Bukan senang dapat peluang untuk melawat syarikat game terkemuka betul tidak? Baru-baru ini kami telah berpeluang untuk melihat serta meneroka ibu pejabat SEGA yang terletak di Tokyo. Terima kasih banyak-banyak kepada SEGA kerana menjemput kami untuk ke sana. Jadi, alang-alang itu, mari kami “bawa” anda bersama dalam lawatan ini. Tanpa membuang masa jom kita mulakan!

Tempat pertama yang kami pergi ialah SEGA History, satu kawasan yang dijaga oleh watak ikonik, Sonic the Hedgehog. Di sini jugalah anda akan melihat sejarah panjang syarikat ini. Anda boleh melihat beberapa bahagian ikonik seperti UFO Catcher, Virtua Fighter dan SEGA Master System.
Bukan setakat itu sahaja, terdapat juga kotak paparan yang menunjukkan penglibatan SEGA dalam industri game video. Sepanjang berjalan, anda akan melihat sejarah syarikat yang sudah lebih daripada 60 tahun.

Sekarang memang susah untuk menjumpai konsol-konsol lama, terutamanya yang dihasilkan oleh SEGA. Agak gembira juga apabila dapat melihat konsol seperti SEGA Saturn atau Mega Drive di hadapan mata. Kalau tidak hanya mampu melihatnya dalam Internet sahaja.

Selain daripada konsol tersebut, terdapat juga Game Gear, salah satu konsol yang mempunyai warna. Semua keadaan peranti ini semua dalam keadaan yang bagus tanpa sebarang kesan comot padanya. Jangan ingatkan ada konsol sahaja. Terdapat juga replika kecil untuk beberapa tajuk ikonik. Antaranya ialah SEGA UFO Catcher dan Sonic the Hedgehog.

Selepas itu, kami tiba pula di ruang utama untuk tetamu yang bertemakan kapal. Kawasan ini sangat besar dan pada masa yang sama ianya selesa. Ia juga lengkap dengan ruang menunggu berbentuk kabin kapal. Kalau anda ingin tahu, terdapat bilik mesyuarat yang bertemakan pelabuhan popular di seluruh dunia untuk digunakan. Ia telah dikodkan menggunakan abjad untuk kemudahan anda.
Kawasan ini juga mempunyai beberapa benda menarik seperti mesin arked vintage termasuklah Virtua Cop dan OutRun. Tetapi sudah tentu ia bukan untuk dimainkan.

Di kawasan itu juga terdapat simbol Kumpulan SEGA SAMMY — Sonic The Hedgehog dan maskot Sammy bersebelahan. Dengan bergaya 90-an, mereka berdua nampak sangat “cool” di sana.

Sudah jalan jauh, tiba-tiba rasa lapar pula. Jadi kami singgah ke kafeteria SEGA. Tempat dia memang sesuai sangat untuk anda berehat, lebih-lebih lagi dengan pilihan makanan yang hebat. Berbeza dengan kafeteria lain, terdapat bar di bahagian belakang, lengkap dengan meja kayu gelap dan kerusi kulit. Anda memang boleh bersantai di sini sambil minum kopi kerana temapt itu juga lengkap dengan pembuat kopi serta buku untuk dibaca.

Memang teruja tidak sudah dan susah untuk percaya apabila melangkah ke ibu pejabat SEGA. Bukan selalu anda nampak studio yang mempunyai seluruh tingkat didedikasikan untuk kejayaan mereka. Antara benda yang menarik perhatian sudah tentu patung Sonic. Setiap Sonic yang dipamerkan datang daripada era yang berbeza. Daripada yang lebih kecil sehinggalah yang lebih moden. Kalau anda ingin tahu, itulah maskot live action SEGA untuk SEGA SATURN.

Memang seronok lawatan kali ini. Sekali lagi kami ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada SEGA kerana memberikan kami peluang untuk melihat HQ mereka di Tokyo. Kalau anda ingin mendapatkan liputan lain mengenai mereka, boleh klik pautan ini!
@gamersantaimy
Discussion about this post