Salah satu aspek yang paling menarik dalam francais Naruto adalah puaknya yang berbeza, semua dengan budaya, sejarah dan tradisi unik mereka sendiri. Ini diperluas ke Boruto, siri sekuel Naruto, yang berfokus pada generasi terbaru untuk setiap puak ini.
Salah satu yang paling menarik adalah puak Uzumaki, suku keluarga kepada protagonis francais, Uzumaki Naruto. Malangnya, puak ini juga merupakan salah satu yang paling malang di dunia Naruto. Mari kita selami kekuatan istimewa puak Uzumaki, dan pelajari apa yang menjadikan latar belakangnya begitu menyedihkan.
Asal usul puak Uzumaki
Puak Uzumaki berasal dari sebuah kampung yang dikenali sebagai Uzushiogakure. Kampung ini juga dikenali sebagai Tanah Pusaran Air dan dilambangkan dengan logo lingkaran yang dikenali sebagai lambang Uzumaki. Sama dengan puak Senju, puak Uzumaki berasal daripada Ōtsutsuki Ashura. Anggota puak ini sering dilahirkan dengan rambut merah, yang mengenal pasti chakra dan abiliti mereka sebagai seorang Uzumaki.
Dengan puak Senju sebagai salah satu pengasas Konohagakure dan juga saudara jauh kepada puak Uzumaki, kedua-dua puak tersebut bekerjasama, lantas menjadikan Uzushiogakure sekutu kepada Konohagakure. Kedua-dua puak akhirnya berkahwin satu sama lain untuk mengeratkan lagi hubungan. Contoh yang paling terkenal adalah perkahwinan antara Senju Hashirama dan Uzumaki Mito. Hubungan ini terus berkembang dari masa ke masa, sehingga lambang Uzumaki dijadikan sebagai logo pada jaket shinobi Konoha. Keturunan berambut merah yang paling menonjol dan tulen daripada puak Uzumaki adalah Uzumaki Mito, Uzumaki Kushina, Karin, Nagato dan pemimpin klan sebelumnya, Uzumaki Ashina.

Kebolehan dan kuasa puak Uzumaki

Puak Uzumaki memiliki fuinjutsu (Sealing Jutsu) yang paling hebat. Sebenarnya, mereka dianggap sebagai pelopor untuk sebahagian besar fuinjutsu yang digunakan di Konoha berkat kepada Uzumaki Ashina. Ashina dengan mudah dapat memeterai bijuu dengan hanya beberapa isyarat tangan. Antara fuinjutsu terkenal mereka adalah Shiki Fūjin (Reaper Death Seal), yang menyeru Shinigami (Dewa Kematian). Semasa era Hashirama, sebuah kuil penyimpanan topeng Uzumaki didirikan di pinggir Konoha sebagai rancangan kecemasan jika kampung menghadapai ancaman yang bahaya di mana memakai satu topeng khusus membolehkan pengguna menyeru Shinigami daripada jutsu Shiki Fūjin.

Puak Uzumaki dikenal sebagai puak yang panjang umur kerana anggotanya mempunyai semangat hidup yang sangat kuat dan jangka hayat yang lebih lama daripada shinobi biasa. Sebagai contoh, Uzumaki Mito, dapat bertahan hidup dari era Hashirama dan Tobirama hingga pemerintahan Hokage ke-3, ketika Kushina dijadikan Jinchuriki seterusnya untuk Musang Ekor Sembilan.
Walaupun Musang Ekor Sembilan dikeluarkan daripada Mito, dia masih hidup untuk jangka waktu yang lama, tetapi dalam keadaan lemah. Bagi Kushina pula, dia masih dapat melawan dan mengawal Musang Ekor Sembilan dengan kekuatannya. Kebanyakkan shinobi pasti akan mati apabila bijuu diekstrak daripada badan mereka.

Semua ahli Uzumaki yang ditunjukkan dalam Naruto dan Boruto sangat kuat, kerana keturunan darah mereka yang berkuasa dan simpanan chakra yang besar. Uzumaki Mito dan Kushina dikenali kerana memiliki chakra besar yang mampu mengawal bijuu, serta merupakan sebab utama mengapa mereka menjadi jinchuriki ekor sembilan. Uzumaki Naruto, walaupun tidak memiliki rambut berwarna merah, mewarisi chakra besar mereka dan secara semula jadi mempunyai kebolehan cepat sembuh.
Kepupusan puak Uzumaki

Oleh kerana kekuatan hebat yang dimiliki oleh puak ini dan kemampuan mereka untuk mengurung apa-apa sahaja daripada chakra ke benda hidup dan bukan hidup – semua kampung lain membenci dan takut kepada mereka, kecuali Konoha. Disebabkan itu, kampung-kampung lain secara diam-diam merancang untuk menghapuskan “ancaman” ini, yang menyebabkan puak dan kampung Uzumaki dihancurkan sebelum Konoha dapat menyelamatkan mereka.
Yang masih hidup hanyalah mereka yang tidak ada di kampung ketika peristiwa tragis ini berlaku. Walaupun begitu, mereka tidak ingin membalas dendan, dan terlalu baik sehingga memaafkan kampung-kampung yang membunuh puak Uzumaki. Ini sangat bertentangan dengan Yahiko, Nagato dan Konan yang menginginkan dunia “mengenali kesakitan” sebagai balas dendam untuk Amegakure (Hidden Rain Village) yang dijadikan tempat perang oleh kampung-kampung lain.
Kepupusan puak Uzumaki juga disebabkan oleh keinginan kampung-kampung lain yang gilakan kuasa. Walaupun puak Uzumaki dihapuskan, perang tidak pernah berhenti kerana setiap kampung sentiasa ingin menjadi yang terbaik dan tunjukkan kuasa mereka.
Walaupun kampung-kampung yang terlibat dalam aksi kejam ini menyembunyikan sifat gila kuasa mereka dengan alasan terpaksa menghancurkan Uzushiogakure demi menyelamatkan dunia daripada bahaya, ia sangat jelas bahawa masing-masing ingin menjadi kampung paling hebat dan berkuasa di dunia. Tetapi dengan pemerintahan Naruto sebagai Hokage di siri Boruto, puak Uzumaki kini memiliki peluang untuk hidup semula dan mulakan hidup baru.
@gamersantaimy
Discussion about this post