Trailer rasmi pertama untuk The Dark Pictures Anthology: Little Hope telah didedahkan beberapa minggu lepas dan dibangunkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC pada musim panas 2020. Bersama pendedahan ini, kami juga menonton penyampainan Keynote daripada Supermassive Games dan telah melihat lebih kurang 20 minit rakaman dalam-permainan. Untuk tahu lebih lagi, anda boleh baca artikel kami di sini.
Seperti namanya, The Dark Pictures Anthology adalah satu siri permainan bertema seram dengan watak dan premis yang berbeza pada setiap permainan. Satu-satunya elemen penghubung adalah “Curator” yang menceritakan kemajuan anda antara babak. Di Man Of Medan, anda terpaksa menghadapi entiti yang berbahaya di atas sebuah kapal hantu di Pasifik Selatan, tetapi sekuel kali ini akan berlatar belakang konsep sihir atau “witch” yang berasal daripada abad ke-17.
Untuk mengetahui lebih lagi tentang Little Hope, kami berpeluang untuk menemu bual pengarah Pete Samuels secara atas talian, untuk mengorek lagi rahsia-rahsia tentang sekuel yang dinanti-nantikan ini. Mari kita mulakan!
Gamer Santai: Pernahkan anda mempertimbangkan untuk mengemas kini Man of Medan dengan jalan cerita baru agar boleh dikaitkan dengan Little Hope atau antologi lain?
Pete Samuels: Setiap permainan berada di “universe” yang sama tetapi masih bermandiri, jadi saya tidak rasa kami akan mengemas kini jalan cerita Man of Medan untuk berkait dengan Little Hope. Walau bagaimanapun, kami masih akan letakkan “easter egg” di setiap permainan untuk memberi petunjuk kepada permainan baru akan datang. Man of Medan pun mempunyai petunjuk kecil kepada Little Hope dan permainan seterusnya selepas itu – jadi, jangan lupa untuk cari!
Kami akan terus menyokong Man of Medan kerana ia merupakan bahagian yang penting di dalam antologi. Ini bermaksud apa-apa ciri baru yang kita masukkan ke dalam permainan baru juga berpotensi untuk dilaksanakan permainan lepas seperti Man of Medan. Keindahan sebuah antologi adalah apabila setiap permainan boleh bermandiri, dan anda tidak perlu bermula di permainan pertama. Kami berharap peminat akan bertambah dengan setiap pelancaran permainan baru, jadi kami perlu memastikan bahawa setiap permainan dalam siri ini setanding antara satu sama lain.
Gamer Santai: Bagaimana anda memastikan jalan cerita/tema kekal konsisten antara permainan?
Pete Samuels: Disebabkan setiap permainan adalah berlainan, jalan cerita pun sangat berbeza (selain daripada klu kecil yang kita beri sebagai petunjuk untuk permainan akan datang). Satu unsur yang konsisten adalah “Curator ” yang akan muncul dalam setiap permainan The Dark Pictures dan mempunyai jalan cerita sendiri. Dalam setiap kisah, kita akan bongkarkan sedikit demi sedikit tentang dirinya.
Kami mempunyai garis panduan yang menjadi asas kepada The Dark Pictures, seperti semua “playable character” boleh hidup atau mati, semua permainan mempunyai elemen daripada dunia sebenar tidak kira fakta, legenda atau mitos, semuanya ada jalan cerita bercabang, dan lain-lain. Oleh itu, kami memastikan setiap jalan cerita mematuhi garis panduan ini tetapi selain itu, kami akan menceritakan kisah yang ingin kami ceritakan.
Gamer Santai: Ramai berkata bahawa penamat di mana “semua orang mati” di Man of Medan adalah antara yang paling sukar untuk diperolehi, berbanding dengan Until Dawn di mana menyelamatkan seseorang boleh membunuh anda. Mengapa?
Pete Samuels: Secara keseluruhan, saya rasa ia berbeza untuk Little Hope kerana penamat di mana “semua orang hidup” adalah yang paling sukar untuk dicapai. Siapa yang hidup atau mati benar-benar bergantung kepada pemain dan pilihan yang mereka membuat.
Kita tahu orang suka bermain permainan ini dengan cara yang sangat berbeza, dan sejumlah pemain sengaja membunuh semua orang dan kemudian mainkan semula permainan untuk cuba selamatkan mereka. Pemain juga mempunyai watak kegemaran sendiri dan juga watak yang mereka tidak suka serta mahu singkirkan. Itulah yang hebat tentang permainan kami. Kami membangunkan permainan dengan menerapkan ciri “replayability” agar setiap permainan ialah berbeza!
Gamer Santai: Mengapa memilih untuk menggunakan watak/narator seperti The Curator?
Pete Samuels: Kami mahukan watak yang boleh berhubung dengan pemain secara langsung. Kami mahukan watak yang misteri. Kenapa dia ada? Adakah dia ada untuk menolong atau menghalang anda? Ini adalah sesuatu yang kita akan perlahan-lahan dedahkan dalam kisah-kisah berikutnya tetapi maklum balas daripada komuniti sangat-sangat positif dan Pip Torrens, yang menyuarakannya, melakukan kerja yang bagus untuk menghidupkan watak Curator.
Untuk sebuah permainan seram, kami ingin meredakan ketegangan dengan mengeluarkan pemain daripadaa keadaan tertekan itu. Kami memberi mereka rehat daripada adegan seram dan membiarkan Curator berbincang dengan pemain tentang kemajuan mereka dan menawarkan beberapa kata-kata petua!
Gamer Santai: Berapa besar kawasan (peta) Little Hope?
Pete Samuels: Ini bukan permainan open-world tetapi Little Hope mempunyai banyak laluan, jalan dan bangunan untuk diterokai. Kami menerapkan kamera baru yang, dalam babak tertentu, membolehkan pemain mengawal kamera secara 360° untuk menambah pengalaman penerokaan.
Gamer Santai: Jumlah watak yang boleh dimainkan di Dark Pictures Anthology setakat ini agak kecil. Mengapa?
Pete Samuels: Permainan akan selalu mempunyai 5 watak yang boleh dimainkan dan kami merasakan ini adalah jumlah yang tepat untuk menceritakan kisah yang ingin kita ceritakan. Ia membolehkan pemain untuk memainkan setiap watak dengan cara yang bermakna dan menentukan sifat atau hubungan antara satu sama lain dalam tempoh 4 hingga 5 jam bermain. Kami membina permainan ini sambil mempertimbangkan ciri “replayabality‘. Walaupun anda mempunyai lima watak yang boleh dimainkan, cara berperilaku mereka berbeza pada setiap permainan.
Gamer Santai: Ada yang berpendapat bahawa Man of Medan mungkin terlalu menggunakan “jumpscare”. Apa pendapat peribadi anda tentang “jumpscare”?
Pete Samuels: Secara peribadi, saya suka pada “jumpscare“, namun kerana bekerja dalam permainan seram bermaksud saya dapat mengesan “jumpscare” dari jauh ketika menonton filem seram baru! Ia sangat penting untuk genre seram dan kami suka menggunakannya untuk meredakan ketegangan situasi daripada menjadikan alat untuk menakutkan orang. “Jumpscare” sangat sukar untuk dibuat dengan betul kerana ia bukan hanya tentang saat terkejut itu tetapi keseluruhan situasi yang membawa kepada saat itu.
Kami tidak bergantung pada “jumpscare“. Suasana, ketegangan, audio, dialog- semuanya berfungsi bersama untuk membina situasi seram. Bukan selalunya tentang darah atau kengerian – permainan kami adalah tentang emosi manusia di bawah tekanan dan keganasan yang tidak dapat dibayangkan dan kami ingin membina elemen seram berlatarbelakangkan konsep ini.
Gamer Santai: Bagaimana anda menjadikan gaya penceritaan sinematik ini sentiasa segar di antara permainan?
Pete Samuels: Kami mempunyai beberapa penulis, pereka, pengarah dan kakitangan yang hebat untuk memastikan bahawa setiap cerita dalam The Dark Pictures Anthology adalah unik dan menceritakan kisah yang menarik setiap masa. Kami bangga mencipta naratif sinematik yang berkualiti tinggi. Selagi kita mendapat ceritanya dengan betul, antologi dan permainan di dalamnya semestinya terasa baru dan segar.
Lama kelamaan, kita mungkin menambah ciri yang sedikit berbeza – seperti pilihan visualisasi baru, kamera baru, sistem amaran QTE yang kami tambahkan ke Little Hope – jadi kami sentiasa ingin mengemas kini semua permainan. Kami belajar daripasa semua yang kami lakukan dan juga dengar kata komuniti.
Gamer Santai: Adakah anda akan menambah teknologi siaran langsung seperti: mengundi untuk pilihan jawapan, penonton menggunakan chat untuk melaksanakan “jumpscare”?
Pete Samuels: Ini adalah sesuatu yang telah kami pertimbangkan pada masa lalu dan ia boleh berfungsi dengan baik mengikut gameplay permainan ini. Kami mencipta mod multiplayer berdasarkan cara orang bermain Until Dawn di mana mereka mencipta sesuatu yang sosial dan boleh dimainkan bersama rakan-rakan. Dalam mod multiplayer di The Dark Pictures, ciri ini diimplementasikan agar orang boleh berkumpul secara sosial dan kolaboratif. Perkara ini diterima dengan baik di Man of Medan dan akan terus menjadi ciri dalam semua permainan The Dark Pictures.
Selain itu, para influencer dan komuniti mereka menjadi pengaruh yang besar untuk permainan kami dan berjaya melakukan beberapa playthrough siaran langsung langsung tanpa perlu kami menambah apa-apa fungsi pengundian/teks.
Gamer Santai: Penggunaan perentasan masa (time travel) memberikan Little Hope perubahan fantasi berbanding Man Medan yang ternyata lebih biasa. Mengapa tidak mengekalkannya menjadi “biasa”?
Pete Samuels: Saya tidak mahu membocorkan terlalu banyak tentang Little Hope tetapi kami telah menggunakan aliran masa yang berbeza di Little Hope untuk membina dan menceritakan kisahnya. Bahagian utama permainan ditetapkan pada masa kini dan dalam “universe” yang sama seperti Man of Medan. Bagaimanakah aliran masa yang berbeza ini saling berkait, itu untuk anda temui sendiri!
Gamer Santai: Mengapa menggunakan gaya fotorealistik untuk permainan, dan bukannya seni yang dilukis dengan tangan?
Pete Samuels: Kami menghasilkan permainan sinematik, dan mahukan orang merasa seperti mereka sedang menonton filem atau episod daripada siri TV kegemaran mereka. Bagi kami, cara terbaik untuk mencapainya adalah dengan gaya foto realistik yang menggunakan “motion capture” dan animasi wajah berkualiti tinggi. Kesetiaan sinematik sangat penting untuk membantu mendorong emosi yang kami mahukan dalam permainan.
Maka, di sinilah temuramah kami bersama Pete Samuels tamat. Banyak yang kita dapat tahu tentang Little Hope sekarang., dan mungkin lebih banyak maklumat baru akan didedahkan dalam masa terdekat. Tarikh rasmi untuk Little Hope masih tidak diumumkan, tetapi jika nasib menyebelahi, ia boleh sampai lebih cepat daripada yang dijangkakan.
Little Hope adalah yang kedua daripada lapan permainan yang dirancang untuk Dark Pictures Anthology dan merupakan game seram yang fokus kepada pilihan dan akibat. Little Hope akan keluar untuk pelantar Xbox One, PlayStation 4, dan PC pada musim panas ini.

@gamersantaimy
Discussion about this post