Syarikat e-sukan terkemuka di dunia, ESL Gaming, hari ini mengumumkan kejohanan ESL One Malaysia 2022 yang dikuasakan oleh Intel® akan berlangsung pada 23 – 28 Ogos. Peringkat akhir kejohanan ini akan diadakan secara langsung di depan penonton di Arena of Stars di Resorts World Genting, Malaysia.

Acara ini menandakan kejohanan pertama Dota 2 dengan kehadiran penonton di Asia Tenggara sejak lewat 2019 dan kembalinya ESL One ke rantau ini sejak ESL One Genting 2018. Kejohanan ini tidak terikat kepada Dota Pro Circuit (DPC) dan membolehkan pemain untuk mengasah kemahiran sebelum memasuki The International (TI) 11 sambil memperoleh sebahagian daripada jumlah hadiah bernilai US$400,000 (anggaran RM1,757,600.00) itu.

Bermula pada 23 Ogos, peringkat kumpulan akan menampilkan 12 pasukan Dota 2 terbaik dunia yang akan berentap dalam format ‘best-of-two round-robin’. Bersaing dalam persekitaran LAN, mereka akan berentap untuk satu daripada lapan tempat yang tersedia untuk peringkat playoff. Kemudian, pemain akan bermain dalam format ‘best-of-three’ yang menyaksikan penyingkiran berganda, dengan peringkat akhir ditentukan secara ‘best-of-five’. Peringkat playoff akan diadakan secara langsung di depan penonton di Arena of Stars di Resorts World Genting, Malaysia.

“Semasa kami menganjurkan ESL one di Genting pada 2017 dan 2018, kehadiran para peminat berjaya membawa atmosfera yang menakjubkan dan lokasi itu telah mengekalkan perasaan yang istimewa di hati kami.”
“Mengembalikan dunia Dota 2 ke Arena of Stars merupakan peluang yang baik dan kami berbesar hati dapat menjemput semua ke satu lagi pengalaman e-sukan yang hebat.”
kata Artem Bykov, Pengurus Besar Pengurusan Permainan di ESL Gaming.
“Kami berbesar hati dapat menjadi tuan rumah untuk kepulangan ESL One, kejohanan yang sangat dinanti-nantikan peminat e-sukan di rantau ini. Arena of Stars telah menjadi lokasi ikonik untuk acara terkemuka sejak penubuhannya dan peminat ESL One pastinya boleh menantikan kejohanan kemunculan semula yang menakjubkan.”
kata Roger Ong, Penolong Naib Presiden Hiburan & Acara Resorts World Genting.
Jualan tiket untuk ESL One Malaysia 2022 bermula pada Jumaat, 10 Jun pukul 3 petang waktu Malaysia. Pelbagai jenis tiket harian dan mingguan tersedia dengan harga antara RM69 dan RM399. Layari esl-one.com/malaysia untuk maklumat lanjut mengenai jenis tiket dan cara pembelian.
Layari laman web rasmi untuk maklumat lanjut mengenai ESL One Malaysia di sini.

@gamersantaimy
Discussion about this post