Ramai yang tidak sabar untuk melihat generasi CPU terbaru oleh Intel dan AMD manakala AMD dan NVIDIA dijangka akan memperkenalkan seni reka GPU yang diperbaharui. Semua perkakasan ini akan membolehkan syarikat berjenama besar seperti Razer untuk membina laptop gaming next-gen mereka tetapi malangnya, harga bagi laptop-laptop ini juga akan menjadi lebih mahal mengikut peningkatan prestasi.
Dalam sebuah tweet oleh Ketua Pegawai Eksekutif Razer, Min-Liang Tan, beliau menjelaskan bahawa selepas bertemu dengan pasukan dan membincangkan tentang “peningkatan signifikan dalam kos komponen”, laptop gaming next-gen Razer Blade akan memakan kos yang lebih mahal.
Min-Liang Tan menjelaskan begini:
“Baru sahaja mengadakan mesyuarat yang panjang untuk menyemak barisan laptop gaming kami pada tahun depan – nampaknya terdapat peningkatan signifikan dalam kos komponen dan lain-lain, dan kami akan melihat kenaikan harga untuk laptop gaming next-gen secara menyeluruh (termasuk Razer Blade) pada tahun depan.”

Seperti yang anda boleh baca di atas, Min-Liang Tan mengesahkan bahawa laptop gaming next-gen berjenama Razer akan mendapat kenaikan harga. Pada awal tahun ini, Razer telah memperkenalkan laptop gaming Blade pertama yang berasaskan AMD dan berikutan sambutannya yang positif, mereka akan teruskan usaha untuk melancarkan laptop AMD pada tahun depan.
Pada masa yang sama, kemungkinan besar bukan Razer sahaja yang mengalami masalah ini. Jenama lain seperti Acer dan Asus mungkin sedang menghadapi masalah yang sama, jadi saya tidak begitu terkejut jika mereka pun meletakkan harga yang lebih tinggi untuk produk khusus. Bukan itu sahaja, kenaikan harga komponen yang disebut oleh CEO Razer tidak semestinya bermakna CPU dan GPU sahaja, tetapi juga termasuk paparan, memori DDR5 dan storan.

Info tepat tidak diberi tentang komponen apa yang kini lebih mahal, tetapi inilah rumusannya. Jika anda berminat untuk baca segala liputan kami tentang Razer, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post