lebih hidup dan sesuai dengan naratif.
Bagi Azman Zulkiply pula, wataknya sebagai Rizwan mengalami perubahan emosi yang ketara.
“Rizwan pada musim pertama lebih bersahaja dan boleh tersenyum, tetapi kini dia melalui ‘dark path’ yang mempengaruhi nada suaranya menjadi lebih dalam dan serius,” katanya sambil bergurau tentang betapa dekatnya mikrofon perlu diletakkan bagi menangkap bisikan dan intonasi halus watak tersebut.
Sementara itu, Noorhayati Maslini yang menyuarakan watak Ejen Alicia berkongsi tentang cabaran untuk mengekalkan keseimbangan antara sisi serius dan ceria watak tersebut.
“Dalam siri, Alicia sangat serius, tetapi dalam filem ini, dia mula tersenyum dan bergelak. Kadang-kadang kami perlu buat pelbagai ‘take’ untuk dapatkan emosi yang tepat,” katanya.
Menurutnya lagi, perubahan ini selari dengan perkembangan hubungan antara Alicia dan Ali yang semakin memahami antara satu sama lain setelah melalui pelbagai ujian bersama.
Harapan untuk Kejayaan Filem dan Filem Ketiga
Faiz Hanafiah menyatakan rasa terima kasih atas sokongan padu peminat dan berharap EATM2 akan mencatat kejayaan lebih besar daripada filem pertama.
“Kami menyasarkan kutipan yang lebih tinggi daripada filem pertama, mungkin dua kali ganda (RM60 juta). Harapan kami, peminat akan menonton berulang kali dan mengajak lebih ramai untuk menyaksikan EATM2,” ujarnya sambil mengucapkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi.
Ketika ditanya tentang kemungkinan filem ketiga, Usamah Zaid Yasin dengan bergurau mengatakan mereka tidak mahu menunggu sehingga enam tahun lagi.
“Kami akan cuba cepatkan proses, bergantung pada sokongan daripada pihak Media Prima,” katanya, selepas dirujuk kepada babak post-credit yang memberi petunjuk tentang kesinambungan cerita ke filem ketiga.
Spin-off Rizwan?
Sesi soal jawab turut meriah dengan satu pertanyaan menarik: adakah ada kemungkinan watak Rizwan mendapat siri spin-off sendiri. “Kalau tanya saya, saya memang nak!” kata Azman sambil ketawa, memberi bayangan bahawa watak tersebut mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi.
Dengan sambutan luar biasa semasa malam gala, Ejen Ali The Movie 2 dilihat bersedia mencipta sejarah baharu dalam francais animasi tempatan. Tayangan umum akan bermula Khamis ini, dan para peminat pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pengembaraan terbaru Ejen Ali dan rakan-rakannya di layar perak.
Untuk maklumat lanjut, sila ikut media sosial rasmi Ejen Ali.
@gamersantaimy
Discussion about this post