Sebuah khanar angin baharu mencadangkan bahawa siri God of War mungkin akan beralih ke mitologi Mesir dalam game seterusnya. Jika benar, ini bakal menjadi perubahan besar bagi francais ini yang sebelum ini meneroka mitologi Yunani dan Norse.

Siri God of War pada mulanya memfokuskan kepada pertarungan Kratos menentang para dewa Yunani sebelum beralih ke mitologi Norse dalam God of War (2018) dan God of War Ragnarok (2022).
Dengan Ragnarok menandakan berakhirnya kisah Kratos di dunia Norse, peminat mula tertanya-tanya ke mana arah tuju siri ini selepas ini. Salah satu teori yang paling popular adalah bahawa Kratos—atau mungkin anaknya, Atreus—akan berdepan dengan dewa-dewa Mesir pula.

Spekulasi ini semakin hangat selepas laporan daripada sumber industri, Daniel Richtman, yang mendakwa bahawa Sony kini sedang mencari pelakon dari Timur Tengah untuk sebuah game AAA PlayStation yang masih belum diumumkan.
Walaupun projek sebenar masih menjadi tanda tanya, Richtman percaya bahawa pemilihan pelakon ini berkemungkinan besar berkaitan dengan game God of War seterusnya, yang mungkin berlatarbelakangkan Mesir purba.
Sudah Lama Diusik?
Idea untuk membawa God of War ke mitologi Mesir sebenarnya bukan perkara baharu. Sebelum pelancaran God of War (2018), ramai peminat telah berspekulasi bahawa perjalanan Kratos suatu hari nanti akan membawanya ke Mesir. Malah, Santa Monica Studio sendiri pernah memberikan klu dalam game mereka.
Dalam God of War dan God of War Ragnarok, ada beberapa rujukan kepada pelbagai pantheon lain di luar mitologi Yunani dan Norse, termasuk mitologi Mesir. Tambahan pula, sebuah komik spin-off God of War pada tahun 2021 mendedahkan bahawa Kratos pernah bertemu dengan watak-watak dari Mesir.

Selain itu, pengakhiran God of War Ragnarok juga membuka pelbagai kemungkinan untuk game seterusnya. Kisah Kratos mungkin boleh diteruskan, tetapi perjalanan Atreus dalam mencari kaum Gergasi turut memberikan ruang untuknya menjadi watak utama dalam pengembaraan baharu—mungkin di Mesir.
Jika ini berlaku, ia boleh membawa perubahan besar dalam francais ini, termasuk memperkenalkan mekanik gameplay yang berbeza serta protagonis baharu.

Walaupun spekulasi semakin rancak, Sony masih belum mengumumkan secara rasmi sebarang game God of War baharu. Malah, Richtman sendiri mengakui bahawa dakwaannya hanyalah spekulasi, jadi peminat harus mengambil berita ini dengan berhati-hati.
Sekalipun God of War benar-benar akan menuju ke mitologi Mesir, peminat mungkin perlu menunggu beberapa tahun lagi sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat. Sementara itu, Santa Monica Studio disahkan sedang membangunkan IP baharu yang dikhabarkan bertemakan sains fiksyen.
@gamersantaimy
Discussion about this post